Apakah punca kepada masalah muntah yang mempunyai pelbagai warna seperti hijau, kuning dan merah? Artikel ini akan menjelaskan punca-punca tersebut.
Setiap orang pasti pernah mengalami gejala muntah. Beberapa punca yang biasa termasuklah mabuk kenderaan, sakit kepala, sakit perut, makan secara berlebihan dan lain-lain. Muntah bukanlah sesuatu penyakit yang perlu dirisaukan, tetapi ianya lebih kepada gejala yang terjadi apabila pusat perangsang muntah di otak (Chemoreceptor Triggering Zone -CTZ) diaktifkan. Sebagai contoh, jika anda mengalami keracunan makanan, maka signal akan disalurkan ke bahagian CTZ untuk membuang toksin daripada badan melalui muntah. Ini merupakan fisiologi semula jadi untuk melindungi badan daripada jangkitan kuman.
Secara amnya, muntah selalunya akan hilang dengan sendiri dalam masa satu hingga dua hari. Namun begitu, terdapat juga muntah yang memberi gambaran bahawa anda mungkin mengalami beberapa jenis masalah kesihatan. Artikel pada kali ini khas dibawakan untuk berbincang tentang warna-warna muntah serta puncanya.
Muntah berwarna cerah dan jelas
Muntah berwarna jelas biasanya berlaku apabila anda telah muntah untuk beberapa kali. Ini menunjukkan bahawa makanan yang mungkin tercemar telah dikeluarkan sepenuhnya dari perut anda.
Beberapa punca lain yang menyebabkan muntah berwarna jelas termasuklah:
- Morning sickness
- Sakit perut
- Migrain
- Keracunan makanan
- Gangguan kitaran muntah (Cyclic Vomiting Disorder)
- Halangan saluran gastrik (Gastric Outlet Obstruction) yang biasanya disebabkan oleh sekatan di perut seperti ulcer atau tumor.
Muntah berwarna putih dan berbuih
Muntah anda mungkin kelihatan putih jika anda memakan sesuatu berwarna putih, seperti ais krim atau susu. Muntah berbuih juga boleh berlaku sekiranya anda mempunyai lebihan gas di dalam perut. Salah satu kondisi yang menyebabkan gas berlebihan ialah seperti:
1. Refluks asid (GERD)
Penyakit refluks asid atau Gastroesophageal Reflux (GERD) berlaku apabila asid daripada bahagian perut mengalir masuk ke dalam esofagus. Gejala yang dialami termasuklah pedih perut, sakit dada, mulut berasa masam serta sensasi terbakar di tekak.
2. Radang gastrik
Punca lazim yang menyebabkan radang gastrik ialah pengambilan ubat tahan sakit dalam jangka masa panjang, pengambilan alkohol secara berlebihan, stres, merokok serta jangkitan bakteria H.Pylori. Gejala radang gastrik ialah seperti gangguan pencernaan, pedih ulu hati, loya dan muntah.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Muntah berwarna hijau atau kuning
Kandungan muntah berwarna kuning dan hijau selalunya mempunyai hempedu. Hempedu merupakan sejenis cecair yang dihasilkan oleh hati, dan kemudian di simpan di bahagian pundi hempedu. Ia berfungsi untuk penyerapan dan pencernaan lemak. Lazimnya, muntah ini juga terjadi apabila anda muntah semasa isi perut kosong.
Muntah hijau juga berlaku ketika mana menghadapi keracunan makanan ataupun saluran usus yang tersumbat.
Muntah berwarna oren
Muntah berwarna oren ialah muntah yang mengandungi makanan separuh cerna. Selalunya, anda akan mengalami gejala ini bagi beberapa jam yang pertama. Muntah ini juga tidak menimbulkan kebimbangan kecuali jika ia berterusan dari satu hingga ke dua hari. Punca yang menyebabkan muntah berwarna oren termasuklah:
- Keracunan makanan
- Flu perut atau gastroenteritis
- Influenza
- Migrain
- Morning sickness
- Mabuk kenderaan
- Kemoterapi
Muntah berwarna merah (darah) atau merah jambu
Muntah darah, atau hematemesis, adalah pembalikan kandungan perut yang dicampur dengan darah, atau hanya darah sahaja. Puncanya boleh diklasifikasikan kepada ringan, sederhana dan serius.
Punca yang ringan:
- Iritasi pada esofagus
- Hidung berdarah
- Kerongkong terkoyak disebabkan oleh batuk atau muntah kronik (Mallory-Weis Tear)
- Tertelan objek asing
Punca sederhana:
- Ulser perut
- Kesan sampingan aspirin atau ubat tahan sakit
- Radang gastrik
- Pankreatitis
Punca yang serius:
- Kanser esofagus
- Sirosis hati
- Kanser pankreas
Muntah berwarna koko atau hitam
Sebenarnya muntah berwarna koko dan hitam merupakan salah satu jenis muntah darah yang telah melalui proses pengoksida. Ini bermaksud kandungan besi dalam darah akan bertukar menjadi hitam. Sekiranya ia menyerupai warna seakan kopi, anda mungkin mempunyai ulcer perut, amyloidosis, sirosis hati, atau kanser.
Sembelit yang teruk juga boleh menyebabkan muntah berwarna coklat kerana sembelit boleh menghalang proses pencernaan. Akibatnya, muntah anda mungkin berbau seperti najis. Gejala lain termasuklah kembung dan sakit perut yang teruk.
Kesimpulan
Muntah selalunya merupakan kondisi yang tidak mengancam nyawa dan pulih dengan sendiri. Ubat muntah juga boleh didapati di mana-mana farmasi berdekatan. Namun begitu, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor jika mempunyai muntah darah, muntah berwarna hitam atau muntah yang menjejaskan aktiviti harian.
Pembacaan bagi masalah yang lain
Rujukan:
- Marcin, A. (2018, March 12). Green, Yellow, Brown, and More: What Does the Color of My Vomit Mean? Healthline.
- V. (2019, March 21). Nausea and Vomiting (Emesis). HealthEngine Blog.