Skip to content

10 Khasiat Buah Zaitun Pada Kesihatan Badan

Apakah khasiat buah zaitun? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah zaitun pada kesihatan badan, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Pengenalan

“Demi buah Tin dan Zaitun’, sedemikian ayat pertama surah At-Tin dalam Al-Quran. Buah Zaitun merupakan buah yang disebut-sebut dalam kitab Al-Quran bagi umat Islam. Hal ini demikian kerana, buah Zaitun banyak kelebihannya dalam meningkatkan kesihatan manusia.

Buah zaitun atau nama saintifiknya Oleaurofea dikatakan merupakan tanaman tertua di dunia. Rekod sejarah menunjukkan pokok zaitun telah digunakan sejak zaman purba Mesir. Pokok zaitun mempunyai pelbagai fungsi bukan sahaja pada buah malahan daun dan batangnya juga turut diproses.



Buah zaitun boleh dimakan secara segar atau dijerukkan, selain ia diekstrak untuk dijadikan minyak. Kualiti zaitun yang terbaik dihasilkan di Greece tetapi pengeluar terbesar minyak adalah di Itali dan Sepanyol. Daun pokok zaitun dijadikan teh oleh masyarakat Timur Tengah dan batangnya boleh dibuat perabot.

Banyak manfaat dari buah zaitun yang mampu meningkatkan kesihatan. Buah zaitun kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral serta ia juga rendah kalori. Minyak yang dihasilkan juga mengandungi lemak baik yang mampu mengurangkan risiko kenaikan paras kolesterol.

NutrientUnitPer 100g
TenagaKcal88
Karbohidratg8.9
Proteing1.1
Lemakg5.5
Seratg3.2
Kalsiummg137
Zat besimg1.1
Kaliummg291
Fosforusmg31
Vitamin Cmg2.9
Thiamin (B1)mg0.03
Niacin (B3)mg5
Retinol Equivalentµg88
Caroteneµg527

Komponen Sihat Dalam Buah Zaitun

Apa yang membuatkan zaitun dikatakan berkhasiat? Buah zaitun mengandungi beberapa kandungan yang sangat diperlukan pada tubuh badan dan dapat meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Antara kandungan tersebut adalah:

1. Mineral

Mineral yang terkandung dalam zaitun adalah seperti kalium, fosforus, kalsium dan banyak lagi. Jika dilihat pada kandungan nutrisi buah zaitun, ternyata sumber-sumber mineral ini agak tinggi terutamanya kalium dan kalsium. Kalium adalah mineral yang penting dalam penjagaan jantung dan kesihatan kardiovaskular. Ia juga bertindak sebagai komponen anti-hypertensi, iaitu merendah dan mengawal tekanan darah serta mengawal pergerakan otot. Kalsium pula terlibat dalam penjagaan tulang iaitu menguat dan mengukuhkan jisim tulang di samping turut mempunyai fungsi dalam sistem saraf manusia.



2. Lemak tidak tepu

Lemak adalah makronutrien yang diperlukan oleh tubuh tetapi jika diambil berlebihan akan menjadi mudarat. Lemak terbahagi kepada dua jenis iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tidak tepu merupakan lemak yang baik dan tidak meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL) dalam tubuh badan kita. Buah zaitun kaya dengan omega 3 dan lemak mono tidak tepu yang dapat mengurangkan risiko peningkatan kolesterol jahat yang boleh menyebabkan beberapa penyakit kardiovaskular.

3. Kompaun tumbuhan

Mengikut kajian, buah zaitun memiliki beberapa kompaun tumbuhan yang merupakan salah satu bahan antioksida yang berfungsi dalam penjagaan kesihatan. Antara kompaun tersebut ialah oleuropein, hydroxytyrosol, tyrosol, oleanolic acid dan quercetin. Oleuropein kebanyakannya terkandung dalam buah zaitun segar dan yang belum masak. Apabila buah zaitun matang dan ranum, oleuropein ini akan bertukar kepada hydroxytyrosol. Kesemua kompaun ini memiliki manfaat berlainan terhadap kesihatan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

10 Khasiat Buah Zaitun

Memandangkan zaitun mengandungi beberapa komponen penting pada kesihatan, ia sekali gus memberi khasiat dan impak positif pada keseluruhan tubuh badan. Antara khasiat zaitun yang dapat dirungkaikan adalah:

1. Aktiviti antioksidan

Zaitun mengandungi beberapa bahan antioksida seperti phenol yang terdiri daripada oleuropein dan hydroxytyrosol yang bertanggungjawab untuk melindungi sel-sel dan tisu badan daripada bahan radikal bebas, kebanyakan disebabkan oleh faktor luaran seperti pencemaran, cahaya matahari dan sebagainya. Sel-sel yang teroksida oleh bahan radikal bebas selalunya akan berkembang menjadi tidak normal dan ini yang dapat meningkatkan beberapa penyakit seperti kanser, penyakit koronari dan sebagainya.

2. Mengawal tekanan darah



Buah zaitun mengandungi mineral seperti kalium dan sodium yang berfungsi dalam pengawalan tekanan darah. Kalium yang terkandung dalam buah zaitun agak tinggi berbanding sodium, maka ia mampu untuk merendahkan tekanan darah.

Menurut kajian klinikal yang dijalankan terhadap penggunaan ekstrak daun pokok zaitun untuk merawat hipertensi tahap satu, pengambilan dos sebanyak 500 mg dua kali sehari mampu memberi kesan efektif sama seperti rawatan alternatif yang diberikan kepada pesakit untuk merendahkan tekanan darah.

Artikel Berkaitan: Simptom Tekanan Darah Tinggi

3. Penjagaan kesihatan kardiovaskular dan jantung

Kesihatan jantung dan kardiovaskular berkait rapat dengan paras kolesterol dalam darah kita. Kolesterol terdiri daripada dua jenis iaitu kolesterol baik (HDL-C) dan kolesterol (LDL-C). Pengambilan lemak jahat seperti lemak tepu dan lemak trans menyebabkan peningkatan kolesterol jahat yang seterusnya menyempitkan saluran darah. Strok dan sakit jantung merupakan impak daripada penyempitan saluran darah ini.

Buah zaitun mengandungi lemak baik seperti lemak mono tidak tepu dan omega-3 yang mempunyai fungsi berlawanan daripada lemak tepu serta trans dengan meningkatkan paras kolesterol HDL. Peningkatan paras kolesterol baik membantu untuk menurunkan kolesterol jahat sekali gus merendahkan risiko penyakit kardiovaskular.

4. Anti-kanser

Sifat anti-kanser yang terdapat dalam buah zaitun adalah disebabkan aktiviti antioksida kompaun tumbuhan seperti fenolik dan polifenol. Aktiviti antioksida mampu memberi kesan anti-kanser dengan menghalang pertumbuhan sel abnormal yang menyerang sel-sel tubuh lain. Zaitun banyak digunakan dalam diet masyarakat Mediterranean dan insiden kanser dalam negara mereka sedikit rendah berbanding negara-negara maju lain.



5. Menjaga kekuatan tulang dan gigi

Zaitun tinggi dengan kalsium dan fosforus. Kedua-dua mineral ini saling bergandingan dalam membentuk jisim dan menjaga kekuatan tulang. Keseimbangan kedua-dua mineral ini dapat mengelakkan daripada terjadinya kerapuhan tulang atau osteoporosis.

Artikel Berkaitan: Punca Osteoporosis dan Rawatan

6. Bertindak sebagai anti-radang

Kajian menunjukkan zaitun mempunyai sifat yang boleh melawan keradangan. Zaitun mengandungi ‘phytochemical’ iaitu quercetin yang tinggi yang dapat bertindak sebagai anti-radang. Berdasarkan sifat anti-radang zaitun ini, ia berupaya untuk mencegah kita daripada mengalami masalah kesihatan yang berpunca daripada keradangan seperti kanser, sindrom metabolik (diabetes) dan penyakit kardiovaskular.

7. Mengawal paras gula darah

Terdapat pelbagai tumbuhan yang dikaji mengenai keupayaan aktiviti hipoglisemik mereka termasuklah zaitun. Keseluruhan pokok zaitun telah menunjukkan kesan yang baik terhadap kawalan gula darah dalam kedua-dua kajian yang melibatkan manusia dan haiwan. Menurut kajian, ekstrak daun zaitun mampu menstabilkan homeostasis glukosa dalam tubuh manusia dan sensitiviti insulin. Ini dapat mengurangkan risiko terjadinya penyakit diabetes.

Artikel berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan



8. Antimikrobial

Beberapa kajian menunjukkan sifat antimikrobial yang terkandung dalam zaitun dapat menghalang pertumbuhan beberapa bakteria seperti Helicobacter pylori, Eschericia coli, Listeria monocytogenes dan Salmonella enteriditis. Ekstrak minyak zaitun juga menunjukkan sifat antimikrobial yang baik pada bakteria Salmonella typi. Bakteria-bakteria ini dikategorikan sebagai bakteria gram negatif yang merisikokan infeksi penyakit kepada manusia seperti keracunan makanan.

9. Penjagaan kesihatan saraf

Tubuh badan kita memiliki berjuta-juta saraf yang berkomunikasi antara satu sama lain untuk menjalankan fungsi fisiologi. Semakin umur kita meningkat, semakin berkurangan jaringan saraf sekali gus risiko penyakit seperti Alzheimer menjadi tinggi.

Amalan buah dan minyak zaitun dalam diet Mediterranean dikatakan mampu untuk merendahkan risiko penyakit Alzheimer dalam golongan dewasa. Menurut kajian, satu bahan semula jadi dalam minyak zaitun iaitu oleocanthal yang mampu untuk memberi pelindungan pada struktur saraf manusia.

10. Melancarkan sistem penghadaman

Memandangkan zaitun tergolong dalam jenis buah-buahan, ia mengandungi serat larut yang tinggi. Serat larut berfungsi untuk mempercepatkan kadar pergerakan usus, melembutkan najis dengan menyerap air dan melancarkan perjalanan najis dalam usus. Hal ini sekali gus melawaskan dan mengelakkan kita daripada mengalami sembelit.

Zaitun sememangnya memiliki seribu satu khasiat seperti mana yang telah dinyatakan dalam kitab Al-Quran. Manfaat zaitun bukan sahaja terhad pada buah, malah keseluruhan pokoknya juga. Tidak hairan masyarakat negara di Timur Tengah telah lama menjadikan zaitun sebagai amalan harian kerana kepelbagaian fungsinya terhadap kesihatan manusia.



Diharapkan artikel khasiat buah zaitun ini dapat memberikan maklumat sedikit sebanyak kepada para pembaca.

Khasiat Buah yang Lain

Buah TembikaiBuah Betik
Buah KulimBuah Belimbing
Buah BidaraBuah Kiwi
Buah MarkisaBuah Jambu Air
Buah CikuBuah Tin
Buah PisangBuah Anggur
Buah EpalBuah Nanas
Buah DelimaBuah Jambu Batu
Buah Zaitun

Rujukan:

  1. Gorzynik-Debicka, M., Przychodzen. P., Capello. F., Kuban-Jankowska. A., Gammazza. M. A., Knap. N., & et al (2018). Potential health benefits of olive oil and plant polyphenols. International Journal of Molecular Sciences, 19, 1-13
  2. Ministry of Health Malaysia (1997). Malaysian Food Composition Database. Putrajaya: MOH.
  3. Nazzaro. F., Fratianni. F., Cozzolino. R., Martignetti. A., Malorni. L., Feo. D. V., Cruz. G. A., & et al. (2019). Antibacterial activity in three extra virgin olive oils of the Campania region, Southern Italy, related to their polyphenol content and composition. Microorganism, 7, 321
  4. Wainstein. J., Ganz. T., Boaz. M., Dayan. B. Y., Dolev. E., Kerem. Z., & et al (2012). Olive leaf extract as a hypoglycemic agent in both human diabetic subjects and in rats. Journal of Medicinal Food, 15(7), 605
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve − eight =