Pernahkan anda mendengar tentang kanser lidah? Pasti jarang bukan? Namun begitu, kanser lidah ini sering terjadi kepada perokok tegar. Kanser lidah tergolong dalam kanser oral, bersama dengan kanser mulut dan kanser bibir.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Kanser lidah adalah sejenis kanser yang bermula daripada sel pada lidah dan menyebabkan ketumbuhan dan perubahan pada lidah. Ia merupakan salah satu jenis kanser di bawah kanser kepala dan leher.
Kanser lidah boleh terjadi di bahagian hadapan lidah, yang dipanggil oral tongue cancer. Ia juga boleh terjadi di bahagian dasar lidah iaitu di bawah mulut. Ini dipanggil oropharyngeal cancer.
Squamous cell carcinoma adalah jenis kanser lidah yang paling kerap ditemui. Kanser jenis ini berlaku:
- Di permukaan lidah
- Dinding mulut, hidung, larynx, thyroid dan tekak
- Dinding saluran pernafasan dan pencernaan
Kesemua bahagian diatas dilitupi sel squamous.
Tahap dan gred kanser
Kanser ini diklasifikasikan menggunakan tahap dan gred. Tahap menentukan sejauh mana kanser telah merebak. Setiap tahap mempunyai 3 subklasifikasi:
- T merujuk kepada saiz tumor, T1 saiz tumor kecil dan T4 saiz tumor besar
- N merujuk kepada sekiranya kanser telah ataupun tidak merebak ke biji limfa bahagian leher. N0 bermakna belum merebak, N3 bermakna telah merebak ke banyak biji limfa.
- M merujuk kepada sekiranya sudah terdapat metastases(kanser merebak ke bahagian badan lain)
Gred kanser pula merujuk kepada keagresifan kanser dan kebarangkalian untuk merebak.
- Rendah (membesar dengan perlahan dan rendah kebarangkalian untuk tersebar)
- Sederhana
- Tinggi (sangat agresif dan mudah merebak)
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca kanser lidah
Penyebab kanser lidah masih lagi belum diketahui. Namun begitu, sesetengah keadaan boleh meningkatkan risiko seperti:
- Merokok
- Kerap mengunyah tembakau
- Pengambilan alkohol berlebihan
- Jangkitan virus HPV iaitu sejenis penyakit kelamin
- Mengunyah sirih
- Sejarah kanser lidah atau mulut dalam keluarga
- Sejarah kanser lain
- Diet yang kurang buahan dan sayuran
- Kebersihan mulut yang teruk
Kanser ini kerap terjadi di kalangan lelaki yang berusia terutamanya mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas.
Simptom Kanser Lidah
Di tahap awal, pesakit mungkin tidak mempunyai apa apa gejala. Tanda awal kanser lidah adalah luka pada lidah yang tidak sembuh dan sering berdarah. Pesakit juga mengalami sakit pada lidah dan mulut.
Simptom lain adalah:
- Tompok putih atau merah pada lidah
- Ulser lidah yang berlarutan
- Sakit sewaktu menelan
- Kebas mulut
- Sakit tekak berpanjangan
- Pendarahan dari lidah tanpa diketahui punca
- Benjolan pada lidah
Ujian Pengesahan
Doktor akan mengambil maklumat terperinci tentang sejarah perubatan anda dan keluarga, sekiranya anda merokok dan mengambil alkohol, ujian jangkitan virus HPV. Kemudian doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal di dalam mulut untuk mengenal pasti tanda kanser sepeti ulser berlarutan. Doktor juga akan memeriksa biji limfa di sekitar leher.
1. Biopsi
Seterusnya, jika doktor menemui sebarang tanda kanser, biopsi akan dilakukan bagi mengambil sedikit tisu untuk dihantar makmal bagi ujian. Jenis biopsi yang dilakukan adalah incisional biopsy yang dijalankan menggunakan bius.
2. Ujian CT scan atau MRI
Pesakit yang telah disahkan mengalami kanser ini, perlu melakukan ujian CT dan MRI scan bagi menentukan sama ada kanser tersebut telah merebak ke bahagian badan yang lain.
Rawatan
Rawatan diberikan bergantung kepada saiz tumor dan sejauh mana kanser telah merebak. Anda mungkin memerlukan samada satu jenis rawatan sahaja ataupun kombinasi beberapa rawatan yang lain.
1. Pembedahan
Kanser lidah di tahap awal biasanya belum merebak dan boleh dirawat menggunakan pembedahan kecil bagi membuang kawasan kanser. Ketumbuhan yang lebih besar mungkin memerlukan pembedahan yang lebih rumit dipanggil partial glossectomy iaitu membuang sebahagian lidah.
Jika doktor membuang sebahagian besar lidah anda, anda mungkin memerlukan pembedahan rekonstruksi. Dalam pembedahan ini, doktor akan mengambil sebahagian tisu atau kulit dari bahagian badan lain dan menggunakannya untuk membina kembali lidah anda. Tujuan glossectomy dan pembedahan rekonstruksi adalah untuk membuang kanser tanpa melakukan kerosakan yang banyak di dalam mulut anda.
Glossectomy mempunyai beberapa kesan sampingan serius seperti perubahan cara makan, bernafas, bercakap dan menelan. Terapi percakapan akan membantu pesakit belajar bercakap.
Jika kanser telah merebak ke biji limfa, ia juga terpaksa dibuang.
2. Radioterapi
Jika saiz ketumbuhan besar dan kanser telah merebak, kombinasi pembedahan membuang kanser dan radiasi diperlukan bagi memastikan semua sel kanser telah dibuang atau mati. Ini menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering dan perubahan deria rasa.
Doktor juga mungkin akan menyarankan anda kemoterapi untuk rawatan kanser, bersama pembedahan dan radioterapi.
Cara mengelakkan kanser lidah
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan kanser ini daripada berlaku:
- Elakkan merokok dan mengunyah tembakau
- Elakkan pengambilan alkohol berlebihan
- Elakkan mengunyan sirih
- Ambil suntikan vaksin HPV
- Amalkan seks selamat terutamanya seks oral
- Amalkan pengambilan buahan dan sayuran
- Pastilan berus gigi setiap hari dan amalkan flos gigi
- Jumpa doktor gigi setiap 6 bulan
Kesan jangka panjang
Pesakit yang mempunyai kanser yang telah merebak ke bahagian badan lain mempunyai peluang hidup dalam 5 tahun sebanyak 36%, manakala pesakit dengan kanser yang merebak di sekitar lidah mempunyai peluang hidup sebanyak 63% manakala pesakit dengan kanser yang belum merebak mempunyai 78% peluang untuk hidup dalam 5 tahun.
Dengan diagnosis dan rawatan awal, peluang hidup dapat ditingkatkan kerana rawatan dimulakan sebelum kanser merebak ke tempat lain.
Masalah Kanser yang lain
Rujukan
- Tongue cancer – Healthline