Skip to content

10 Khasiat Air Barli Kepada Kesihatan Badan.

Apakah khasiat air barli kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat air barli, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam air ini.

Pengenalan

Barli, atau nama saintifiknya, Hordeum vulgare dikategorikan sebagai bijirin penuh dan diklasifikasikan sebagai makanan berkhasiat sama seperti roti, nasi, pasta dan juga bijirin. Barli diperkaya dengan serat dan komponen utama digabungkan melalui rantaian (1,2)(1,4)--D-glukan sama seperti oat. Kandungan beta-glukan (-glukan) larut dalam barli adalah kira-kira 2% hingga 10% daripada berat keseluruhan barli bergantung kepada jenis barli tersebut.

Terdapat pelbagai jenis barli yang bergantung kepada barisan bijirinnya. Barli dua baris (Hordeum distinchum), barli empat baris (Hordeum tetrastichum Lin) dan barli enam baris (Hordeum vulgare) adalah tiga jenis barli yang terdapat di Malaysia. Namun demikian, Barli enam baris adalah jenis barli yang paling luas ditanam dan dihasilkan di seluruh dunia.



Selain daripada itu, terdapat barli bersekam (hulled barley) dan juga barli tanpa sekam (pearl barley). Barli bersekam adalah barli yang melalui pemprosesan yang minima dimana bahagian luar yang keras dan bahagian yang tidak boleh dimakan sahaja yang dibuang. Proses ini amat rumit untuk memastikan agar bahagian bran barli tidak dibuang. Manakala barli tidak bersekam adalah barli yang telah dibersihkan iaitu lapisan bran telah dibuang bersama dengan bahagian yang keras dan bahagian tidak boleh dimakan. Barli bersekam dikatakan lebih nutrisi daripada barli tidak bersekam.

Barli dikatakan mengandungi pelbagai khasiat jika dimakan begitu sahaja. Namun demikian, masyarakat di Malaysia sering menjadikan barli sebagai minuman iaitu air barli. Khasiat air barli sama seperti barli yang dimakan begitu sahaja dan tidak berubah. Menurut pelbagai kajian menunjukkan bahawa air barli mengandungi pelbagai kelebihan yang baik untuk kesihatan tubuh badan. Jadi, mari kita terokai komponen nutrisi penting dan khasiat terhadap kesihatan.

Kandungan Nutrisi Dalam Air Barli

Air barli mengandungi nutrisi penting seperti karbohidrat, protein, lemak, serat yang penting untuk tubuh badan. Selain itu, air barli juga mengandungi mineral yang dibahagikan kepada dua elemen iaitu makro (utama) dan mikro (sampingan). Element makro adalah kalsium, fosforus, kalium, magnesium dan natrium. Manakala elemen mikro adalah zat besi, manganese, zink, selenium dan kobalt.

Disebabkan oleh terdapat dua jenis barli iaitu barli bersekam (hulled barley) dan barli tidak bersekam (pearl barley), Rajah 1 menunjukkan kandungan nutrisi dalam 100g barli bersekam dan barli tidak bersekam yang belum dimasak.

KomponenBarli Bersekam (Hulled Barley)Barli Tidak Bersekam (pearl Barley)
Tenaga (kcal)354352
Karbohidrat (g)73.577.7
Protein (g)12.59.9
Lemak (g)2.31.2
Serat (g)17.315.6
Kalsium (mg)3329
Zat Besi (mg)3.62.5
Magnesium (mg)13379
Fosforus (mg)264221
Kalium (mg)452280
Natrium (mg)129
Manganese (mg)1.91.32

Rajah 1: Kandungan Nutrisi Dalam 100g Barli Bersekam Dan Barli Tidak Bersekam Yang Belum Dimasak.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Air Barli



Air barli merupakan sumber serat larut dan serat tidak larut. Air barli tinggi kandungan serat larut kerana kandungan beta-glukan yang memberikan khasiat terhadap kesihatan. beta-glukan berpotensi dalam melambatkan rasa lapar, mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan mengawal paras gula selepas makan agar tidak mencanak naik. beta-glukan juga dikatakan mempunyai kesan anti kanser kerana berupaya untuk melawan radikal bebas.

Penghasilkan asid lemak berantai pendek kerana fungsi fisiologi beta-glukan yang menyebabkan proses penapaian dalam usus, berpotensi dalam mengurangkan penghasilan kolesterol oleh badan. Air barli juga mengurangkan paras kolesterol-LDL iaitu kolesterol jahat yang menjadi faktor utama kepada penyakit jantung. Kolesterol-LDL menjadi salah satu punca kepada pengerasan dinding pembuluh darah (atherosclerosis). Oleh itu, air barli yang mengandungi beta-glukan bertanggungjawab dalam menghasilkan kesan hypokolesterolemia yang menjadi kesan perlindungan utama dalam melawan kanser usus.

Dalam kajian yang lain, air barli mengandungi paras antioksidan yang tinggi disebabkan oleh kandungan sebatian bioaktif fenolik yang tinggi seperti flavonoid dan tanin. Disebabkan oleh air barli merupakan sumber bijirin penuh yang merupakan sumber serat (beta-glukan dan sebatian bioaktif), kerjasama antara komponen ini dengan antioksidan berupaya untuk melindungi kesihatan badan. Kedua-dua komponen ini berupaya untuk melindungi daripada kerosakan radikal bebas dan melindungi badan daripada penyakit.

Selain daripada itu, berdasarkan analisis asid lemak, komponen utama asid lemak tidak tepu dalam air barli adalah asid oleik, asid linoleik dan asid alpha-linoleik. Kandungan lipid dan komposisi asid lemak dalam air barli berbeza bergantung kepada masa penuaian, jenis gen, keadaan persekitaran dan keadaan cuaca. Kandungan lemak dalam air barli sangat rendah jika dibandingkan dengan karbohidrat dan protein. Tambahan pula, sumber lemak yang terkandung dalam air barli adalah asid lemak poli tidak tepu iaitu pilihan lemak yang lebih sihat kerana berpotensi dalam menurunkan paras kolesterol-LDL.

10 Khasiat Air Barli Pada Kesihatan

1. Mengawal Penyakit Kencing Manis

Penyakit kencing manis adalah penyakit metabolik yang kronik dan mencatatkan kadar kematian yang tinggi. Oleh itu, pelbagai kajian dilakukan untuk mencari sumber makanan semulajadi yang boleh membantu untuk mengawal penyakit kencing manis.

Air barli membantu dalam mengawal penyakit kencing manis kerana kendungan beta-glukan, sebatian fenolik (asid fenolik dan flavonoid), fitosterol, tokol, arabinoxylan dan kanji. Tekanan oksidatif bukan sahaja boleh menyebabkan rintangan insulin, disfungsi sel-beta dan gangguan terhadap pertukaran glukos, tetapi boleh menyebabkan penyakit kencing manis.

Namun demikian, fitokimia seperti asid fenolik, flavonoid, fitosterol dan tokol dalam air barli membantu dalam mengawal penyakit kencing manis. Air barli tinggi dengan beta-glukan yang membantu dalam memperbaiki rintangan insulin dan mengawal paras gula dalam darah selepas makan daripada naik secara mendadak serta meningkatkan selera makan.



Terdapat kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa beta-glukan dalam air barli mengurangkan rintangan insulin, paras gula dalam darah, lipid dalam darah dan masalah arterosklerosis. Kandungan fenolik yang tinggi dan juga kandungan kanji yang mudah dihadam rendah menjadikan air barli berupaya untuk mengawal kenaikan paras gula selepas makan.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

2. Menghalang Obesiti

Air barli mengandungi komponen yang menghalang obesiti seperti beta-glukan, kanji, polifenol, serat, arabinoxylan, tokol dan fitosterol. beta-glukan dalam air barli berpotensi untuk menghalang obesiti dengan mengurangkan lipoprotein yang rendah ketumpatan, dan kolesterol. beta-glukan berupaya untuk menghalang lemak yang menyelaputi organ dan menggalakkan penyahtinjaan. Berdasarkan kajian, obesiti dan rintangan terhadap insulin berlaku kerana perubahan asid hempedu dan kurang pengambilan beta-glukan seperti dalam air barli. Ektrak barli yang telah ditapai mempunyai kesan dalam menghalang obesiti disebabkan oleh beta-glukan dan asid fenolik (asid vanillik dan asid ferulik).

3. Mengurangkan Paras Kolesterol

Kolesterol boleh didapati daripada makanan dan juga dihasilkan sendiri oleh badan melalui proses sintesis lipid. beta-glukan dalam air barli mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol-LDL) dengan menggalakkan proses menyingkirkan lipid dalam najis dari badan dan mengawal aktiviti koenzim.

Satu kajian haiwan dilakukan dan kajian tersebut menunjukkan bahawa kira-kira pengambilan 5% dan 10% daripada jumlah tenaga yang diambil melalui bran barli membantu dalam mengurangkan paras kolesterol.

Dalam kajian tersebut, paras lipid berkurang kepada paras yang normal kerana air barli menyokong penghasilkan asid hempedu dan penyerapan semula, mengawal penghasilan kolesterol dan pengumpulan kolesterol pada tisu periferal.



Artikle Berkaitan: Punca Kolstestrol Tinggi dan Rawatan

4. Mengurangkan Tekanan Darah

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan beta-glukan yang tinggi dalam diet seharian berpotensi dalam mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik. Dalam kajian terhadap haiwan tersebut, tekanan darah sistolik berkurang sebanyak 2.9 mmHg dan tekanan darah diastolik berkurang sebanyak 1.5 mmHg apabila haiwan diberikan 4g beta-glukan setiap hari.

Oleh itu, ini membuktikan bahawa pengambilan beta-glukan yang tinggi dapat mengurangkan tekanan darah. Tahukah anda bahawa pengambilan air barli yang mengandungi barli dalam satu cawan membekalkan sekita 6g beta-glukan? Mungkin, selepas ini, air barli boleh dijadikan minuman pilihan para pembaca.

Artikel Berkaitan: Tanda Tekanan Darah Tinggi dan Rawatan

5. Menghalang Penyakit Kardiovaskular

beta-glukan dalam air barli berperanan dalam mengurangkan lipoprotein kolesterol yang rendah ketumpatan dan lipoprotein kolesterol yang tidak tinggi ketumpatan serta mengubah mikrobiotik dalam perut untuk mengelakkan berlakunya penyakit kardiovaskular.

Tekanan oksidatif dan keradangan adalah dua faktor utama yang menyebabkan atherosklerosis. Ekstrak polisakkarida bersama antioksidan dan anti keradangan dalam air barli menghalang penyakit kardiovaskular. Selain daripada itu, komponen seperti polifenol, fitosterol, lignan, tokol dan folat turut menghalang penyakit kardiovaskular.



Artikel Berkaitan: Punca Sakit Jantung dan Rawatan

6. Melindungi Daripada Penyakit Strok

Pengambilan air barli dalam diet seharian dapat mengurangkan risiko penyakit strok. Berdasarkan Panduan Makanan Malaysia, cadangan pengambilan serat adalah sebanyak 25g sehari dan 90% rakyat Malaysia tidak mengambil serat yang mencukupi.

Serat yang terkandung dalam air barli berpotensi untuk mengurangkan risiko infarksi miokardium akut dan strok serta kematian yang disebabkan oleh penyakit berkaitan jantung. Pengambilan air barli yang mengandungi beta-glukan berupaya untuk mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol-LDL) dalam 5% hingga 10%.

Serat larut mengurangkan kepekatan lemak yang tinggi dalam darah selepas makan, mengurangkan oksidasi lipid, menghalang enzim yang menghasilkan lemak dan mengurangkan kepekatan protein C-reaktif yang menyebabkan keradangan dan menjadi risiko kepada penyakit strok.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Strok dan Rawatan

7. Melawan Penyakit Kanser

Elemen utama dalam air barli yang berupaya untuk melawan penyakit kanser adalah beta-glukan, fenolik, arabinoxylan, fitosterol, lignan dan kanji. Air barli yang kaya dengan serat beta-glukan penting untuk menghalang kanser usus. Selain itu, kandungan antioksidan yang tinggi seperti fenolik memberikan kesan anti keradangan dan mengelakkan berlakunya pembahagian sel kanser hati. Polisakkarida yang larut dalam air yang boleh ditemui pada air barli akan menghalang kanser usus, dengan mematikan sel kanser.



Artikel Berkaitan: Tanda Kanser Usus dan Rawatan

8. Meningkatkan Kesihatan Sistem Penghadaman

Masalah sistem penghadaman adalah masalah utama dunia. Tahukah anda bahawa air barli berupaya dalam meningkatkan kesihatan sistem penghadaman? beta-glukan yang merupakan serat larut meningkatkan tahap kesihatan usus berbanding produk bijirin halus yang lain.

Kajian menunjukkan bahawa ekstrak barli yang telah ditapai berpotensi dalam menjadi ubat julap untuk merawat masalah sembelit. Ini kerana proses penapaian oleh mikrobiota dalam barli menghasilkan asid butirik yang berupaya untuk meningkatkan tahap kesihatan usus.

9. Melindungi Organ Hati

Selain itu, air barli yang mengandungi beta-glukan membantu dalam mengurangkan lemak pada organ hati dalam kalangan penyakit kencing manis yang obes. Ekstrak air barli yang mengandungi fenolik meningkatkan paras enzim antioksidan dalam organ hati.

Air barli mengurangkan paras lipid dalam organ hati kerana kandungan fenolik dan pentosan. Ekstrak air barli melindungi sel hati yang terdedah kepada tekanan oksidatif dengan mengaktifkan Nrf2 dan meningkatkan penghasilan glutathione.

Ini akan melindungi kerosakan organ hati disebabkan oleh alkohol. Ini kerana beta-glukan akan menghalang pengurangan glutathione dan pengumpulan lipid pada organ hati, mengurangkan kerosakan organ hati dan menghalang respons terhadap keradangan.



10. Kesan Antioksidan

Antioksidan adalah sebatian yang membunuh spesis oksigen reaktif yang terdapat pada sel, yang berpotensi untuk mengelakkan tercetusnya pelbagai penyakit. Antioksidan penting dalam air barli adalah sebatian fenolik (asid fenolik, flavonoid, anthocyanin), tokol (elemen dalam vitamin E), polisakkarida (arabinoxylan), serat dan asid fitik.

Kesan antioksidan dalam air barli lebih tinggi daripada tepung gandum penuh berdasarkan beberapa kajian. Kajian yang lain turut membuktikan bahawa air barli mempunyai kepekatan fenolik yang tinggi kerana memberi kesan terhadap aktiviti antioksidan.

Kesimpulan

Air barli bukan sahaja minuman yang memberikan kesegaran kepada tubuh badan namun, memberikan khasiat yang baik terhadap kesihatan. Kandungan -glukan, kandungan antioksidan dan asid lemak poli tidak tepu memberikan kelebihan kepada air barli dan merupakan sumber yang utama untuk penghasilkan makanan tambahan yang tinggi dengan serat. Pengambilan air barli dalam pemakanan seharian akan menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan tubuh badan. Namun demikian, disarankan bahawa air barli yang diminum tidak ditambah dengan gula untuk mengawal kadar gula dalam darah. Mungkin, selepas ini, para pembaca boleh memilih minuman air barli sekiranya makan diluar atau boleh memasak sendiri air barli dirumah untuk menggantikan air manis dalam diet.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan

  1. Lahouar, L., Ghrairi, F., El Arem, A., Medimagh, S., El Felah, M., Ben Salem, H., & Achour, L. (2017). Biochemical composition and nutritional evaluation of barley rihane (Horedeum vulgare L.). Lahouar., Afr K Tradit Complement     Altern Med., 14(1), 310-317.
  2. Shimizu, C., Wakita, Y., Kihara, M., Kobayashi, N., Tsuchiya, Y., & Nabeshima, T. (2019). Association of lifelong intake of barley diet with healthy aging: changes in physical and cognitive functions and intestional microboime in senescence-accelerated mouse-prone 8 (SAMP8). Nutrients, 11, 170- 192.  
  3. Zeng, Y., Pu, X., Du, J., Yang, X., Li, X., Md. Siddikum, N.M., Yang, T., & Yang, J. (2020). Molecular mechanism of functional ingredients in barley to combat human chronic diseases. Oxidative Medicine and Cellular Longevity, 1-26. 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + 12 =