Skip to content

Gigi Berlapis: Punca dan Rawatan

Dasawarsa ini, kita seringkali terdengar tentang rawatan “Braces” atau mudah dikenali sebagai pendakap gigi yang semakin popular dan menjadi ‘trendsetter’ dalam kalangan anak muda. Namun begitu, sejauh mana pengetahuan kita akan pengunaan pendakap gigi ini dalam keadaan gigi berlapis?

Gigi berlapis merupakan suatu kondisi dimana tiada ruang yang mencukupi untuk gigi kekal tumbuh secara normal dan menyebabkan ia keluar di posisi yang tidak sepatutnya. Keadaan ini akan mendatangkan pelbagai masalah dalam jangka masa panjang jika tiada rawatan dijalankan.

Gigi berlapis boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:

  • Kategori ringan: Satu gigi depan di rahang atas atau bawah terpusing
  • Kategori sederhana: Dua ke tiga gigi depan di rahang atas atau bawah berlapis
  • Kategori teruk: Lebih dari tiga gigi depan di rahang atas atau bawah berlapis

Punca Gigi Berlapis



Gigi berlapis boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti :

  • Faktor keturunan
  • Saiz gigi yang lebih besar dari tulang rahang
  • Kehilangan awal gigi susu dari waktu sepatutnya
  • Bilangan gigi lebih dari biasa
  • Tabiat menghisap jari, menggigit pensel, atau menggigit bibir
  • Gigi susu tidak tertanggal dan menjejaskan pertumbuhan gigi kekal (Terhimpit dan terimpak)
  • Penggunaan puting kosong semasa kecil lebih lama dari biasa.

Komplikasi Gigi Berlapis

Kebanyakan masalah gigi berlapis hanya mendatangkan komplikasi yang serius dalam jangka masa panjang jika tiada susulan rawatan dijalankan. Berikut merupakan beberapa komplikasi tersebut (berdasarkan American Dental Association) :

  • Masalah keradangan gusi
  • Kesukaran untuk membersihkan gigi
  • Menyebabkan permukaan gigi semakin ‘haus’ atau nipis (tooth wear)
  • Terdedah kepada risiko kecederaan gigi (Gigi jongang)
  • Masalah mengunyah
  • Nafas berbau (Halitosis)
  • Menjejaskan penampilan dan keyakinan diri
  • Masalah sendi rahang
  • Meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan yang lain

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Pencegahan

Mencegah lebih baik dari merawat begitu juga untuk masalah gigi berlapis dimana ia boleh dicegah di peringkat awal pertumbuhan gigi. Terdapat beberapa cara pencegahan kepada masalah ini. Adalah dinasihatkan untuk semua ibubapa agar membawa anak-anak untuk rutin pemeriksaan gigi sejak usia mereka 6 bulan dimana waktu pertumbuhan gigi pertama mereka.

Cara pencegahan adalah:

  • Melakukan pemeriksaan gigi secara ruti iaitu setahun sekali sejak usia mereka adalah 6 bulan
  • Jangan panik jika gigi anak anda tumbuh lambat dari kanak-kanak lain, setiap kanak-kanak mempunyai kadar pertumbuhan yang sedikit berbeza. Namun begitu, perlu untuk sentiasa peka akan kondisi anak anda.
  • Bawa anak-anak ke klinik gigi berdekatan jika anda tidak pasti dengan masalah gigi tersebut (gusi berdarah, gigi goyang dan banyak lagi).
  • Cara memberus gigi, pengawalan makanan yang manis, serta pendedahan terhadap kepentingan penjagaan mulut perlu ibubapa tekankan kepada anak-anak pada usia muda. Jangan nanti sudah terlambat baru menyesal.

Rawatan Gigi Berlapis

Kebanyakan rawatan untuk gigi berlapis amat bergantung pada umur pesakit dan tahap keterukan kondisi gigi tersebut. Namun begitu, rawatan ortodontik merupakan rawatan yang paling berkesan dan paling diterima ramai. Rawatan ortodontik merangkumi pelbagai prosedur seperti cabutan gigi, pemakaian aplians ortodontik dan banyak lagi. Disertakan di bawah pilihan rawatan untuk gigi berlapis:

  1. Pendakap gigi (Braces)
  2. Pemakaian applians boleh tanggal (Removable appliance)
  3. Pendakap gigi plastic (Clear aligners)
  4. Sarung gigi palsu (Crowns and veneers)


Perlu sentiasa diingatkan bahawa rawatan-rawatan di atas tidak semuanya dapat memenuhi kehendak pesakit kerana ia bergantung kepada kondisi gigi, tulang dan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

Adakah Fake Braces Membantu?

Perkara ini sering dibangkitkan dalam laman media sosial pada masa kini, namun perlu sentiasa diingatkan bahawa rawatan fake braces bukan sahaja mampu mengundang masalah gigi yang lebih teruk (gigi bergoyang, gusi bernanah, karies dan gigi terhakis) malah menjejaskan keadaan gigi yang sedia ada. Segeralah ke klinik gigi berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan jika anda terjebak dengan kegiatan fake braces ini bagi proses penanggalan

Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:

  1. Crowded Teeth: Causes, How to Fix Them & Risk Factors. NewMouth
  2. Gigi Tidak Tersusun. Portal MyHealth.
  3. Fake Braces. Portal MyHealth.
  4. 8 Health Problems Caused by Crooked Teeth. Dentistry For Madison
  5. Doktor Kongsi Tip Jaga Gigi Seawal Usia Bayi 6 Bulan Untuk Elak Karies. MajalahPaMa.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − three =