Skip to content

10 Khasiat Petai Pada Kesihatan Badan

Apakah khasiat petai pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan khasiat petai, kandungan nutiris dan kompaun sihat di dalam ulam ini.

Pengenalan

Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa ialah sejenis tumbuhan berbentuk panjang, mempunyai bijian bersaiz seperti badam dan memiliki bau agak kuat atau sedikit ‘busuk’ yang kadangkala tidak digemari oleh sesetengah individu. Ia banyak didapati di kawasan beriklim tropika iaitu negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Brunei termasuklah Malaysia.

Walaupun petai mempunyai bau yang tidak menyenangkan, ia banyak digunakan dalam masakan di Malaysia antaranya, sebagai ulam dan dimasak bersama sambal. Para penggemar petai pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keenakan tumbuhan yang dikategorikan sebagai kekacang ini dalam pemakanan seharian mereka.

Kandungan Nutrisi



Kekacang seperti petai selalunya mengandungi karbohidrat dan protein yang lengkap serta tinggi serat untuk membantu rasa kenyang lebih lama. Jika anda ingin menjaga pemakanan, petai adalah pilihan terbaik untuk melengkapkan nutrisi seharian anda tanpa pengambilan kalori yang berlebihan.

NutrientUnitPer 100g (biji petai)
TenagaKcal124
Karbohidratg16.9
Proteing10
Lemakg1.8
Seratg1.2
Kalsiummg126
Zat besimg3.4
Kaliummg376
Fosforusmg3.0
Vitamin Cmg32.7
Thiamin (B1)mg0.2
Riboflavin (B2)mg0.2
Niacin (B3)mg0.5
Caroteneµg151

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Sihat Di Dalam Petai

Apa yang membuatkan petai dikatakan berkhasiat? Petai mengandungi beberapa kandungan yang sangat diperlukan pada tubuh badan dan dapat meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Antara kandungan tersebut adalah:

1. Mineral

Mineral yang terkandung dalam petai adalah seperti kalium, fosforus, kalsium dan banyak lagi. Jika dilihat pada kandungan nutrisi petai, ternyata sumber-sumber mineral ini agak tinggi terutamanya kalium dan kalsium. Kalium adalah mineral yang penting dalam penjagaan jantung dan kesihatan kardiovaskular. Ia juga bertindak sebagai komponen anti-hypertensi, iaitu merendah dan mengawal tekanan darah serta mengawal pergerakan otot.

Di samping itu, 100g biji petai mengandungi nilai kalsium dua kali ganda lebih tinggi berbanding brokoli (40mg) dan bayam (90mg). Ini menjadikan petai antara makanan yang baik untuk mencukupkan keperluan kalsium. Kita selalu mendengar bahawa kalsium penting untuk tulang tetapi ia juga berfungsi untuk mengawal saraf dan fisiologi dalam tubuh badan kita.



2. Vitamin

Antara vitamin yang terkandung dalam petai ialah vitamin C dan vitamin B. Dalam 100g biji petai terdapat 32.7 mg vitamin C iaitu lebih tinggi berbanding ulam raja, buah oren dan juga pisang. Vitamin C mempunyai peranan penting dalam meningkatkan sistem imunisasi dan melindungi tubuh daripada risiko penyakit bawaan virus serta bakteria. Kedua-dua vitamin C dan vitamin B mempunyai bahan antioksida yang mampu melawan radikal bebas sekali gus menjaga kesihatan sel dan tisu badan.

3. Kompoun ‘Bioaktif’

Kompoun bioaktif selalunya berada pada tumbuhan dan makanan tertentu seperti kekacang, sayur-sayuran, minyak dan bijirin penuh. Menurut kajian, kompaun bioaktif ini berperanan sebagai anti-hipertensi, antioksida, anti-kanser dan banyak lagi. Pendek kata, ia mampu member impak positif pada penjagaan kesihatan secara menyeluruh. Antara kompaun bioaktif yang terdapat pada petai ialah phenol, flavonoids, retinol, stigmasterol, lupeol dan campesterol.

10 Khasiat Petai Kepada Kesihatan

Memandangkan petai mengandungi beberapa komponen penting pada kesihatan, ia sekali gus memberi khasiat dan impak positif pada keseluruhan tubuh badan. Antara khasiat petai yang dapat dirungkaikan adalah:

1. Aktiviti antioksidan

Biji petai kaya dengan bahan-bahan antioksida seperti flavonoids, folifenol dan vitamin C. Jika anda ingin tahu, pod dan daun petai yang selalunya dibuang juga sebenarnya mengandungi nutrisi dan bahan antiokisda yang tinggi. Ini menjadikan keseluruhan pokok petai sebagai bahan antioksida yang baik untuk melawan radikal bebas yang berpunca daripada pencemaran, cahaya matahari dan bahan kimia. Aktiviti antioksida ini dapat melindungi sel dan tubuh badan daripada kerosakan.

Menurut kajian, ekstrak yang diambil daripada pod petai yang telah kosong sebenarnya dapat menurunkan dan mengawal tekanan darah. Oleh itu, manfaatkan keseluruhan petai jika inginkan impak yang lebih maksima pada kesihatan.



2. Anti-kanser

Biji petai yang kaya dengan bahan antioksida seperti flavonoids, polifenol dan vitamin C berpotensi untuk memelihara kesihatan sel dan bertindak untuk menghalang pembentukan sel tidak normal seperti kanser.

Menurut kajian, pertumbuhan tumor dan sel kanser bergantung pada sistem imun’host’ iaitu badan kita sendiri. Bahan antioksida terutamanya vitamin C dapat menguatkan antibodi tubuh untuk melawan serangan penyakit.

3. Mengawal paras gula darah

Terdapat pelbagai tumbuhan yang dikaji mengenai keupayaan aktiviti hipoglisemik mereka termasuklah petai. Petai telah menunjukkan kesan yang baik terhadap kawalan gula darah dalam kedua-dua kajian yang melibatkan manusia dan haiwan.

Terdapat dua komponen phytosterol yang bertindak sebagai agen hipoglisemik iaitu ß – Sitosterol dan sigmasterol. Kedua-dua komponen ini bergandingan untuk menjalankan aktiviti hipoglisemik. Hasil daripada kajian menunjukkan ia dapat menurunkan paras glukosa darah sehingga 84% pada 100mg/kg berat badan seseorang individu.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

4. Penjagaan kesihatan jantung



Petai juga berfungsi dalam penjagaan kesihatan jantung kerana ia dapat mengawal tekanan darah. Mineral seperti kalium yang terdapat pada petai mempunyai kesan berlawanan berbanding sodium iaitu merendahkan tekanan darah.

Selain itu, berdasarkan kajian, petai juga mengandungi paras sulfur yang tinggi dan membebaskan sejenis gas iaitu hydrogen sulfida yang bertindak untuk mencegah serangan jantung.

Artikel Berkaitan: Punca Darah Tinggi, Simptom dan Rawatan

5. Antimikrobial

Biji petai telah lama digunakan oleh kaum orang asli di Malaysia sebagai salah satu rawatan untuk jangkitan sistem perkumuhan, lebih spesifik lagi pada jangkitan saluran air kencing (Urinary tract infection). Kajian menunjukkan sifat antimicrobial biji petai dapat menghalang pertumbuhan beberapa bakteria seperti Aeromonas hydrophila, Staphylococcus aureus, Streptococcus agalactiae, Streptococcus anginosus, dan Vibrio parahaemolyticus.

Memandangkan petai dapat menghalang pertumbuhan bakteria, maka ia efektif untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit. Sebagai contoh, Staphylococcus aureus mudah menjangkiti individu melalui sentuhan dan titisan air di udara yang boleh mengakibatkan pneumonia serta keradangan tulang (osteomyeolitis).

6. Menjaga kekuatan tulang dan gigi.

Biji petai tinggi dengan kalsium dan fosforus. Kedua-dua mineral ini saling bergandingan dalam membentuk jisim dan menjaga kekuatan tulang. Keseimbangan kedua-dua mineral ini dapat mengelakkan daripada terjadinya kerapuhan tulang atau osteoporosis.



7. Mencegah kekurangan darah (Anemia)

Kandungan zat besi pada petai dapat menggalakan pembentukan sel darah merah dalam tubuh badan. Kandungan zat besi pada petai adalah setanding dengan sumber zat besi pada sayur-sayuran yang lain seperti bayam dan brokoli.

Bagi pengamal diet Vegetarian yang tidak mengambil sumber-sumber haiwan berdarah seperti ayam, daging dan ikan, mereka berisiko untuk mendapat Anemia. Maka, petai adalah salah satu alternatif zat besi yang baik untuk mencukupkan keperluan melalui pemakanan seharian.

Artikel Berkaitan: Masalah Anemia, simptom dan Rawatan

8. Menjaga kesihatan usus dan sistem penghadaman

Memandangkan petai tergolong dalam jenis sayur-sayuran dibawah kategori kekacang, ia mengandungi serat larut yang tinggi. Serat larut berfungsi untuk mempercepatkan kadar pergerakan usus, melembutkan najis dengan menyerap air dan melancarkan perjalanan najis dalam usus. Hal ini sekali gus melawaskan dan mengelakkan kita daripada mengalami sembelit.

9. Bertindak sebagai anti-radang

Kajian menunjukkan petai mempunyai sifat yang boleh melawan keradangan. Petai mengandungi phytochemical iaitu quercetin yang tinggi yang dapat bertindak sebagai anti-radang. Berdasarkan sifat anti-radang petai ini, ia berupaya untuk mencegah kita daripada mengalami masalah kesihatan yang berpunca daripada keradangan seperti kanser, sindrom metabolik (diabetes) dan penyakit kardiovaskular.



10. Meningkatkan mood dan mengurangkan stres

Stress merupakan satu tindak balas fizikal, emosi dan mental individu pada perubahan atau tuntutan. Tahap stress yang sederhana adalah paling baik kerana ia akan meningkatkan motivasi dan perkembangan hidup sesesorang. Namun, stres berlebihan akan membawa kepada perubahan mood yang keterluan sehingga boleh menjurus kepada depresi.

Tinjaun menunjukkan kesan positif petai kepada tekanan emosi pengamalnya. Petai mengandungi sejenis protein yang dikenali sebagai tryptophan yang akan bertukar kepada serotonin, iaitu hormon yang meningkatkan rasa gembira pada individu. Ia juga mampu meningkatkan kualiti tidur sekali gus memulihkan mood supaya lebih ceria dan senang.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Bau petai yang pelik tidak mendatangkan mudarat malah ia memberi kita pelbagai manfaat dan kelebihan pada kesihatan. Jadikan petai sebagai salah satu pilihan dalam pemakanan seharian kerana ia dapat memberi kita nutrisi yang cukup yang dapat meningkatkan kesihatan ke arah lebih baik. Diharapkan artikel khasiat petai ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan kebaikan ulam ini.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan:

  1. Ahmad, N. I., Abdul, R. S., Leong, Y. H., & Azizul, N. H. (2019). A review on phytochemicals of Parkia Speciosa, stinky beans as potential phytomedicine. Journal of Science and Nutrition Research, 2(3), 151 – 173
  2. Azizul, N. H., Leong, Y.-H., Ahmad, N. I., & Rahman, S. A. (2019). Nutraceutical Potential of Parkia speciosa (Stink Bean): A Current Review. American Journal of Biomedical Science & Research, 4(6), 392–402.
  3. Chhikara, N., Devi, H. S., Jaglan, S., Sharma, P., Gupta, P., & Panghal, A, (2018). Bioactive compounds, food applications and health benefits of Parkia Speciosa (stinky bean): a review. Journal of Agriculture and Food Security, 46(7), 1 – 9
  4. Ministry of Health Malaysia (1997). Malaysian Food Composition Database. Putrajaya: MOH.
  5. Wonghirundecha, S., Benjakul, S., & Sumpavapol, P. (2014). Total phenolic content, antioxidant and antimicrobial activities of stink bean (Parkia speciosa Hassk.) pod extracts. Songklanakarin Journal of Science and Technology, 36(3), 301 – 308
  6. Yusof, K., Othman, F., Qodriyah, H. M. S., & Jaarin, K. (2013). Parkia speciosa Hassk: A Potential Phytomedicine. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 2013, 1–9
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − fourteen =