Skip to content

10 Khasiat Timun Jepun pada Kesihatan Badan

Apakah khasiat timun jepun pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat timun jepun, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalamnya

Pengenalan

Timun atau nama saintifiknya Cucumis sativus adalah daripada keluarga Cucurbitaceae. Pokok timun merupakan pokok herba semusim yang tumbuh secara menjalar dan memanjat serta mempunyai sulur paut yang kuat. Seluruh pokoknya ditutupi dengan bulu-bulu kasar. Pokok timun dipercayai berasal dari India Utara dan kini, penanamnya merangkumi semua kawasan beriklim tropika. Johor, Perak dan Terengganu merupakan kawasan-kawasan pengeluar utama di Semenanjung Malaysia.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis timun yang boleh ditemui iaitu timun biasa, timun jepun dan timun mini. Timun jepun merupakan ulam yang menjadi pilihan penduduk tempatan. Nama ini dipetik kerana timun ini sering ditemui dalam makanan orang Jepun iaitu sushi. Timun jepun mempunyai rasa yang enak dan rangup serta sangat sesuai dijadikan hidangan enak.



Namun demikian, tahukah anda bahawa timun jepun merupakan sumber botanikal yang dijadikan sebagai komponen dalam bidang perubatan dan bidang kosmetik. Pelbagai kajian dijalankan untuk mengenal pasti komponen penting dan khasiat terhadap kesihatan. Oleh itu, artikel kali ini akan membincangkan khasiat dalam timun jepun terhadap kesihatan.

Kandungan Nutrisi

Timun jepun yang dikategorikan sebagai sayuran sangat sesuai dijadikan sebagai snek terutamanya bagi golongan yang ingin menurunkan berat badan kerana rendah kalori tetapi mempunyai kandungan air yang banyak iaitu kira-kira 90%. Timun jepun mengandungi nutrien utama dan nutrien sampingan. Rajah 1 dibawah menunjukkan kandungan gizi dalam 100g timun jepun:

UnsurKadarUnsurKadar
Air95.6 gVitamin A200 mg
Karbohidrat3.0 gVitamin B10.04 mg
Protein0.8 gVitamin B20.05 mg
Lemak0.1 gVitamin C10.0 mg
Serat0.6 gKalsium10.0 mg
Asam Nikotenat0.18 mgFosforus21.0 mg
Kalium140 mgBesi0.3 mg

Rajah 1: Kandungan Gizi dalam 100g Timun Jepun

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Timun Jepun

Timun jepun mengandungi pelbagai sebatian aktif biologi yang dikenali sebagai fitokimia seperti alkaloid, flavonoid, tannin, steroids, saponin dan phlobatanin. Fitokimia penting dalam memberikan warna, rasa dan bau kepada tumbuhan serta menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan semulajadi.

Fitokimia juga berperanan dalam melindungi tumbuhan daripada sebarang bahaya di persekitaran seperti pencemaran, tekanan, kemarau, terdedah kepada sinaran ultraviolet dan serangan patogen. Selain itu, kehadiran fitokimia dalam timun jepun menunjukkan bahawa timun jepun mempunyai keupayaan untuk melawan radikal bebas kerana fitokimia merupakan sumber antioksidan.



Kesan antioksidan mempunyai sifat redoks iaitu keupayaan molekul dalam menyumbang elektron dan menerima elektron. Sifat redoks akan menentukan paras antioksidan dalam tumbuhan tersebut. Satu kajian telah dilakukan untuk mengkaji paras antioksidan dalam timun jepun. Rajah 2 dibawah menunjukkan kandungan fitokimia dalam 1g timun jepun.

FitokimiaKomposisi (mg/g)
Alkaloid2.22 + 0.96
Flavonoid2.14 + 0.56
Tannin1.26 + 0.07
Polifenol8.51 + 0.50
Saponin2.01 + 0.08
Fenol7.72 + 0.50
Polifenol8.51 + 0.50

Rajah 2: Kandungan Fitokimia dalam 1g Timun Jepun

10 Khasiat Timun Jepun Pada Kesihatan

1. Mempunyai Kesan Antioksidan

Timun jepun dikatakan mempunyai kesan antioksidan yang berupaya untuk mengurangkan risiko pelbagai penyakit. Antioksidan adalah molekul yang menghalang proses pengoksidaan. Proses pengoksidaan adalah tindak balas kimia yang menghasilkan atom yang sangat reaktif dan elektron yang bergerak bebas atau lebih dikenali sebagai radikal bebas.

Pengumpulan radikal bebas akan menyebabkan pelbagai penyakit kronik. Sebagai contoh, penyakit jantung, paru-paru, kanser dan penyakit autoimmuniti. Buah-buahan dan sayur-sayuran termasuklah timun jepun merupakan sumber antioksidan yang tinggi yang berpotensi dalam mengurangkan risiko penyakit kronik ini.

Ini kerana timun jepun mengandungi tannin dan flavonoid, dua kumpulan sebatian yang efektif dalam menghalang radikal bebas yang berbahaya. Satu kajian telah dilakukan terhadap satu kumpulan orang berusia 60tahun ke atas yang diberikan timun jepun dalam serbuk sebagai makanan tambahan. Setelah 30 hari, serbuk timun jepun menunjukkan peningkatan aktiviti antioksidan dan meningkatkan status antioksidan.

2. Meningkatkan Hidrasi

Seperti yang telah diketahui, air merupakan elemen penting dalam mengekalkan fungsi badan. Ini kerana air diperlukan untuk mengekalkan tubuh badan, penyerapan nutrisi dan merembeskan bahan buangan. Tambahan pula, tahap hidrasi dalam badan akan memberikan kesan kepada metabolisme dan juga kesihatan fizikal.



Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber air terbaik dalam pemakanan seharian. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji tahap hidrasi dan cara pemakanan telah dijalankan terhadap kanak-kanak. Kajian ini menunjukkan bahawa peningkatan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran meningkatkan tahap hidrasi dalam badan.

Tahukah anda bahawa komposisi air dalam timun jepun adalah sebanyak 96%. Pengambilan timun jepun akan peningkatkan tahap hidrasi dan memenuhi keperluan air dalam badan.

3. Membantu Dalam Mengurangkan Berat Badan

Pada zaman kini, pelbagai produk untuk mengurangkan berat badan telah dijual di pasaran. Namun demikian, semua produk ini akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan. Timun jepun adalah salah satu makan yang berpotensi dalam mengurangkan berat badan. Ini kerana timun jepun adalah makanan yang rendah kalori.

Kajian menunjukkan bahawa satu cawan timun jepun kira-kira 104g mengandungi 16 kcal. Ini bermakna timun jepun tidak memberikan kalori tambahan yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Jadi, timun jepun adalah pilihan terbaik untuk dimakan sebagai snek.

Tambahan pula, timun jepun yang ditambah dalam makanan seperti dalam sandwic akan memberikan rasa yang sedap dan rangup. Oleh kerana timun jepun mengandungi air, ianya akan memberikan rasa kenyang lebih cepat dan lama. Analisis telah dijalankan terhadap beberapa kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan makanan yang tinggi kandungan air tetapi rendah kalori akan mengurangkan berat badan.

4. Mengurangkan Paras Gula Dalam Darah

Beberapa kajian terhadap haiwan dan tabung uji menunjukkan bahawa timun jepun mampu mengurangkan paras gula dalam darah dan menghalang daripada komplikasi yang disebabkan oleh penyakit kencing manis.Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan kesan pengambilan tumbuh-tumbuhan terhadap paras gula dalam darah.



Timun jepun merupakan salah satu sumber makanan yang mampu menurunkan paras gula dalam darah kepada paras normal. Satu lagi kajian terhadap haiwan yang mempunyai penyakit kencing manis diberikan ekstrak kulit timun jepun sebagai makanan tambahan.

Ekstrak tersebut mampu membalikkan semula perubahan yang disebabkan oleh penyakit kencing manis dan mengurangkan paras gula dalam darah. Selain itu, satu kajian tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak timun jepun mengurangkan tekanan oksidatif dan menghalang komplikasi yang disebabkan oleh penyakit kencing manis. Namun demikian, masih tiada kajian terhadap manusia telah dilakukan.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing manis dan Rawatan

5. Menghalang Penyakit Sembelit

Pengambilan timun jepun dalam diet seharian mampu mengelakkan penyakit sembelit. Ini kerana masalah kekurangan air dalam badan merupakan salah satu risiko kepada sembelit kerana akan mengubah keseimbangan air dalam badan dan menyebabkan kesukaran dalam proses perkumuhan. Timun jepun tinggi dengan kandungan air dan meningkatkan hidrasi.

Apabila paras hidrasi dalam badan pada tahap yang baik, ini akan meningkatkan tahap konsisten najis, menghalang penyakit sembelit dan mengekalkan keteraturan. Tambahan pula, timun jepun mengandungi serat yang mengawal pergerakan usus iaitu pektin. Satu kajian yang membabitkan 80 peserta yang diberikan makanan tambahan yang mengandungi pektin. Kajian mendapati bahawa pektin mempercepatkan pergerakan otot dalam usus kecil dan bertindak sebagai makanan kepada bakteria baik untuk meningkatkan kesihatan sistem pencernaan.

Artikel Berkaitan: Punca Sembelit dan Rawatan

6. Kesan Anti Bakteria



Timun jepun turut mempunyai keupayaan dalam melawan bakteria. Satu kajian telah dijalankan terhadap ekstrak timun jepun dalam melawan mikroorganisma. Keputusan daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa ekstrak timun jepun mempunyai kesan anti bakteria kerana berupaya dalam melawan bakteria Staphylococcus aureus dan Klebsiella pneumoniae.

Ini kerana timun jepun mengandungi saponin yang menyumbang kepada tinggi kesan anti bakteria. Bakteria jahat ini menyebabkan kerintangan terhadap antibiotik justeru, keupayaan dalam melawan bakteria ini akan meningkatkan tahap imunisasi badan.

7. Kesan Anti Keradangan

Kandungan fitokimia seperti polifenol, flavonoid dan antosianin dalam timun jepun menghasilkan kesan anti keradangan dengan menghalang tindakan enzim yang menyebabkan keradangan. Selain itu, ketiga-tiga fitokimia ini meningkatkan kesan antioksidan dan menghalang radikal bebas yang menggalakkan keradangan. Satu kajian telah dijalankan untuk mengetahui komposisi fitokimia dalam timun jepun.

Berdasarkan kajian tersebut, 1g timun jepun mengandungi 8.51 + 0.50 mg polifenol, 2.14 + 0.56 flavonoid dan 1.21 + 0.39 antosianin. Kajin lain yang dilakukan terhadap haiwan menunjukkan bahawa keupayaan anti keradangan dalam timun jepun sangat menggalakkan sehingga produk berasaskan timun jepun dihasilkan. Produk tersebut dikatakan seperti ubat sintetik anti keradangan dalam mengurangkan masalah keradangan.

8. Menghalang Penyakit Gout

Penyakit gout berlaku disebabkan oleh pengambilan makanan yang tinggi purin dan juga ketidakupayaan badan dalam menyingkirkan asid urik. Timun jepun dikategorikan sebagai makanan rendah purin kerana kandungan purin iaitu hanya kira-kira 7.3 mg purin dalam setiap 100g timun jepun.

Manakala makanan tinggi purin seperti ikan bilis, mengandungi 411 mg purin untuk setiap 100g ikan bilis. Selain itu, kandungan air yang tinggi dalam timun jepun membantu dalam menyingkirkan asid urik dari badan. Kedua-dua perkara ini penting bagi mengelakkan paras asid urik dalam badan menjadi tinggi.



Artikel Berkaitan: Punca Gout dan Rawatan

9. Menjaga Kesihatan Kulit

Penggunaan timun jepun dalam bidang kecantikan tidak asing lagi. Ini kerana sejak zaman dahulu, timun jepun dihiris dan dijadikan sebagai pelitup mata. Timun jepun digunakan untuk mengurangkan mata bengkak kerana timun jepun bertindak sebagai ais yang menyejukkan mata. Kesan sejuk daripada timun tersebut membantu dalam melebarkan saluran darah dan mengurangkan mata bengkak. Selain itu, timun jepun membantu dalam merawat selaran matahari dan masalah kulit. Ini kerana timun jepun mengandungi air, kalium, sulfat serta vitamin A dan C yang melembapkan kulit.

10. Mengawal Tekanan Darah

Berdasarkan kajian, timun jepun mengandungi kira-kira 140 mg kalium untuk setiap 1g dan hanya 4 mg natrium untuk. Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit menyatakan bahawa pengurangan pengambilan natrium dan peningkatan pengambilan kalium dapat mengawal tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan dengan jantung.

Artikel Berkaitan: Punca Tekanan Darah Tinggi

Penutup

Timun jepun adalah salah satu sayuran yang serba guna secara topikal dan secara dalaman dalam mempertingkatkan tahap kesihatan manusia. Oleh itu, para pembaca sangat digalakkan untuk mengamalkan timun jepun dalam diet seharian kerana sayuran ini bukan sahaja mempunyai rasa yang sedap dan rangup tetapi dapat memberikan manfaat kepada tubuh badan kita. Mungkin, lebih banyak resepi yang menggunakan timun jepun boleh diolah agar dapat menarik lebih ramai orang untuk mendapat kebaikan daripada timun jepun.

Diharapkan artikel khasiat timun jepun ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan khasiat timun jepun ini dan manfaatnya pada kesihatan tubuh badan.



Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan:

  1. Agatemor, M.M.U., Anosike, C.A., & Nwodo, O.F.C. (2015). Anti-Inflammatory Activity of Cucumis sativus L. British Journal of Pharmaceutical Research, 8(2), 1-8. ISSN: 2231-2919
  2. Agatemor, U.M.M., Nwodo, O.F.C., & Anosike, C.A. (2018). Phytochemical and Proximate Composition of Cucumber (Cucumis sativus) Fruit from Nsukka,      Nigeria. African Journal of Biotechnology, 17(38), 1215-1219.
  3. Foong, F.H.N., Mohammad, A., & Ichwan, S.J.A. (2014). Biological properties of Cucumber (Cucumis sativus L.) Extracts. Malaysian Journal of Analytical      Sciences, 19(6), 1218-1222. ISSN: 1394-2506
  4. Kashiwagi, M. (2009). Japanese Cucumber. Grower Talks.
  5. Link, R. (2017). 7 Health Benefits of Eating Cucumber. Healthline.
  6. Mohd Yusoff, Z., Abd Razzak, M. (2016). Penyelidikan Tentang Makanan: Perspektif      Nawabi dan Saintifik. Academi Pengajian Islam, 1-231. ISBN: 978-967-5534 52-2
  7. Timun. (2019). MY Agro.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + 3 =