Skip to content

10 Khasiat Bawang Merah yang Perlu Anda Tahu.

Apakah khasiat bawang merah kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat bawang merah, kandungan nutrisi di dalam bawang merah dan juga komponen sihat di dalamnya.

Pengenalan

Bawang merah atau nama saintifiknya Allium cepa L merupakan sejenis sayuran. Tanaman ini tergolong daripada kumpulan Liliaceae yang tumbuh di Asia, Amerika Utara dan Afrika. Sejarah menceritakan bahawa bawang merah telah digunakan oleh manusia sejak 3,200 sebelum Masihi lagi. Bawang merah merupakan salah satu sayuran terkenal pada zaman millenia. Bawang merah boleh dimakan secara mentah, dihiris halus sebagai salad, direbus bersama sayuran lain serta digoreng bersama sayuran dan juga daging. Selain itu, bawang merah juga digunakan sebagai bahan perasa dan diproses menjadi rempah untuk meningkatkan rasa enak dalam masakan. Penduduk di Afrika dikatakan menggunakan bawang merah sebagai bahan wajib untuk bahan pencicah dan juga masakan yang lain. Namun, tahukah anda bahawa penduduk Mesir kuno dikatakan bahawa mereka merupakan bangsa terawal yang dikenal pasti menggunakan tanaman itu?

Al-Quran pernah menyebut tentang bawang merah melalui Surah Al-Baqarah ayat 61, yang menceritakan bahawa bawang merah telah digunakan oleh kaum Bani Israel sekitar 1,500 sebelum Masihi sebagai salah satu makanan utama mereka. Secara umumnya, bawang merah terdiri daripada dua jenis iaitu yang berwarna merah dan berwarna kuning. Jenis berwarna merah mempunyai rasa yang lembut dan manis manakala yang berwarna kuning lebih sesuai digunakan dalam masakan untuk menghasilkan sajian lebih beraroma dan lazat. Namun demikian, demi memanfaatkan khasiat bawang merah, tanaman ini mestilah dimakan mentah. Hal ini kerana sekiranya bawang merah ini sudah dimasak, sebatian kimia bawang merah akan berubah. Selain daripada digunakan dalam masakan, bawang besar juga digunakan dalam bidang perubatan kerana kandungan nutrisi dan komponen penting memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh badan manusia.

Komposisi Nutrisi Bawang Merah



Bawang merah dikategorikan sebagai salah satu makanan semulajadi yang terbaik apabila dibandingkan dengan sayuran semulajadi yang segar. Namun demikian, terdapat variasi dalam komposisi bawang merah bergantung kepada jenis, tahap kematangan dan tempoh penyimpanan. Rajah dibawah menunjukkan komponen nutrisi bawang merah berdasarkan 100gram bahagian bawang merah yang boleh dimakan.

Karbohidrat14.1 gKalsium47 mg
Protein2.62 gFosforus50 mg
Lemak0.4 gZat Besi0.7 mg
Serat2.6 gVitamin C11 mg
Kelembapan82.9 gKalium401 mg
Mineral0.6 %Natrium17 mg

Kandungan karbohidrat yang tinggi berperanan sebagai gula dalam membekalkan tenaga dan digunakan dalam tindakbalas biokimia dalam badan. Karbohidrat juga menjadi bahan utama dalam menghasilkan asid amino dan sebatian fenolik melalui proses asid Shikimic. Proses ini menghasilkan lebih banyak fenolik dan antioksidan yang baik untuk kesihatan badan.

Selain itu, protein yang terkandung dalam bawang merah membantu dalam penghasilan hormon yang mengawal fungsi badan seperti tumbesaran dan penghasilan tisu yang baru bagi menggantikan tisu yang lama. Kandungan lemak yang rendah membantu dalam mengurangkan risiko penyakit jantung dan mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Ini kerana pengambilan lemak yang berlebihan akan menyebabkan kadar kolesterol meningkat, berlebihan berat badan dan serangan sakit jantung.

Seterusnya ialah serat yang diiktiraf sebagai bahan yang dapat mengawal proses oksidatif dalam produk makanan dan sebagai bahan dalam makanan berfungsi (makanan yang dikatakan mempunyai fungsi tambahan terhadap kesihatan manusia). Serat juga membantu dalam proses pencernaan dan proses perkumuhan. Pengecutan otot dinding perut dirangsang oleh serat untuk mengelakkan sembelit. Serat juga membantu mengurangkan penyerapan kolesterol dari perut, melambatkan proses pencernaan dan proses penukaran kanji kepada gula ringkas yang merupakan faktor penting dalam mengawal penyakit kencing manis. Serat juga membantu dalam mengelakkan sakit jantung, kanser usus dan obesiti.

Bawang merah mengandungi kalium yang sangat tinggi. Kalium berperanan penting dalam proses metabolisma. Mineral ini juga penting dalam menjaga keseimbangan tekanan darah, mencegah pengerasan saluran darah dan membersihkan saluran darah dari pengumpulan kolesterol jahat serta membantu dalam pengecutan dan pengembangan otot. Kalium juga berperanan penting dalam proses penghantaran maklumat melalui sistem saraf. Manakalan kalsium dan fosforus yang terkandung dalam bawang merah membantu untuk menjaga kesihatan tulang dan gigi.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat Bawang Merah



Kuersetin

Kuersetin adalah salah satu flavonoid yang tinggi kandungannya dalam bawang merah. Kuersetin mempunyai kesan antihiperlipidemia iaitu kesan yang dapat mengurangkan pengumpulan lemak yang banyak. Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa kadar kolesterol dalam hati menurun untuk kumpulan yang diberikan kuersetin berbanding kumpulan haiwan yang tidak diberikan kuersetin. Kuersetin juga menghalang penghasilan sel lemak dan mengurangkan pengumpulan lemak didalam sel lemak. Kajian lain menunjukkan apabila kuersetin digabungkan bersama bahan yang lain mampu mengurangkan paras gula dalam darah, kadar trigliserida, LDL-kolesterol iaitu lemak jahat dan juga paras kolesterol.

Sulfur

Bawang merah dikenali sebagai sebatian yang mengandungi sulfur, yang menghasilkan bau yang kuat dan rasa yang tengik. Sulfur menghalang daripada penghasilan sel lemak. Pengurangan pembentukan sel lemak mampu menghasilkan kesan anti obesiti. Kesan anti obesiti adalah kesan yang menghalang tubuh badan daripada menjadi gemuk ataupun berlebih berat badan. Satu kajian terhadap haiwan yang obes disebabkan oleh pengambilan sukrosa yang tinggi menunjukkan bahawa paras lemak, kandungan LDL-kolesterol (lemak jahat) dan tekanan oksidatif berkurangan dengan pengambilan sulfur.

10 Khasiat Bawang Merah Yang Perlu Diketahui

1. Kesan Antimikroorganisma

Kajian menunjukkan bahawa minyak bawang merah mampu menghalang pertumbuhan bakteria dan sembilan jenis kulat. Minyak bawang merah sangat aktif dalam melawan bakteria seperti Bacillus anthracis, Bacillus cereus, Micrococcus luteus dan Staphylococcus aureus dan Klebsiella pneumoniae.

Bawang merah pada kepekatan yang berbeza mampu mengurangkan pertumbuhan kulat dan penghasilan aflatoksin daripada Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus. Selain itu, bawang merah mempunyai kesan antibakertia terhadap Streptococcus mutans dan Streptococcus sobrinus, dua bakteria yang merupakan penyebab utama dalam masalah karies gigi manakala Porphyromonas gingivalis dan Prevotella intermedia adalah dua bakteria yang menyebabkan penyakit periodontitis.

2. Mengawal Paras Gula Dalam Darah



Risiko hiperglisemia iaitu situasi dimana paras gula dalam darah menjadi tinggi daripada paras normal selepas makan dapat dielakkan dengan memakan bawang merah begitu sahaja atau dijadikan sebagai ulam. Ini kerana bawang merah mengandungi kuersetin dan kromium yang terkandung pada bahagian kulit.

Kuersetin dan kromium membantu dalam mengurangkan paras gula dan darah semasa berpuasa, meningkatkan toleransi gula dan mengurangkan paras insulin. Kuersetin adalah sejenis flavonoid yang mempunyai kesan antioksidan dan anti keradangan. Manakala, kromium pula adalah sejenis mineral yang membantu untuk proses penghadaman dan membekalkan tenaga kepada otot dan otak.

3. Mengurangkan Kolesterol

Kadar kolesterol yang tinggi merupakan salah satu faktor yang mendorong kepada berlakunya sakit jantung. Bawang merah mengandungi kuersetin, agen antioksidan yang berupaya untuk menurunkan kadar kolesterol kepada paras yang selamat. Kuersetin bukan sahaja mampu menurunkan kolesterol namun, berpotensi untuk meningkatkan kadar HDL iaitu kolesterol baik dalam badan. HDL membantu dalam menyingkirkan plak yang berkumpul dalam saluran darah untuk mengelakkan daripada saluran darah menjadi sempit.

4. Mengurangkan Risiko Sakit Jantung

Bawang merah digunakan sebagai tonik ataupun minuman berkhasiat untuk organ dalaman oleh para pengamal perubatan tradisional. Terdapat satu kajian menunjukkan bahawa kandungan sebatian organosulfur dalam bawang merah merupakan agen antiplatelet. Antiplatelet merupakan agen yang menghalang sel dalam darah daripada berkumpul antara satu sama lain dan membentuk ketulan atau bekuan.

Antiplatelet ini juga menghalang darah beku daripada membesar. Ini kerana darah beku yang terbentuk akan menyebabkan serangan jantung atau strok. Pengambilan bawang merah dalam pemakanan dapat merencatkan pengumpulan platelet lantas mengurangkan risiko sakit jantung.

5. Melawan Penyakit Kanser



Bawang merah yang kaya dengan sulfida, mampu menghalang sel kanser daripada membesar dan membahagi terutamanya kanser perut dan kanser usus besar. Satu kajian menunjukkan bahawa negara yang menjadi kawasan penanaman bawang merah mempunyai bilangan pesakit kanser usus yang rendah.

Selain itu, kajian lain telah dilakukan terhadap dua kumpulan manusia. Satu kumpulan mempraktikkan memakan separuh bahagian bawang merah setiap hari manakala satu kumpulan lagi tidak. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa kumpulan yang mengamalkan bawang merah mempunyai risiko 40% lebih rendah untuk mendapat kanser perut daripada kumpulan yang tidak mengamalkannya.

6. Membantu Sistem Penghadaman

Bawang merah mengandungi serat yang baik untuk pertumbuhan bakteria baik dalam usus, membantu melancarkan sistem penghadaman dan memastikan pergerakan usus yang baik. Serat juga membantu dalam proses perkumuhan. Pengecutan otot dinding perut dirangsang oleh serat untuk mengelakkan sembelit. Selain itu, kandungan fruktooligosakkarida yang tinggi membantu pertumbuhan bakteria baik dan menghalang bakteria jahat didalam usus seperti Salmonella dan E.coli. Bawang merah juga mengandungi bahan kimia saponin yang membantu mengurangkan sakit dan kekejangan perut.

7. Membantu Mencegah Keradangan

Kandungan vitamin C, kuersetin dan juga komponen aktif yang dipanggil sebagai ‘isothiocyanates’  dalam bawang merah berpotensi dalam meredekan keradangan. Pertubuhan Kesihatan Dunia menyarankan penggunaan bawang merah dalam masakan semasa musim sejuk dan musim demam. Ini kerana bawang merah berupaya untuk menghilangkan selesema dan demam. Selain itu, kandungan sulfur dalam bawang merah mampu memecahkan mukus lantas mengurangkan rasa sakit pada bahagian kepala yang disebabkan oleh selesema dan hidung tersumbat.

8. Menguatkan Sistem Imunisasi Badan

Bawang merah mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Antioksidan ini membantu melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel-sel di dalam badan. Kandungan selenium juga membantu dalam meningkatkan sistem imunisasi manusia, Selenium adalah mineral penting yang boleh didapati hanya melalui pemakanan. Walaupun diperlukan dalam kuantiti yang sedikit, selenium memainkan peranan yang besar dalam menguatkan sistem imunisasi badan. Kajian menunjukkan bahawa selenium berpernan dalam melindungi badan daripada radikal bebas dan daripada jangkitan bakteria, parasit dan kulat.



9. Menghalang Episod Serangan Asma

Sebatian sulfur thiosulfinates dan selenium adalah agen yang menghalang serangan asma dan meredekaan penyakit ini. Tekanan oksidatif menyebabkan saluran nafas menjadi sensitif dan sempit serta penghasilan mukus yang berlebihan. Kedua-dua agen ini membantu dalam mengurangkan alergi dan alergi asma. Kajian terhadap haiwan dilakukan dan keputusan menunjukkan bahawa haiwan yang diberikan ekstrak bawang merah mengelakkan daripada permulaan berlakunya asma dan mengelakkan daripada asma menjadi semakin teruk.

10. Meningkatkan Kualiti Tidur

Probiotik yang terkandung dalam bawang merah membantu dalam meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan tekanan. Ini akan menghalang daripada berlakunya tekanan perasaan dan kemurungan. Kajian dilakukan terhadap sekumpulan sukarelawan yang diberikan probiotik menunjukkan pengurangan dalam episod kemurungan, perasaan marah, berasa keletihan dan meningkatkan kualiti tidur. Selain itu, bakteria baik dalam bawang merah dipercayai dapat membantu merangsang fungsi otak dengan lebih cekap. Ini adalah salah satu khasiat bawang merah

Kesimpulan

Setelah membaca artikel ini diharap mampu mengubah perspektif dan tanggapan kita terhadap bawang merah. Bawang merah yang mungkin hanya dipandang sebagai salah satu bahan dalam masakan sebenarnya mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan. Namun demikian, para pembaca tidak boleh beranggapan bahawa bawang merah boleh menyembuhkan penyakit yang sedia ada terutamanya penyakit kronik dan tidak meneruskan rawatan daripada doktor. Ini kerana bawang merah hanyalah makanan tambahan dan bukannya rawatan utama.

Diharapkan artikel khasiat bawang merah ini dapat memberikan sedikit pencerahan berkenaan beberapa khasiat bawang, kandungan nutrisi dan komponen di dalamnya.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan



  1. Hoffmann, P.R., & Berry, M.J. (2013). The Influence of Selenium on Immune Responses. Molecule Nutrition Food Resources, 52(11), 1273-1280.
  2. Kuete, V. (2017). Allium Cepa. Medicinal Spices and Vegetable from Afrika. Elsevier, 14, 353-362
  3. Marrelli, M., Amodeo, V., Statti, G., & Conforti, F. (2018). Biological Properties and Bioactive Components of Allium cepa L.: Focus on Potential Benefits in the Treatment of Obesity and Related Comobidities. Molecules, 24, 119-137.
  4. Marotta, A., Sarno, E., Del Casale, A., Pane, M., Mogna, L., Amoruso, A., Felis,   G.E., & Fiorio, M. (2019). Effects of Probiotics on Cognitive Reactivity, Mood and Sleep Quality. Front Psychiatry, 10(164), 1-11.
  5. Sampath Kumar, K.P., Bhowmik, D., Chiranjib, Biswajit, & Tiwari P. (2010). Allium cepa: A Traditional Medicinal Herb and Its Health Benefits. Journal of  Chemical and Pharmaceutical Research, 2(1), 283-291. ISSN No: 0975-7384
  6. Wayan Redi, A. (2019). Bawang Merah dan Manfaatnya Bagi Kesihatan. E-Jurnal Widya Kesehatan, 1(1), 1-7.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − 3 =