Permakanan

10 Khasiat Sayur Bayam Kepada Kesihatan

khasiat bayam

Apakah khasiat bayam kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan kandungan nutrisi di dalam bayam, komponen berkhasiat di dalamnya dan khasiat bayam kepada kesihatan?

Pengenalan

Ingatkah anda kepada Popeye? Seringkali nama Popeye akan mengingatkan kita kepada sayur bayam dek kerana aksi watak kartun itu yang menjadi kuat apabila memakan sayur bayam. Bayam (Spinica Oleracea) merupakan keluarga Amaranthaceae, yang berasal daripada Persia dan kini telah mendapat tempat di seluruh dunia.

Ia merupakan makanan yang berkkhasiat, kaya dengan nutrisi dan antioksidan yang diperlukan oleh badan. Bayam telah digunakan di dalam pelbagai jenis masakan. Ini kerana ianya senang didapati, murah dan cara penyediaanmya yang mudah telah menajadi pilihan sepanjang zaman. Sayur bayam boleh dimasak dan digandingkan dengan pelbagai juadah makanan ataupun dimakan mentah sebagai salad.

Kandungan Nutrisi Bayam

Berikut merupakan kandungan nutrisi sayur bayam dalam setiap 100 gram dan 1 cawan (30 gram) bayam mentah. Ia kaya dengan pelbagai makronutrien dan mikronutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan.

NutrienSetiap 100 g1 cawan (30 g)
Air (g)91.427.42
Tenaga (kcal)23.06.9
Protein (g)2.860.86
Lemak (g)0.390.12
Karbohidrat (g)
– Serat (g)
– Sukrosa (g)
– Glukosa (g)
– Fruktosa (g)
– Galaktosa (g)
3.63
2.2
0.07
0.11
0.15
0.1
1.09
0.66
0.02
0.03
0.04
0.03
Kalsium(mg)99.029.7
Zat besi (mg)2.710.81
Magnesium (mg)79.023.7
Fosforus (mg)49.014.7
Kalium (mg)558.0167.4
Natrium (mg)79.023.7
Vitamin C (mg)28.18.43
Thiamin (mg)0.080.02
Riboflavin (mg)0.190.06
Niacin (mg)0.720.22
Pantothenic acid (mg)0.070.02
Vitamin B6 (mg)0.20.06
Folat (μg)19458.2
Vitamin A (μg)469140.7
Beta karoten (μg)56261689.8
Lutein + zeaxanthin (μg)121983659.4
Vitamin E (alpha-tocopherol) (mg)2.030.61
Vitamin K (phylloquinone) (μg)482.9144.87

Komponen Berkhasiat dalam Bayam

Sayur bayam merupakan pilihan terbaik untuk makanan rendah kalori dan lemak. Tambahan pula, ia mengandungi hampir kesemua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh badan kita, mendikannya sumber makanan yang sihat. Manfaat dan khasiat sayur bayam dapat dilihat di dalam setiap komponen nutrien yang jelas membantu mengekalkan kesihatan.

  • Vitamin A: sayur bayam mengandungi kandungan beta karoten yang tinggi di mana ia akan dihadam oleh badan dan ditukarkan kepada vitamin A. Pengambilan vitamin A sangat penting untuk mengekalkan kulit yang sihat dan penglihatan yang baik.
  • Vitamin C: berfungsi sebagai antioksidan untuk kecantikan kulit dan juga system imun yang sihat.
  • Vitamin K: membantu dalam kesihatan jantung dan tulang 
  • Zat besi: bayam merupakan sumber terbaik bagi zat besi. Ia diperlukan dalam penghasilan hemoglobin yang merupakan komponen utama oksigen.
  • Kalsium: merupakan komponen utama untuk tulang yang sihat dan pelbagai fungsi lain dalam badan.
  • Vitamin dan mineral lain seperti kalium, magnesium, folat, riboflavin, thiamine, vitamin B6 dan vitamin E terlibat dalam pelbagai reaksi yang melibatkan sistem tubuh badan.

Selain itu, bayam juga mengandungi kompaun tumbuhan seperti:

  • Lutein: berfungsi dalam penjagaan kesihatan mata.
  • Kaempferol: merupakan antioksidan yang dapat mengurangkan risiko kanser.
  • Zeaxanthin: berfungsi dalam penjagaan kesihatan mata, seperti lutein.

10 Khasiat Bayam pada Kesihatan

1. Mengurangkan Risiko Kanser

Radikal bebas merupakan punca utama tekanan oksidatif (ketidakseimbangan antioksidan dan radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel dan tisu badan) yang mempercepat proses penuaan dan meningkatkan risiko kanser. Namun begitu, kandungan antioksidan yang tinggi dalam bayam mampu mencegah kerosakan yang disebabkan oleh tekanan oksidatif.

Selain itu, sayuran hijau termasuklah bayam mengandungi klorofil. Kajian menunjukkan klorofil mampu mencegah kesan karsinogenik yang terhasil semasa proses memasak pada suhu yang tinggi yang mana ia boleh mencetuskan pertumbuhan barah.

2. Mengawal Tekanan Darah

Bayam merupakan sayuran hijau yang tinggi kandungan kalium. Pengambilan makanan yang tinggi kalium amat digalakkan bagi pesakit darah tinggi. Ini kerana kalium berupaya mengurangi kesan negatif natrium dalam badan dengan menyingkirkannya melalui air kencing. Selain itu, kalium juga bertindak sebagai komponen pengembangan salur darah sekali gus membantu mengurangkan tekanan darah.

3. Mengawal Penyakit Kencing Manis

Bayam mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai alpha lipoic acid yang mana ia memberi kesan yang baik terhadap pesakit diabetes. Kajian menunjukkan bahan tersebut dapat membantu menurunkan gula dalam darah, meningkatkan sensitiviti terhadap insulin dan mencagah daripada tekanan oksidatif yang boleh mengakibatkan komplikasi penyakit diabetes seperti kerosakan saraf dan penyakit kardiovaskular.

4. Tulang yang Sihat

Kajian menunjukkan pengambilan vitamin K yang rendah dikaitkan dengan risiko kecederaan tulang dan osteoporosis. Vitamin K terlibat dalam pembentukan tulang yang sihat melalui pengaktifan protein dan pemendapan mineral dalam rongga tulang. Selain itu, vitamin K juga membantu dalam penyerapan kalsium yang mana penting untuk kesihatan tulang.

5. Membantu Sistem Penghadaman

Bayam memiliki kandungan air dan serat yang tinggi. Serat ialah sejenis bahan yang tidak dapat dicerna oleh usus dan merupakan komponen penting dalam penjagaan sistem pencernaan. Serat membantu mempercepat pergerakan makanan di dalam perut yang mana dapat mencegah masalah sembelit. Selain itu, terdapat kajian yang membuktikan bahawa pengambilan serat yang cukup dapat mengurangkan risiko keradangan usus yang biasanya terjadi.

6. Kulit dan Rambut yang Sihat

Antara komponen utama yang membantu dalam mengekalkan kulit yang sihat adalah vitamin A dan C. Vitamin A bertindak sebagai kawalan kelenjar minyak yang menghasilkan minyak yang berlebihan. Minyak atau lebih dikenali sebagai sebum yang tidak terkawal akan mengakibatkan liang pori tersumbat dan seterusnya menjadi punca masalah kulit seperti bebintik hitam dan jerawat.

Vitamin A juga sangat penting untuk pertumbuhan sel badan yang sihat termasuklah kulit dan rambut. Selain itu, vitamin C pula memainkan peranan yang penting dalam penghasilan kolagen untuk pembentukan struktur kulit dan rambut.

7. Menjaga Kesihatan Mata

Sayur bayam diperkaya dengan antioksidan seperti beta karoten, lutein dan zeaxanthin yang memberi kebaikan kepada penjagaan mata. Beta karoten yang terkandung dalam bayam berupaya mengurangkan masalah mata seperti keradangan, ulser kornea dan mata kering. Bagi lutein dan zeaxanthin pula, ia bertindak sebagai antioksidan yang melindungi mata daripada sinar UV. Ia juga mampu mengurangkan kesan radikal bebas yang boleh menyebabkan katarak mata.   

8. Mencegah Penyakit Saraf

Beberapa komponen penting di dalam sayur bayam dipercayai bertanggungjawab terhadap fungsi kognitif dan memerangi penyakit neurologi ataupun kerosakan saraf. Folat mempunyai kebaikan terhadap individu yang berisiko terhadap kemerosotan nilai kognitif. Oleh itu, pengambilan bayam yang kaya dengan folat mampu mengurangkan risiko penyakit Alzheimer’s dan demensia.

Selain itu, kalium juga merupakan komponen penting yang bertanggungjawab terhadap fungsi saraf dan kesihatan mental. Ia dikaitkan dengan kelancaran aliran darah, peningkatan fungsi kognitif, konsentrasi dan aktiviti neuron.

9. Mempercepat Pemulihan Selepas Senaman

Sumber antioksidan yang terkandung di dalam bayam membantu para atlet meningkatkan masa pemulihan selepas senaman dan sekaligus meningkatkan kekuatan otot, kecergasan badan dan prestasi senaman. Kajian yang dilakukan ke atas pelari maraton menunjukkan pengambilan bayam selama 14 hari menjelang hari perlumbaan membantu menurunkan tekanan oksidatif dan kecederaan otot berbanding mereka yang mengambil plasebo.

10. Mencegah Penyakit Asma

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak berusia di antara 6 sehingga 18 tahun menunjukkan risiko terjadinya asma adalah lebih rendah kepada kelompok yang mengamalkan pengambilan nutrien beta karoten. Bayam merupakan sumber utama komponen tersebut.

Kesimpulan

Walaupun terdapat banyak kajian yang memberitahu berkenaan khasiat bayam, tetapi ia tidaklah boleh digunakan untuk menggantikan ubat jika anda sudah menghadapi penyakit tersebut. Anda masih perlu mengikuti nasihat doktor dan perlu meneruskan penggunaan ubat yang telah diberikan.

Khasiat Makanan Yang Lain

MaduJambu BatuKangkung
Bawang MerahNanasTomato
Minyak ZaitunBayam BrazilKurma
Daun KariAnggurEpal
KunyitKunyit Hitam
Ulam RajaBayam

Rujukan:

  1. Aliasad Lazuya. (2017, May 29). Kemorosotan Kognitif Ringan. Retrieved January 29, 2021, from MyHealth
  2. Gunnars, K. (2019, May 14). Spinach 101: Nutrition Facts and Health Benefits. Retrieved January 26, 2021, from Healthline
  3. Hedges , L. J., & Lister , C. E. (2007). Nutritional attributes of spinach, silver beet and eggplant. Christchurch: New Zealand Institute for Crop & Food Research Limited. Retrieved January 26, 2021, from Researchgate
  4. Horton, B. (2020, February 21). 5 Amazing Health Benefits of Spinach. Retrieved January 26, 2021, from Eating Wll
  5. Nagdeve, M. (2021, January 29). Spinach: Top Benefits, Nutrition, & Recipes. Retrieved January 29, 2021, from Organic Facts
  6. Ware, M. (2018, June 29). Health benefits and nutritional value of spinach. Retrieved January 26, 2021, from Medical News Today
  7. Werdhasari Asri. (2014, August 25). Peran Antioksidan Bagi Kesehatan. Jurnal Biotek Medisiana Indonesia ., 3(2), 59-68. Retrieved January 29, 2021, from litbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *