Demam Campak (Measles): Punca, Simptom dan Rawatan

Published by Dr Latif Saad on

Demam Campak adalah disebabkan virus yang dikenali sebagai Measles virus. Ia adalah salah satu penyakit yang sangat mudah berjangkit. Virus tersebut mempunyai kemampuan untuk menjangkiti orang lain walaupun dalam jumlah yang kecil dan ia mampu hidup selama 2 jam di persekitaran luar badan.

Virus ini sangat mudah menyerang kanak-kanak terutamanya mereka yang belum menerima vaksin campak. Akan tetapi ia juga boleh menjangkiti orang dewasa dimana mereka masih belum menerima suntikan campak juga.

Ramai dikalangan masyarakat yang keliru dengan istilah Demam Campak dengan Cacar Air(Chicken Pox). Perlu diketahui bahawa kedua-dua penyakit ini adalah berbeza dan ia disebabkan virus yang berlainan. Penyakit Cacar air adalah disebabkan jangkitan virus Varicella-zoster.

Masalah Demam Campak

Demam campak ini juga dikenali dengan nama Rubeola. Ia mempunyai dua fasa iaitu:

  • Fasa Prodromal: Pesakit pada mulanya akan mempunyai simptom demam, batuk, mata merah, selesema dan ‘Koplik Spot‘ di dalam mulut
  • Fasa Ruam: Kemudian barulah ruam akan tumbuh pada bahagian kulit

Perlu diketahui bahawa measles sudah mampu merebak ketika pesakit masih belum mengeluarkan ruam lagi. Oleh itu, tanpa sedar kanak-kanak yang sedang mengalami demam ini akan menularkan jangkitan kuman tersebut ketempat lain kerana pada ketika itu tiada ruam dan tidak diketahui bahawa pesakit sedang mengalami demam campak.

Komplikasi jangkitan measles adalah selepas pesakit baik daripada demam. Jangkitan ini akan menyebabkan sistem imun tidak dapat berfungsi dengan normal buat beberapa ketika. Ini akan menyebabkan jangkitan bakteria lebih mudah berlaku di dalam badan dan menyebabkan komplikasi yang teruk. Sebab itulah pesakit selalunya akan mengalam jangkitan dalam telinga(otitis media) dan juga jangkitan paru-paru selepas dijangkiti demam campak.

Kebanyakan pesakit yang meninggal dunia selalunya disebabkan jangkitan paru-paru yang berlaku selepas daripada demam campak tersebut.

Bagaimana Demam Campak boleh berlaku?

Cara virus ini disebarkan adalah melalui titisan air yang terhasil daripada saluran pernafasan. Ia boleh keluar daripada saluran pernafasan pesakit apabila dia batuk, bersin, hingus yang dihasilkan dan melalui percakapan.

Lebih teruk lagi, virus ini boleh tahan selama 2 jam diluar badan pesakit. Ini menyebabkan setiap individu yang telah pergi ke kawasan ataupun bilik yang pernah dilawati oleh pesakit mempunyai risiko untuk dijangkiti penyakit demam campak ini. Oleh itu, ia mempunyai kebolehan untuk menyebarkan penyakit ini dengan teruk.

Virus ini pada mulanya akan memasuki saluran pernafasan. Ia akan masuk ke dalam sel di dalam dinding saluran pernafasan dan membiak di situ terlebih dahulu sebelum ia merebak ke bahagian badan yang lain.

Kesan daripada jangkitan virus ini, ia akan menyebabkan sistem imun badan pesakit menjadi lemah. Ketika inilah pelbagai bakteria akan menyerang seseorang pesakit. Kebanyakan pesakit yang mati adalah disebabkan jangkitan bakteria selepas daripada terkena demam campak.

Akan tetapi pesakit yang melepasi semua fasa ini akan membina kekebalan terhadap demam campak sepanjang usianya.

Apakah Punca kepada Demam Campak?

Punca demam campak adalah jangkitan virus yang dikenali sebagai virus measles. Ia merupakan daripada keluarga virus Paramyxoviridae di dalam genus Morbillivirus. Pembawa dan penghidap penyakit ini adalah manusia sahaja. Tiada lagi haiwan lain yang boleh membawa virus ini ataupun dijangkiti virus ini.

Virus ini disebarkan apabila seseorang yang mengalami demam campak batuk dan bersin.

Seseorang itu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat jangkitan kuman measles jika mempunyai faktor risiko seperti dibawah:

  • Mereka yang mempunyai masalah sistem imun disebabkan penyakit Leukemia, pengambilan steroid, penyakit HIV walaupun dia pernah menerima suntikan vaksin sebelum ini.
  • Lawatan ke kawasan yang sedang mengalami wabak measles
  • Tidak mengambil suntikan vaksin

Faktor risiko untuk mendapat komplikasi daripada jangkitan measles adalah:

  • Masalah pada sistem imun
  • Wanita mengandung
  • Masalah kekurangan nutrisi
  • Kekurangan Vitamin A

Apakah Komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit demam campak?

Komplikasi yang berlaku kebanyakannya bukanlah disebabkan virus measles itu sendiri. Ia berlaku disebabkan jangkitan kuman yang berlaku selepas daripada demam campak tersebut. Ini disebabkan sistem imun badan yang tidak berfungsi secara efektif pada ketika itu.

Komplikasi-komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit measles ini adalah:

  • Jangkitan kuman di otak
  • Jangkitan kuman paru-paru
  • Jangkitan kuman di telinga
  • Keradangan pada pankreas
  • Subacute Sclerosing panencephalitis(SSPE)

Apakah tanda tanda demam campak?

Ia mengambil masa dalam 7-14 hari untuk seseorang itu menunjukan simptom apabila terdedah dengan virus tersebut. Beberapa simptom permulaan sebelum timbulnya ruam demam campak adalah:

  • Demam yang teruk(Suhu pesakit selalunya melebih 38.5 darjah celcius)
  • Batuk
  • Kelopak mati kemerahan(Conjunctivitis)
  • Selesema
  • Kurangnya selera makan
  • Rasa letih
  • Mata merah

Pesakit selalunya akan mempunyai dua jenis ruam iaitu ruam dalam mulut(Koplik spot) dan juga ruam pada kulit

Ruam Dalam Mulut

Pesakit yang mempunyai ciri ini iaitu Koplik spot bermaksud pesakit memang sah mempunyai penyakit demam campak. Kerana tanda ini hanya akan berlaku bagi mereka yang menghadapi demam campak measles sahaja.

Ruam ini berwarna biru kelabu dibahagian tengah dan dikelilingi warna merah. Selalunya ia muncul terlebih dahulu sebelum munculnya ruam di kulit.

Ruam pada Kulit

Ruam ini selalunya akan timbul pada hari ke-3 demam. Ia akan bermula daripada bahagian kepala dan turun ke bawah. Ruam ini tidak menghasilkan apa-apa air seperti cacar air.

Apakah ujian untuk mengesahkan penyakit ini?

Walaupun daripada pemeriksaan fizikal boleh mengesahkan jangkitan kuman tersebut terutamanya jika tanda koplik spot dijumpai, tetapi ia masih memerlukan ujian pengesahan virus tersebut.

Ada beberapa ujian yang boleh mengesahkan jangkitan measles tersebut. Ujian itu adalah:

Ujian Serologi

Ujian ini menggunakan sampel darah bagi melihat kehadiran antibodi measles. Ketika mana jangkitan measles berlaku, sel darah putih akan cuba melawan jangkitan tersebut dengan menghasilkan antibodi.

Antibodi yang dihasilkan ini adalah spesifik untuk melawan jangkitan tersebut dan boleh dikesan melalui ujian darah

Pengkulturan Virus

Dalam ujian ini, sampel yang selalunya diambil adalah sampel tekak dan juga air kencing. Ini kerana virus banyak terdapat di kawasan tersebut.

Sampel ini akan diletakkan pada medium yang sesuai bagi pembiakan virus tersebut. Jika pesakit menghadapi penyakit itu, virus measles akan dapat dihasilkan daripada ujian itu.

Polymerase Chain Reaction

Ujian ini melibatkan pengambilan genetik daripada virus. Kemudian ia akan digandakan dengan satu proses di dalam makmal.

Jika genetik itu sama dengan genetik virus measles, maka pesakit itu akan disahkan mengalami demam campak.

Apakah penyakit lain yang mempunyai simptom yang sama dengan masalah ini?

Terdapat beberapa penyakit yang mempunyai tanda-tanda yang sama. Penyakit itu adalah:

Apakah Rawatan untuk mereka yang menghadapi Demam Campak?

Demam campak tidak mempunyai rawatan yang spesifik ataupun ubat yang boleh digunakan untuk membunuh virus tersebut seperti antibiotik. Selalunya badan sendiri akan membina imuniti untuk melawan jangkitan measles ini.

Ketika pesakit telah baik daripada penyakit ini, pesakit akan mempunyai kekebalan daripada dijangkiti virus tersebut lagi.

Rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah lebih kepada rawatan sokongan iaitu rawatan untuk memberi keselesaan kepada pesakit dan mengelakkan mereka daripada terkena komplikasi penyakit tersebut.

Rawatan Sokongan

Terdapat beberapa rawatan sokongan yang boleh diberikan kepada pesakit. Ia adalah:

  • Ubat Demam: Pesakit boleh mengambil ubat demam ketika suhu meningkat. Ia membolehkan pesakit merasa lebih selesa dan memperbaiki selera makan ketika sedang sakit
  • Pengambilan air: Pesakit perlu mengambil air dengan kuantiti yang lebih banyak. Kerana demam yang tinggi boleh menyebabkan pesakit kekeringan(dehidrasi). Jika pesakit terlalu kurang air, jarum akan dimasukkan ke dalam saluran darah untuk memasukkan air terus ke dalam badan pesakit
  • Komplikasi jangkitan bakteria: Jika pesakit mengalami jangkitan paru-paru ataupun jangkitan telinga, ubat antibiotik boleh diberikan untuk melawan jangkitan bakteria tersebut.

Suplemen Vitamin A

WHO telah mengesyorkan pengambilan Vitamin A bagi pesakit demam campak. Ini kerana kajian telah membuktikan bahawa ia mampu mengurangkan komplikasi dan kematian disebabkan measles ini sebanyak 50%. Ia juga dapat mengelakkan seseorang itu daripada mengalami kerosakan di bahagian telinga.

Pencegahan

Salah satu cara untuk mencegah jangkitan measles ini adalah dengan pemberian vaksin. Di Malaysia, kita ada vaksin 3 serangkai dimana di dalam vaksin itu telah digabungkan 3 jenis vaksin iaitu penyakit measles, mumps(beguk) dan Rubella. Vaksin telah terbukti mengurangkan kes-kes measles di dalam negara.

Rujukan:

  1. Centers for Disease Control and Prevention. Program in brief: Measles Mortality Reduction and Regional Global Measles Elimination. Available at http://www.cdc.gov/ncird/progbriefs/downloads/global-measles-elim.pdf.
  2. Gastanaduy PA, Redd SB, Fiebelkorn AP, et al. Measles – United States, January 1-May 23, 2014. MMWR Morb Mortal Wkly Rep. 2014 Jun 6. 63(22):496-499.
  3. Meissner HC, Strebel PM, Orenstein WA. Measles vaccines and the potential for worldwide eradication of measles. Pediatrics. 2004. 114(4):1065-9.
  4. 2015 Report of the Committee on Infectious Diseases. Early Release from Red Book. American Academy of Pediatrics. Available at http://redbook.solutions.aap.org/DocumentLibrary/2015RedBookMeasles.pdf. Accessed: March 31, 2015.
  5. Sabella C. Measles: not just a childhood rash. Cleve Clin J Med. 2010 Mar. 77(3):207-13

Dr Latif Saad

Seorang pegawai perubatan dan masih berkhidmat di klinik kesihatan. Pengasas kepada page The Diagnosa dan Root of Science

8 Comments

Kencing Tikus(leptospirosis): Punca, Simptom dan Cara Rawatan · January 23, 2019 at 3:39 am

[…] Demam campak (Measles) […]

Chicken Pox(Cacar air): Punca dan Cara rawatan - The Diagnosa · January 23, 2019 at 3:40 am

[…] Demam campak (measles) […]

Demam campak ni merbahaya ke? (Bahagian 1) - Root of Science · January 30, 2019 at 2:40 pm

[…] virus = demam campakVaricella zoster virus/chicken pox = cacar […]

Penat-penat cucuk vaksin campak. Tapi anak masih kena campak. Kenapa?? - Root of Science · January 30, 2019 at 2:41 pm

[…] Virus Measles(demam campak) […]

Kajian Doktor Andrew Wakefield: Vaksin penyebab Autism?? - Root of Science · January 31, 2019 at 12:08 am

[…] bermula pada umur satu tahun dan ke atas iaitu selepas pemberian Vaksin trivalent(3 serangkai) Measles Mumps […]

Adakah Vaksin menyebabkan Autism? - Root of Science · January 31, 2019 at 12:52 am

[…] itu dan membuatkan kadar pemvaksinan menjunam turun drpd 90% kepada 80%. Ini menyebabkan wabak measles meningkat di […]

Ruam pada bayi: Punca dan Rawatan - The Diagnosa · February 1, 2019 at 1:27 pm

[…] Demam campak jarang berlaku pada bayi kurang daripada 9 bulan ke bawah. Ia berlaku disebabkan jangkitan virus measles. Selalunya pesakit akan mempunyai demam yang tinggi berserta ruam. […]

Konjunktivitis : Punca, Simptom dan Cara Rawatan - The Diagnosa · February 1, 2019 at 1:42 pm

[…] disebabkan oleh Adenovirus dan kadangkala Enterovirus. Ia selalunya seiring dengan Demam Campak (Measles), Cacar Air (Chicken Pox), Rubella dan Beguk […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *