Apakah khasiat buah ciku pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan 10 khasiat buah ciku, kandungan nutrisnya berserta kompaun sihat di dalam buah ini.
Pengenalan
Buah ciku atau nama saintifiknya Manilkara zapota merupakan tanaman yang dikatakan berasal daripada Amerika Tropika. Kini, ia juga boleh didapati di kawasan beriklim tropika seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia. Ia berwarna coklat gelap dan mempunyai biji ditengah. Isinya agak lembut dengan rasa yang manis apabila ranum.
Ciku selalunya dimakan secara segar dan ia juga boleh diproses sebagai jem serta jus. Kepingan ciku kering boleh dijerukkan dan ditinkan untuk dipasarkan secara komersial. Selain itu, ciku juga boleh digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pektin, glukosa dan jeli.
Kandungan Nutrisi
Ciku merupakan buah-buahan yang rendah kalori tetapi tinggi serat. Serat berfungsi untuk memberi rasa kenyang yang lama kepada individu. Selain itu ia juga rendah lemak. Maka, jika anda ingin menurunkan berat badan, pemilihan snek seperti ciku adalah digalakkan kerana ia rendah kalori tetapi dapat memuaskan rasa lapar.
Nutrient | Unit | Per 100g |
Tenaga | Kcal | 82 |
Karbohidrat | g | 18.4 |
Protein | g | 0.4 |
Lemak | g | 0.8 |
Serat | g | 5.3 |
Kalsium | mg | 16 |
Fosforus | mg | 4 |
Zat besi | mg | 2.3 |
Kalium | mg | 193 |
Sodium | mg | 21 |
Vitamin C | mg | 6.5 |
Thiamin (B1) | mg | 0.01 |
Riboflavin (B2) | mg | 0.06 |
Niacin (B3) | mg | 2.8 |
Carotene | µg | 120 |
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Kompaun Sihat di Dalam Ciku
Apa yang membuatkan ciku dikatakan berkhasiat? Ciku mengandungi beberapa kandungan yang sangat diperlukan pada tubuh badan dan dapat meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Antara kandungan tersebut adalah:
1. Vitamin
Buah ciku mengandungi pelbagai jenis vitamin iaitu vitamin B, vitamin C dan vitamin A yang mempunyai kepelbagaian fungsi terhadap tubuh badan. Sebagai contoh, kandungan vitamin B3 iaitu Niacin dalam 100g buah ciku lebih tinggi daripada 100g buah avocado. Niacin mempunyai fungsi penting dalam mengawal metabolisma, penjagaan sistem saraf dan aktiviti antioksida. Lain-lain vitamin C dan vitamin A juga tidak kurang pentingnya dalam penjagaan kesihatan secara menyeluruh
2. Mineral
Mineral yang terkandung dalam ciku adalah seperti kalium, fosforus, kalsium dan banyak lagi. Jika dilihat pada kandungan nutrisi, ternyata sumber-sumber mineral ini agak mencukupi untuk melengkapkan keperluan seharian terutamanya kalium. Kalium adalah mineral yang penting dalam penjagaan jantung dan kesihatan kardiovaskular. Ia juga bertindak sebagai komponen anti-hypertensi, iaitu merendah dan mengawal tekanan darah serta mengawal pergerakan otot.
3. Serat larut
Serat larut adalah salah satu jenis serat yang mempunyai kebaikan untuk kesihatan. Saranan pengambilan serat adalah sebanyak 20 – 30g sehari. Serat larut banyak terkandung dalam sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk ciku. Serat larut memberi impak baik dalam penjagaan usus iaitu melancarkan penghadaman. Kandungan serat larut dalam 100g buah ciku lebih tinggi daripada 100g oren dan kiwi. Jelaslah bahawa pengambilan ciku dapat memberi manfaat dan khasiat terhadap kesihatan di samping kita dapat memenuhi keperluan serat seperti yang disarankan.
Khasiat Ciku pada Kesihatan Badan
Memandangkan ciku mengandungi beberapa komponen penting pada kesihatan, ia sekali gus memberi khasiat dan impak positif pada keseluruhan tubuh badan. Antara khasiat ciku yang dapat dirungkaikan adalah:
1. Aktiviti antioksidan
Ciku mengandungi beberapa bahan antioksida seperti flavonoid, phenolic dan juga vitamin C. Bahan-bahan ini bertanggungjawab untuk melindungi sel-sel dan tisu badan daripada bahan radikal bebas yang boleh menyebabkan beberapa penyakit serta masalah kesihatan. Menurut kajian, bahan-bahan antioksida dalam ciku majoriti terkandung dalam isi dan kulitnya. Oleh itu, amat digalakkan untuk memakan ciku secara segar untuk mendapat manfaat yang lebih optima.
2. Aktiviti antimikrobial
Aktiviti antimikrobial bermaksud aktiviti yang menghalang atau merencatkan pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria dan virus. Terdapat salah satu kajian yang mengkaji tentang sifat antimikrobial dalam buah-buahan eksotik seperti kiwi, beri biru dan termasuklah ciku.
Ciku dikatakan mampu merencatkan pertumbuhan bakteria seperti Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa, Salmonella enteritidis, and Serratia marcescens. Bakteria-bakteria ini dikategorikan sebagai bakteria yang berbahaya kepada kesihatan kerana menjadi punca beberapa penyakit seperti keracunan makanan. Maka, jika pertumbuhan bakteria-bakteria dapat direncatkan, risiko jangkitan penyakit dapat dikurangkan.
3. Anti-fungal
Ciku juga dikatakan dapat merencatkan pertumbuhan fungi. Fungi juga merupakan sejenis mikroorganisma yang hidup dengan kehadiran air atau kelembapan dan udara. Satu kajian telah dilakukan ke atas kesan ekstrak ciku pada lima jenis fungi. Antara lima jenis fungi yang diuji, ekstrak ciku memberi kesan terhadap tiga jenis fungi iaitu Aspergillus flavus, Fusarium dan Vasian factum. Kesan anti-fungal yang ditunjukkan mungkin datang dari bahan seperti flavonoid, terpenoid dan glikosida.
4. Anti-kanser
Ciku yang kaya dengan bahan antioksida seperti flavonoids, polifenol dan vitamin C berpotensi untuk memelihara kesihatan sel dan bertindak untuk menghalang pembentukan sel abnormal seperti tumor. Dalam satu kajian yang dijalankan ke atas seekor tikus, pemberian buah ciku dapat memperlahankan pembiakan sel tumor dan memanjangkan hayat haiwan tersebut. Walaupun tidak banyak kajian yang dijalankan ke atas manusia, namun mengambil ciku sebagai rutin seharian turut dapat memberi kebaikan antioksida yang diperlukan.
5. Menurunkan paras gula darah
Terdapat pelbagai tumbuhan yang dikaji mengenai keupayaan aktiviti hipoglisemik mereka termasuklah ciku. Biji ciku dikatakan mengandungi beberapa komponen seperti saponin, sapotin, achras saponin dan sapotinin yang mempunya sifat antidiabetik. Aktiviti hipoglisemik dapat membantu untuk mengawal paras gula darah supaya lebih stabil. Hal ini dapat mengurangkan risiko individu daripada menghidapi diabetes dalam jangka masa panjang.
Artikel Berkaitan: Simptom Kencing Manis dan Rawatan
6. Melancarkan sistem penghadaman
Memandangkan ciku tergolong dalam jenis buah-buahan, ia mengandungi serat larut yang tinggi. Serat larut berfungsi untuk mempercepatkan kadar pergerakan usus, melembutkan najis dengan menyerap air dan melancarkan perjalanan najis dalam usus. Hal ini sekali gus melawaskan dan mengelakkan kita daripada mengalami sembelit.
7. Mengawal tekanan darah
Ciku juga berfungsi dalam penjagaan kesihatan jantung kerana ia dapat mengawal tekanan darah. Kandungan mineral seperti kalium yang tinggi dapat mempunyai fungsi dalam pengawalan tekanan darah dengan melancarkan perjalanan darah, membantu relaksasi otot dan merendahkan kesan sodium. Memandangkan kandungan sodium dalam ciku lebih rendah daripada kalium, maka kesan antihipertensi lebih ketara.
Artikel Berkaitan: Simptom Darah Tinggi dan Rawatan
8. Menjaga kekuatan tulang dan gigi.
Ciku mengandungi kandungan mineral seperti kalsium dan fosforus. Kedua-dua mineral ini saling bergandingan dalam membentuk jisim dan menjaga kekuatan tulang. Keseimbangan kedua-dua mineral ini dapat mengelakkan daripada terjadinya kerapuhan tulang atau osteoporosis.
Artikel Berkaitan: Punca Osteoporosis dan Rawatan
9. Bertindak sebagai anti-radang
Menurut kajian, keradangan sering dikaitkan dengan pengeluaran bahan histamine atau serotonin. Keradangan boleh memberi impak pada kesihatan serta menjadi punca munculnya sesuatu penyakit. Kandungan bahan-bahan aktif seperti lupeol, acetate dan oleanolic acid dalam daun pokok ciku dikatakan mampu merencatkan pengeluaran hormon penyebab keradangan. Ini jelas menunjukkan bahawa bukan buah ciku sahaja yang berkhasiat malah seluruh pokoknya juga.
10. Melambatkan penuaan dan mencantikkan kulit
Memandangkan ciku mengandungi vitamin A, B dan C, ini menjadikan ciku sebagai salah satu buah yang kaya dengan bahan antioksida yang menjadi factor pelindung kepada sel dan tisu kulit. Vitamin-vitamin ini juga bertanggungjawab dalam membantu pengeluaran kolagen yang menjadi penyokong struktur kulit. Lebih banyak kolagen, lebih baik struktur kulit kita ini sekali gus dapat melambatkan penuaan dan menjadi kulit nampak lebih licin serta berseri.
Buah ciku adalah buah bermusim yang boleh didapati pada waktu-waktu tertentu. Justeru itu, rebutlah peluang untuk mengambil ciku apabila tiba musimnya. Ciku seringkali diamalkan oleh golongan tua atau orang dewasa berbanding generasi muda kerana isinya yang lebih lembut apabila ranum. Namun, tidak salah jika kita sebagai generasi muda untuk mencuba dan mengambil manfaat kesihatan daripada buah ciku.
Khasiat Buah yang Lain
Buah Tembikai | Buah Betik |
Buah Kulim | Buah Belimbing |
Buah Bidara | Buah Kiwi |
Buah Markisa | Buah Jambu Air |
Buah Ciku | Buah Tin |
Buah Pisang | Buah Anggur |
Buah Epal | Buah Nanas |
Buah Delima | Buah Jambu Batu |
Buah Zaitun |
Rujukan
- Baskar, M., Hemalatha, G., & Muneeshwari, P. (2020). Traditional and medicinal importance of sapota – review. International Journal of Current Microbiology and Applied Sciences, 9(1), 1711 – 1717.
- Leelarungrayub, J., Pothasak, Y., Kuntain, R., Kaju, J., & Izhar, M. A. (2019). Potential health benefits of Thai seasonal fruits; sapodilla and star fruit for elderly people. American Journal of Biomedical Science & Research, 5(1), 49 – 53.
- Ministry of Health Malaysia (1997). Malaysian Food Composition Database. Putrajaya: MOH.
- Santos T. R.J., & Aquino Santana de L.C.L (2019). Antimicrobial potential of exotic fruits. South African Journal of Botany, 124, 338 – 344.