Skip to content

10 Khasiat Buah Tembikai Pada Kesihatan Badan

Di hari yang panas terik, tentu sedap rasanya dapat menikmati buah tembikai yang manis, sejuk dan banyak airnya. Selain menjadi pembasah tekak yang menyegarkan, buah tembikai juga mempunyai banyak khasiat dan kebaikan. Artikel ini akan mengupas dengan terperinci 10 khasiat buah tembikai kepada kesihatan.

Pengenalan

Citrullus lanatus atau lebih dikenali sebagai buah tembikai adalah buah daripada keluarga cucurbitaceae. Ia berbentuk bulat atau lonjong dan mempunyai berat sehingga 15 kg. Kulit buah tembikai licin dan berwarna hijau. Ada juga beberapa jenis buah tembikai yang mempunyai kulit berbelang hijau tua dan hijau muda. Isinya pula manis dan berair dan mempunyai warna kuning atau merah terang dengan biji-biji hitam.

Buah tembikai merupakan buah tropikal yang tumbuh pada batang menjalar di atas tanah. Ia memerlukan cahaya matahari yang banyak dan suhu yang panas untuk tumbuh dengan subur. Oleh itu, ia sangat sesuai ditanam di Malaysia. Buah tembikai banyak ditanam di negeri-negeri pantai timur dan digunakan dalam pasaran domestik dan juga eksport. Buah ini boleh dimakan segar, dijadikan pencuci mulut atau dibuat jus.

Kandungan nutrisi



Kandungan utama buah tembikai adalah air, ia merangkumi 91% daripada kandungan buah tembikai. Namun, buah ini juga kaya dengan pelbagai nutrien seperti vitamin C, kalium, vitamin B dan vitamin A. Setiap 100 g buah tembikai mengandungi (USDA):

NutrisiKandungan
Airg91.45 g
Kalorig30 g
Proteing0.61 g
Lemakg0.15 g
Karbohidratg7.55 g
Seratg0.4 g
Gulag6.21 g
Kalsiummg7 mg
Zat besimg0.24 mg
Kaliummg112 mg
Vitamin Cmg8.1 mg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen berkhasiat buah tembikai

1. Lycopene

Buah tembikai merupakan salah satu makanan dengan kandungan lycopene tertinggi. Lycopene adalah pigmen yang memberi warna merah kepada tumbuh-tumbuhan seperti tomato, jambu dan tembikai. Semakin merah tumbuhan itu semakin banyak kandungan lycopenenya.

Walaupun tomato merupakan sumber utama lycopene dalam diet manusia, namun sebenarnya tembikai mempunyai 40% lebih kandungan lycopene berbanding tomato. Lycopene adalah sejenis karotenoid dengan ciri-ciri antioksida yang baik.

Ia mempunyai banyak khasiat seperti melindungi jantung, mencegah kanser terutamanya kanser prostat, perut dan paru-paru dan juga boleh menguatkan tulang.



2. Citrulin dan arginine

Citrulin dan arginine adalah asid amino yang mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan. Buah tembikai merupakan sumber makanan yang tinggi dengan citrulin.

Citrulin boleh diubah menjadi arginine di dalam badan. Oleh itu, pengambilan citrulin yang tinggi juga akan meningkatkan kandungan arginine dalam badan.

Kajian menunjukkan arginin berfungsi memastikan kesihatan saluran darah. Ia memberi kesan membesarkan saluran darah dan melancarkan pengaliran darah justeru boleh mencegah daripada penyakit jantung.

10 Khasiat Buah Tembikai

1. Antiradang

Buah tembikai mempunyai sifat antiradang yang kuat. Kajian menunjukkan pengambilan buah tembikai boleh menurunkan bacaan C- reactive protein dalam darah iaitu bahan yang dihasilkan oleh hati akibat keradangan badan.

Edema ataupun pembengkakan kaki yang disebabkan oleh pengumpulan cecair dalam tisu kaki merupakan salah satu ciri-ciri keradangan. Satu kajian ke atas tikus makmal menunjukkan minyak daripada biji tembikai mampu mengurangkan edema pada kaki tikus secara signifikan.

Oleh itu, buah tembikai boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan.



2. Antimikrobial

Semua bahagian pokok tembikai termasuk daun, batang, buah dan biji mempunyai sifat antimikrobial iaitu boleh mencegah pembiakan bakteria.

Hasil kajian menunjukkan ekstrak buah tembikai menunjukkan aktiviti antimikrobial yang paling tinggi berbanding bahagian yang lain dan mampu menghalang pembiakan bakteria jenis Escherichia coli, Staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Bacillus subtilis dan Proteus vulgaris.

Oleh itu buah tembikai mampu mencegah daripada jangkitan terutamanya jangkitan akibat 5 jenis bakteria ini.

3. Mencegah pembengkakan prostat

Prostat adalah satu kelenjar di dalam sistem reproduktif lelaki. Pembengkakan prostat merupakan masalah yang selalu terjadi di kalangan lelaki berumur. Ia boleh menyebabkan penyumbatan saluran kencing dan juga kehilangan fungsi pundi kencing.

Kajian ke atas tikus menunjukkan ekstrak daripada biji tembikai mampu mengawal dan mengurangkan bengkak pada prostat secara signifikan. Kajian itu juga telah mencadangkan potensi ekstrak biji tembikai dalam rawatan penyakit prostate hyperplasia ataupun pembengkakan prostat.

Artikel Berkaitan: Tanda Prostat Bengkak dan Rawatan



4. Antioksida

Masalah keradangan yang dicetus oleh tekanan oksidatif menjadi punca kebanyakan penyakit seperti penyakit koronari, strok, Alzheimer dan Parkinson.

Diet yang tinggi dengan antioksida dapat mengurangkan risiko penyakit kronik. Buah tembikai merupakan sumber antioksida semula jadi yang baik. Ia kaya dengan kandungan antioksida seperti lycopene, vitamin C dan citrulin.

Komponen-komponen ini mampu mencegah pelbagai penyakit dengan melawan serta melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas.

5. Mencegah diabetes

Kajian ke atas tikus menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak buah tembikai selama 4 minggu dapat menurunkan bacaan gula dalam darah dan meningkatkan hormon insulin. Insulin berfungsi mengawal paras gula dalam darah dengan membantu proses penyerapan gula ke dalam sel-sel badan.

Ciri-ciri anti diabetes buah tembikai adalah disebabkan kandungan citrulinnya yang tinggi. Citrulin meningkatkan kandungan arginine di dalam badan yang mampu merangsang pembuatan insulin dan mencegah diabetes.

Walaubagaimanapun, oleh kerana buah tembikai mempunyai indeks glisemik yang tinggi, pesakit diabetes haruslah berhati-hati dengan kadar pengambilan buah ini. Makanlah buah-buahan dalam bentuk yang segar berbanding dijadikan jus untuk pengawalan gula yang lebih baik.



Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

6. Melindungi hati

Peningkatan pada enzim hati menandakan adanya kerosakan dan gangguan pada fungsi hati. Buah tembikai mempunyai sifat anti-hepatotoksik yang boleh melindungi daripada kerosakan hati.

Kajian ke atas tikus makmal dengan penyakit hati menunjukkan pengambilan jus tembikai boleh menurunkan bacaan enzim hati iaitu aspartate aminotransferase (AST), alanine aminotransferase (ALT) dan total bilirubin (TB).

Kajian itu mencadangkan bahawa kandungan antioksida yang tinggi dalam buah tembikailah yang menyumbang kepada sifat antihepatotoksik buah ini.

7. Mencegah ulser perut

Ulser perut adalah salah satu komplikasi daripada penyakit gastrik dan berlaku apabila terdapat luka di bahagian dinding perut. Satu kajian ke atas tikus makmal menunjukkan keberkesanan buah tembikai dalam mencegah ulser perut.

Daripada kajian tersebut, pengambilan ekstrak biji buah tembikai dapat dikaitkan dengan penurunan pembentukan ulser. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan penghasilan asid perut yang berlebihan yang boleh merosakkan bahagian lapisan perut.



Artikel Berkaitan: Punca Ulser Perut dan Rawatan

8. Mencegah obesiti

Selain menjadi sumber vitamin, nutrien dan serat yang baik, buah-buahan juga baik untuk mengatasi masalah berat badan. Buah tembikai pun tidak terkecuali daripada memberi manfaat ini.

Kajian menunjukkan pengambilan buah tembikai boleh membantu dalam pengawalan berat badan dengan mengurangkan rasa lapar dan keinginan untuk makan. Ia juga memberi kesan kenyang yang lebih lama.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada penurunan berat badan yang berkesan. Kajian ke atas 33 orang dewasa yang obes dan berlebihan berat badan menunjukkan pengambilan buah tembikai setiap hari selama 4 minggu dapat menyebabkan penurunan berat badan, indeks jisim badan (BMI) dan nisbah ukuran pinggang dan punggung (waist-to-hip ratio) secara signifikan.

Artikel Berkaitan: Punca Obesiti dan Rawatan

9. Melegakan sakit otot

Salah satu khasiat buah tembikai adalah ia boleh melegakan sakit otot. L-citrulin adalah sejenis amino asid yang telah dibuktikan mampu meningkatkan prestasi atlet dan melegakan sakit otot. Ia mambantu mengeluarkan asid laktik yang terkumpul di dalam otot dan mempercepatkan proses pemulihan otot-otot dan tisu selepas bersenam.



Buah tembikai merupakan sumber l-citrulin yang baik dan boleh membantu atlet pulih selepas latihan. Kajian ke atas 7 orang atlet menunjukkan pengambilan 500 ml jus tembikai sama ada secara semula jadi atau yang diperkaya dengan asid amino l-citrulin boleh menurunkan kadar degupan jantung dan mengurangkan sakit otot selepas 24 jam.

Artikel Berkaitan: Punca Sakit Otot dan Rawatan

10. Menghidratkan badan

Air mempunyai beberapa fungsi penting kepada tubuh badan seperti mengawal suhu badan, melancarkan pengaliran darah, mencegah jangkitan, dan meningkatkan kadar metabolisme badan. Buah tembikai adalah salah satu makanan dengan kandungan air tertinggi. Oleh itu, pengambilan buah tembikai boleh menyumbang kepada pengambilan air yang cukup untuk memastikan tubuh badan sentiasa sihat dan cergas.

Kesimpulan

Akhir sekali, daripada perbincangan di atas jelaslah bahawa buah tembikai membawa pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Namun, jika anda sudah mengalami sebarang penyakit seperti kencing manis, penyakit hati atau penyakit lain, buah tembikai bukanlah menjadi alternatif kepada ubat anda.

Anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Diharapkan artikel khasiat buah tembikai ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca.

Khasiat Buah yang Lain

Buah TembikaiBuah Betik
Buah KulimBuah Belimbing
Buah BidaraBuah Kiwi
Buah MarkisaBuah Jambu Air
Buah CikuBuah Tin
Buah PisangBuah Anggur
Buah EpalBuah Nanas
Buah DelimaBuah Jambu Batu
Buah Zaitun

Rujukan



  1. Altaş, S., Kızıl, G., Kızıl, M., Ketani, A., & Haris, P. I. (2011). Protective effect of Diyarbakır watermelon juice on carbon tetrachloride-induced toxicity in rats. Food and Chemical Toxicology, 49(9), 2433–2438.
  2. Earnest, E., Emeka, I., Ajaghaku, D., Sonne, M., & Moke, E. (2015). Toxicity Evaluation of a Commercial Herbal Preparation Commonly Used in Nigeria. European Journal of Medicinal Plants, 5, 176–190.
  3. Lum, T., Connolly, M., Marx, A., Beidler, J., Hooshmand, S., Kern, M., Liu, C., & Hong, M. Y. (2019). Effects of Fresh Watermelon Consumption on the Acute Satiety Response and Cardiometabolic Risk Factors in Overweight and Obese Adults. Nutrients, 11(3)
  4. Nasir, M. U., Hussain, S., & Jabbar, S. (2015). Tomato processing, lycopene and health benefits: A review. 3(1), 5.
  5. Perkins, P., Collins, J., Clevidence, B., & Wu, G. (2007). Watermelons and Health. Acta Horticulturae, 731.
  6. Tarazona-Díaz, M. P., Alacid, F., Carrasco, M., Martínez, I., & Aguayo, E. (2013). Watermelon Juice: Potential Functional Drink for Sore Muscle Relief in Athletes. Journal of Agricultural and Food Chemistry, 61(31), 7522–7528.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen + one =