Pesakit dengan tekanan darah tinggi selalu dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan garam dan makan makanan yang boleh membantu mengawal tekanan darah. Bagaimana pula dengan makanan untuk tekanan darah rendah? Artikel ini akan membincangkan 10 makanan untuk meningkatkan tekanan darah rendah.
Pengenalan
Tekanan darah merujuk kepada tekanan peredaran darah ke atas dinding pembuluh arteri yang disebabkan oleh pergerakan denyutan jantung. Jantung mengepam darah ke seluruh tubuh badan dan memerlukan tekanan yang stabil untuk memastikan organ menerima bekalan oksigen yang mencukupi melalui aliran darah.
Bacaan tekanan darah yang normal adalah diantara 90/60 mmHg sehingga 140/90 mmHg. Seseorang dikatakan mengalami hipotensi atau tekanan darah yang rendah apabila bacaan tekanan darah di bawah 90/60 mmHg. Tekanan darah yang terlalu rendah boleh menyebabkan kekurangan aliran darah dan bekalan oksigen kepada organ-organ badan.
Keadaan ini boleh mengakibatkan komplikasi kepada jantung dan otak termasuk mendapat serangan jantung dan strok ataupun kegagalan buah pinggang.
Punca Tekanan Darah Rendah
- Ubat-ubatan seperti ubat penenang
- Anemia (kurang darah merah)
- Jangkitan kuman
- Kehamilan
- Masalah jantung
- Mengalami dehidrasi
Artikel Berkaitan: Punca Tekanan Darah Rendah
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom tekanan darah rendah
- Pening
- Loya atau muntah
- Pengsan
- Kurang daya tumpuan
- Murung
- Lemah
- Kulit berpeluh, sejuk dan pucat
- Penglihatan kabur
- Rasa dahaga dan dehidrasi
- Rasa kehendak tumbang ketika berdiri
- Kaki kebas/sakit
10 makanan untuk tekanan darah rendah
1. Air
Dehidrasi adalah salah satu penyebab tekanan darah rendah. Apabila badan kekurangan air, isipadu darah juga berkurang dan darah menjadi lebih pekat. Ini melambatkan pengaliran darah dan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah. Pengambilan air yang mencukupi iaitu saranan 6 hingga 8 gelas air kosong dalam sehari dapat memastikan badan sentiasa terhidrat dan boleh mencegah daripada tekanan darah rendah.
2. Makanan yang mengandungi air
Selain minum air kosong, pengambilan makanan dengan kandungan air yang tinggi juga boleh menyumbang kepada memenuhi keperluan air dalam sehari. Pengambilan makanan tinggi dengan air seperti timun, tomato, bayam, tembikai, oren dan epal boleh memastikan tubuh badan sentiasa sihat dan cergas dan menstabilkan tekanan darah.
3. Garam
Pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan risiko mendapat beberapa jenis penyakit termasuk tekanan darah tinggi. Walaubagaimanapun pengambilan garam yang sederhana boleh membantu meningkatkan tekanan darah pada orang yang mengalami tekanan darah rendah. Anda boleh menambahkan satu sudu kecil garam ke dalam masakan untuk mendapat manfaat ini.
4. Makanan yang mengandungi garam
Selain memasukkan garam ke dalam masakan, makan makanan yang mengandungi garam juga mampu membantu meningkatkan tekanan darah rendah. Antara sumber garam daripada makanan adalah buah zaitun, ikan bilis kering, keju dan jeruk.
Walaubagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil makanan yang mengandungi garam secara berlebihan kerana boleh menyebabkan tenakan darah tinggi pula.
5. Kafein
Minuman berkafein seperti teh dan kopi boleh membantu meningkatkan tekanan darah. Oleh itu, apabila tekanan darah anda turun secara tiba-tiba, pengambilan satu cawan minuman berkafein seperti kopi, teh atau minuman berkoko boleh meningkatkan tekanan darah rendah. Namun kajian menunjukkan kesan kopi dalam meningkatkan tekanan darah adalah sementara dan hanya berlaku kepada orang yang jarang minum kopi.
6. Makanan tinggi dengan vitamin B12
Vitamin B12 mempunyai peranan yang sangat penting dalam pembentukan sel darah merah. Pengambilan vitamin B12 yang mencukupi boleh mencegah daripada anemia ataupun keadaan kurang darah merah yang menjadi salah satu punca tekanan darah rendah.
Oleh itu, pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin B12 juga boleh melindungi daripada tekanan darah rendah. Antara makanan yang tinggi dengan vitamin B12 adalah ayam, telur, daging, ikan dan produk tenusu seperti susu dan keju.
7. Makanan tinggi folat
Selain vitamin B12, folat juga adalah nutrien yang penting untuk mencegah anemia. Folat berperanan dalam metabolisme asid amino yang diperlukan dalam pembentukan sel darah merah.
Diet yang kurang dengan folat boleh meningkatkan risiko anemia yang mampu menyebabkan tekanan darah rendah. Antara makanan-makanan yang kaya dengan folat adalah sayuran berdaun hijau, brokoli, kekacang, telur dan hati ayam.
8. Kuning telur
Telur adalah makanan yang kaya dengan vitamin B12 dan juga folat. Satu biji telur mengandungi 0.6µg vitamin B12 yang menyumbang kepada 23% keperluan vitamin B12 dalam sehari dan juga 22mcg folat yang menyumbang kepada 6% keperluan folat dalam sehari.
Kebanyakan nutrien dalam telur tertumpu pada kuning telur termasuk kandungan vitamin B12 dan juga folatnya. Oleh itu, kuning telur adalah makanan yang baik untuk meningkatkan tekanan darah rendah.
9. Daging merah
Daging merah merupakan salah satu sumber zat besi yang baik. Zat besi digunakan oleh badan untuk menghasilkan hemoglobin, iaitu pigmen penting di dalam sel darah merah. Zat besi di dalam daging merah adalah jenis zat besi heme yang dapat diserap dengan mudah oleh tubuh badan.
Pengambilan daging merah yang rendah boleh meningkatkan risiko anemia terutamanya dalam kalangan wanita usia subur. Oleh itu, pengambilan daging merah yang mencukupi boleh mengurangkan risiko tekanan darah rendah akibat anemia.
10. Lemon
Lemon berkesan untuk mencegah tekanan darah rendah terutamanya yang disebabkan oleh dehidrasi. Lemon tinggi dengan kandungan antioksida dan vitamin C yang membantu melancarkan pengaliran darah lalu menstabilkan tekanan darah. Campurkan air ke dalam jus lemon dan masukkan sedikit madu dan garam untuk kesan yang lebih efektif.
Artikel Berkaitan: Khasiat Air Lemon Pada Kesihatan Badan
Kesimpulan
Akhir sekali, jelaslah bahawa salah satu cara untuk meningkatkan tekanan darah rendah dan mengurangkan simptomnya adalah dengan makan 10 makanan yang disebutkan dalam artikel ini. Selain pilihan makanan, orang yang mengalami tekanan darah rendah juga disarankan untuk makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.
Pengambilan kuantiti makanan yang sedikit pada suatu masa menstabilkan metabolisme badan dan mencegah penurunan tekanan darah selepas makan. Diharapkan artikel 10 makanan untuk tekanan darah rendah ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.
Rujukan
- Geleijnse, J. M. (2008). Habitual coffee consumption and blood pressure: An epidemiological perspective. Vascular Health and Risk Management, 4(5), 963–970.
- Khan, K. M., & Jialal, I. (2021). Folic Acid Deficiency. In StatPearls. StatPearls Publishing.
- Malaysian Dietary Guidelines (2010) National Coordinating Committee on Food and Nutrition. Ministry of Health Malaysia.
- Monsen, E.R. (1988). Iron nutrition and absorption: Dietary factors which impact iron bioavailability. – Abstract—Europe PMC.