Apakah cara untuk hilangkan parut jerawat? Artikel ini akan membincangkan cara berkesan untuk hilangkan parut jerawat anda.
“ Jerawat adalah penyakit keradangan kulit di mana folikel rambut tersumbat dengan minyak yang berlebihan daripada kelenjar sebaceous. Selain itu, terdapat juga pembiakan bakteria yang dikenali sebagai Propionibacterium acnes pada kulit pesakit. ”
Dr Peter Ch’ng Wee Beng, Pakar Perunding Dermatologi
Salah satu komplikasi jerawat yang terjadi dari sudut fizikal adalah ia meninggalkan kesan parut. Rawatannya juga dikatakan lebih rumit jika dibandingkan dengan rawatan jerawat itu sendiri. Selain dari kesan fizikal ia juga boleh meninggalkan kesan psikologi bagi seseorang yang menghadapinya seperti stres, hilang keyakinan diri dan sebagainya.
Parut jerawat terjadi melalui satu proses penyembuhan yang berlaku apabila jerawat tersebut pecah. Sejenis protein yang dikenali sebagai kolagen dihasilkan untuk menguatkan kembali ikatan tisu yang tercedera. Akibat penghasilannya secara berlebihan parut yang terhasil menjadi lebih tebal dan keras berbanding dengan permukaan kulit. Proses ini digelar sebagai fibrosis.
3 jenis Utama Parut Jerawat
Parut jerawat terbahagi kepada 3 jenis utama dan rawatannya adalah berdasarkan jenis tersebut. Antaranya :
1. Atrophic Scars
Ia merupakan kategori parut jerawat yang paling kerap terjadi. Bentuknya rata dan selalu disertai bersama dengan lekukkan atau lubang padanya. Ia terbahagi kepada 3 jenis iaitu :
i. Boxcar – Bentuk lubangnya seperti kotak dan mempunyai bahagian sisi yang tajam
ii. Ice pick – Kelebarannya lebih kecil berbanding jenis Boxscar. Ia ibarat parut yang berbentuk V dengan bentuk lekuk yang tersemat ke dalam lapisan kulit.
iii. Rolling – Jenis ini mempunyai sifat lekuk yang agak lebar dan meluas dan terbentuk seakan-akan seperti suatu bentuk bulatan.
2. Hypertrophic Scars & Keloid Scars
Penghasilan terlalu banyak kolagen ketika proses pemulihan boleh menyebabkan terjadinya parut jenis ini. Ia selalu terjadi pada bahagian garis rahang, dada, bahu dan belakang badan.
Saiz di antara kedua-dua jenis adalah berbeza dimana Hypertrophic Scars menghasilkan parut yang bersaiz sama dengan jerawat asal. Manakala Keloid Scars boleh membentuk satu parut yang lebih besar daripadanya.
3. Dark Spot ( Bintik Hitam )
Ia berupa bintik hitam yang terjadi setelah lapisan kulit dicederai oleh jerawat asal. Pada kebiasaannya kulit anda akan pulih seperti biasa setelah tempoh tertentu dengna penjagaan kulit yang baik.
Ia sering terjadi pada mereka yang berkulit gelap dan mempunyai sejarah memicit dan memecahkan jerawat.
10 Cara untuk Hilangkan Parut Jerawat
Anda mungkin mampu menghilangkan parut jerawat dengan cara berikut :
1. Krim Jerawat
Gunakan krim jerawat yang mengandungi hydroxyl acids atau azelaic acid. Hydroxyl acids berfungsi untuk membuang lapisan kulit bahagian atas yang sudah mati lalu merangsang pertumbuhan lapisan kulit baru di bawahnya yang lebih sihat.
Azelaic acid pula penting dalam mengelakkan berlakunya jangkitan kuman dimana ia boleh menyebabkan terjadinya parut jerawat yang lebih serius.
2. Krim Pelindung Matahari
Penggunaan krim pelindung matahari apabila berjalan di bawah sinarannya membantu dalam mengelakkan parut jerawat daripada kelihatan kebih ketara berbanding dengan lapisan kulit yang normal.
3. Suntikan Steroid
Kemasukan steroid ke dalam tisu parut melalui kaedah suntikan mampu mengurangkan pembentukannya secara berlebihan dan suntikan berkala diperlukan untuk menjadikannya kembali rata.
4. Suntikan Filler
Suntikan jenis ini dilaksanakan dengan bahan seperti lemak, kolagen dan sebagainya. Ia berfungsi terhadap jenis parut berlubang dengan menutupi ruang tersebut.
5. Rawatan Laser
Kaedah ini sedang meningkat naik popularitinya dalam kalangan masyarakat. Ia bebas daripada penggunaan bahan kimia namun faktor kos dan risiko bagi golongan yang mempunyai kulit sensitif menjadi tembok penghalangnya.
Rawatan yang terbaik adalah dengan menggunakan laser Fractional CO2. Ia sesuai digunakan bagi kategori parut yang berlubang.
6. Mikrodermabrasion
Rawatan ini adalah prosedur kosmetik untuk melicinkan kembali wajah anda. Ia terpakai untuk parut berlubang yang lubangnya tidak begitu mendalam dan cetek.
7. Rawatan tradisional
Jangan dilupakan selain pilihan rawatan moden, anda juga boleh memilih alternatif lain seperti minyak kelapa atau gel aloe vera. Namun kajian tentang penggunaanya tidak begitu meluas, jadi amalan ini harus dilakukan dengan berhati-hati.
8. Pembedahan Kecil
Pembedahan kulit boleh dilaksanakan oleh seorang Pakar Kulit dan anda tidak perlu risau kerana ia bukanlah suatu pembedahan besar hingga ke tahap bius tanpa sedar.
Selalunya ia dilakukan pada jenis parut yang bersaiz agak besar. Pembedahan ini bertujuan untuk menghasilkan kesan parut yang lebih kecil hingga ia kurang kelihatan pada mata kasar.
9. Cryosurgery
Kaedah ini merupakan sejenis rawatan dengan kaedah pembekuan pada kawasan permukaan kulit yang terkesan.
10. Chemical Peeling
Ia adalah sejenis rawatan menggunakan teknik pengelupasan lapisan atas kulit bagi merangsang pertumbuhan lapisan kulit yang lebih sihat. Prosedur dan rawatan jenis ini hanya boleh dilakukan oleh doktor yang turut dibantu oleh staff pembantu doktor yang terlatih sahaja.
Rawatan tersebut agak agresif tetapi mampu membuahkan hasil yang lebih memuaskan. Ia dijalankan dengan menggunakan bahan yang terdiri daripada beberapa jenis asid seperti :
- Glycolic Acids
- Salicylic Acids
- Trichoroacetic Acids
Terdapat pelbagai jenis teknik Chemical peeling jadi seeloknya sesi perbincangan bersama doktor yang merawat perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum pemilihan rawatan dilakukan.
Setiap insan mempunyai hak untuk membuat pilihan dalam menentukan rawatan mana yang paling sesuai untuk dirinya. Oleh itu, pastikan anda melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang cukup dahulu sebelum melakukan keputusan.
Bacaan Tips yang lain:
Rujukan:
- Acne Scars – Healthline
- The best ways to get rid of acne scars – Medical News Today
- Acne – Mayoclinic
- Acne Vulgaris – Emedicine