Skip to content

Kes Ainul Mardhiah: Apakah itu Germ Cell tumor?

Adik Ainul Mardhiah telah disahkan mengalami Germ Cell Tumor ketika dia masih kecil lagi. Sekarang ini usia adik Ainul Mardhiah sudah pun berumur 8 bulan dan mesti masih ramai yang tertanya-tanya tentang ketumbuhan ataupun penyakit apakah yang berlaku pada adik Ainul Mardhiah.

Apakah itu Germ Cell Tumor?

Keadaan adik Ainul Mardhiah ini berlaku disebabkan satu ketumbuhan atau tumor yang dikenali sebagai Germ Cell Tumor.

Perkataan ‘Germ‘ daripada Germ Cell Tumor itu bukanlah bermaksud ‘Germ‘ kuman tu. Tetapi perkataan germ ini diambil daripada perkataan ‘Germinate’ iaitu ‘to begin to grow’ . Dalam bahasa melayunya adalah ‘mula membesar/berkembang’. Selalunya kita gunakan perkataan germinate ini untuk biji benih yang baru tumbuh. Jadi, germinate juga bermaksud bercambah.

Apakah itu Germ Cell pula?



Dalam badan kita ada satu jenis sel yang dinamakan sebagai Germ cell(Sel germa). Fungsi sel germa ini pula adalah untuk menghasilkan sel sperma ataupun ovum. Jadi daripada sel germa inilah terhasil sel pembiakan seperti sperma dan ovum dan persenyawaan dua sel ini pula akan menghasilkan sel zygot yang akan bercambah/membesar menjadi manusia. Sebab itu kita panggil sel ini sebagai Germ cell(sel germa) kerana sel inilah punca terhasilnya bayi yang akan bercambah menjadi manusia.

Sel germa ini selalunya akan berada di dalam testis ataupun ovari. Disitulah mereka akan menghasilkan sperma atau ovum.

Jadi, bila kita kata Germ cell tumor(Tumor sel germa) ia membawa maksud tumor ataupun ketumbuhan ini berpunca daripada sel germa yang membahagi secara tidak terkawal.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Lokasi tumor sel germa(Germ cell tumor)

Tumor sel germa selalunya akan berlaku dikawasan testis ataupun pada bahagian ovari. Ini kerana di kawasan tersebut sel reproduktif seperti sperma dan ovum dihasilkan.

Jarang untuk tumor ini berlaku dikawasan selain daripada testis dan juga ovari. Dan kebanyakan tumor yang berlaku dikawasan lain ini akan melibatkan mereka yang berusia muda sama seperti kes Adik Ainul Mardhiah dimana tumor ini telah berlaku pada kawasan mulutnya.



Perlu diketahui bahawa terdapat pelbagai jenis Germ cell tumor yang ada seperti teratoma, seminoma, choriocarcinoma dan banyak lagi. Ketumbuhan ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu sama ada Malignant iaitu tumbuh secara cepat dan boleh merebak ke tempat lain ataupun benign iaitu tumbuh dengan lambat dan tidak merebak ke tempat lain. Malignant inilah kita gelarkan sebagai kanser.

Setiap daripada jenis tumor tersebut mempunyai karakter yang berlainan dan cara rawatan yang berbeza. Sebab itu tumor ini dikategorikan dengan pelbagai jenis supaya rawatan yang spesifik dapat diberikan sesuai dengan jenis tumor tersebut.

Apakah punca kepada penyakit ini?

Punca kepada masalah ini masih lagi tidak diketahui. Ada kajian yang mengatakan ia mempunyai hubung kait dengan penyakit keturunan atau genetik dimana jika ada ahli keluarga yang mempunyai kecacatan daripada segi struktur badan sejak lahir, maka anaknya akan mempunyai risiko untuk menghadapi Germ cell tumor ini.

Bayi yang mengalami Cryptorchidism juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah ini. Cryptorchidism adalah keadaan dimana satu ataupun kedua-dua belah testis tidak turun ke dalam kerandut scrotum. Testis tersebut mungkin berada di dalam bahagian abdomen. Perlu diketahui testis yang tidak turun ini akan meningkatkan risiko kanser testis.

Kesimpulan

Germ cell tumor ini berpunca daripada sel yang menghasilkan sel pembiakan seperti sperma dan juga ovum. Disebabkan sel ini membahagi dan membesar secara tidak normal, maka jadilah tumor tersebut.

Berbalik kepada kes Ainul Mardhiah, semalam, ibubapa berserta Ainul Mardhiah telah diterbang ke UK untuk mendapatkan rawatan di sana. Kita doakan yang terbaik untuk adik Ainul Mardhiah.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × two =