Skip to content

10 Khasiat Buah Zaitun Yang Anda Perlu Tahu

Khasiat buah zaitun sering dikaitkan dengan kebaikan minyaknya. Tapi tahukah anda bahawa khasiat buah zaitun itu sendiri tidak kurang hebatnya berbanding dengan minyaknya. Maka mari kita lihat apakah khasiat buah zaitun? Artikel ini akan membincangkan 10 khasiat buah zaitun yang anda perlu tahu.

Pengenalan

Olea europea atau lebih dikenali sebagai buah zaitun adalah buah kepada pokok zaitun yang merupakan tumbuhan dari keluarga Oleacea. Pokok zaitun adalah salah satu pokok yang tertua di dunia. Ia banyak tumbuh di negara-negara Mediterranean seperti Sepanyol, Maghribi, Itali dan Greece.

Kebanyakan buah zaitun berbentuk bulat gemuk dan mempunyai warna hijau apabila mentah serta berubah menjadi kekuning-kuningan apabila masak. Buah ini telah menjadi makanan penting kepada manusia selama ribuan tahun.



Ia boleh dimakan begitu saja, dimasukkan ke dalam salad, dijadikan sapuan roti atau yang paling popular diekstrak menjadi minyak zaitun. Di negara-negara Mediterranean, 90% daripada buah zaitun digunakan untuk menghasilkan minyak zaitun.

Kandungan Nutrisi

Buah zaitun adalah sejenis buah yang tinggi dengan lemak. Sebahagian besar lemak dalam buah zaitun adalah lemak mono tidak tepu (MUFA), iaitu lemak yang baik untuk jantung dan sebahagian kecilnya terdiri daripada lemak poli tidak tepu (PUFA) dan lemak tepu. Ia juga kaya dengan nutrient berkhasiat seperti vitamin E, zat besi, tembaga dan kalsium.

Berdasarkan data daripada United States Department of Agriculture, 100 g buah zaitun mengandungi:

NutrisiKandungan
Kalori115 kcal
Air80%
Protein0.8 g
Karbohidrat6.3 g
Gula0 g
Serat3.2 g
Lemak10.7 g
Lemak tepu1.42 g
Lemak mono tidak tepu (MUFA)7.89 g
Lemak mono poli tidak tepu (PUFA)0.91 g

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen berkhasiat dalam buah zaitun

1. Oleuropein

Oleuropein merupakan komponen fenol utama yang terdapat dalam buah zaitun. Komponen ini telah dikaitkan dengan khasiat buah zaitun yang dapat mengurangkan risiko penyakit koronari dan beberapa jenis kanser. Antara ciri-ciri oleuropin yang bermanfaat adalah antiradang, antioksida, antikanser, antivirus dan antiaterogenik (mencegah penyumbatan arteri).



2. Flavonoid

Flavonoid adalah kumpulan fitonutrien (nutrient yang dihasilkan oleh tumbuhan) terbesar yang terdapat di dalam hampir semua tumbuhan. Antara kandungan flavonoid tertinggi dalam buah zaitun adalah:

FlavonoidFungsi
QuercetinAntiradang, mengawal kadar gula dalam darah, mencegah kanser dan penyakit  jantung
LuteolinMeningkatkan sistem imun badan dan mencegah kanser

3. Asid fenol

Asid fenol juga adalah salah satu kumpulan fitonutrien yang terdapat dalam tumbuhan. Antara kandungan asid fenol tertinggi dalam buah zaitun adalah gallik, ferulik dan kaffeik. Kajian menunjukkan asid fenol berfungsi sebagai antiradang, anti kanser dan anti virus yang menguatkan sistem imun badan.

10 Khasiat Buah Zaitun Pada Kesihatan

1. Mencegah kanser

Kajian menunjukkan penduduk negara-negara Mediterranean yang mengamalkan diet Mediterranean yang kaya dengan buah zaitun dan minyak zaitun mempunyai kadar penyakit kanser terendah di dunia. Ciri-ciri antikanser buah zaitun dikaitkan dengan kandungan asid oleik dan antioksida yang tinggi dalam buah ini. Pengambilan makanan yang tinggi dengan antioksida seperti buah zaitun boleh mengurangkan risiko penyakit kanser dengan melindungi sel badan dari kerosakan DNA dan mengurangkan tekanan oksidatif.

2. Melindungi jantung

Kadar kolesterol tinggi adalah salah satu faktor risiko utama penyebab penyakit jantung. Banyak kajian telah mengesahkan peranan minyak zaitun dalam melindungi jantung dan mengurangkan risiko serangan jantung.



Sama seperti minyak zaitun, buah zaitun dapat mengurangkan kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan kolesterol baik dalam darah (HDL). Selain itu, pengambilan buah zaitun juga boleh mengurangkan tekanan darah yang juga merupakan penyebab penyakit jantung. Oleh itu, buah zaitun adalah makanan pilihan yang baik untuk mencegah penyakit jantung.

Artikel Berkaitan: Tanda Sakit Jantung dan Rawatan

3. Anti oksida

Banyak kajian membuktikan tekanan oksidatif sebagai punca utama kebanyakan penyakit kronik seperti penyakit koronari, strok, Alzheimer dan Parkinson. Diet yang tinggi dengan antioksida dapat mengurangkan risiko penyakit kronik. Makanan yang kaya dengan antioksida seperti buah zaitun dapat menghalang pengoksidaan DNA dan melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

4. Mencegah jangkitan

Buah zaitun mengandungi komponen-komponen yang mempunyai khasiat antibakteria secara semula jadi. Kajian menunjukkan buah zaitun boleh menghalang pembiakan pelbagai bakteria dan juga mencegah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.

5. Memelihara kesihatan tulang

Osteoporosis atau degenerasi tulang adalah satu keadaan kehilangan kepadatan tulang disebabkan faktor umur. Ia merupakan masalah kesihatan global. Namun, kajian menunjukkan kadar kejadian osteoporosis adalah rendah dikalangan penduduk negara-negara Medieterranean disebabkan oleh corak pemakanan mereka yang tinggi dengan buah zaitun. Oleh itu, pengambilan buah zaitun dapat menguatkan tulang dan mencegah osteoporosis.



Artikel Berkaitan: Osteoporosis dan Rawatannya

6. Memelihara kesihatan kognitif

Buah zaitun adalah sumber makanan yang tinggi dengan vitamin E. Vitamin E merupakan nutrien yang penting dalam memelihara kesihatan kognitif. Selain itu, buah zaitun juga mengandungi komponen-komponen seperti asid oleik dan fenol yang mempunyai peranan dalam melindungi otak.

7. Melancarkan pengaliran darah

Kandungan komponen semula jadi yang tinggi dalam buah zaitun boleh meningkatkan penghasilan nitrogen oksida dalam darah. Nitrogen oksida berfungsi untuk melancarkan aliran darah di dalam saluran darah kepada sel sel badan. Pengaliran darah yang lancar sangat penting untuk kesihatan tubuh dan boleh melindungi daripada serangan jantung dan strok.

8. Mengawal bacaan gula dalam darah

Buah zaitun adalah salah satu makanan yang baik untuk pesakit diabetes. Ia mengandungi oleuropein yang boleh membantu mengawal bacaan gula dalam darah dan meningkatkan penghasilan insulin badan. Fungsi insulin adalah untuk mengangkut gula dalam darah ke dalam sel sel badan dan memastikan paras gula dalam darah tidak terlalu tinggi.

Kadar insulin yang tidak mencukupi akan menyebabkan kenaikan bacaan gula dalam darah. Selain itu, kandungan serat dalam buah zaitun dapat melambatkan penyerapan gula ke dalam darah dan boleh membantu kawalan penyakit diabetes.



Artikel Berkaitan: Simptom dan Punca Kencing Manis Berserta Rawatan

9. Kesihatan sistem penghadaman

Buah zaitun merupakan sumber serat yang baik. Satu cawan buah zaitun hitam memenuhi 17% keperluan serat dalam sehari. Pengambilan serat yang mencukupi dapat membantu melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan daripada sembelit. Selain itu, kajian menunjukkan minyak zaitun boleh melindungi daripada ulser perut dan penyakit gastrik.

Artikel Berkaitan: Punca Sembelit dan Rawatan

10. Mencegah anemia

Buah zaitun kaya dengan kandungan zat besi. Ia penting untuk pembentukan sel darah merah. Pengambilan makanan yang tinggi dengan zat besi akan memastikan sel sel badan mendapatkan oksigen yang mencukupi. Disebabkan ini, buah zaitun baik untuk pesakit anemia dan juga ibu mengandung bagi memenuhi keperluan zat besi yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan: Simptom dan Punca Kurang Darah Merah Berserta Rawatan

Kesimpulan

Akhir sekali, daripada perbincangan di atas jelaslah bahawa buah zaitun membawa pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Jika anda sudah mengalami sebarang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit lain, buah zaitun bukanlah menjadi alternatif kepada ubat anda. Anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Diharapkan artikel khasiat buah zaitun ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca.



Khasiat Makanan Yang Lain

MaduJambu BatuKangkung
Bawang MerahNanasTomato
Minyak ZaitunBayam BrazilKurma
Daun KariAnggurEpal
KunyitKunyit Hitam
Ulam RajaBayam

Rujukan

  1. Aprile, A., Negro, C., Sabella, E., Luvisi, A., Nicolì, F., Nutricati, E., Vergine, M., Miceli, A., Blando, F., & De Bellis, L. (2019). Antioxidant Activity and Anthocyanin Contents in Olives (cv Cellina di Nardò) during Ripening and after Fermentation. Antioxidants, 8(5).
  2. Juven, B., & Henis, Y. (1970). Studies on the Antimicrobial Activity of Olive Phenolic Compounds. Journal of Applied Bacteriology, 33(4), 721–732.
  3. Omar, S. H. (2010). Oleuropein in Olive and its Pharmacological Effects. Scientia Pharmaceutica, 78(2), 133–154.
  4. Omar, S. H. (2019). Mediterranean and MIND Diets Containing Olive Biophenols Reduces the Prevalence of Alzheimer’s Disease. International Journal of Molecular Sciences, 20(11).
  5. Owen, R. W., Haubner, R., Würtele, G., Hull, W. E., Spiegelhalder, B., & Bartsch, H. (2004). Olives and olive oil in cancer prevention. European Journal of Cancer Prevention, 13(4), 319–326.
  6. Shannon, O. M., Stephan, B. C. M., Minihane, A.-M., Mathers, J. C., & Siervo, M. (2018). Nitric Oxide Boosting Effects of the Mediterranean Diet: A Potential Mechanism of Action. The Journals of Gerontology: Series A, 73(7), 902–904.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × two =