Skip to content

Karies Gigi: Punca, Simptom dan Rawatan

Pernahkah anda mengalami masalah gigi berlubang? Gigi berlubang atau secara saintifiknya dikenali sebagai karies gigi. Apakah itu karies gigi? Karies gigi adalah keadaan di mana gigi mengalami kerosakan di bahagian enamel, iaitu lapisan luar gigi yang keras.

Masalah ini sangat universal, di mana ia boleh terjadi di kalangan kanak-kanak mahupun golongan dewasa. Menurut The Golden Burden of Disease Study pada 2017, telah dianggarkan bahawa sebanyak 2.3 bilion orang terjejas akibat masalah karies pada gigi kekal dan lebih dari 530 juta kanak-kanak mengalami karies pada gigi susu.

Punca Karies Gigi

Punca utama terjadinya masalah karies gigi adalah disebabkan oleh bakteria. Bakteria juga terkandung di dalam plak gigi. Apabila anda makan sesuatu yang manis seperti gula, bakteria akan menukar gula atau karbohidrat kepada asid.



Asid tersebut akan melarutkan mineral di dalam enamel gigi. Selepas itu, enamel akan terhakis seterusnya menyebabkan masalah ini. Lama kelamaan lubang tersebut akan menjadi besar dan reput serta melibatkan bukan sahaja enamel malah lapisan dalam gigi iaitu dentin.

Jika karies tidak dibuang, bakteria akan terus membesar dan menghasilkan asid yang akan menembusi bahagian yang lebih dalam pada gigi iaitu tisu pulpa dan fiber saraf yang sensitif.

Simptom Karies Gigi

Jika anda mengalami masalah ini, anda mungkin mengalami simptom seperti ini:

  • Sakit gigi: Boleh terbahagi kepada sakit yang berterusan yang menyebabkan anda terjaga atau sakit yang tajam sekali sekala yang tidak mempunyai sebab yang khusus.
  • Gigi sensitif: Anda mungkin boleh merasai kesakitan ketika makan atau minum sesuatu yang panas, sejuk atau manis.
  • Gigi berwarna lain: Gigi hitam, tompokan coklat atau kelabu muncul pada permukaan gigi.
  • Bau mulut yang busuk
  • Rasa tidak enak di dalam mulut

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komplikasi

Masalah ini juga boleh mendatangkan beberapa komplikasi jika dibiarkan tanpa dirawat, antaranya adalah seperti:

  • Sakit gigi yang berterusan
  • Abses gigi, yang boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian lain
  • Perkembangan nanah di sekitar gigi yang terbabit
  • Risiko untuk gigi patah atau gigi rapuh lebih tinggi
  • Susah mengunyah makanan

Rawatan

Pada peringkat awal karies gigi, iaitu sebelum lubang atau kaviti muncul pada gigi, ia boleh diubah dengan:

  • Mengurangkan kekerapan anda makan makanan atau minum minuman yang mengandungi gula.
  • Memberus gigi sekurang-kurangkan 2 kali sehari dengan ubat gigi berfluorida.
  • Selain itu, doktor gigi juga boleh memberi rawatan fluorida iaitu gel atau pes fluorida untuk diletakkan pada permukaan gigi.
  • Fluorida boleh membantu melindungi gigi dengan menguatkan enamel, dan membuatkan gigi lebih tahan kepada asid daripada plak yang menyebabkan karies gigi.


Apabila ada lubang pada gigi, rawatan yang boleh dijalankan termasuklah:

1. Tampalan

Rawatan ini dilakukan dengan membuang karies dan membersihkan permukaan gigi seterusnya menampal lubang tersebut dengan bahan restorasi seperti resin komposit atau amalgam.

2. Korona gigi:

Korona gigi atau dental crown boleh dibuat oleh doktor gigi apabila lubang pada gigi terlalu besar. Korona diletakkan meliputi gigi yang dijangkiti untuk menggantikan permukaan semulajadi gigi.

3. Rawatan akar

Rawatan ini dilakukan sekiranya karies sudah merebak ke bahagian dalam gigi di mana terdapatnya tisu pulpa dan fiber saraf.

4. Cabutan gigi



Kaedah ini akan dicadangkan oleh doktor gigi sekiranya gigi telah rosak dengan teruk dan tidak boleh menjalani restorasi lain. Kadangkala akibat karies, gigi mudah rapuh dan patah seterusnya gigi tidak boleh ditampal kerana kehilangan sebahagian besar struktur gigi.

5. Gigi palsu separa, jambatan gigi atau implan:

Ini adalah untuk menggantikan gigi yang telah hilang akibat dicabut.

Pencegahan

Walaupun masalah ini sering terjadi di kalangan masyarakat, namun ianya boleh dielakkan dengan beberapa cara:

  1. Memberus gigi 2 kali sehari dengan ubat gigi berfluorida.
  2. Flos gigi sehari sekali.
  3. Melawat doktor gigi dengan kerap untuk melakukan pemeriksaan gigi secara profesional.
  4. Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang bergula, spesifiknya di antara waktu makan atau satu jam sebelum tidur.
  5. Mengamalkan diet yang seimbang dan mengurangkan pengambilan snek.
  6. Melakukan rawatan pencegahan dengan doktor gigi seperti tampalan gigi dan rawatan fluorida seperti gel serta pes fluorida.

Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:

  1. Tooth Decay. Mouth Healthy by American Dental Association.
  2. Tooth Decay. NHS UK.
  3. Dental Caries. Colgate.
  4. Global, regional, and national incidence, prevalence, and years lived with disability for 354 diseases and injuries for 195 countries and territories, 1990–2017: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2017. Lancet 2018;392: 1789–8583
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × two =