Skip to content

Adakah jangkitan paru-paru boleh menyebabkan kematian?

Sebelum itu saya nak ucapkan takziah kepada keluarga Chef Adamdidam yang baru sahaja telah pergi meninggalkan kita.

Post ini dibuat untuk menjelaskan beberapa perkara berkenaan dengan jangkitan kuman paru-paru sebab ada yang pelik dan bertanya kepada saya ketika kes Adamdidam ni berlaku. Soalannya “Jangkitan kuman paru-paru boleh menyebabkan kematian ke?”

Jawapannya Ya. Ia boleh menyebabkan kematian.



Ada 2 cara dimana ia boleh meragut nyawa.

1. Jangkitan paru-paru yang teruk

Jangkitan paru-paru yang teruk boleh berlaku apabila tidak dirawat dengan cepat ataupun jangkitan kuman tersebut berpunca daripada kuman yang berbahaya seperti Streptococcus pneumoniae.

Jangkitan kuman seperti ini boleh berlaku sehingga menyebabkan paru-paru anda dipenuhi dengan air jika tidak dirawat dengan cepat.

Disebabkan itulah, terdapat vaksin pneumococcal untuk mengelakkan jangkitan paru-paru disebabkan bakteria Streptococcus pneumoniae. Boleh pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.

2. Septic shock

Septic shock ataupun ‘renjatan sepsis’ ini bermaksud satu keadaan dimana jangkitan kuman daripada paru-paru telah merebak ke dalam darah dan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.



Ketika mana tekanan darah menjadi rendah, bekalan darah kepada organ seperti buah pinggang dan hati akan berkurangan. Ini menyebabkan organ tersebut mengalami kegagalan dan badan tidak mampu lagi mengawal tekanan darah.

Ia akan berakhir dengan kurangnya darah yang boleh dipam pergi ke otak atau ke jantung. Akhirnya, jantung akan berhenti dengan sendirinya dan pesakit akan meninggal dunia.

Pesakit-pesakit yang menghadapi septic shock ini selalunya akan diberikan ubat untuk mengekalkan tekanan darah tersebut pada tahap yang normal. Ubat itu akan disuntik secara berterusan melalui satu mesin supaya tekanan darah sentiasa berada pada tahap yang normal.

Punca lain yang menyebabkan jangkitan kuman yang teruk

Ada juga lagi satu punca yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang teruk iaitu ia boleh disebabkan jangkitan measles(demam campak).
Apabila seseorang itu dijangkiti demam campak, sistem imun badannya akan menjadi lemah untuk beberapa bulan.

Pada masa inilah kuman daripada luar mudah untuk masuk ke dalam paru-paru menyebabkan jangkitan paru-paru yang sukar untuk diubati. Sebab itu banyak kematian daripada demam campak measles ini adalah disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Oleh itu, dinasihati kepada ibubapa diluar sana untuk mengikut jadual vaksin yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Apakah simptom jangkitan kuman paru-paru?

Selalunya pesakit akan mengadu beberapa simptom iaitu:

  1. Demam yang tinggi
  2. Batuk yang teruk
  3. Sesak nafas
  4. Bernafas dengan laju.

Jika anda atau anak anda menghadapi perkara ini, maka cepat-cepat pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan



Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kesimpulan

Jangkitan kuman pada paru-paru memang mudah berlaku dalam masyarakat kita. Akan tetapi ia boleh menjadi teruk hingga boleh meragut nyawa. Oleh itu, jika anda mempunyai simptom yang teruk seperti di atas, sila terus berjumpa dengan doktor.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four − 4 =