Skip to content

10 Khasiat Kunyit Hitam yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat kunyit hitam pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat kunyit hitam, kandungan nutrien di dalamnya berserta komponen berkhasiat.

Pengenalan

Di Malaysia, lebih kurang 1,200 spesies iaitu 8% daripada tumbuhan di negara ini memiliki nilai perubatan dan telah digunakan sejak turun termurun. Kunyit hitam atau nama saintifiknya, Curcuma caesia merupakan tumbuhan herba ubatan yang mempunyai khasiat tinggi kepada kesihatan manusia. Tumbuhan herba ubatan bermaksud tumbuhan, bahagian-bahagian tumbuhan, atau ekstrak tumbuhan yang digunakan untuk tujuan perubatan.

Kunyit hitam atau dikenali sebagai temu hitam, ia berasal daripada spesis kunyit. Saiz daun kunyit hitam sama seperti saiz daun kunyit biasa dengan jalur ungu kehitaman di tengahnya. Rizomnya mempunyai isi berwarna putih dengan lingkaran ungu kehitaman. Kunyit hitam mempunyai bau yang menyengat dan rasa yang pahit. Kunyit hitam telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan secara tradisional untuk masalah kesihatan. Kini, terdapat beberapa penyelidikan dilakukan untuk mengkaji khasiat dan manfaat kunyit hitam kepada kesihatan manusia.

Kandungan Nutrisi



Kunyit hitam mengandungi kandungan nutrisi yang tinggi kerana tumbuhan herba ubatan ini tinggi dengan karbohidrat, protein, vitamin dan mineral. Kunyit hitam mengandungi fitokimia yang digunakan untuk bidang perubatan seperti terpenoid, flavonoid, alkaloid, tanin, saponin dan steroid.

Fitokimia adalah bahan biokimia semulajadi yang ditemui didalam tumbuh-tumbuhan yang memberikan ciri-ciri seperti warna, rasa, bau dan tekstur kepada tumbuh-tumbuhan tersebut. Selain itu, fitokimia juga membantu dalam pertumbuhan tumbuh-tumbuhan kerana fitokimia melindungi tumbuh-tumbuhan daripada serangan bendasing.       

Terpenoid mempunyai kesan anti kulat serta mampu untuk melawan bakteria, parasit dan virus. Selain itu, terpenoid membantu dalam menurunkan kadar gula dalam darah, mempunyai sifat anti keradangan dan meningkatkan imuniti badan. Manakala flavonoid adalah antioksidan yang larut didalam air dan berperanan dalam melawan radikal bebas. Flavonoid menghalang kerosakan sel disebabkan oleh proses pengoksidaan dan menghalang pertumbuhan sel kanser.

Alkaloid pula membantu dalam sistem saraf, mengurangkan selera makan untuk membantu proses penurunan berat badan dan merupakan ejen diuretik iaitu bahan yang menggalakkan pengeluaran air kencing. Tanin adalah bahan yang membantu dalam merawat luka dan melawan keradangan. Seterusnya, saponin menggalakkan proses penggumpalan darah untuk mengelak daripada berlakunya kehilangan berlebihan darah. Bagi steroid pula, steroid berperanan dalam menurunkan kadar kolesterol dan meningkatkan tahap imunisasi.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat Dalam Kunyit Hitam

1. Kurkumin



Seperti yang diketahui, kunyit hitam mempunyai bau seperti kapur terutamanya pada bahagian daun dan rizom serta mempunyai sebatian yang berfungsi sebagai antioksidan. Kunyit hitam mengandungi kurkumin iaitu bahan kimia yang memberikan warna dan bau yang khusus dan menjadikan kunyit hitam salah satu rempah yang digunakan dalam kehidupan harian.

Kunyit hitam boleh digunakan untuk menggantikan sejenis tumbuhan herba iaitu Saffron yang harganya terlalu mahal. Hal ini kerana ciri-ciri yang terdapat pada Saffron juga terdapat didalam kunyit hitam.

Kurkumin yang terdapat pada bahagian rizom kunyit hitam, adalah bahan kimia yang larut didalam larutan organik tetapi tidak larut didalam air. Kurkumin mempunyai kesan antioksida, anti keradangan, menghalang saluran darah daripada tersumbat, mengurangkan kadar kolesterol dalam badan, kesan anti kulat dan anti bakteria.

2. Methoxyflavon

Selain daripada itu, menurut kajian, kunyit hitam mengandungi kandungan bioaktif fitokimia yang sangat unik dan sukar didapati di dalam tumbuhan lain iaitu methoxyflavon. Metoxyflavon sangat diperlukan oleh tubuh badan bagi membantu dalam mengurangkan dan menghalang terjadinya pelbagai penyakit.

Metoxyflavon membantu dalam meningkatkan kadar metabolisma, menghalang pembentukan sel kanser, mengurangkan risiko sakit jantung, mengurangkan risiko penyakit berkaitan saraf, menghalang aktiviti mikroorganisma dan mempunyai kesan antioksida.

Metoxyflavon juga digunakan untuk meningkatkan kadar hormon testosteron iaitu hormon reproduktif lelaki yang membantu dalam kepadatan tulang,  pembahagian lemak, kepadatan dan kekuatan otot serta penghasilan sel darah merah dan sperma. Para atlet juga menggunakan metoxyflavon untuk meningkatkan prestasi mereka.

10 Khasiat Kunyit Hitam Pada Kesihatan

Setelah mengetahui asal usul, kandungan nutrisi dan komponen berkhasiat didalam kunyit hitam, kini artikel ini akan membincangkan tentang 10 khasiat kunyit hitam pada kesihatan:



1. Kesan Antioksida

Kunyit hitam mempunyai antioksidan semulajadi yang berupaya untuk melawan radikal bebas. Aktioksidan berperanan dalam mengurangkan, meneutralkan serta melindungi sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas. Radikal bebas adalah hasil sampingan reaktif yang terbentuk daripada proses kimia yang berlaku dalam badan. Radikal bebas terbentuk melalui proses pengoksidaan dan sekiranya jumlahnya adalah berlebihan, radikal bebas akan memudaratkan serta merosakkan sel dan tisu badan.

Satu kajian telah dibuat terhadap ekstrak yang diproses daripada rizom kunyit hitam. Berdasarkan kajian tersebut, ekstrak kunyit hitam mempunyai kesan antioksida yang mampu meneutralkan proses pengoksidaan radikal bebas. Kajian ini membuktikan bahawa kunyit hitam mempunyai kesan perlindungan terhadap radiasi.

2. Mencegah Masalah Asma

Kunyit hitam juga mampu mencegah masalah asma. Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan. Semasa serangan asma, saluran pernafasan akan mengalami proses keradang iaitu saluran pernafasan mengandungi lendir, menjadi bengkak dan sempit. Otot yang berhubung dengan saluran pernafasan akan menjadi lebih sempit daripada biasa. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas dan menyebabkan serangan asma.

Kajian menunjukkan kunyit hitam mampu mengendurkan otot yang berhubung dengan saluran pernafasan supaya dalam keadaan relaks. Ini akan membantu salur nafas yang sempit itu menjadi lebih mudah untuk bernafas lantas dapat mengawal asma.

3. Memberi Kesan Analgesik

Selain itu, kunyit hitam memberikan kesan analgesik iaitu kesan dalam melegakan kesakitan. Satu kajian telah dijalankan terhadap model haiwan untuk membuktikan kesan analgesik kunyit hitam. Hasil kajian menunjukkan bahawa kunyit hitam mampu mengurangkan kesakitan terhadap model haiwan. Selain itu, kajian itu menunjukkan bahawa kunyit hitam mengandungi kesan antipiretik (mengurangkan demam) kerana mampu mengurangkan suhu badan model haiwan yang tinggi.



4. Anti Depresi

Kunyit hitam dapat meningkatkan tahap dopamin supaya dapat membangkitkan perasaan yang ceria. Dopamin adalah hormon pengendali emosi yang dirembeskan semasa pengalaman positif seseorang. Tahap dopamin yang meningkat dapat memberikan perasaan bahagia dan gembira terhadap seseorang. Oleh itu, herba kunyit hitam sangat bagus untuk melawan penyakit kemurungan dan mengurangkan serangan rasa bimbang (anxiety). Kunyit hitam juga mampu membantu untuk mendapatkan tidur malam yang lebih nyenyak.

Satu kajian yang dijalankan terhadap rizom kunyit hitam menunjukkan bahawa komponen di dalam tumbuhan ini mampu melindungi fungsi otak daripada sebarang gangguan.

5. Pengaliran Darah Lebih Lancar

Selain itu, satu kajian telah menunjukkan bahawa kunyit hitam berpotensi menjadikan saluran darah menjadi lebih sihat. Saluran darah yang sihat bermaksud saluran darah yang anjal iaitu mampu untuk mengembang dan kembali ke bentuk asal berdasarkan aliran darah. Kunyit hitam mampu meningkatkan nitrik oksida iaitu molekul yang membolehkan saluran darah menjadi lembut dan anjal. Saluran darah yang anjal membolehkan aliran darah dalam badan menjadi lancar dan mengelakkan saluran darah daripada tersumbat.

6. Meningkatkan Tenaga

Di samping itu, kunyit hitam mampu meningkatkan tahap tenaga. Tidak hairanlah kunyit hitam sangat popular dalam kalangan atlet sukan kerana membantu dalam menambahkan tenaga semasa latihan dan juga pertandingan. Kajian menunjukkan bahawa terdapat peningkatan penghasilan tenaga selepas 30 minit dan 60 minit pengambilan kunyit hitam.

Peningkatan penghasilan tenaga ini disebabkan oleh pengaktifan tisu adipos perang. Tisu adipos perang adalah lemak tisu yang diperlukan untuk penghasilan tenaga. Kadar metabolisma tubuh badan akan meningkat dan menghalang daripada peningkatan berat badan.



7. Mencegah Penyakit Berkaitan Dengan Sindrom Metabolik

Sindrom metabolik adalah penyakit yang disebabkan oleh metabolisma yang terganggu. Antara penyakit yang berkaitan dengan sindrom metabolik adalah kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tidak normal dan lemak viseral berlebihan iaitu lemak yang menyelaputi organ-organ dan penyakit jantung. Kunyit hitam membantu mencegah risiko sindrom metabolik dengan meningkatkan penggunaan tenaga dan meningkatkan kecergasan fizikal.

8. Mencegah Ulser Perut

Kunyit hitam juga mampu mengurangkan indeks ulser dan isipadu asid perut dalam mencegah ulser perut. Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus albino dan kajian tersebut menunjukkan bahawa terdapat penurunan indeks ulser dan isipadu asid perut serta peningkatan rembesan mukus perut. Mukus perut penting dalam melindungi dinding perut daripada asid perut daripada menghakis dinding perut.

9. Melancarkan Haid

Selain itu, kayu hitam mengandungi bahan semulajadi untuk melancarkan haid. Kunyit hitam mampu menormalkan jumlah darah yang keluar ketika haid, mengawal haid, menghindari warna-warna darah haid yang tidak normal dan masalah sindrom pra-haid seperti perut kembung.

Perubatan tradisional telah menggunakan kunyit hitam untuk melancarkan haid. Kunyit hitam akan dihiris nipis dan dimasukkan ke dalam periuk mengandungi air. Setelah air mendidih, air tersebut perlu diminum dan amalan ini perlu dilakukan setiap hari untuk mendapatkan kesan yang baik.

10. Meningkatkan Keinginan untuk melakukan hubungan intim



Kunyit hitam membantu dalam meningkatkan fungsi reproduktif untuk golongan lelaki. Satu kajian menunjukkan bahawa kunyit hitam mampu menaikkan nafsu syahwat lelaki. Golongan lelaki yang mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim yang rendah menjadi lebih baik selepas menjadikan amalan memakan kunyit hitam sebagai rutin harian.

Selain itu, kajian membuktikan bahawa saiz bahagian alat sulit lelaki menjadi lebih panjang dan lebar semasa melakukan hubungan intim

Kesimpulan

Akhir sekali, kunyit hitam mempunyai pelbagai khasiat berdasarkan kajian yang telah dibuat didalam makmal dan juga beberapa kajian yang dijalankan pada manusia. Para pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor jika ingin menggunakan kunyit hitam sebagai ubat-ubatan untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan.

Pengguna juga tidak boleh menggunakan kunyit hitam untuk menggantikan ubat yang diberikan oleh doktor. Jika anda sudah mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan lain-lain, anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan juga mendengar nasihat doktor.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan:

  1. Akanksha, J., & Parihar, DK. (2017). Nutritional Evaluation of Curcuma Species   Collected from Different Agro Climatic Regions of Chhattisgarh. American Journal of Ethnomedicine, 4(20). doi: 10.21767/2348-9502.100020
  2. Chen, D., Li, H.L., Li, W., Feng, S., & Deng, D. (2018). Kaempferia parviflora and Its Methoxyflavones: Chemistry and Biological Activities. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 1-15.
  3. Donipati, P., & Sreeramulu, S.H. (2015). Preliminary Phytochemical Screening of  Curcuma caesia. International Journal of Current Microbiology and Applied Sciences, 4 (11), 30-34. ISSN: 2319-7706
  4. Sahu, B., Kenwat, R., & Chandrakar, S. (2016). Medicinal Value of Curcuma cassia roxb: An Overview. UK Journal of Pharmaceutical and Biosciences, 4(6), 69 74. ISSN: 2347-9442
  5. Saokaew, S., Wilairat, P., Raktanyakan, P.. Dilokthornsakul, P., Dhippayom, T. Kongkaew, C., Sruamsiri, R., Chuthaputti, A., & Chaiyakunapruk, N. (2017).  Clinical Effects of Krachaidum (Kaempferia parviflora): A Systematic Review. Journal of Evidence-Based Complementary & Alternative  Medicicine, 22(3), 413-428. doi: 10.1177/2156587216669628  journals.sagepub.com/home/cam
Advertisements

2 thoughts on “10 Khasiat Kunyit Hitam yang Anda Perlu Tahu”

    1. Maaf tuan. Artikel di dalam laman web ini adalah hak cipta terpelihara. Tuan boleh ambil beberapa point dan ayat tersebut perlulah diubah supaya tidak sama dengan artikel ini. Sekian, terima kash

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten + four =