10 Khasiat Pegaga Kepada Kesihatan

khasiat pegaga

Apakah khasiat pegaga kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan kandungan nutrisi, komponen sihat dan juga khasiat pegaga ini

Pengenalan

Centella asiatica, sejenis tumbuhan daripada keluarga daun pasli. Lebih dikenali sebagai daun pegaga dalam kalangan masyarakat Melayu, daun hijau berbentuk kipas ini turut digunakan di Jepun, India, China dan Indonesia. Di Malaysia, masyarakat Melayu lebih gemar menjadikan pegaga sebagai ulam atau masakan kerabu.

Di negara China, ia turut dipanggil gotu kola dan dijadikan ekstrak serbuk untuk perubatan dan rawatan kecantikan di negara itu. Sesetengah orang percaya bahawa daun pegaga boleh membantu menyembuhkan luka, meningkatkan kognisi dan menurunkan tekanan darah. Ternyata, khasiat pegaga turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba yang diklasifikasikan sebagai satu spesies tumbuhan paling penting dalam dunia kesihatan.

Kandungan Berkhasiat Dalam Pegaga



Pegaga telah diiktiraf sebagai tumbuhan ubatan yang mengandungi sebatian antioksidan yang berharga, iaitu fenolik dan flavonoid, bahan aktif secara farmakologinya amat bermanfaat untuk sistem tubuh. 

Sebagai sumber antioksidan yang kuat, ia mengurangkan keradangan sambil melindungi sel-sel badan daripada pelbagai penyakit kronik, daripada obesiti dan diabetes kepada penyakit jantung dan arthritis. 

Pegaga juga mengandungi komponen pectin yang sangat penting dalam sistem imunisasi badan manusia. Terdapat 4 jenis asid penting dalam pegaga iaitu Asid Asitik, Asid Medekasic, Asid Mendekasida dan Asid Terunasid yang perlu untuk kesihatan badan manusia.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Nutrisi

Kajian mengenai kandungan pegaga yang telah dijalankan oleh beberapa penyelidik, mendapati setiap 100 gram pegaga mengandungi: 

  • 87.7% air
  • 6.7% Karbohidrat
  • 2.0% protein
  • 0.2% lemak
  • 1.6% Serat. 

Antara zat lain yang terkandung dalam 100 gram pegaga adalah seperti :- 

Mikronutrien
Vitamin A0.4 mg
Vitamin B10.09 mg
Vitamin B20.19 mg
Vitamin B30.2 mg
Vitamin C1.6 mg
Kalsium171.0 mg
Zat Besi5.6 mg
Sodium21.0 mg
Potassium391.0 mg
Fosforus32.0 mg

10 Khasiat Pegaga Pada Kesihatan



1. Merawat Vena Varikos

Vena varikos adalah urat berpintal atau membesar. Biasanya melibatkan urat yang dekat dengan permukaan kulit (superficial), seperti urat di bahagian kaki. 

Menurut beberapa kajian, didapati bahawa daun pegaga boleh membantu merawat vena varikos dan kekurangan vena.

Sebagai contoh, kajian pada 2001 [1] melibatkan peserta yang mempunyai masalah berkaitan vena, didapati bahawa peserta yang menerima 60mg ekstrak pegaga dua kali sehari selama 8 minggu mengalami peningkatan dalam kesihatan urat mereka. Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan keputusan yang serupa. 

Walau bagaimanapun, penyelidikan yang lebih terkini diperlukan.

2. Meningkatkan Fungsi Kognitif

Menurut satu ulasan kajian di India [2], pegaga boleh membantu menyokong fungsi otak dan sistem saraf, meningkatkan ingatan dan melindungi daripada penuaan. Kajian kecil 2016 membandingkan kesan ekstrak pegaga dan asid folik dalam meningkatkan fungsi kognitif selepas strok [3]. 

Ternyata pegaga dan asid folik sama-sama bermanfaat dalam meningkatkan fungsi kognisi secara keseluruhan, pegaga lebih berkesan dalam meningkatkan domain ingatan.



3. Membantu Peredaran Darah yang Lebih Baik

Beberapa kajian mempercayai bahawa pegaga boleh mengurangkan masalah pembengkakan buku lali, dan meningkatkan peredaran cecair dalam badan.

Penyelidik berpendapat mungkin kerana pegaga mempunyai kesan metabolik yang positif pada tisu penghubung dinding vaskular. Mereka mendapati bahawa peserta yang mengambil suplemen pegaga mengalami pengekalan cecair dan pembengkakan buku lali yang jauh lebih sedikit berbanding mereka yang tidak. Walaubagaimanapun, lebih banyak kajian terkini diperlukan.

4. Mencegah Insomnia

Insomnia merupakan gangguan yang menyebabkan seseorang sukar mendapat tidur yang cukup dan berkualti. Kebanyakkannya akan menggunakan jalan penyelesaian dengan makan ubat tidur, sedangkan pegaga ada keupayaan untuk merawat insomnia. Malah, herba ini juga boleh menangani masalah kebimbangan, tekanan dan kemurungan yang menjadi punca gejala insomnia. 

Banyak penyelidikan pada awal- 2000an menunjukkan bahawa gotu kola boleh membantu merawat gangguan tidur, namun kajian tambahan diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

5. Memudarkan parut regangan

Bahan aktif pegaga, iaitu terpenoid dipercayai meningkatkan pengeluaran kolagen dalam badan, lalu mengurangkan penampilan stretch mark [4]. Ia boleh membantu menghalang kesan regangan baharu daripada terbentuk, serta membantu menyembuhkan sebarang kesan sedia ada.



Pasaran kecantikan juga telah banyak memanfaatkan ekstrak daun pegaga dalam produk mereka. Adalah disarankan untuk menyapukan krim topikal yang mengandungi 1 peratus ekstrak pegaga pada kawasan yang terjejas beberapa kali sehari.

6. Mempercepatkan Penyembuhan Luka

Pada tahun 2015, sebuah kajian ke atas tikus mendapati bahawa pembalut luka yang mengandungi ekstrak pegaga mempunyai kesan penyembuhan pada pelbagai jenis luka. Samada luka bersih akibat objek tajam, koyakan kerana trauma atau tisu yang dijangkiti [5].

Walaupun manfaat ini menjanjikan kesan yang baik, kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini. Jika luka yang dalam atau teruk, berjumpalah dengan doktor sebelum digunakan.

7. Mengurangkan Gejala Sakit Sendi

Pegaga dengan pelbagai khasiat juga bersifat anti-radang. Gotu Kola ini dilihat berguna dalam merawat arthritis iaitu penyakit berkaitan radang sendi.

Malah, satu kajian 2014 mengenai arthritis pada tikus mendapati bahawa pemberian daun pegaga secara oral mengurangkan keradangan sendi, hakisan rawan dan hakisan tulang. Kesan antioksidannya juga mempunyai kesan positif terhadap sistem imun [6].

8. Mempunyai kesan ‘Detox’ Semulajadi



Organ manusia seperti paru-paru, kulit dan buah pinggang berfungsi untuk proses detokfikasi. Terdapat penyelidikan baru, melihat kesan pegaga pada proses ‘detox’ oleh hati dan buah pinggang. Menurut satu kajian haiwan 2017, pegaga boleh digunakan untuk menyekat kesan sampingan toksik antibiotik isoniazid, yakni digunakan untuk merawat dan mencegah tuberkolosis [7].

Dalam kajian ini, tikus diberi 100mg pegaga selama 30 hari sebelum diberi antibiotik. Tikus-tikus ini mengalami kurang ketoksikan secara keseluruhan. Tikus yang mengalami ketoksikan hati dan buah pinggang kembali ke tahap hampir normal selepas diberi pegaga.

9. Mempunyai kesan Anti-stress

Sifat pegaga yang tinggi antioksidan selain merawat insomnia, ia juga dikenali sebagai rawatan semula jadi ketika menghadapi tekanan.

Kajian haiwan dari 2016 [8], mendapati tikus yang diberi pegaga selama lima hari berturut-turut sebelum kurang tidur, mengalami kurang tingkah laku kebimbangan (anxiety). 

Kajian 2013 pula [9], menyatakan ubat herba pegaga mempunyai kesan anti-kebimbangan akut. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

10. Baik untuk Kesihatan Kulit

Ekstrak pegaga banyak digunakan dalam produk penjagaan kulit. Sebahagian menyokong mengatakan ia boleh membantu menegangkan kulit, mencegah kedutan, dan merawat masalah kulit yang lain.



Pegaga juga dipercayai mempunyai sifat anti-penuaan. Melalui kajian yang diterbitkan Journal of Experimental Pharmacology, penyelidik membuat kesimpulan bahawa ekstrak pegaga mungkin mempunyai ciri-ciri anti-penuaan [10].

Diharapkan artikel khasiat pegaga ini dapat memberikan sedikit sebanyak makulmat kepada para pembaca.

Rujukan

1. Cesarone, M. R., Belcaro, G., De Sanctis, M. T., Incandela, L., Cacchio, M., Bavera, P., Ippolito, E., Bucci, M., Griffin, M., Geroulakos, G., Dugall, M., Buccella, S., Kleyweght, S., & Cacchio, M. (2001). Effects of the total triterpenic fraction of Centella asiatica in venous hypertensive microangiopathy: a prospective, placebo-controlled, randomized trial. Angiology, 52 Suppl 2, S15–S18.

2. Gohil KJ, Patel JA, Gajjar AK. Pharmacological Review on Centella asiatica: A Potential Herbal Cure-all. Indian J Pharm Sci. 2010 Sep;72(5):546-56. PMID: 21694984; PMCID: PMC3116297.

3. Farhana KM, Malueka RG, Wibowo S, Gofir A. Effectiveness of Gotu Kola Extract 750 mg and 1000 mg Compared with Folic Acid 3 mg in Improving Vascular Cognitive Impairment after Stroke. Evid Based Complement Alternat Med. 2016;2016:2795915. Epub 2016 Jun 1. PMID: 27340413; PMCID: PMC4908235.

4. Bylka W, Znajdek-Awiżeń P, Studzińska-Sroka E, Brzezińska M. Centella asiatica in cosmetology. Postepy Dermatol Alergol. 2013 Feb;30(1):46-9.. Epub 2013 Feb 20. PMID: 24278045; PMCID: PMC3834700.

5. Sung Giu Jin, Kyung Soo Kim, Abid Mehmood Yousaf, Dong Wuk Kim, Sun Woo Jang, Mi-Won Son, Young Hun Kim, Chul Soon Yong, Jong Oh Kim, Han-Gon Choi. (2015). Mechanical properties and in vivo healing evaluation of a novel Centella asiatica-loaded hydrocolloid wound dressing, International Journal of Pharmaceutics, Volume 490, Issues 1–2, Pages 240-247, ISSN 0378-5173,



6. Sharma, S., Gupta, R., & Thakur, S. C. (2014). Attenuation of collagen induced arthritis by Centella asiatica methanol fraction via modulation of cytokines and oxidative stress. Biomedical and environmental sciences : BES, 27(12), 926–938.

7. Ghosh, K., Indra, N., & Jagadeesan, G. (2017). The ameliorating effect of Centella asiatica ethanolic extract on albino rats treated with isoniazid. Journal of basic and clinical physiology and pharmacology, 28(1), 67–77.

8. Chanana, P., & Kumar, A. (2016). Possible Involvement of Nitric Oxide Modulatory Mechanisms in the Neuroprotective Effect of Centella asiatica Against Sleep Deprivation Induced Anxiety Like Behaviour, Oxidative Damage and Neuroinflammation. Phytotherapy research : PTR, 30(4), 671–680.

9. Sarris, J., McIntyre, E., & Camfield, D. A. (2013). Plant-based medicines for anxiety disorders, part 2: a review of clinical studies with supporting preclinical evidence. CNS drugs, 27(4), 301–319.

10. Karsono AH, Tandrasasmita OM, Berlian G, Tjandrawinata RR. Potential antiaging effects of DLBS1649, a Centella asiatica bioactive extract. Journal of Experimental Pharmacology. 2021;13:781-795.

Advertisements

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 − 10 =

Scroll to Top