Skip to content

Ubat Saxagliptin: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat saxagliptin? Artikel ini akan membincangkan salah satu ubat kencing manis iaitu saxagliptin, kegunaannya, kesan sampingan dan dos.

Kegunaan

Seperti ubat vildagliptin, saxagliptin juga turut digunakan dalam rawatan kencing manis jenis 2 (jenis yang biasa dialami masyarakat sekarang) tetapi dengan beberapa pengecualian seperti yang dinyatakan dalam Buku Biru Formulari Farmaseutikal:

  • Rawatan tambahan diabetis bagi pesakit yang gagal mencapai penurunan tahap gula dan/atau tidak mampu mengambil ubat metformin atau ubat-ubat sulfonilurea (gliclazide, glibenclamide dsb) kerana tidak mampu menahan kesan sampingan ataupun mempunyai kontraindikasi berkaitan pengambilan ubat tersebut.
  • Rawatan tambahan diabetis pada pesakit yang belum mencapai sasaran penurunan gula walaupun dalam rawatan metformin sahaja dan berisiko tinggi memperoleh hipoglisemia (kurang darah), terutamanya warga tua dengan pelbagai penyakit lain berisiko (darah tinggi, komplikasi jantung sebagai contoh)
  • Rawatan tambahan pesakit diabetis yang belum mencapai sasaran penurunan gula dengan ubat sulfonilurea dan tidak mampu atau tidak boleh mengambil metformin
  • Rawatan tambahan pesakit diabetis yang belum mencapai sasaran penurunan gula walaupun dengan rawatan metformin dan ubat sulfonilurea
  • Rawatan bagi pesakit kegagalan buah pinggang di mana penggunaan metformin tidak digalakkan.

Pemberian saxagliptin hanya boleh dimulakan oleh doktor pakar sahaja setelah pemeriksaan teliti dibuat, meliputi pelbagai prestasi organ utama badan termasuklah prestasi dan tahap buah pinggang pesakit. Preskripsi doktor amat diperlukan untuk dibeli di farmasi komuniti.



Berikut diterangkan serba sedikit berkenaan pengambilan ubat tersebut:

  • Tidak seperti vildagliptin, saxagliptin hanya diambil sekali sehari sahaja. Dos permulaan biasanya adalah 2.5 mg sehari. Maksimum adalah 5 mg sehari, termasuklah warga tua serta pesakit kegagalan hati. Namun begitu, pesakit yang mengambil ubat-ubatan yang bertindak balas sebagai penebat enzim CYP3A4/ CYP3A5 dalam hati (ubat kulat ketoconazole, ritonavir)
  • Pesakit kegagalan buah pinggang di bawah 50 ml/min tahap eGFR pula perlu mengambil maksimum 2.5 mg sehari sahaja. Jika pesakit dalam tahap end-stage renal disease (ESRD) yang memerlukan rawatan hemodialisis pula, saxagliptin masih lagi boleh diambil 2.5 mg sehari sekali sahaja selepas dialisis dilakukan.
  • Pesakit yang mengambil ubat sulfonilurea seperti yang dinyatakan baru tadi atau dalam rawatan insulin perlu mengurangkan dos ubat sulfonilurea dan dos insulin bagi mengelakkan hipoglisemia berlaku.
  • Pengambilan selepas makan atau sebelum makan boleh digunakan untuk jenis saxagliptin biasa. Ambil dan telan dengan air kosong, dan jangan sama sekali potong, pecah atau mengunyah ubat. Jika terlupa mengambil ubat, sila ambil secepat mungkin selepas teringat. Namun begitu, jika baru teringat hampir dengan pengambilan ubat seterusnya, pesakit perlu melangakui dos lama dan ambil semula dos yang sama, dan tidak perlu menggandakan dos.
  • Ada sesetengah ubat yang diformulasi bersama dengan metformin (jenis tablet dos pelepasan berterusan, extended-release tablet). Maksimum pengambilan ubat tersebut tidak boleh melebihi dos harian ubat 5 mg saxagliptin/2000 mg metformin. Ubat ini tidak boleh dipecah, dikunyah mahupun dipotong. Ubat ini perlu ditelan dengan segelas air kosong juga.
  • Terdapat juga saxagliptin dalam formulasi bersama satu lagi ubat kencing manis generasi baru dari jenis penebat saluran penghantaran bersama natrium-glukosa (sodium-glucose cotransporter-2 inhibitor, SGLT-2 inhibitor) bernama dapagliflozin, terdapat dalam tablet salutan filem mengandungi kekuatan 5 mg saxagliptin dan 10 mg dapagliflozin. Pengambilan ubat tersebut maksimum hanya cuma diberikan satu tablet 5 mg/10 mg sahaja sekali sehari. Pengambilan selepas makan juga diutamakan, tidak boleh dipecah, dikunyah dan dipotong, serta perlu ditelan bersama-sama segelas air kosong juga.

Penyimpanan

Ubat perlu diletakkan di tempat sejuk dan kering. Ubat tersebut perlu dijauhkan dari panas dan lembap. Ubat jenis tablet salutan filem dan formulasi pelepasan berterusan dan ubat tablet biasa perlu diabiarkan dalam bungkusan asal. Jauhkan dari kanak-kanak.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Jenama ubat yang ada dalam pasaran

Seperti mana ubat vildagliptin, saxagliptin juga baru dipasarkan. Jadi, ubat ini hanya dikenali menerusi jenama dikeluarkan inovator iaitu Onglyza (AstraZeneca), berkekuatan 2.5 mg dan 5 mg satu tablet. Dalam pasaran juga ubat ini turut diformulasi bersama campuran ubat seperti dinyatakan dibawah:

  • Metformin (campuran saxagliptin bersama ubat metformin diletakkan dalam formulasi pelepasan berterusan, extended-release formulation), setiap tablet dijual berkekuatan 5 mg saxagliptin/500 mg metformin, 5 mg/1000 mg dan 2.5 mg/1000 mg.
  • Dapagliflozin (campuran bersama saxagliptin dalam tablet salutan filem), setiap tablet berkekuatan 5 mg saxagliptin dan 10 mg dapagliflozin.

Cara Ubat Berfungsi

Seperti vildagliptin, saxagliptin secara aktif menebat enzim dipeptidyl peptidase-4 (DPP4), membolehkan kesan protein incretin lebih lama dalam badan, seterusnya mengawal kenaikan gula bagi pesakit diabetis. Saxagliptin menurunkan HbA1c dalam julat 0.5 – 0.8%, dan tidak sama sekali menaikkan berat badan pesakit diabetis.

Namun begitu, saxagliptin ditemui menerusi kajian berterusan memperlihatkan kesan-kesan kegagalan jantung serta risiko yang amat tinggi bagi pesakit yang turut mempunyai penyakit komplikasi jantung serta kegagalan buah pinggang jika dimulakan.



Oleh sebab itu, penggunaan ubat ini tidak digalakkan, sebaliknya alternatif seperti vildagliptin pula yang boleh digunakan.

Kesan Sampingan

Penyataan tentang kesan sampingan di sini hanya menlibatkan ubat saxagliptin sahaja. Jika pesakit saxagliptin ada mengalami kesan sampingan serius berikut perlulah segera berjumpa doktor dan menghentikan pengambilan ubat tersebut. Kesan sampingan serius direkodkan termasuklah:

  • Keradangan pankreas (pankreatitis): sakit-sakit bahagian abdomen badan
  • Kegagalan jantung: letih berlebihan; bengkak-bengkak tapak, pergelangan kaki serta kaki; peningkatan berat badan mendadak; kesukaran bernafas ketika berbaring

Antara kesan sampingan biasa yang direkodkan:

  • Hipersensitif:
    • Sukar bernafas atau menelan makanan
    • Bengkak-bengkak tangan, kaki, muka, mata dan tekak (angioedema)
    • Kulit kemerahan, gatal, ruam kulit, bintik-bintik merah (gegata), kulit mengelupas dan berkuping

*Jika keadaan berterusan perlu segera berjumpa doktor dan menghentikan pengambilan saxagliptin.

  • Sakit sendi
  • Jangkitan saluran pernafasan (terutamanya hidung dan tekak)
  • Jangkitan saluran kencing
  • Sakit dada
  • Letih lesu
  • Pening dan sakit kepala
  • Sakit perut
  • Loya dan muntah
  • Bengkak pada tangan, kaki dan pergelangan kaki
  • Hipoglisemia – semua pesakit yang mengambil ubat kencing manis boleh mengalami kekurangan gula dalam darah yang muncul dengan kesan seperti:
    • Pening kepala
    • Hampir pitam
    • Berpeluh-peluh
    • Terketar-ketar
    • Badan menggigil
    • Jantung rasa berdebar-debar
    • Perubahan dalam penglihatan
    • Ragam angin berubah
    • Terasa lapar

Disebabkan kesan sampingan tersebut, ubat ini tidak boleh digunakan pada pesakit berikut:

  • Kanak-kanak bawah 18 tahun (bukti tidak mencukupi)
  • Wanita mengandung
  • Wanita menyusu anak
  • Pesakit buah pinggang bawah tahap eGFR 50 ml/min
  • Pesakit hipersensitif terhadap saxagliptin dan ubat perencat DPP4 lain (vildagliptin dsb)
  • Pesakit kencing manis jenis 1
  • Bukan untuk rawatan diabetik ketoasidosis

Peringatan

Ubat ini masih lagi boleh digunakan kepada segelintir golongan ini, namun dengan pemerhatian doktor yang lebih kerap. Berikut adalah antara mereka:

  • Pesakit yang pernah mengalami masalah berkaitan jantung terutamanya kegagalan jantung (jika keadaan jantung berterusan perlu dihentikan)
  • Pesakit kegagalan buah pinggang (ringan dan sederhana) – jika sekiranya prestasi buah pinggang makin menurun dengan penggunaan saxagliptin, perlu dihentikan penggunaan ubat
  • Pesakit yang pernah atau ada mengalami keradangan pankreas
  • Sakit-sakit sendi yang agak teruk dan berterusan– walaupun insiden tersebut boleh berlaku dalam jangka masa sehari – 4 tahun selepas dimulakan, jika sekiranya keadaan berterusan ubat tersebut mungkin perlu dihentikan.

Interaksi antara ubat

Para pesakit perlu memberitahu apa-apa ubatan yang terlibat selain dari pengambilan saxagliptin kepada doktor terlebih dahulu. Berikut adalah merupakan antara interaksi kepada ubat lain adalah:

  • Ubat penebat enzim ACE untuk darah tinggi (perindopril, ramipril, enalapril, captopril dsb) dan penebat reseptor angiotensin  (ARB) untuk darah tinggi (losartan, valsartan dan segala keluarga sartan lain) : Menaikkan kesan angioedema pesakit, sebaiknya penggunaan disertakan dengan pengawalan doktor.
  • Ubat berkaitan glukokortikoid (prednisolone, methylprednisolone, dexamethasone dsb): menaikkan kesan hiperglisemia pada pesakit vildagliptin
  • Ubat penebat enzim CYP3A4/3A5 dalam hati terutamanya ubat antivirus (indinavir, ritonavir, dsb), ubat kulat (itraconazole, ketoconazole, fluconazole dsb), antibiotik (clarithromycin, telithiromycin, ertythromycin, troleandomycin dsb), sesetengah ubat darah tinggi dan jantung (verapamil, diltiazem), : menaikkan kesan hiperglisemia
  • Ubat sawan (phenytoin, carbamazepine, sodium valproate, phenobarbitone dsb), herba St John’s wort, antibiotik (rifabutin, rifampicin): menurunkan kesan terapeutik saxagliptin

Kesan terlebih dos

Maklumat berkenaan terlebih mengambil saxagliptin agak jarang terjadi mahupun dilaporkan. Kes keracunan ringan agak terhad datanya, manakala kes sederhana dan serius pula mungkin menaifestasi kepada kesan sampingan saxagliptin sendiri. Kebiasaannya rawatan berkaitan keracunan ubat ini berdasarkan simptom terlibat dan suportif kepada pesakit.



Artikel Berkaitan:

  1. Kencing manis: Simptom, punca dan Rawatan
  2. Ubat Vildagliptin

Rujukan

  1. BNF 78
  2. Micromedex
  3. Medscape
  4. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  5. QUEST 3+ Product Search.
  6. Malaysia Endocrine & Metabolic Society, Ministry of Health, Academy of Medicine Malaysia, Diabetes Malaysia & Family Medicines Specialists of Malaysia (2021). Clinical practice guidelines: Management of type 2 diabetes mellitus (6th Edition). Malaysia: Ministry of Health.
  7. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Onglyza® tablet: Saxagliptin 2.5 mg & 5 mg
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Kombiglyze® XR Tablet: Saxagliptin/ metformin hydrochloride (2.5/1000 mg, 5/500 mg & 5/1000 mg)
  9. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP) Qtern® 5 mg/ 10 mg film-coated tablets: saxagliptin 5 mg & dapagliflozin 10 mg
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × five =