Keracunan Makanan disebabkan laksa. Apakah puncanya?

Tular berkenaan kes keracunan makanan yang menyebabkan 2 kematian. Kes pula telah meningkat daripada 19 pesakit kepada 41 pesakit.

Kesemua daripada pesakit ini mempunyai sejarah mengambil makanan daripada satu tempat yang sama. Iaitu daripada Laksa yang dimakan di Baling, Kedah.

Siasatan yang terbaru mendapati terdapat kuman Salmonella spp pada najis pesakit-pesakit tersebut. Kemungkinan besar ia disebabkan laksa yang dicemari dengan kuman Salmonella spp.

Apakah Maksud Keracunan Makanan?



Sebelum kita nak cerita lebih lanjut berkenaan dengan kuman Salmonella ini. Saya ingin bercerita berkenaan dengan Keracunan makanan.

Ia di definasikan sebagai simptom muntah atau/dan cirit birit. Pesakit yang mengalami simptom tersebut perlulah berjumlah 2 orang dan lebih, mempunyai sejarah mengambil makanan pada tempat yang sama dan simptom tersebut bermula pada waktu yang berdekatan.

Sebagai contoh 2 orang datang ke klinik dengan masalah yang sama iaitu muntah dan cirit birit, makan di kedai yang sama, makan makanan yang sama dan simptom itu bermula pada waktu yang dekat-dekat. Contoh kawan seorang itu dapat simptom 5 petang, seorang lagi dapat pukul 7 petang. Oleh itu, kita akan kata pesakit telah mengalami keracunan makanan.

Kalau seorang lagi pesakit mengalami simptom lebih daripada seminggu, kemungkinan besar ia bukan disebabkan keracunan makanan.

Apakah Salmonella dan punca jangkitan?

Salmonella adalah bakteria yang berbentuk rod. Ia selalunya memasuki badan melalui saluran pencernaan. Terdapat beberapa jenis Salmonella yang boleh menyebabkan simptom-simptom yang dikatakan dia atas iaitu Salmonella paratyphi, Salmonella typhi dan beberapa spesies yang lain.



Selalunya kuman ini akan berada di dalam makanan yang tidak dimasak secara sepenuhnya terutamanya pada
telur, daging dan juga ayam.

Haiwan seperti lembu dan ayam ini mampu membawa kuman Salmonella tanpa sebarang simptom. Bakteria tersebut akan hidup di dalam saluran pencernaan haiwan itu sehinggalah waktu menyembelih haiwan tersebut. Kuman yang berada di dalam usus haiwan itu mungkin terkeluar dan mencemari daging tersebut.

Sebab itu penting untuk memasak sesuatu daging, ayam dan juga telur secara sepenuhnya untuk mengelakkan
jangkitan kuman Salmonella.

Dan sebab itu juga penting untuk tidak mencampurkan barang-barang dapur  dalam bahagian yang sama. Sebagai contoh ayam campur dengan timun dalam bahagian yang sama dalam peti ais. Ini boleh menyebabkan pencemaran silang(Cross contamination) terhadap bahan makanan yang lain.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom-simptom jangkitan Salmonella

Selalunya pesakit akan mula mempunyai simptom ini setelah 6-48 jam terdedah kepada makanan tersebut.

Simptom tersebut adalah:

  • Demam tinggi(lebih daripada 38.5 darjah celcius)
  • Cirit birit yang teruk
  • Muntah-muntah

Komplikasi

Jika simptom pesakit terlalu teruk iaitu asyik muntah dan cirit birit ia boleh menyebabkan pesakit mengalami dehidrasi. Dehidrasi yang teruk pula akan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.

Bakteria tersebut juga mampu untuk memasuki saluran darah dan menyebabkan satu keadaan yang dipanggil sebagai Sepsis. Dalam keadaan ini pesakit boleh mengalami tekanan darah rendah dan juga kegagalan organ dalam badan(Multi-organ failure).



Kedua-dua keadaan ini boleh menyebabkan kematian pesakit.

Nota kaki:

  1. Penerangan ini lebih merujuk kepada penyakit Salmonellosis spp
  2. Keputusan terakhir punca kepada penyakit tersebut masih memerlukan siasatan dan pengumuman daripada pihak berkuasa

Rujukan:

  1. Antunes P, MourĂ£o J, Campos J, Peixe L. Salmonellosis: the role of poultry meat. Clin Microbiol Infect. 2016 Feb;22(2):110-121. doi: 10.1016/j.cmi.2015.12.004. Epub 2015 Dec 17.
  2. Meyer C, Thiel S, Ullrich U, Stolle A.Salmonella in raw meat and by-products from pork and beef.J Food Prot. 2010 Oct;73(10):1780-4.
  3. https://www.cdc.gov/features/salmonellaeggs/index.html
  4. Salmonella Infection. Mayo clinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/salmonella/symptoms-causes/syc-20355329
Advertisements

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − 2 =

Scroll to Top