Apakah cara untuk hilangkan hidung tersumbat? Artikel ini akan membincangkan beberapa cara untuk merawat dan menghilangkan masalah hidung tersumbat.
“ Hidung tersumbat bukan sahaja menyukarkan penafasan, malah ia juga boleh mengganggu selera makan seseorang ”
Bayangkan sebentar apa yang terjadi apabila hidung anda tersumbat. Sukar untuk bernafas,selera makan terganggu akibat tidak dapat mencium bau masakan dengan baik ?
Bukan setakat itu sahaja, jika berterusan ia juga boleh mendatangkan gejala lain seperti sakit kepala terutamanya pada bahagian dahi dan sebagainya.
Selalunya gejala hidung tersumbat terjadi apabila sesorang mengalami demam atau selesema biasa yang berpunca dari jangkitan virus. Namun begitu, ia juga mungkin boleh jadi disebabkan oleh punca-punca lain.
Punca Hidung Tersumbat
Senarai punca yang menyebabkan hidung tersumbat termasuk :
- Jangkitan – samada virus atau bakteria
- Alahan
- Resdung
- Ketumbuhan bukan kanser ( Nasal Polyp )
- Terdedah pada bahan kimia
- Iritasi persekitaran
- Posisi tulang rawan hidung mengganggu aliran udara pernafasan melalui hidung
Selain itu kehamilan juga boleh menyebabkan hidung seseorang tersumbat akibat perubahan hormon yang terjadi dalam badan terutamanya pada trimester pertama.
Pada asasnya, hidung tersumbat yang biasa terjadi adalah disebabkan radang yang terjadi pada lapisan dalam hidung akibat dari kesan jangkitan. Ia akan reda selalunya selepas 2-3 hari.
Cara untuk hilangkan Hidung Tersumbat
Gejala hidung tersumbat apabila dibiarkan dan tidak ditangani dengan baik, boleh melarat dan menyebabkan aktiviti harian kita terganggu. Dengan mengetahui tips-tips untuk mengatasinya, kita dapat bertahan buat suatu tempoh sementara menuggunya untuk pulih.
1. Steam Inhalation
Teknik menghidu atau menyedut wap stim melalui hidung dikatakan mampu mengatasi hidung tersumbat. Ramai yang menggunakan cara ini mendapati hidung mereka menjadi lebih baik dan mudah untuk bernafas.
Cuma sedihnya, ada kajian yang dijalankan pada tahun 2016 dan 2017 mendapati teknik ini tidak mempunyai bukti yang kukuh bahawa ia mampu meredakan gejala hidung tersumbat.
2. Semburan Saline
Ia merupakan sejenis semburan yang mengandungi kadar kandungan garam tertentu. Ia sering digunakan bagi individu-individu yang menghidapi resdung kronik. Semburan ini membantu dalam mengurangkan keradangan yang terjadi pada lapisan-lapisan dalam hidung.
Ia ternyata selamat untuk digunakan oleh wanita hamil kerana tidak mengandungi bahan-bahan kimia aktif yang boleh membahayakan kandungan.
3. Pencuci Hidung Saline
Antara contoh penggunaan yang terkenal dalam kaedah ini adalah Neilmed Sinus Rinse. Ia adalah sejenis alat yang digunakan untuk membersihkan ruang hidung dan rongga-rongganya yang lain.
Kandungannya lebih kurang dengan semburan saline cuma kandungan cecairnya lebih. Ia juga sering digunakan bagi penghidap resdung kronik.
Selain dari mengatasi masalah keradangan pada ruang hidung, ia juga bertindak mencairkan hingus-hingus pekat yang terdapat dalam ronggga-rongga hidung lalu memudahkan proses penyingkirannya.
Selamat digunakan oleh semua individu kerana tidak mengandungi bahan-bahan aktif yang boleh mendatangkan komplikasi yang tidak diingini.
Peringatan penting bagi kaedah ini adalah anda tidak boleh menggunakannya dengan air paip biasa. Air yang digunakan perlu dimasak terlebih dahulu atau yang telah ditapis. Hal demikian kerana kandungan air paip yang tidak ditapis atau dimasak berkemungkinan mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan terjadi dan memburukkan lagi keadaan.
Anda boleh dapati alat tersebut disini
4. Tuaman Panas
Tindakan mengenakan tuaman panas pada bahagian hidung dan dahi boleh mengurangkan kesakitan akibat dari hidung tersumbat dan melancarkan kembali aliran udara dalam ruang hidung dan rongga-rongganya.
5. Ubat Antihistamin
Individu yang mempunyai alergi terutamanya apabila terdedah kepada habuk, bulu haiwan, sejuk dan sebagainya boleh meyebabkan keradangan terjadi. Komponen-komponen isi dalam hidung yang mengandungi rangkaian saluran darah membengkak dan penghasilan hingus meningkat.
Ini menyebabkan hidung seseorang tersumbat dan sukar untuk bernafas. Gejala lain turut serta termasuk sakit kepala dan bersin.
Ubat antihistamin bertindak mengurangkan tahap sensitiviti seseorang terhadap ejen-ejen alergi lalu tindak balas seperti pengeluaran hingus dan pembengkakkan isi hidung pun berkurangan.
6. Decongestant Nasal Spray
Ia adalah sejenis semburan hidung yang mengecutkan saluran-saluran darah dalam hidung lalu mengecilkan saiz isi-isi hidung secara tidak langsung.
Awas penggunaanya tidak boleh melebihi seminggu. Ini kerana penggunaan yang melebihi had bukan sahaja akan menyebabkan kesan efektifnya hilang, malah akan memburukkan lagi tahap simptom tersebut.
7. Minum Air Secukupnya
Amalan banyak minum air walaupun dikatakan ramai mampu meredakan simptom hidung tersumbat, akan tetapi sedih sekali kerana para pakar pengkaji tidak mengenal pasti penemuan yang kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.
8. Pelembap Udara
Penggunaan pelembap udara selain memastikan sistem pengudaraan dalam sesebuah ruang sentiasa terjaga, ia juga turut membantu dalam mencairkan hingus-hingus pekat yang terdapat dalam ruang hidung.
9. Elakkan Dari Kawasan Yang Tercemar Pengudaraannya
“ Mencegah lebih baik dari merawat ”
Mengelakkan kawasan atau ruang udara yang tercemar dengan pelbagai faktor seperti asap pembakaran sampah, asap kilang asap rokok dan sebagainya secara tidak langsung mampu mengelakkan gejala hidung tersumbat.
10. Minyak Kayu Putih
Sesetengah kandungan yang terdapat dalam minyak ini mempunyai ciri-ciri berikut :
- Anti-bakteria
- Anti-radang
- Penahan sakit
Cuma minyak ini tergolong dalam kumpulan rawatan herba, jadi anda perlu berwaspada dalam menggunakannya. Langkah yang terbaik adalah dengan melalui sesi perbincangan dengan doktor terlebih dahulu sebelum penggunaannya.
Sebagai penutup, gejala hidung tersumbat sering kali terjadi dalam tempoh yang singkat serta mampu pulih dengan sendirinya.
Cumanya terdapat beberapa situasi yang memerlukan perhatian lebih kerana ia mungkin petanda bahawa anda mungkin menghidapi penyakit. Contoh situasinya adalah seperti :
- Sakit pada wajah dan berasa berat pada dahi dikala sujud
- Sakit telinga
- Demam
- Batuk
- Sesak nafas
Jika hal-hal yang demikian terjadi, seeloknya anda berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan lanjut di samping dapat mengelakkan sebarang komplikasi untuk terjadi.
Bacaan Tips yang lain:
Rujukan:
- 10 tips for getting rid of a stuffy nose – Medical News Today
- Sinus Congestion – Webmd
- Suffy Nose Relief – Healthline