Benjolan di leher: Punca dan simptom

Published by Dr Latif Saad on

Benjolan di bahagian leher mempunyai pelbagai punca dan ia boleh disebabkan kanser, jangkitan kuman, ketumbuhan kalenjar tiroid dan juga pelbagai lagi.

Jika anda mempunyai benjolan di bahagian tersebut, anda perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan bagi mengetahui punca kepada masalah tersebut.

Punca-punca ketulan di leher

Terdapat pelbagai punca kepada masalah ini. Ia adalah:

Goiter

Goiter adalah ketumbuhan yang berasal daripada kalenjar tiroid. Ia boleh menyebabkan penghasilan hormon tiroid menjadi berlebihan dan simptom hipertiroid akan berlaku.

Ketumbuhan ini boleh berlaku di satu bahagian tiroid sahaja ataupun melibatkan kesemua bahagian tiroid.

Jika ia terlalu besar, ia boleh menyebabkan pesakit susah untuk menelan, sesak nafas dan suara jadi serak.

Baca sepenuhnya tentang goiter

Limfoma

Ia merupakan salah satu jenis kanser yang menyerang bahagian kalenjar limfa. Kalenjar limfa ini selalunya akan membesar tetapi tidak tidak menyebabkan rasa sakit. Berbanding jika kalenjar limfa ini membesar disebabkan jangkitan kuman, ia akan menyebabkan rasa sakit di kawasan tersebut.

Pesakit selalunya akan mengalami simptom kurang berat badan secara mendadak, kerap demam, rasa letih dan muka pucat

Kanser tiroid

Kanser tiroid adalah sel kanser yang membahagi secara tidak terkawal dibahagian kalenjar tiroid.

Pesakit selalunya akan mempunyai simptom sakit tekak, batuk, susah untuk menelan dan bengkak kalenjar limfa dibahagian leher.

Baca sepenuhnya tentang Kanser tiroid

Bengkak Kalenjar Limfa

Kalenjar limfa berfungsi untuk menapis kuman yang telah menjangkiti pada kawasan yang terdekat. Ketika jangkitan kuman berlaku, kalenjar limfa juga boleh membengkak dan menyebabkan kawasan leher ini mempunyai ketulan.

Kalenjar limfa dikatakan besar daripada biasa bila saiznya lebih daripada 1 hingga 2cm.

Disamping itu, kalenjar limfa juga boleh bengkak disebabkan kanser berdekatan dengan kalenjar tersebut. Selalunya ketika ini, ketulan kalenjar ini tidak terasa sakit ketika dipegang.

Lipoma

Lipoma merupakan sel lemak yang tumbuh secara tidak normal. Walaubagaimanapun ia bukanlah kanser.

Ketulan ini selalunya lembut dan tidak terasa sakit ketika dipegang.

Baca sepenuhnya tentang Lipoma

Beguk

Beguk adalah berpunca daripada jangkitan virus yang dinamakan sebagai Paramyxovirus. Ia akan menjangkiti kalenjar air liur yang terdapat pada bahagian pipi dan juga bahagian bawah dagu manusia.

Pesakit selalunya akan mengalami bengkak pada bahagian pipi membawa ke bahagian leher. Pesakit juga akan mempunyai simptom lain seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan kurang selera makan.

Baca sepenuhnya tentang beguk

Kanser kulit

Terdapat pelbagai kanser kulit yang boleh menyebabkan benjolan di bahagian leher

Baca sepenuhnya tentang kanser kulit

Benjolan di bahagian leher datang dari mana?

Benjolan di bahagian leher boleh jadi keras dan ada yang lembut. Kanser selalunya keras. Yang lembut pula selalunya disebabkan lipoma.

Asal benjolan di leher menentukan punca sebenar kepada masalah tersebut. Benjolan ini boleh berasal dari:

Punca utama yang menyebabkan bengkak di bahagian leher

Terdapat beberapa punca utama yang menyebabkan benjolan dibahagian leher iaitu:

Kalenjar limfa

Ia merupakan punca utama masalah benjolan ini. Beberapa punca yang menyebabkan benjolan di bahagian kalenjar ini adalah:

  • Jangkitan telinga
  • Masalah sinus
  • Tonsil bengkak
  • Jangkitan tekak
  • Jangkitan virus seperti rubella, beguk, herpes simples dan beberapa jenis virus yang lain

Kanser

Kebanyakan bengkak di bahagian leher selalunya bukan disebabkan kanser. Tetapi ia masih merupakan salah satu punca yang menyebabkan ketulan di bahagian leher.

Mereka yang merokok dan meminum alkohol mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi masalah ini.

Beberapa kanser yang menyebabkan bengkak di bahagian leher adalah:

  • Kanser tiroid
  • Kanser kulit
  • Limfoma
  • Leukemia

Ujian yang dilakukan untuk mengesan punca penyakit

Diagnosa penyakit akan dibuat berdasarkan simptom, sejarah, pemeriksaan fizikal, ujian darah dan sebagainya.

Ujian darah

Ia penting untuk mengesan penyakit limfoma, jangkitan bakteria, jangkitan virus dan beberapa penyakit yang lain

Ujian biopsi

Dalam ujian ini, sedikit sampel akan diambil daripada kawasan benjolan untuk dilihat dibawah kanta pembesar.

Ia penting untuk menentukan benjolan tersebut adalah kanser ataupun tidak

Pengimejan

Ultrasound, CT-scan atau MRI adalah penting untuk mengesan lokasi benjolan tersebut dan untuk mengetahui ia berasal daripada mana.

Dengan itu, punca kepada penyakit tersebut dapat dikesan dengan lebih mudah.

Rujukan:

  1. Head and neck cancer FAQs. (n.d.).
    my.clevelandclinic.org/health/diseases/17041-head–neck-cancer-frequently-asked-questions
  2. Head and neck mass. (n.d.).
    hopkinsmedicine.org/otolaryngology/specialty_areas/pediatric_otolaryngology/conditions/head_neck_mass.html
  3. Head and neck cancer. (n.d.).
    entnet.org/content/head-and-neck-cancer
Categories: Simptom

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science. Follow facebook saya di Latif Saad

Tinggalkan Komen Anda

avatar
  Ikut perbincangan ini  
Hantar notifikasi jika