Apakah cara untuk hilangkan lenguh tangan? Artikel ini akan membincangkan beberapa cara untuk hilangkan masalah lenguh tangan anda
Pengenalan
Individu yang sering mengalami lenguh tangan menghadapi kesulitan dalam menjalani aktiviti harian jika ia sering melibatkan anggota badan tersebut
Lenguh tangan boleh digambarkan dengan rasa berat yang disertai dengan rasa sakit dan lemah. Ia boleh menjadi secara kerap atau kadang kala. Di samping itu, gejala tersebut terjadi secara perlahan-lahan dan bukannya secara tiba-tiba.
Individu yang mengalaminya selalunya tidak perasan akan kehadirannya pada peringkat awal dan hanya dapat mengenal pasti kelenguhan tersebut apabila tahapnya sudah semakin meningkat.
Biasanya faktor-faktor yang menyebabkan lenguh tangan bukanlah masalah kesihatan yang serius dan merbahaya. Namun awas, anda perlu membezakan dengan baik antara lenguh dan lemah tangan yang disebabkan penyakit serius.
Kerana lemah tangan juga boleh membawa petanda serangan angin ahmar ( strok ). Perbezaan mudah di antara kedua-dua ini adalah individu yang mengalami kelenguhan masih mempunyai deria sentuhan dan masih boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang melibatkan tangan.
Cuma ia akan disertai dengan sedikit rasa sakit dan lemah serta bertambah teruk apabila melakukan pekerjaan berat. Bagi lemah tangan serangan angin ahmar pula, kelemahan tangan tersebut boleh digambarkan dengan seseorang itu tidak mampu mengangkat tangan dengan baik, hilang deria sentuh dan langsung tidak mampu melakukan kegiatan-kegiatan yang melibatkan penggunaan tangan.
Punca-Punca Lenguh Tangan
Penyebab kepada gejala lenguh tangan itu banyak sekali. Rawatan yang terbaik hanya boleh diberikan seandainya punca permasalahan tersebut dapat dikenal pasti. Hal demikian kerana rawatan-rawatan yang diberikan berbeza-beza berdasarkan aspek punca itu sendiri.
Antara penyebab lenguh tangan boleh jadi :
- Sindrom Carpal Tunnel
- Diabetik Neuropati
- Neuropati
- Penyakit Arthritis
- Radiculopati
- Penyakit Slip Disc
- Saturday Night Palsy
- Ulnar Neuropati
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
10 Cara Hilangkan Masalah Lenguh Tangan
Pilihan jenis rawatan bagi gejala lenguh tangan itu hadir dalam pelbagai bentuk bergantung kepada puncanya juga samada disebabkan oleh kesan terhadap otot, saraf atau sebagainya.
1. Mengehadkan Penggunaan Tangan
Lenguh tangan apabila dibiarkan berterusan dan tangan tersebut masih digunakan seperti biasa dalam aktiviti harian terutamanya bagi pekerjaan yang berat akan menyebabkan keadaannya bertambah buruk. Memberikan limitasi terhadap penggunaan tangan yang lenguh dan merehatkannya bagi suatu tempoh tertentu membantu dalam proses pemulihannya.
2. Tuaman Pek Ais
Elemen sejuk yang terdapat pada ais bertindak untuk mengurangkan pengaliran darah terhadap kawasan yang terkesan. Hal sedemikian mengurangkan keradangan yang terjadi. Pada masa yang sama, ia juga mengurangkan rangsangan aktiviti saraf.
Ini dapat mengurangkan gejala lenguh dan sakit. Namun tuaman ais tidak digalakkan bagi inidividu yang mempunyai penyakit yang berkait dengan saluran darah dan saraf seperti diabetes. Pada masa yang sama, tempoh tuaman tidak perlu terlalu lama dan cukup sekadar selang dalam setiap 10-15 minit sahaja.
3. Tuaman Panas
Lenguh tangan yang terjadi akibat masalah otot atau kekejangan boleh diatasi dengan tuaman panas. Ia membantu dalam meningkatkan saliran darah, dan merehatkan otot-otot tangan yang lenguh atau kejang.
Kaedah ini sesuai bagi masalah lenguh tangan kronik seperti yang terjadi terhadap pesakit-pesakit arthritis ( penyakit radang sendi ).
4. Pemakaian Bandage
Apabila berlakunya kecederaan atau radang pada salah satu bahagian tubuh, gejala lenguh atau sakit menjadi lebih teruk apabila saliran darah yang melaluinya tidak dikurangkan. Pemakaian bandage membantu dalam mengatasi hal ini dengan mengurangkan pengaliran darah terhadap kawasan tersebut.
Maka jumlah ejen-ejen radang yang terdapat dalam saluran-saluran darah juga dapat dikurangkan secara tidak langsung dan mengelakkan kesakitan atau kelenguhan dari menjadi lebih teruk.
5. Ubat NSAID
Nama penuh bagi ubat NSAID adalah Non Steroidal Anti-Inflammatory Drug. Dalam erti kata lain, ia adalah sejenis ubat anti radang yang tidak mengandungi bahan steroid. Sering digunakan sebagai ubat tahan sakit bagi kesakitan atau masalah lenguh tangan yang terjadi akibat keradangan.
Anda perlu berhati-hati dalam pengambilan ubat ini bagi bagi penggunaan jangka masa panjang kerana ia boleh mendatangkan komplikasi seperti muntah atau berak berdarah akibat kesan sampingan terhadap lapisan perut.
Oleh itu, penggunaanya perlu dipantau oleh oleh doktor. Contoh jenama ubat yang sering digunakan adalah :
- Ibuprofen
- Diclofenac
- Naproxen
6. Suplemen
Seiring dengan pertambahan usia, tahap kondisi saraf dalam badan kita juga turut menurun. Selain lenguh, terdapat juga gejala-gejala lain yang terjadi bersama seperti kebas dan sakit.
Selain faktor usia, masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis juga boleh merosakkan saraf. Pengambilan suplemen Vitamin B1, B6 dan B12 membantu dalam mengekalkan struktur saraf dalam keadaan yang baik. Ia boleh didapati dengan mudah di farmasi dan klinik.
Antara makanan yang kaya dengan kandungan vitamin ini termasuk :
- Daging
- Ikan
- Telur
- Sayur-sayuran
7. Pemakaian Splint
Dalam sesetengah penyakit seperti Carpal Tunnel Syndrome ( sindrom yang terjadi akibat himpitan pada saraf yang terdapat pada pergelangan tangan ). Penggunaan pergelangan tangan akan menyebabkan keadaannya bertambah teruk.
Pemakaian splint membantu dalam mengehadkan penggunaan pergelangan tangan pada setiap masa. Secara tidak langsung ia mengurangkan kelenguhan dan kesakitan.
8. Senaman
Aktiviti-aktiviti senaman ringan seperti regangan membantu dalam menguatkan struktur otot. Apabila kekuatan otot meningkatkan, simptom yang dialami juga dapat dibaik pulih.
9. Fisioterapi
Masalah kelenguhan yang terjadi akibat gangguan pada saraf boleh diatasi dengan kaedah fisioterapi. Namun, tidak semua keadaan sesuai dengan rawatan ini. Oleh itu sesi perjumpaan dengan doktor atau ahli fisioterapi terlebih dahulu perlu dilakukan.
10. Pembedahan
Sesetengah penyakit seperti Carpal Tunnel Syndrome, Trigger Finger dan lain-lain boleh diatasi dengan melakukan pembedahan kecil jika kaedah-kaedah rawatan ubat dan sebagainya tidak berjalan dengan baik.
Perbincangan dengan doktor membantu anda dalam mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang masalah kesihatan yang dialami dan anda juga jelas dalam prosedur pembedahan yang akan dijalani.
Secara kesimpulan, penyebab kepada masalah lenguh tangan itu banyak. Ia boleh jadi disebabkan penggunaan otot secara berlebihan, masalah penyakit degeneratif ( penyakit yang menjejaskan fungsi atau struktur tisu atau organ ) dan sebagainya,
Langkah yang terbaik adalah perjumpaan dengan doktor apabila masalah lenguh ini tidak dapat diatasi dalam tempoh yang lama setelah pelbagai usaha telah dilakukan.
Bacaan Tips yang lain:
Rujukan:
- What can cause pain in hand or wrist? – Medical News Today
- 10 Causes of Hand Weakness – Medical News Today
- Numbness in hands – Healthline