Apakah khasiat buah nanas kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat buah nanas, kandungan nutrisi dan juga komponen sihat di dalam buah ini.
Pengenalan
Ananas Comosus atau lazimnya digelar buah nanas adalah merupakan sejenis buah-buahan yang berasal daripada Amerika Selatan, di mana, ia meliputi Selatan Brazil, Utara Argentina dan juga Paraguay. Pada abad ke-16, orang-orang Sepanyol telah membawa buah nanas sebagai barang dagangan ke Asia seperti Filipina, Semenanjung Malaysia dan juga Indonesia.
Disebabkan itu, nanas mula menjadi buah yang ditanam secara komersial di negara-negara tropika dan sub-tropika [1]. Terdapat enam jenis spesis buah nanas yang ditanam diserata dunia iaitu Cayenne, Red Spanish, Queen, Singapore Spanish, Abacaxi dan juga Cabezona.
Kandungan Nutrisi
Umum mengetahui bahawa setiap jenis buah-buahan membekalkan pelbagai sumber vitamin dan juga mineral. Namun begitu, buah juga turut menjadi salah satu sumber makanan yang akan membekalkan tenaga kepada individu secara signifkan, ini termasuklah buah nanas. Rajah di bawah menunjukkan kandungan nutrisi bagi setiap 100g buah nanas.
NUTRIENS | 100g BUAH NANAS |
Karbohidrat | 10.6g |
Protein | 0.5g |
Lemak | 0.1g |
Kalsium | 24mg |
Zat Besi | 1.4mg |
Kalium | 97mg |
Natrium | 31mg |
Vitamin C | 15.2mg |
Vitamin B1 | 0.07mg |
Vitamin B2 | 0.08mg |
Vitamin B3 | 0.1mg |
Β-Karotin | 270µg |
Memandangkan karbohidrat adalah sumber nutrien yang utama bagi buah-buahan, setiap individu dewasa disarankan untuk mengambil dua hidangan buah-buahan dalam masa sehari. Bagi buah nanas pula, satu potong bersaiz sederhana sudah memadai untuk dimakan bersama hidangan utama atau dijadikan snek. Seeloknya buah-buahan dimakan tanpa sebarang tambahan serbuk atau sos pencicah. Manakala, bagi pesakit diabetes (kencing manis), anda dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor atau pegawai dietetik berkenaan pengambilan buah-buahan di dalam diet seharian.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Komponen Berkhasiat di dalam Buah Nanas
Bromelain
Bromelain adalah merupakan sejenis enzim yang didapati di dalam isi dan juga batang nanas. Kajian menunjukkan bahawa, kandungan bromelain di dalam isi dan juga batang nanas adalah berbeza dan turut memainkan fungsi yang berlainan dan komponen inilah menjadikan nanas itu mempunyai beberapa khasiat kepada kesihatan.
Kajian mendapati bahawa batang nanas mengandungi enzim bromelain yang lebih tinggi berbanding dengan isinya. Oleh yang demikian, ianya menjadi sentiasa menjadi perhatian di dalam bidang industri komersial mahupun teraputik.
Kebanyakkan kajian menemukan bahawa enzim bromelain memainkan peranan yang penting dalam proses fibrinolysis, anti-aedematous (bengkak kerana lebihan cecair), anti-thrombosis dan juga anti keradangan [2].
10 Khasiat Buah Nanas kepada Kesihatan
1. Berpotensi sebagai Anti-Koagulan
Proses koagulasi (pembekuan darah) adalah merupakan satu proses fisiologi yang normal berlaku kepada setiap individu. Thrombosis adalah merupakan salah satu keadaan di mana proses koagulasi berlaku secara tidak normal. Lazimnya, ia menjadi punca kepada serangan jantung dan juga ischemic stroke. Oleh yang demikian, individu yang berisiko untuk mengalami keadaan ini akan dibekalkan dengan ubat anti-koagulan [3].
Nanas merupakan buah yang kaya dengan enzim bromelain, sebuah kajian telah menemukan bahawa enzim bromelain berpotensi sebagai anti-koagulan. Enzim ini akan bertindak dengan memecahkan protein pembekuan darah, fibrinogen dan juga menghalang pembentukan platlet. Berdasarkan kajian ini juga, tindakbalas enzim bromelain daripada nanas adalah setanding dengan agen anti-koagulan, ethylenediaminetetraaceticacid (EDTA) [4].
Walaubagaimanapun, kajian yang terkini dan lebih mendalam terhadap keberkesanan enzim bromelain sebagai anti-koagulan masih perlu dijalankan dengan lebih lanjut lagi.
2. Bertindak sebagai Anti-Keradangan
Keradangan adalah merupakan satu respons daripada tubuh melawan pathogen, perengsa ataupun kecederaan. Lazimnya, sel darah putih akan diaktifkan apabila terdapat perangsang seperti yang disebut di atas. Enzim bromelain yang terdapat di dalam nanas memainkan fungsi untuk memecahkan protein (proteolysis) yang terdapat pada perangsang (pathogen atau perengsa).
Fungsi ini telah menjadikan buah nanas berpotensi untuk bertindak sebagai anti-keradangan. Kajian telah menemukan bahawa jus buah nanas yang segar (tidak dimasak atau dicampur bahan lain) memainkan peranan anti-radang yang lebih baik berbanding dengan jus yang telah melalui proses pengawetan atau dimasak [5].
3. Merangsang Pertumbuhan Tulang
Manganese merupakan mikro-elemen yang membantu untuk merangsang pertumbuhan tulang. Keperluan mineral ini bagi individu perempuan dan juga lelaki adalah sebanyak 1.8-2.3mg/sehari. Buah nanas merupakan buah yang kaya dengan manganese di mana setiap 100g mengandungi 0.93mg. Ianya memainkan fungsi sebagai co-factor di dalam proses pembentukkan tulang serta tulang rawan [6].
4. Fungsi Anti-Oksidan
Buah-buahan sememangnya kaya dengan antioksidan seperti vitamin C dan juga kompoun fenolik termasuk juga nanas. Umum mengetahui bahawa, anti-oksidan akan bertindak sebagai scavenger terhadap radikal bebas yang terdapat di dalam tubuh badan. Walaubagaimanapun, sebuah kajian tempatan mendapati bahawa kandungan vitamin C di dalam buah nanas akan semakin menurun berkadaran dengan tahap kematangan (masak) buah tersebut [7].
5. Membantu dalam Proses Penyembuhan Luka
Gabungan kandungan enzim bromelain dan juga flavonoid dapat membantu merencatkan pertumbuhan bakteria dan seterusnya akan mempercepatkan kadar penyembuhan luka. Di dalam kajian kes dan kawalan mendapati bahawa kadar penyembuhan luka ekstrak buah nanas adalah setanding dengan agen anti-septik, pavidone iodine [8].
6. Berpotensi Mengurangkan Alergik
Bromelain sememangnya kompaun di dalam buah nanas yang memainkan peranan signifikan terhadap kesihatan termasuklah juga dalam mengurangkan masalah alergik atau alahan. Enzim bromelain berfungsi untuk mengaktifkan respon imuniti terhadap allergen yang akan menyebabkan alahan. Walaubagaimanapun, kajian mendapati bahawa serum enzim bromelain lebih memberi kesan anti-alergen terhadap penyakit sinusitis [9].
7. Meningkatkan Mood
Phytoserotonin adalah merupakan sejenis phytochemical yang turut terdapat di dalam buah nanas. Umum mengetahui bahawa, serotonin memainkan peranan yang penting dalam menstabilkan mood, perkembangan emosi dan juga kegembiraan. Pengambilan makanan yang mengandungi phytoserotonin diiringi juga makanan yang kaya dengan asid amino, tryptophan mampu meningkatkan jumlah serotonin yang dihasilkan oleh sel saraf [10].
Dengan peningkatan jumlah serotonin ini, ia akan membantu memulihkan mood seseorang individu. Sebuah kajian mendapati bahawa keberkesanan jus buah nanas dalam mengembalikan emosi dan mood adalah setanding dengan ubat anti-depression, fluoxetine dan imipramine [11].
8. Berpotensi Membantu dalam Perawatan Arthritis
Bromelain di dalam nanas telah mendapat perhatian dunia perubatan dengan memainkan peranan sebagai agen anti-keradangan serta bertindak sebagai analgesic (tahan sakit) kepada pesakit arthritis. Bromelain bertindak sebagai penghubung yang akan menyebabkan jumlah prostaglandin yang dihasilkan oleh tubuh menurun [12].
9. Membantu di dalam Sistem Pencernaan
Bromelain juga merupakan bahan aktif utama yang terdapat di dalam buah nanas yang memainkan peranan di dalam aktiviti pencernaan protein (proteolytic activity) [13]. Bromelain mengandungi enzim proteolytic, cycteine proteinaise, yang terlibat untuk memecahkan struktur protein dan seterusnya membantu dalam pencernaan makanan [14].
10. Menyokong Kesihatan Mata
Buah nanas sememangnya kaya dengan pelbagai vitamin dan juga mineral termasuklah juga kandungan vitamin C. Vitamin C adalah bahan bio-aktif yang diperlukan bagi proses sintesis kolagen. Disamping itu juga, vitamin berperanan sebagai anti-oksidan yang bertindak melindungi molekul di di dalam tubuh badan daripada radikal bebas.
Mata merupakan organ yang mempunyai kadar metabolik yang tinggi, di mana ia memerlukan “perlindungan” daripada vitamin C [15]. Sebuah kajian mendapati bahawa pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi vitamin C, α-karotin dan juga β-karotin mampu melindungi daripada penyakit age-related macular degeneration (AMS) [16].
Kesimpulan
Sememangnya, buah-buahan dan juga sayur-sayuran memberi banyak kebaikkan kepada kesihatan. Walaubagaimanapun, pengambilan seharian seharusnya berdasarkan kepada saranan yang telah digariskan. Pengambilan buah-buahan di dalam bentuk kombinasi adalah lebih baik dan haruslah di dalam jumlah yang sederhana. Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan, adalah lebih baik untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan ataupun pegawai dietetik.
Diharapkan artikel khasiat buah nanas ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan khasiat nanas, kandungan nutrisi dan lain-lain.
Khasiat Buah yang Lain
Buah Tembikai | Buah Betik |
Buah Kulim | Buah Belimbing |
Buah Bidara | Buah Kiwi |
Buah Markisa | Buah Jambu Air |
Buah Ciku | Buah Tin |
Buah Pisang | Buah Anggur |
Buah Epal | Buah Nanas |
Buah Delima | Buah Jambu Batu |
Buah Zaitun |
Rujukan
- “Ananas Comosus.” CABI : Invasive Species Compendium, 2019,
- R. Pavan, S. Jain, Shraddha, and A. Kumar, “Properties and Therapeutic Application of Bromelain: A Review,” Biotechnol. Res. Int., vol. 2012, pp. 1–6, 2012
- E. M. Hawes and A. J. Viera, “Anticoagulation: indications and risk classification schemes.,” FP Essent., vol. 422, pp. 11–17, Jul. 2014.
- M. P. CATALAN, F. C. AQUINO, and R. P. LIMJUCO, “Anticoagulant Activity of Pineapple (Ananas comosus) Extract on Human Blood Samples,” IAMURE Int. J. Sci. Clin. Lab., vol. 6, no. 1, 2014
- L. P. Hale, M. Chichlowski, C. T. Trinh, and P. K. Greer, “Dietary supplementation with fresh pineapple juice decreases inflammation and colonic neoplasia in IL-10-deficient mice with colitis,” Inflamm. Bowel Dis., vol. 16, no. 12, pp. 2012–2021, 2010
- G. Della Pepa and M. L. Brandi, “Microelements for bone boost: The last but not the least,” Clin. Cases Miner. Bone Metab., vol. 13, no. 3, pp. 181–185, 2016
- P. Ding and S. Syazwani, “Physicochemical quality, antioxidant compounds and activity of MD-2 pineapple fruit at five ripening stages,” Int. Food Res. J., vol. 23, no. 2, pp. 549–555, 2016.
- S. Arif and J. Siwanto, “Pineapples Extract as Replacement of Povidon Ioudium in Incision Wound Healing,” ARC J. Surg., vol. 3, no. 2, pp. 4–7, 2017
- D. Passali et al., “Bromelain’s penetration into the blood and sinonasal mucosa in patients with chronic rhinosinusitis,” Acta Otorhinolaryngol. Ital., vol. 38, no. 3, pp. 225–228, 2018
- A. Ramakrishna, P. Giridhar, and G. A. Ravishankar, “Phytoserotonin: A review,” Plant Signal. Behav., vol. 6, no. 6, pp. 800–809, 2011
- M. Parle and P. Goel, “EAT PINEAPPLE A DAY TO KEEP DEPRESSION AT BAY,” Int. J. Res. Ayurveda Pharm., vol. 1, Dec. 2010.
- S. W. Wijeratnam, “Pineapple,” B. Caballero, P. M. Finglas, and F. B. T.-E. of F. and H. Toldrá, Eds. Oxford: Academic Press, 2016, pp. 380–384.
- M. Pei, B. Samsul, T. Lee-Yu, M. Taher, and M. Abdul, “Pilot scale extraction of proteolytic enzyme bromelain from pineapple (ananas comosus),” Asian Journal of Food and AgroIndustry, vol. 3, no. 04. pp. 35–43, 2005
- E. J. Johnson, “Nutrients for the aging eye,” pp. 741–748, 2013.
- E. K. Kim, H. Kim, A. Vijayakumar, O. Kwon, and N. Chang, “Associations between fruit and vegetable, and antioxidant nutrient intake and age-related macular degeneration by smoking status in elderly Korean men,” Nutr. J., vol. 16, no. 1, pp. 1–9, 2017, doi: 10.1186/s12937-017-0301-2.