Permakanan

10 Khasiat Buah Markisa yang anda Perlu Tahu

khasiat buah markisa

Apa Itu Buah Passiflora edulis (buah markisa) dan apakah khasiat buah ini terhadap kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah markisa, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam buah ini.

Pengenalan

Pokok Markisa atau dikenali sebagai buah susu, merupakan sejenis pokok yang menjalar dan mengeluarkan sulur paut dari pangkal daun. Bentuk daunnya bulut membujur dan rata di tepi. Markisa ataupun nama saintifiknya (Passiflora edulis) merupakan sejenis tanaman dari genus (Passiflora) dalam keluarga (passifloraceae). Pokok markisa ini terdapat di kebanyakkan negara-negara tropika dan sub-tropika seperti Australia, India, Kenya, new Zealand dan Hawaii. Markisa ditanam secara komersial di negara-negara berkenaan. Markisa berkulit warna kuning (Passiflora edulis f.flvicarpa) dan buah markisa berkulit warna ungu (Passiflora edulis sim) adalah dua varieti pokok markisa yang biasa ditanam.

Buah markisa boleh didapati sepanjang tahun tetapi puncak pengeluarannya ialah diantara bulan Disember hingga Januari dan di antara bulan Julai hingga Ogos. Apabila buah markisa jatuh dari tangkainya secara semulajadi merupakan indeks kematangan komersial bagi buah tersebut. Setelah itu, barulah buah markisa boleh dituai. Ini selalunya terjadi selepas 75 hari selepas proses pendebungaan. Buah markisa mempunyai rasa yang sedikit masam dan manis tetapi boleh dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan sebagai minuman. Selain itu, buah markisa juga boleh dijadikan hem, agar-agar, perasa ataupun campuran kepada yoghurt dan aiskrim.

Komponen Penting Dalam Buah Markisa

Asid organik memainkan peranan penting terhadap buah markisa kerana mempengaruhi sifat organoleptik iaitu sifat yang mengambil kira aspek rasa, warna dan juga aroma. Terdapat tiga jenis asid organik pada buah markisa iaitu asid sitrik, asid malik dan asid asetik tetapi jumlah ketiga-tiga asid ini adalah berbeza.

Asid Sitrik

Asid sitrik merupakan kandungan asid organik paling tinggi dalam buah markisa. Asid sitrik adalah asid organik lemah yang terhasil dengan semulajadi dan sangat larut dalam air. Asid sitrik digunakan sebagai bahan tambahan kepada minuman untuk menambahkan lagi rasa dan meningkatkan kestabilan dalam minuman ringan serta sirup. Asid sitrik juga digunakan untuk menghalang perubahan warna disebabkan oleh proses pengoksidaan.

Asid Malik

Asid malik adalah asid organik kedua tertinggi dalam buah markisa selepas asid sitrik. Asid malik acap kali digunakan untuk merawat masalah mulut kering selain daripada fibromyalgia, keletihan dan masalah kulit. Asid malik juga digunakan sebagai bahan perasa untuk memberikan rasa dan digunakan untuk mengawal tahap keasidan bahan kosmetik. Asid malik terlibat dalam kitaran Kreb iaitu proses dimana badan menghasilkan tenaga. Rasa yang masam dan berasid membantu untuk menanggalkan sel kulit mati apabila disapu pada kulit. Rasa yang masam membantu untuk menghasilkan lebih banyak air liur untuk mengelakkan masalah mulut kering.

Asid sitrik dan asid malik menyebabkan rasa masam dalam buah markisa. Kedua-dua asid ini mempunyai peranan penting untuk menghasilkan sel pada buah tersebut dan juga kepada tubuh badan manusia. Asid sitrik dan asid malik adalah kayu pengukur kepada kesegaran buah-buahan serta menilai kualiti produk bidang pertanian.

Asid Asetik

Asid asetik memberikan kesan positif terhadap kesihatan badan selain daripada digunakan sebagai bahan untuk menambah perasa. Asid asetik mempunyai kesan anti mikroorganisma dan digunakan untuk merawat penyakit seperti kulat kuku, ketuat serta jangkitan telinga. Selain itu, asid asetik digunakan untuk merawat jangkitan kulit dan kulit terbakar. Asid asetik juga digunakan untuk mengurangkan berat badan. Asid asetik melambatkan proses pencernaan iaitu rasa kenyang lebih lama, mengurangkan pengambilan kalori dan membantu untuk mengurangkan berat badan.

Selain daripada asid organik, buah markisa mengandungi fenolik dan flavonoid yang merupakan fitokimia yang bertanggungjawab terhadap kapasiti antioksidan. Tumbuhan yang mempunyai polifenol menunjukkan tindak balas yang menghalang proses pengoksidaan. Kandungan fenolik, tanin dan flavonoid yang tinggi membuktikan keupayaan kesan antioksidan juga tinggi. Satu kajian menunjukkan bahawa fitokimia seperti sistin, glutation, asid askorbik, tokoferol, flavonoid, tanin dan amina aromatik berjaya mengurangkan dan menghapuskan warna DPPH. Ini bermaksud fitokimia ini mampu untuk melawan radikal bebas DPPH. Melalui kajian yang menggunakan FRAP, kandungan polifenolik terkandung dalam ekstrak buah markisa menyebabkan radikal bebas menjadi stabil.

Kandungan Nutrisi Dalam Buah Markisa

Menariknya buah markisa ini, kerana komponen nutrisi utama yang terkandung didalamnya iaitu serat, karbohidrat, lemak, asid karbosilik, polifenol, protein, vitamin dan mineral. Untuk setiap 100g bahagian yang boleh dimakan markisa mengandungi kandungan nutrisi penting seperti Rajah 1 dibawah:

Air75g
Karbohidrat15 – 20g
Protein2.2 – 2.5g
Lemak0.75 – 1.5g
Kanji2.5 – 3.5g
Serat10.4g
Abu0.6 – 0.8g
Unsur Surih1.5 – 2.5g

Rajah 1: Kandungan Nutrisi Penting Markisa Segar

Buah markisa mengandungi asid lemak tepu yang rendah tetapi tinggi dengan asid lemak tidak tepu. Asid lemak tepu adalah lemak yang kurang sihat kerana boleh meningkatkan aras jumlah kolesterol darah dan aras kolesterol LDL (kolesterol jahat). Manakalan asid lemak tak tepu adalah lemak yang lebih sihat kerana berpotensi untuk mengekalkan aras kolesterol-HDL (kolesterol baik) sambil menurunkan aras kolesterol-LDL.

Kandungan serat yang tinggi membantu untuk mengurangkan kolesterol dalam badan kerana serat bertindak seperti jaring yang menghalang penyerapan kolesterol ke dalam saluran darah. Tambahan pula, serat tidak larut akan bertindak sebagai julap yang melindungi dinding perut dengan mengurangkan masa dinding perut terdedah kepada bahan toksik dan bahan kimia yang menyebabkan kanser.

Buah markisa mempunyai kandungan abu yang tinggi berbanding dengan buah komersial yang lain seperti buah oren, pisang dan betik. Kandungan abu yang tinggi menunjukkan bahawa buah markisa mengandungi mineral yang penting untuk badan. Unsur surih pula adalah elemen diet dalam kuantiti kecil yang diperlukan untuk pertumbuhan, perkembangan dan fisiologi organisma.

Selain daripada kandungan nutrisi penting, buah markisa juga mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi. Untuk setiap 100g bahagian buah markisa yang boleh dimakan mengandungi kandungan vitamin dan mineral seperti Rajah 2 dibawah:

Vitamin A1274 IU
Vitamin B2 (Riboflavin)0.13 mg
Vitamin B3 (Niasin)1.5 mg
Vitamin B6 (Piridoksin)0.1 mg
Vitamin B9 (Folat)14 ug
Vitamin C30 mg
Kalium348 mg
Kalsium12 mg
Zat Besi1.6 mg
Magnesium29 mg
Fosforus68 mg

Rajah 2: Kandungan Vitamin dan Mineral dalam Buah Markisa

Kandungan vitamin A, vitamin B dan vitamin C dalam buah markisa membantu dalam meningkatkan kesihatan tubuh badan. Vitamin A diperlukan untuk mengekalkan kesihatan kulit dan lapisan membran serta melindungi daripada kanser paru-paru dan kanser mulut. Vitamin B digunakan untuk menjaga sistem saraf, sumber tenaga, menghasilkan hormon dan menghantar oksigen ke seluruh badan.

Manakala vitamin C pula membantu meningkatkan imunisasi badan dalam melawan penyakit berjangkit dan radikal bebas yang bahaya kepada kesihatan.

Masalah kekurangan kalium selalu terjadi kerana kalium paling banyak ditemui dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Kalium adalah komponen penting bagi sel badan dan cecair dalam badan serta membantu untuk mengatur denyutan jantung dan tekanan darah.

Buah markisa merupakan sumber zat besi yang baik dalam kumpulan tumbuhan. Apabila dibandingkan dengan bijirin dan juga sayuran yang tinggi dengan zat besi, kumpulan vegetarian akan memperoleh zat besi yang mencukupi dengan menambahkan buah markisa kepada diet seharian. Kandungan vitamin C juga membantu badan untuk menyerap zat besi dengan lebih effisen.

Manakalah kalsium dan fosforus pula sering ditemui dalam badan kerana kedua-dua mineral ini meyokong struktur badan. Kedua-dua mineral ini ada didalam sel badan dan dalam darah, lemak, protein, karbohidrat dan enzim yang menukarkan tenaga. Fosforus penting untuk pembahagian sel, penghasilan dan penghantaran genetik.

10 Khasiat Buah Markisa Kepada Kesihatan

1. Kesan Antioksidan

Buah markisa mempunyai khasiat iaitu sebagai sumber antioksidan semulajadi yang berpotensi dalam menyingkirkan radikal bebas atau menghalang aktiviti radikal bebas lantas dapat mengekalkan kandungan antioksidan dalam badan. Pelbagai kajian telah dilakukan terhadap seluruh bahagian pokok markisa termasuklah daun, kulit pokok, buah, isi buah, biji serta daunnya untuk menngkaji kandungan antioksidan.

Hasil daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa daun, isi buah dan biji daripada buah markisa mengandungi kesan antioksidan yang tinggi. Buah markisa juga mempunyai kesan antioksidan yang lebih tinggi berbanding dengan buah mangga, nanas, pisang dan betik. Kajian lain yang dilakukan terhadap haiwan menunjukkan bahawa buah markisa meningkatkan kapasiti antioksidan dalam darah, buah pinggang, hati dan tisu lemak.

2. Anti Keradangan

Kandungan antioksidan yang tinggi memberikan kesan anti keradangan apabila diambil sebagai makanan tambahan. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan isi buah markisa yang dijadikan sebagai makanan tambahan terhadap simptom-simptom asma selama empat minggu. Keputusan menunjukkan terdapat pengurangan dalam episod batuk, sesak nafas dan ketidakselesaan oleh ahli kumpulan yang diberikan makanan tambahan itu.

Satu kajian yang lain dijalankan terhadap pesakit peradangan sendi (osteoarthritis) iaitu peradangan kronik pada sendi akibat kerosakkan pada tulang rawan. Pengambilan ekstrak buah markisa menunjukkan pengurangan kesakitan pada bahagian sendi dan membolehkan sendi untuk bergerak.

3. Anti Kulat dan Anti Bakteria

Buah markisa berupaya untuk melawan kulat dan bakteria yang menyebabkan penyakit berjangkit pada manusia dan tumbuh-tumbuhan. Kandungan peptida iaitu sebatian yang terbentuk dalam satu rantaian yang daripada dua atau lebih asid amino, mempunyai kesan anti kulat dengan melawan kulat seperti Trichodema harzianum, Fusarium oxysporum, Aspergillus fumigatus, Collectotrichum lindemuthianum, Kluyveromyces marxiannus, Candida albicans, Candida parapsilosis dan Saccharomyces cerevisiae.

Selain daripada melawan kulat, ekstrak buah delima mampu menghalang pertumbuhan bakteria seperti Escherichia coli, Enterobacter aerogenes, Klebsiella pneumoniae, Pseudomonas aeruginosa dan Providencia stuartii. Selain itu, dalam kajian sistematik, kandungan antioksidan dan finolik menghasilkan kesan anti bakteria. Minyak yang terhasil daripada biji buah markisa mempunyai kesan anti bakteria kerana mampu melawan bakteria seperti Escheria coli, Salmonella enteritidis, Staphylococcus aureus dan Bacillus cereus.

4. Kesan Analgesik

Buah markisa mengandungi sterol dan flavonoid yang memberikan kesan analgesik. Satu kajian terhadap haiwan dilakukan dengan menyuntik sejenis asid (acetyl salicylic acid). Asid ini dikenali sebagai aspirin iaitu ubat penahan sakit dan menyembuhkan demam.

Namun demikian, kesan sampingan asid ini akan menyebabkan otot pada bahagian perut menjadi sempit dan ketat. Ini akan menyebabkan ketidakselesaan dan mengganggu proses penghadaman. Ekstrak buah markisa telah diberikan terhadap haiwan tersebut dan keputusan daripada kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak tersebut menghalang asid asetik daripada menyebabkan otot pada bahagian perut menjadi tergeliat.

5. Kesan Penenang

Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa buah markisa mempunyai kesan penenang Buah markisa telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat insomnia. Pengambilan ekstrak buah markisa secara makan meningkatkan tahap satu bahan kimia bernama GABA (gamma-aminobutyric acid) yang membantu untuk mengawal emosi. GABA adalah penghalang neurotransmitter, berperanan dalam menghalang penghantaran maklumat yang menyebabkan keterujaan justeru, memberikan kesan yang menenangkan emosi.

6. Melawan Penyakit Kencing Manis

Buah markisa telah menunjukkan keupayaan dalam melawan penyakit kencing manis berdasarkan beberapa kajian yang telah dijalankan. Berdasarkan kajian tersebut, buah markisa mampu menurunkan paras toleransi gula dalam haiwan yang didiagnos dengan kencing manis. Dengan ini, badan akan lebih mudah untuk menukarkan gula kepada tenaga.

Selain itu, terdapat kajian lain menunjukkan bahawa terdapat penurunan paras gula dalam darah haiwan yang disuntik dengan ekstrak buah markisa. Ekstrak buah delima yang mengandungi tinggi flavonoid menghalang kerintangan insulin iaitu sensitiviti terhadap insulin terganggu kerana penghasilan insulin yang terlalu banyak. Flavonoid juga menghalang daripada komplikasi akibat kencing manis.

7. Melindungi Daripada Tekanan Darah Tinggi

Di samping itu, buah markisa berkebolehan dalam melindungi diri daripada tekanan darah tinggi. Satu kajian telah dilakukan terhadap haiwan. Dalam kajian tersebut, ekstrak buah delima diberikan kepada tikus dan keputusan menunjukkan bahawa terdapat penurunan paras nitrik oksida dalam darah dan mengurangkan tekanan darah. Nitrik oksida adalah molekul yang dihasilkan secara semulajadi oleh badan dan penting untuk vasodilasi iaitu keadaan dimana saluran darah menjadi kembang.

Namun demikian, nitrik oksida boleh menyebabkan kerosakan pada sel otak dan penyakit neurodegeneratif seperti penyakit Parkinson, penyakit Alzheimer dan penyakit Huntington. Kandungan polifenol seperti kuersetin, asid edulilik, asid askorbik dan lain-lain membantu dalam melindungi daripada tekanan darah tinggi. Polifenol mampu meningkatkan fungsi lapisan membran dan menstabilkan nada vaskular dalam menghalang tekanan darah tinggi.

8. Menurunkan Kandungan Lemak Dalam Badan

Kandungan lemak yang tinggi akan menyebabkan penyakit yang boleh membahayakan nyawa manusia seperti aterosklerosis (dinding saluran darah menjadi tersumbat disebabkan oleh pengumpulan plak iaitu kolesterol), penyakit jantung, keradangan pada organ pankreas. Buah markisa memainkan peranan dalam menurunkan kandungan lemak dalam badan.

Kajian dilakukan terhadap haiwan dengan memberi jus buah markisa selama 30 hari berturut-turut mampu mengurangkan kadar kolesterol, trigliserida dan paras kolesterol jahat (LDL-kolesterol) dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL-kolesterol). Selain itu, pengambilan pektin dari buah markisa selama 5 hari berturut-turut mengurangkan paras trigliserida serta kandungan serat tidak larut membantu dalam mengurangkan paras trigliserida, paras kolesterol, kolesterol terhasil dari organ hati.

9. Melindungi Organ Hati

Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan ekstrak buah markisa terhadap kerosakan hati disebabkan oleh klorofom dan etanol. Kajin ini membuktikan bahawa buah markisa menurunkan enzim Aspartate Transaminase (AST) dan Alkaline Phospatase (ALP). Enzim AST ditemui dalam sel-sel di seluruh badan, terutama di dalam hati dan jantung manakal enzim ALP dijumpai dalam hati dan tulang.

Dalam individu yang sihat, AST dan ALP dalam darah adalah rendah. Namun, sekiranya paras AST dan ALP menjadi sangat tinggi, biasanya berkaitan dengan penyakit hati. Selain itu, ekstrak daripada biji buah markisa menghalang daripada penyakit hati berlemak bukan alkohol dengan meningkatkan pertumbuhan sel organ hati.

10. Menghalang Daripada Penyakit Kanser

Kandungan polifenol dan polisakkarida menghalang daripada pertumbuhan sel kanser. Kajian dilakukan terhadap haiwan menunjukkan bahawa ekstrak buah markisa menghalang pertumbuhan sel kanser pada kadar 48.5% dan meningkatkan jangka hayat kepada 42% haiwan tersebut yang telah disuntik dengan sel karsinoma (sel kanser).

Selain itu, kandungan polisakkarida menghalang pertumbuhan sel kanser sarkoma dengan nisbah penghalang kira-kira daripada 40.59% hingga 48.73%. Sel kanser sarkoma adalah sejenis barah yang jarang berlaku dan tumbuh di tisu penghubung. Tumor ini kerap berlaku pada tulang, otot, tendon, tulang rawan, saraf, lemak dan saluran darah lengan dan kaki.

Kesimpulan

Buah markisa yang popular kerana kandungan nutrisi dan kesan positif terhadap kesihatan menjadikan buah markisa sebagai pilihan utama oleh penduduk di seluruh dunia. Namu begitu, jika anda mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, anda perlulah berterusan mengambil ubat yang diberikan oleh doktor disamping mendapatkan nasihat permakanan daripada mereka.

Buah markisa bukan hanya boleh dimakan terus, tetapi boleh dijadikan minuman, bahan kosmetik dan juga bahan dalam bidang kesihatan. Jadi, tidak hairanlah buah markisa dijadikan sebagai satu sumber ekonomi. Oleh itu, setelah membaca artikel khasiat buah markisa ini, diharap agar para pembaca akan lebih mengenali khasiat buah markisa dengan lebih mendalam terutamanya kebaikannya terhadap kesihatan tubuh badan.

Khasiat Makanan Yang Lain

MaduJambu BatuKangkung
Bawang MerahNanasTomato
Minyak ZaitunBayam BrazilKurma
Daun KariAnggurEpal
KunyitKunyit Hitam
Ulam RajaBayam

Rujukan:

  1. Adeyeye, E. , & Aremu, M.O. (2017). Chemical Composition of the Raw Fruit Coat, Seed and Pulp of Passion Fruit (Passiflora edulis). FUW Trends in Science &   Technology Journal, 2(1B), 334-341. ISSN: 20485170
  2. He, X., Luan, F., Yang, Y., Wang, Z., Zhao, Z., Fang, J., Wang, M., Zuo, M.H., & Li, Y.S. (2020). Passiflora edulis: An Insight Into Current Researches on Phytochemistry and Pharmacology. Frontiers in Pharmacology, 11 (617), 116.
  3. Konta, E.M., Almedia, M.R., do Amaral, C.L., Darin, J.D.C., de Rosso, V.V., Mercadante, A.Z., Antunes, L.M.G., & Bianchi, M.L.P. (2014). Evaluation of the Antihypertensive Properties of Yellow Passion Fruit Pulp (Passiflora edulis Sims f. Flavicarpa Deg.) in Spontaneously Hypertensive Rats. Phyritherapy Research, 28, 28-32. doi: 10.1002/ptr.4949
  4. Mandalm G. (2017). Production Preference and Importance of Passion Fruit (Passiflora Edulis): A Review. Journal of Agricultural Engineering and Food  Technology, 4(1), 27-30.
  5. Ramaiya, S.D., Bujang, J.B., Zakaria, M.H., & Saupi, N. (2019). Nutritional, Mineral and Organic Acid Composition of Passion Fruit (Passiflora species). Food  Research 3(3), 231-240.
  6. Saravanan, S., & Thangaraj, P. (2011). Analgesic and Anti-Inflammatory Activities of Passiflora foetida L. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine, 600-603. doi:   10.1016/S1995-7645(11)80155-7
  7. Saravanan, S., Thangaraj, P., & Arunachalam, K. (2014). Antioxidant, Analgesic, and Anti-Inflammatory and Antipyretic Effects of Polyphenols from Passiflora Subpeltata Leaves – A Promising Species of Passiflora. Industrial Crops and   Products, 54, 272-280.
  8. Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia. (2012). Buku Panduan Tanaman Markisa, 02, 1-6. Kod Dokumen :      OPR/TPU/BP/TANAMAN/Markisa
  9. West, H. (2019). Passion fruit 101 – Everything You Need To Know. Healthline. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *