Apakah Kerintangan Antibiotik (Antibiotic Resistance)?

kerintangan antibiotik

Baru-baru ini, dunia perubatan dikejutkan dengan mimpi ngeri yang menjadi kenyataan setelah timbulnya beberapa penyakit berbahaya yang disebabkan oleh kerintangan antibiotik. Beberapa contoh penyakit tersebut seperti berikut:

  1. Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA)
  2. Multi-drug-resistant Mycobacterium tuberculosis (MDR-TB)
  3. Carbapenem-resistant Enterobacteriaceae (CRE)

Semakin hari semakin ramai pesakit baharu telah dikesan mendapat jangkitan namun antibiotik biasa sudah tidak berkesan kerana keupayaan bakteria superbug ini bermutasi menjadi lebih kuat menentang antibiotik. Berikutan itu kita telah terbeban dengan masalah seperti ;

A) Kos rawatan pesakit kian meningkat.
B) Tempoh masa rawatan di wad hospital juga semakin lama.
C) Berpotensi menyebarkan jangkitan pada ahli keluarga,anggota kesihatan bertugas seterusnya kepada komuniti menyebabkan bilangan kes semakin bertambah dan sukar dibendung.

Definisi Antibiotik



Menurut Centre for Disease Control (CDC), antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk melawan jangkitan bakteria dengan cara membunuh atau merencat perkembangan dan menghalang pembiakan bakteria.

Definisi Kerintangan Antibiotik(Antibiotic Resistance)

Ketidakberkesanan antibiotik adalah satu proses semulajadi yang berlaku akibat kebolehan bakteria mengadaptasi sebagai satu cara kemandirian spesis mereka. Sesuatu antibiotik tidak lagi berkesan untuk membunuh dan merencat pembiakan bakteria akibat penyalahgunaan yang berleluasa dalam kalangan manusia dan binatang ternakan.

Walaupun antibiotic resistance merupakan proses semulajadi, tidak dinafikan bahawa penyalahgunaan antibiotik yang berleluasa dalam kalangan masyarakat serata dunia menyumbang kepada masalah ini.

Salah satu kes jangkitan kuman yang berbahaya jika mengalami kerintangan antibiotik adalah jangkitan penyakit Tibi. Jika kuman tersebut tidak boleh dibunuh dengan menggunakan antibiotik biasa, ubat yang lebih kuat akan digunakan dan pesakit mungkin akan mengalami kesan sampingan daripada ubat tersebut. Malah penyakit itu sendiri boleh menyebabkan maut.

Kehancuran spesis manusia itu bukanlah disebabkan oleh makhluk lain namun manusialah sendiri yang menghancurkan diri mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri. Ayat ini bertepatan dengan firman Allah didalam Al Quran Surah As Syura ayat 30 ; “ Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar ( dari kesalahan-kesalahanmu ).”

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Faktor-Faktor Kerintangan Antibiotik Serta Cadangan Pencegahan



Individu dan Masyarakat

Jangkitan virus yang selalunya menjadi punca demam, batuk dan selsema adalah jangkitan yang tidak memerlukan antibiotik. Namun, mentaliti sesetengah individu yang berpendapat bahawa setiap penyakit memerlukan antibiotik adalah tidak tepat dan berbahaya sama sekali.

Kita harus sedar bahawa antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk melawan bakteria atau kuman penyebab penyakit pada manusia dan perlu diingat pula bahawa bakteria mampu melawan dan beradaptasi sekiranya mereka terdedah kepada antibiotik yang tidak digunakan secara betul. Pepatah barat mengatakan, “what doesn’t kill you makes you stronger”.

Oleh itu, bagi mengurang dan melambatkan kadar kerintangan antibiotik kita hendaklah ;

  1. Menggunakan antibiotik hanya untuk penyakit yang perlu sahaja.
  2. Mengikut dos yang telah ditetapkan. Jangan memakan antibiotik secara berlebihan atau sebaliknya.
  3. Melengkapkan tempoh masa rawatan antibiotik. Sekiranya pengamal perubatan mengarahkan anda memakan antibiotik selama seminggu, anda hendaklah mematuhi arahan tersebut tanpa tertinggal secara sengaja ataupun tidak sengaja. Tiada istilah “cuti” sehari atau dua hari, tiada istilah berhenti mengambil antibiotik sebelum masanya walaupun anda sudah berasa sihat. Selagi tempoh masa belum lengkap, selagi itulah anda perlu mengambilnya dengan patuh untuk kebaikan bersama.
  4. Mengelakkan berkongsi ubat dengan pesakit lain kerana tidak semua pesakit memerlukan antibiotik.
  5. Jangan gunakan saki baki ubat antibiotik yang telah tidak digunakan.
  6. Lebihan ubat antibiotik hendaklah diserahkan kembali kepada pihak farmasi dan elakkan membuang antibiotik merata-rata terutama sistem perparitan.

Sektor Penternakan Komersil

Terdapat banyak kes telah dilaporkan mendapati penternak memberikan suntikan antibiotik yang berlebihan kepada haiwan untuk mempercepatkan tumbesaran haiwan seterusnya mendapat pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.

Isu ini sangat serius kerana haiwan tersebut merupakan sumber makanan kita. Selain boleh menyebabkan kerintangan antibiotik, kita juga mungkin boleh mengalamai keracunan akibat bahan kimia berlebihan didalam makanan.

Sektor Industri



Terdapat kajian membuktikan bahawa pembuangan sisa antibiotik ke alam sekitar terutama dari sektor farmaseutikal boleh menyumbang kepada masalah ini. Sisa antibiotik yang dibuang ke alam sekitar seperti sistem perparitan dan sungai akan menyebabkan bakteria sedia ada di sesuatu kawasan itu terdedah kepada antibiotik.

Malangnya, bukan semua bakteria akan mati kerana dos yang sedikit tidak mampu membunuh berjuta bakteria yang telah berkoloni di kawasan tersebut. Hal ini lantas menyebabkan bakteria yang selamat mengalami mutasi dan menjadi salah satu punca kerintangan antibiotik semakin sukar dibendung kerana melibatkan beberapa organisasi besar yang memberikan impak negatif kepada kita semua dalam jangkamasa panjang.

Periksa Simptom anda Di Sini

Kesimpulan

Antibiotic resistance atau kerintangan antibiotik adalah masalah serius dalam dunia perubatan. Semakin banyak kes kerintangan antibiotik dikesan, maka semakin berkuranglah pilihan antibiotik yang kita ada untuk merawat jangkitan superbugs tersebut.

Sudah pasti kita tidak ingin melihat generasi hadapan terancam oleh masalah ini. Justeru, mainkanlah peranan anda dan galaslah tanggungjawab menangani masalah ini bersama-sama.

Rujukan:

  1. Antibiotic resistance faqs by CDC
  2. Antibiotic Resistance fact sheet by WHO Retrieved 18.10.2017
  3. D. G. Joakim Larsson (2014) Antibiotics in the environment
  4. Antibiotic Resistance Bacteria
    Retrieved 19.10.2017
  5. Katie Forster (14.3.2017) Superbug drug launched to fight growing threat of antibiotic resistance. Retrieved 18.10.2017
  6. Lecia Bushak (17.2.2016) A Brief History of Antibiotic Resistance : How a medical miracle turned into the biggest public health danger of our time. Retrieved 19.10.2017
Advertisements

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 7 =

Scroll to Top