Jangkitan kuman pada tempat buang air kecil ataupun kencing kotor mungkin adalah sesuatu perkara yang kecil bagi seseorang. Tetapi satu kajian terbaru menyatakan bahawa ia boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami Serangan angin ahmar terutamanya mereka yang berisiko seperti pesakit tekanan darah tinggi dan juga kencing manis.
Kajian ini melibatkan seramai 190,000 pesakit angin ahmar dimana mereka mendapati risiko untuk menghadapi strok itu semakin tinggi apabila bulan ataupun minggu tersebut pesakit menghadapi jangkitan kuman terutamanya yang melibatkan kemasukkan ke dalam wad hospital. Dan jangkitan kuman pada tempat buang air kecil menunjukkan kaitan yang kuat dengan penyakit angin ahmar tersebut.
Pesakit yang mengalami kencing kotor mempunyai risiko 5 kali ganda untuk mengalami angin ahmar berbanding orang lain,
Dapatan daripada kajian tersebut.
Strok yang selalu berlaku pada mereka ini adalah jenis strok iskemik dimana berlakunya pembekuan darah di dalam otak yang menyebabkan saluran darah tersumbat. Ini menyebabkan sel selepas daripada kawasan yang tersumbat itu mengalami kekurangan oksigen dan strok pun berlaku.
Kenapa ini berlaku?
Sebenarnya kajian ini belum lagi dapat membuktikan jangkitan kuman/Kencing kotor tersebut menyebabkan angin ahmar ataupun tidak. Ia cuma menunjukkan seseorang itu berisiko untuk terkena angin ahmar ketika mana mereka mengalami jangkitan kuman.
Tetapi kajian sebelum ini menunjukkan, seseorang yang mengalami jangkitan kuman akan mengalami keradangan pada seluruh tubuh badannya. Dan ini akan memudahkan berlakunya darah beku di dalam saluran darah dan berakhir dengan strok.
Banyak lagi perkara yang tidak diketahui berkenaan perkara ini. Tetapi ia dapat memberikan idea kepada kita bahawa jika kita mengalami jangkitan kuman seperti kencing kotor, maka kita perlu lebih berhati-hati dan kita perlu kawal beberapa perkara untuk mengelakkan daripada angin ahmar tersebut daripada terjadi seperti mengawal tekanan darah dan juga bacaan gula dalam darah.
Kajian ini telah diterbitkan pada 27 Jun dalam Jurnal Stroke dan ia berdasarkan daripada 190,000 pesakit strok yang dirawat di Hospital New York.
Setakat ini kencing kotor adalah yang paling tinggi mempunyai kaintan dengan serangan angin Ahmar. Jangkitan pada saluran pernafasan juga boleh meningkatkan risiko untuk mengalami strok tetapi tidak terlalu tinggi berbanding kencing kotor.
Mereka yang mengalami jangkitan kuman yang tidak teruk dan boleh dirawat di rumah diminta untuk tidak terlalu risau kerana kajian ini menunjukkan anda tidak berisiko. Hanya jangkitan kuman yang teruk hingga menyebabkan dimasukkan ke dalam hospital sahaja mempunyai risiko seperti ini.
Rujukan:
- Solly Sebastian , Laura K. Stein , Mandip S. Dhamoon. Infection as a Stroke Trigger. Associations Between Different Organ System Infection Admissions and Stroke Subtypes. https://doi.org/10.1161/STROKEAHA.119.025872