Apakah punca kepada masalah kanser gusi? Artikel ini akan membincangkan punca kepada masalah kanser gusi, tanda-tandanya, rawatan dan komplikasi kepada masalah ini
Pengenalan
Kanser mulut adalah suatu pertumbuhan atau kesakitan di dalam mulut yang tidak hilang. Kanser mulut terbahagi kepada kanser bibir, gusi, lidah, pipi, bahagian lantai mulut, lelangit lembut dan keras, sinus dan tekak.
Kanser gusi adalah salah satu jenis kanser kepala dan leher yang bermula apabila sel di dalam gusi bahagian atas atau bawah tumbuh di luar kawalan dan membentuk lesi atau tumor. Kadang-kala, kanser ini juga boleh disalah erti dengan gingivitis, iaitu penyakit gusi awal. Kanser boleh berupa seperti lesi berwarna merah atau putih dan kelihatan seperti gusi yang tebal.
Punca Kanser Gusi
Punca utama yang menyebabkan sel melalui perubahan kepada kanser adalah tidak diketahui, namun terdapat beberapa faktor risiko yang boleh memungkinkan berlakunya masalah ini, antaranya adalah seperti:
- Merokok atau pengunaan bahan tembakau lain
- Penyalahgunaan alkohol
- Berusia lebih 35 tahun
- Iritasi kronik pada mulut
- Kekurangan diet iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran
- Jangkitan virus Human Papilloma (HPV)
- Golongan lelaki
- Kebersihan mulut yang teruk
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom Kanser Gusi
Doktor gigi adalah individu yang pertama sekali yang boleh mengesan tanda-tanda kanser gusi, ketika permeriksaan rutin gigi. Namun begitu, anda boleh mengenal pasti sendiri keadaan gusi anda dengan memeriksa dan melihatnya jika terdapat sebarang perubahan. Antara simptom biasa masalah ini adalah:
- Tompok putih, merah, atau gelap pada gusi
- Gusi berdarah atau merekah
- Bahagian tebal pada gusi
- Perubahan dari segi rasa
- Kesukaran untuk makan
- Kehilangan gigi atau gigi palsu tidak muat
- Ketulan kekal
- Bengkak kalenjar limfa pada leher
- Bau mulut busuk
Selain simptom biasa, terdapat juga simptom serius yang memerlukan anda rawatan medikal, seperti:
- Perubahan dari segi rasa
- Pendarahan di dalam mulut
- Kesukaran makan atau menelan
- Kalenjar limfa bengkak berlarutan lebih dari 2 minggu
- Sakit atau benjolan pada gusi yang tidak sembuh
- Berat badan turun secara mendadak
Komplikasi
Jika kanser gusi tidak dirawat, masalah ini boleh mendatangkan beberapa komplikasi yang serius. Antara komplikasi yang boleh terjadi adalah:
- Perubahan dari segi wajah
- Kehilangan selera makan
- Kehilangan gigi
- Kesukaran menelan, makan atau minum
- Kesukaran bercakap
- Pembukaan mulut yang minima
- Kanser berulang selepas rawatan
- Penyebaran kanser pada bahagian badan yang lain
- Kemurungan
- Kematian
Rawatan
Kanser gusi boleh disembuhkan jika didiagnosis pada peringkat awal. Rawatan ini selalunya melibatkan pembedahan yang dilakukan oleh pakar bedah kanser kepala dan leher. Selain itu, rawatan biasa yang dilakukan untuk masalah ini adalah:
- Pembedahan untuk membuang tisu kanser
- Rawatan rahang atas: Maxillectomy iaitu pembedahan membuang kanser pada lelangit mulut.
- Rawatan rahang bawah: Mandibulectomy iaitu pembedahan membuang kanser pada tulang rahang dan pembedahan leher untuk membuang nod limfa yang ada atau berkemungkinan ada kanser.
- Terapi radiasi
- Kemoterapi
- Kedua-duanya terapi radiasi dan kemoterapi ini berfungsi untuk mengecilkan tumor sebelum atau selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko kanser berulang.
Pencegahan
Sebenarnya, kanser gusi atau apa sahaja kanser mulut boleh dikurangkan risikonya jika anda mengamalkan beberapa langkah ini. Langkah di bawah ini akan membantu bukan sahaja untuk mengelakkan daripada mengalami masalah ini tetapi juga untuk penjagaan fizikal anda. Antaranya adalah:
- Berhenti merokok atau mengambil bahan mengandungi tembakau
- Berhenti mengambil atau mengunyah biji sirih
- Mengurangkan atau berhenti mengambil alkohol
- Makan sayur-sayuran dan buah-buahan
- Menjaga kebersihan mulut seperti memberus gigi 2 kali sehari
- Selalu berjumpa dengan doktor gigi dan membuat pemeriksaan berkala
Penutup
Kanser ini atau secara umumnya kanser mulut adalah suatu keadaan yang boleh dielakkan. Jika anda mengambil sambil lewa atau masih meneruskan tabiat buruk, masalah ini boleh menjadi serius.
Anda boleh melakukan pemeriksaan sendiri di hadapan cermin untuk mengesan perubahan pada mulut anda. Selain itu, anda juga boleh menjalani rawatan berhenti merokok yang disediakan di klinik kesihatan untuk mengurangkan risiko mengalami kanser mulut.
Masalah Kanser yang lain
Rujukan:
- Oral Cancer. Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Gum Cancer. Healthgrades.
- Gum Cancer or Gingivitis? How to Tell the Difference. Colgate.
- Gum Cancer. Memorian Sloan Kettering Cancer Center.