Skip to content

10 Khasiat Sengkuang Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat Sengkuang kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan khasiat sengkuang, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Pengenalan

Mesti ramai yang pernah makan rojak, dan mungkin ada sesetengah daripada kita memilih rojak sebagai makanan kegemaran bukan? Jadi mari kita ketahui dan kenali salah satu bahan penting yang terdapat didalam rojak, iaitu sengkuang. Sengkuang merupakan satu tumbuhan yang berasal dari kawasan Mexico dan Amerika Tengah. Sengkuang kemudiannya dibawa ke Filipina oleh penjelajah Sepanyol dan kini, sengkuang merupakan salah satu makanan yang sering dinikmati oleh masyarakat Malaysia.

Sengkuang sebenarnya tergolong dalam kategori kekacang. Namun, bahagian kekacang pada sengkuang adalah toksik kerana mengandungi rotenone yang berbahaya untuk kesihatan terutama jika diambil pada dos yang tinggi, justeru yang sering dijadikan hidangan hanyalah akarnya. Selain dinikmati didalam rojak, sengkuang juga boleh dijadikan hidangan dalam masakan, samada digoreng, direbus, mahupun distim serta pelbagai lagi variasi makanan lain yang boleh menggunakan sengkuang.

Kandungan Nutrisi



Sengkuang merupakan tumbuhan yang sangat kaya dengan nutrisi yang berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan. Satu cawan sengkuang seberat 130 gram menyumbang sebanyak 45 kalori, 12 gram karbohidrat, 1 gram protein dan 0.1 gram lemak serta serat sebanyak 6.4 gram. Sengkuang juga kaya dengan kandungan mineral dan vitamin seperti potassium, magnesium, zat besi, folat dan juga vitamin C, menjadikan sengkuang sesuai diambil untuk memelihara kesihatan tubuh badan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat dalam Sengkuang

Nutrisi yang kaya didalam sengkuang menjadikan sengkuang sangat berkhasiat untuk diambil dalam diet seharian. Sengkuang kaya dengan kandungan antioksida seperti vitamin C dan E, selenium serta beta-karotena yang pastinya memberikan manfaat dalam melawan radikal bebas. Selain itu, sengkuang juga mengandungi nitrate, yang membantu peredaran darah dalam badan, juga inulin, sejenis prebiotik yang penting untuk kesihatan bakteria baik didalam badan serta beberapa lagi komponen berkhasiat yang lain seperti zat besi dan kuprum yang penting untuk kesihatan darah. Artikel ini seterusya akan membincangkan dengan lebih lanjut, khasiat-khasiat penting sengkuang kepada kesihatan.

10 Khasiat Sengkuang pada Kesihatan

1. Melindungi daripada radikal bebas

Dalam kehidupan seharian, kita sering terdedah dengan radikal-radikal bebas yang datang daripada persekitaran serta pemakanan. Radikal bebas ini boleh menyebabkan kerosakan sel dalam badan seterusnya membawa kepada terjadinya penyakit dan menurunkan taraf kesihatan individu. Justeru, pengambilan antioksida dalam pemakanan adalah penting bagi membantu badan melawan radikal bebas serta melindungi daripada kerosakan sel. Sengkuang kaya dengan antioksida seperti vitamin E dan C, selenium dan beta-karotena yang baik bagi membantu badan melawan radikal bebas, seterusnya mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, diabetes dan obesiti.

2. Berpotensi membantu menurunkan kadar kolesterol dalam badan



Kolesterol dalam badan dihasilkan oleh hati. Kolesterol terbahagi kepada dua, iaitu kolesterol baik (HDL kolesterol) serta kolesterol jahat (LDL kolesterol). Kadar kolesterol jahat yang tinggi dalam badan boleh membawa kepada penyakit seperti sakit jantung, hiperlipidemia dan sebagainya. Serat larut, seperti yang terkandung didalam sengkuang membantu mengawal kadar kolesterol dalam badan dengan menghalang hati daripada menghasilkan kolesterol yang berlebihan.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi dan Rawatan

3. Berpotensi mengawal tekanan darah

Tekanan darah yang baik adalah penting bagi mengelakkan risiko terjadinya penyakit-penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi serta strok. Tekanan darah yang tinggi ini terjadi apabila salur darah menjadi keras akibat keradangan. Menurut kajian, potassium, seperti yang terdapat didalam sengkuang dapat membantu mengurangkan tekanan darah dengan menganjalkan kembali salur darah seterusnya mengurangkan risiko strok dan sakit jantung.

Artikel Berkaitan:

4. Mengurangkan risiko pembekuan darah

Proses pembekuan darah adalah penting bagi mengelakkan badan kehilangan darah saat ditimpa luka dan sebagainya. Namun, jika pembekuan darah berlaku secara berlebihan, ini akan mengakibatkan penyumbatan salur darah seterusnya meningkat risiko serangan jantung dan strok. Menurut kajian, pengambilan jus sengkuang sebanyak 500 ml mampu mengurangkan risiko pembekuan darah. Namun kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti kesan sampingannya dalam pengambilan seharian.

5. Baik untuk kesihatan sel darah



Darah berfungsi untuk menghantar oksigen serta zat-zat lain ke seluruh tubuh badan. Justeru, sel darah yang sihat adalah penting bagi memastikan komponen-komponen yang diperlukan oleh badan tersebut dapat dihantar dengan baik. Sengkuang berkhasiat untuk peredaran darah yang baik kerana sengkuang mengandungi zat besi serta kuprum yang penting untuk sel darah yang sihat.

6. Meningkatkan prestasi senaman

Senaman bukan sahaja penting bagi atlet, namun setiap individu juga perlu melakukan senaman dan aktiviti fizikal dengan kerap bagi mengelakkan daripada penyakit serta memastikan badan kekal sihat dan cergas. Salah satu komponen penting yang membantu dalam meningkatkan prestasi senaman dan aktiviti fizikal adalah nitrate, yang juga boleh didapati didalam sengkuang. Namun, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi memastikan dos yang sesuai serta kesan sampingannya terhadap kesihatan secara menyeluruh.

7. Berpotensi mengurangkan sembelit

Sembelit terjadi apabila proses pencernaan dalam badan tidak berfungsi dengan baik serta pengambilan air dan serat yang kurang dalam diet seharian. Sengkuang mengandungi serat dan kandungan air yang tinggi, bermanfaat untuk membantu mengurangkan sembelit. Selain itu, kajian juga mendapati sengkuang mengandungi inulin, sejenis prebiotik yang mampu menggalakkan pergerakan usus sebanyak 31 peratus bagi individu yang mengalami sembelit.

Artikel Berkaitan: Punca Sembelit dan Rawatan

8. Baik untuk bakteria dalam perut

Badan manusia mengandungi bakteria yang tersendiri, dikenali sebagai bakteria baik atau probiotik yang membantu dalam memelihara kesihatan. Namun, bakteria ini memerlukan “makanan” iaitu prebiotik bagi berfungsi dengan baik. Sengkuang mengandungi inulin, iaitu prebiotik yang membantu meningkatkan bakteria baik dalam badan serta mengurangkan bakteria jahat seterusnya memastikan probiotik tersebut dapat berfungsi dengan sebaiknya.



Artikel Berkaitan:

9. Berpotensi mengurangkan risiko kanser

Kanser merupakan penyakit yang semakin meningkat saban hari. Kanser terjadi hasil daripada pertumbuhan sel yang tidak sihat kerana terdedah dengan radikal-radikal bebas dan sebagainya. Sengkuang mengandungi antioksida yang membantu melawan radikal bebas seterusnya memelihara kesihatan sel dalam badan. Selain itu, kajian juga menyatakan bahawa pengambilan serat dalam pemakanan, seperti yang terdapat didalam sengkuang, mampu memelihara individu daripada menghidapi kanser usus.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda kanser usus dan Rawatannya

10. Berpotensi membantu menurunkan berat badan

Berat badan merupakan salah satu faktor penting dalam pemeliharaan kesihatan. Berat badan yang berlebihan akan meningkatkan risiko terjadinya penyakit seperti diabetes, obesiti dan sebagainya. Justeru, penjagaan berat badan yang baik adalah penting bagi memastikan kesihatan tubuh badan terpelihara. Sengkuang merupakan makanan yang kaya dengan nutrien, namun rendah dengan kalori. Sengkuang juga mengandungi kandungan air yang tinggi serta serat yang membantu individu untuk merasa kenyang. Justeru, memasukkan sengkuang dalam diet seharian dilihat berpotensi untuk membantu individu dalam pengawalan berat badan dengan mengurangkan jumlah kalori yang diambil oleh seseorang individu.

Artikel Berkaitan:

  1. Punca Obesiti dan Rawatan
  2. 9 Cara menurunkan berat badan anda

Kesimpulan

Sebagai nota akhir, dapat disimpulkan disini bahasawanya sengkuang memiliki banyak khasiat serta manfaat untuk kesihatan tubuh badan. Justeru, memasukkan sengkuang dalam diet seharian dilihat sangat baik untuk memelihara kesihatan tubuh badan dan menghindarkan diri daripada penyakit. Selain daripada itu, tidak dilupakan bahawa amalan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat juga perlu dititikberatkan bagi memastikan tubuh badan kita kekal bertenaga dan cergas bagi melakukan aktiviti seharian dengan baik.



Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan:

  1. Clements WT, Lee SR & Bloomer RJ. (2014). Nitrate ingestion: a review of the health and physical performance effects. Nutrients. 2014 Nov 18;6(11):5224-64.
  2. Collado Yurrita L, San Mauro Martín I, Ciudad-Cabañas MJ, Calle-Purón ME & Hernández Cabria M. (2014). Effectiveness of inulin intake on indicators of chronic constipation; a meta-analysis of controlled randomized clinical trials. Nutr Hosp. 2014 Aug 1; 30 (2):244-52.
  3. Groves M. (2018). 8 Health and Nutrition Benefits of Jicama. Retrieved from Healthline
  4. Otles S & Ozgoz S. (2014). Health effects of dietary fiber. Acta Sci Pol Technol Aliment. 2014 Apr-Jun; 13                 (2):191-202. PMID: 24876314.
  5. Thaptimthong, T., Kasemsuk, T., Sibmooh, N., & Unchern, S. (2016). Platelet inhibitory effects of juices from Pachyrhizus erosus L. root and Psidium guajava L. fruit: a randomized controlled trial in healthy volunteers. BMC complementary and alternative medicine16, 269.
  6. Villines Z. (2019). What are the health benefits of jicama? Retrieved from Medical News Today
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 3 =