Skip to content

10 Khasiat Buah Pisang Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat buah pisang pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah pisang, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam buah ini.

Pengenalan

Tahukah anda bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia menyarankan sekurang-kurangkan 400g bersamaan dengan dua sajian pengambilan buah-buahan untuk sehari? Hal ini kerana buah-buahan merupakan sumber tenaga, vitamin dan juga sebatian bioaktif yang berupaya untuk mengurangkan risiko penyakit. Pisang adalah salah satu pilihan yang terbaik untuk kesihatan badan.

Pisang tergolong dalam keluarga Musaceae dan berasal dari Asia Tenggara. Pisang adalah sejenis buah yang popular dalam pasaran dunia kerana menjadi salah satu sumber makanan ruji selain daripada beras, bijirin dan jagung. Pisang merupakan salah satu sumber utama tanaman dalam bidang pertanian selain daripada kopi, bijirin, gula dan biji koko. Dalam kumpulan buah-buahan pula, pisang adalah antara tanaman penting selepas anggur, epal dan oren. India, China, Filipina dan Ecuador adalah empat negara yang menjadikan penanaman pisang sebagai pertanian utama. Ecuador merupakan negara yang terbesar dalam mengeksport pisang manakala Amerika Syarikat adalah negara utama pengimport pisang.



Pisang adalah buah yang diperkaya dengan sumber vitamin dan mineral. Penggunaan pisang dalam penghasilan produk makanan menyumbang sejuta khasiat terhadap kesihatan manusia. Jadi, tidak hairanlah pisang menjadi makanan ruji bagi kebanyakkan negara kerana tinggi dalam nilai nutrisi dan memberi kesan positif terhadap tubuh badan.

Komponen Penting Dalam Pisang

Pisang mengandungi antioksidan yang berupaya untuk melawan radikal bebas. Pisang mengandungi flavonoid seperti leukoantosianidin dan juga dopamin. Kandungan utama flavonoid adalah leukoantosianidin yang membantu dalam melawan keradangan, menghalang tindak balas alergik, mengurangkan toksik dalam organ hati serta melindungi jantung dan saluran darah.

Dopamin pula merupakan antioksidan yang larut dalam air dan berpotensi dalam melawan radikal bebas sama seperti asid askorbik. Dopamin yang terdapat dalam bahagian pulpa memainkan peranan yang penting sebagai neurotransmitter dan melawan keradangan. Selain itu, dopamin melindungi daripada berlakunya kecederaan pada bahagian usus.

Karotenoid

Kandungan karotenoid seperti lutein, alpha-karotin dan beta-karotin menghasilkan warna kuning pada pisang. Lutein melindungi mata daripada penyakit seperti hilang penglihatan dan katarak. Lutein bertindak seperti pelindung terhadap cahaya, melindungi tisu mata daripada pancaran cahaya matahari. alpha-karotin dan beta-karotin adalah provitamin A yang menyumbang kepada paras vitamin A dalam badan. alpha-karotin dan beta-karotin akan ditukarkan kepada vitamin A iaitu nutrisi penting untuk mata, pertumbuhan sel dan melindungi organ seperti jantung, paru-paru dan buah pinggang. 



Pisang juga mengandungi sebatian polisakkarida iaitu kanji. Kanji ini akan diproses secara perlahan dan rendah indeks glisemik. Oleh itu, gula akan dirembeskan secara sedikit demi sedikit dan ini akan mengawal paras gula dalam darah. Kanji ini juga melindungi usus daripada serangan enzim ‘amylase’ dan ‘glucoamylase’. Kedua-dua enzim ini berperanan dalam menukarkan karbohidrat kompleks seperti kanji kepada gula ringkas. Kerintangan pisang terhadap serangan kedua-dua enzim ini membolehkan kanji diserap oleh usus kecil melalui proses penapaian oleh mikroflora dalam usus kecil.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Nutrisi Dalam Pisang

Buah pisang diperkaya dengan nutrisi seperti karbohidrat, protein, lemak, air, vitamin dan mineral. Nilai nutrisi ini berbeza mengikut tahap kematangan, keadaan iklim, jenis tanah dan lain-lain. Karbohidrat merupakan sumber tenaga utama bagi badan dan akan ditukarkan kepada gula selepas proses pencernaan berlaku. Buah pisang bukanlah sumber protein yang terbaik jika dibandingkan dengan sumber protein yang lain.

Namun demikian, protein dalam buah pisang cukup berdasarkan sajian protein oleh Cadangan Pengambilan Zat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pisang mengandungi lemak yang rendah dan serat yang tinggi. Kandungan serat ini membantu dalam sistem penghadaman. Rajah 1 menunjukkan kandungan nutrisi penting dalam buah pisang.

 Fakulti Pertanian Amerika Syarikat (USDA)
Komponen NutrisiNilai (per 100g)Unit
Kalori89kCal
Karbohidrat22.84g
Protein0.75 – 1.31g
Lemak0.07 – 0.7g
Air71.3 – 78.2g
Serat1.7 – 3.7g

Rajah 1: Kandungan Nutrisi Penting Dalam Buah Pisang

Buah pisang mengandungi vitamin penting seperti vitamin A, vitamin B, vitamin C, vitamin E dan vitamin K. Vitamin A diperlukan untuk kesihatan mata dan mengurangkan risiko rabun malam. Manakala vitamin B pula digunakan untuk pelbagai fungsi dalam badan. Sebagai contoh, menghasilkan antibodi, membantu sistem saraf dan mengekalkan paras gula yang normal.

Vitamin C pula penting untuk pertumbuhan sel baru, mengekalkan kekuatan tulang dan gigi, merawat luka, membantu badan untuk menghasilkan kolagen juga melawan radikal bebas. Vitamin E penting untuk mengekalkan kesihatan kulit dan mata, menguatkan sistem imunisasi badan dan melawan jangkitan. Vitamin K pula diperlukan untuk menyembuh luka dan mengekalkan tulang yang kuat. Rajah 2 menunjukkan kandungan vitamin dalam buah pisang.

 Fakulti Pertanian Amerika Syarikat (USDA)
Komponen NutrisiNilai (per 100g)Unit
Vitamin A64IU
Vitamin B10.01 – 0.051mg
Vitamin B20.05 – 0.115mg
Vitamin B30.544 – 0.749mg
Vitamin B60.302 – 0.42mg
Vitamin C8 – 9.5mg
Vitamin E0.03 – 0.37mg
Vitamin K0.2 – 0.9mg

Rajah 2: Kandungan Vitamin Dalam Buah Pisang

Di samping itu, buah pisang adalah sumber makanan yang tinggi dengan mineral seperti kalium, kalsium, magnesium, fosforus dan lain-lain. Sebiji pisang menyumbang kepada 15-29 mg kalium yang membantu otot untuk bekerja dan mengelakkan daripada kekejangan otot.



Kalium juga membantu untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko penyakit strok. Kalsium dan magnesium diperlukan untuk mengawal degupan jantung, pergerak otot dan penghantaran maklumat melalui sistem saraf. Fosforus pula diperlukan untuk pertumbuhan tulang dan gigi serta mengekalkan dan merawat sel-sel yang telah rosak. Rajah 3 menunjukkan kandungan mineral dalam buah pisang.

 Fakulti Pertanian Amerika Syarikat (USDA)
Komponen NutrisiNilai (per 100g)Unit
Kalium15 – 29mg
Kalsium4 – 7mg
Magnesium18 – 38mg
Natrium308-426mg
Zink0.11 – 0.24mg
Kuprum0.025 – 0.186mg

Rajah 3: Kandungan Mineral Dalam Buah Pisang

10 Khasiat Pisang Terhadap Kesihatan

1. Kesan Antioksidan

Pertubuhan Kesihatan Dunia menyarankan para pengguna untuk mengamalkan pemakanan buah-buahan serta sayur-sayuran yang segar kerana kandungan antioksidan yang tinggi. Antioksidan membantu dalam mengurangkan penyakit berkaitan dengan saraf, melambatkan proses penuaan dan mengurangkan risiko penyakit degeneratif seperti penyakit jantung, tulang rapu, keradangan, kanser, arthritis dan ketidakupayaan otak untuk berfungsi. Dopamin, asid askorbik dan sebatian antioksidan yang lain membantu untuk mengurangkan tekanan oksidatif dalam sel dan meningkatkan kerintangan terhadap radikal bebas.

2. Merawat Masalah Sistem Penghadaman

Pisang diperkaya dengan serat tidak dicerna yang membantu untuk mengelakkan daripada berlakunya sembelit dan cirit-cirit. Pisang mengekalkan fungsi usus besar untuk menyerap air yang banyak untuk memastikan pergerakan usus. Pektin yang bertindak untuk menyerap air dan memudahkan proses perkumuhan. Selain itu, pisang mempunyai kandungan fruktooligosakkarida, sebatian yang dipanggil sebagai prebiotik. Fruktooligosakkarida ialah makanan bagi bakteria baik dalam usus.

Bakteria baik menghasilkan vitamin dan enzim pencernaan untuk meningkatkan keupayaan penyerapan nutrisi serta melindungi daripada mikroorganisma jahat. Apabila fruktooligosakkarida bertindak balas dengan bakteria baik, bilangan probiotik bertambah serta keupayaan badan untuk menyerap kalsium juga meningkat. Pisang mempunyai kesan antibakteria kerana kandungan komponen seperti -sitosterol, asid malik, asid hydrositrearik dan asid suksinik. Kesan antibakteria ini telah digunakan oleh pengamal perubatan untuk merawat jangkitan bakteria.

3. Melindungi Daripada Ulser Perut



Satu kajian telah dilakukan di Thailand menunjukkan bahawa pisang mampu merawat ulser perut disebabkan oleh enzim pepsin. Selain daripada mampu merawat, pisang juga mampu menghalang perkara yang mencetuskan berlakunya ulser perut. Kandungan flavonoid semula jadi iaitu leukosianidin yang bertanggungjawab dalam menghalang berlakunya ulser perut.

Leukosianidin menambahkan ketebalan lapisan membran mukus dalam perut dan melindungi mukus dalam perut daripada hakisan disebabkan oleh aspirin. Aspirin adalah ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan namun aspirin boleh menyebabkan pendarahan pada perut.

4. Membantu dalam Mengawal Kencing Manis

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira 2.5 juta rakyat negara ini menghidap penyakit kencing manis dan 17.5 peratus daripadanya adalah orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas. Statistik menunjukkan Malaysia antara negara yang merekod angka tertinggi di dunia dan Asia. Penyakit kencing manis lebih membejatkan apabila dijangka tujuh juta rakyat Malaysia berkemungkinan menghidap penyakit kencing manis menjelang 2025.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa pisang mampu mengurangkan paras gula semasa berpuasa dan kepekatan glikogen yang disimpan dalam organ hati. Pisang merupakan sumber fruktooligosakkarida. Sumber ini berupaya untuk menurunkan kolesterol dalam darah, mempertingkatkan penyerapan mineral dan merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam perut disebabkan oleh kesan pribioti. Pengambilan pisang meningkatkan tahap reaktif insulin dalam kalangan pesakit kenicng manis.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda kencing manis

5. Mengurangkan Risiko Tekanan Darah Tinggi

Pisang merupakan salah satu sumber terbaik kalium, mineral yang penting untuk mengawal tekanan darah pada tahap normal dan memastikan jantung berfungsi pada tahap yang effisyen. Pisang yang bersaiz medium mengandungi 350mg kalium. Kajian menunjukkan bahawa sebatian semula jadi yang ditemui dalam pisang bertindak sama seperti ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi.



Sebatian semula jadi bertindak sebagai perencat enzim angiotensin iaitu menghalang enzim daripada menghasilkan angiotensin II. Angiotensin II akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit. Kajian yang lain menunjukkan bahawa tekanan darah individu yang mengambil buah pisang dua biji seminggu turun sebanyak 10%.

Artikel Berkaitan: Apa yang perlu anda tahu tentang Darah Tinggi?

6. Melindungi Daripada Penyakit Jantung

Selain itu, pisang berpotensi dalam menurunkan kadar kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung yang memberi kesan terhadap kesihatan manusia. Ekstrak pisang yang mengandungi flavonoid menunjukkan kesan hipolipidemia dengan membantu dalam menurunkan kadar kolesterol, fosfolipid, asid lemak dan trigliserida dalam darah, hati, buah pinggang dan otak.

Selain itu, ekstrak pisang yang mengandungi flavonoid ini membantu dalam memecahkan dan menyingkirkan kolesterol yang telah berkumpul melalui asid hempedu dan sterol. Di samping itu, fitosterol dalam buah pisang juga merendahkan paras kolesterol dalam darah dengan menghalang daripada penyerapan kolesterol ke dalam usus kecil. Oleh itu, dapat mengurangkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL).

Artikel Berkaitan: Tanda sakit jantung yang anda perlu tahu

7. Melindungi Daripada Penyakit Kanser

Salah satu khasiat pisang adalah ia boleh mengurangkan risiko kanser. Pisang memberi kesan terhadap laluan transduksi isyarat yang mengawal pertumbuhan dan pembahagian sel kanser, struktur membran serta fungsi sel kanser dan sistem imunisasi manusia.



Pisang juga melindungi daripada kanser kolorektal iaitu kanser pada bahagian usus besar dan rektum. Kandungan fenolik dalam pisang membantu dalam melawan kanser dan menjadikan pisang salah satu agen anti kanser. Fenolik akan meningkatkan sistem imunisasi badan untuk mengenal dan membunuh sel kanser serta menghalang pembentukan saluran darah baru yang diperlukan untuk pertumbuhan sel kanser.

8. Melindungi Daripada Penyakit Neurodegeneratif

Satu kajian telah dijalankan oleh sebuah universiti untuk mengkaji kesan ektrak buah epal, pisang dan oren terhadap sel neuron. Kajian menunjukkan bahawa fenolik yang ditemui dalam buah-buahan menghalang agen toksik daripada menyerang struktur dan fungsi sistem saraf. Pisang merupakan buah kedua yang mempunyai kandungan fenolik yang tinggi selepas epal.

Pengambilan pisang melindungi sel saraf daripada agen toksik yang disebabkan oleh tekanan oksidatif serta mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif. Penyakit neurodegeneratif adalah penyakit yang dimana sel-sel yang terdapat pada sistem saraf tidak berfungsi atau mati. Penyakit ini akan jadi semakin teruk dan tidak boleh sembuh. Sebagai contoh, penyakit Alzheimer dan Parkinson.

9. Melindungi Buah Pinggang

Kandungan kalium yang tinggi memberikan impak yang positif terhadap kesihatan buah pinggang. Pengambilan kalium mengikut yang disarankan menghalang perembesan kalsium dalam air kencing dan mengurangkan risiko batu karang.

Kajian dilakukan dalam kalangan penduduk Sweden menunjukkan bahawa kaum wanita mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan seharian lebih tinggi daripada lelaki. Buah pisang telah menjadi pilihan utama mereka dan amalan ini mengurangkan risiko kerosakan buah pinggang berbanding kepada kumpulan yang tidak mempraktikkan amalan ini.

10. Melindungi Daripada Kemurungan



Salah satu khasiat pisang adalah ia dapat membantu mereka yang mengalami gejala kemurungan. Menurut kajian terbaru yang dijalankan oleh Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) menunjukkan pesakit yang mengalami kemurungan menunjukkan tindak balas yang positif selepas mengamalkan pisang dalam diet seharian. Ini kerana pisang mengandungi triptopfan, sejenis protein yang ditukarkan kepada serotonin. Serotonin akan menyebabkan minda kita menjadi tenang, menjadikan emosi lebih baik dan perasaan akan lebih gembira.

Kesimpulan

Setiap ciptaan Tuhan itu mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Mungkin, sebelum ini kita memandang enteng terhadap buah pisang hanya kerana buah pisang adalah buah tempatan. Namun demikian, buah pisang merupakan sumber nutrisi yang baik kerana mengandungi karbohidrat, protein yang penting untuk pembentukan sel badan, vitamin dan mineral.

Menurut Piramid Makanan Malaysia 2020, kita disarankan untuk mengambil dua sajian buah-buahan setiap hari. Diharap para pembaca boleh menjadikan buah pisang sebagai snek untuk dimakan setiap hari. Mungkin juga para pembaca boleh menanam pokok pisang di sekitar kawasan rumah untuk memastikan bekalan pisang berterusan.

Diharap artikel khasiat pisang ini dapat memberikan maklumat berkenaan kebaikan dan khasiat buah pisang ini kepada kesihatan.

Khasiat Buah yang Lain

Buah TembikaiBuah Betik
Buah KulimBuah Belimbing
Buah BidaraBuah Kiwi
Buah MarkisaBuah Jambu Air
Buah CikuBuah Tin
Buah PisangBuah Anggur
Buah EpalBuah Nanas
Buah DelimaBuah Jambu Batu
Buah Zaitun

Rujukan:

  1. Chandler, S. (1995). The Nutritional Value of Bananas. Bananas and Plantains, 15, 468 – 481, ISBN: 0-412-36870-6
  2. Fahrasmane, L., Parfait, B., & Aurore, G. (2014). Bananas, A Source Of Compounds With Health Properties. Human Health Effects of Fruits and Vegetables, 3, 75 83. Retrieved from Researchgate
  3. Muhammad Modassar Ali Nawaz Ranjha, Shafeeqa Irfan, Muhammad Nadeem & Shahid Mahmood (2020): A Comprehensive Review on Nutritional Value, Medicinal Uses, and Processing of Banana, Food Reviews International
  4. Sampath Kumar, K.P., Bhowmik, D., Duraivel, S., & Umadevi, M. (2012). Traditional And Medicinal Uses Of Banana. Journal of Pharmacognosy and Phytochemistry, 1(3), 1-13. ISSN: 2278-4136
  5. Singh, B., Singh, J.P., Kaur, A., Singh, N., Bioactive compounds in banana and their associated health benefits – a review, Food Chemistry (2016),
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × five =