Skip to content

10 Khasiat Ikan Haruan Pada Kesihatan Badan

Ramai dari kita pasti pernah terdengar tentang tingginya khasiat ikan haruan, terutamanya ibu-ibu selepas bersalin yang selalu dinasihatkan untuk makan ikan haruan. Ikan ini telah menjadi menu pilihan kepada ibu-ibu semasa berpantang. Tetapi tahukah anda ikan haruan mempunyai banyak lagi manfaat pada kesihatan selain daripada khasiat untuk wanita selepas bersalin. Artikel ini akan membincangkan khasiat ikan haruan, kandungan nutrisi dan komponen berkhasiat ikan haruan.

Pengenalan

Channa striatus atau lebih dikenali sebagai ikan haruan adalah spesies ikan tempatan di Malaysia. Ikan haruan merupakan sejenis ikan air tawar karnivor yang sangat popular. Ikan haruan juga dikenali dengan sebutan “snakehead fish” kerana ada spesies ikan ini yang mempunyai bentuk kepala seperti kepala ular. Terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dengan lapan spesies terdapat di Sarawak, dua di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia. Antara spesies utama ikan haruan yang terdapat di Malaysia adalah ikan haruan Todak, ikan haruan Palas, ikan haruan Bunga dan juga ikan haruan Bujuk.  Ikan bersifat karnivor ini memakan ikan lain yang lebih kecil termasuk anaknya sendiri. Maka wujudlah peribahasa “Haruan makan anak”. Khasiat ikan haruan telah lama dimanfaatkan oleh rawatan tradisional terutamanya dalam merawat luka, mengurangkan rasa sakit dan juga meningkatkan tenaga.

Kandungan nutrisi

Ikan haruan kaya dengan pelbagai nutrisi yang memberi manfaat pada kesihatan. Ia merupakan sumber protein yang baik dan mengandungi kandungan lemak yang rendah. Berdasarkan data daripada Komposisi zat dalam makanan Malaysia (1997), setiap 100 g ikan haruan mengandungi:

NutrisiKandungan
Kalorikcal66 kcal
Proteing14 g
Lemakg1.1 g
Karbohidratg0 g
Kalsiummg27 mg
Phosphatemg144 mg
Zat besimg1.1 mg
Kaliummg15 mg
Vitamin Cmg11 mg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen berkhasiat ikan haruan



1. Asid amino

Asid amino adalah komponen penting yang diperlukan dalam memastikan kelancaran proses metabolik di dalam badan manusia. Khasiat ikan haruan banyak disumbangkan oleh kandungan asid aminonya yang membentuk protein dalam ikan ini. Ikan haruan mengandungi semua asid amino yang diperlukan dalam proses penyembuhan luka terutamanya glysine yang merupakan komponen utama dalam membentuk kolagen kulit. Antara asid amino lain yang terdapat dalam ikan haruan adalah asid glutamik, asid aspartik, lysine, arginine, leusin, valine dan threonine.

2. Asid Lemak

Asid arakidonik (AA) merupakan asid lemak poli tidak tepu yang terbanyak di dalam ikan haruan. Ia mempunyai peranan di dalam proses anti-nosiseptif yang boleh mengurangkan rasa sakit. Selain itu, asid arakidonik juga berfungsi dalam pembentukan gumpalan darah untuk megelakkan pendarahan berlebihan apabila berlaku kecederaan. Kajian juga telah menunjukkan bahawa ikan haruan mempunyai kandungan asid lemak omega 3 seperti asid eicasapentaenoid (EPA) namun dalam kandungan yang rendah. Hal ini meningkatkan lagi fungsi ikan haruan dalam proses penggumpalan darah kerana kandungan EPA diketahui mampu menghalang pembekuan darah.

10 Khasiat Ikan Haruan

1. Khasiat kepada ibu selepas bersalin



Sejak turun-temurun masyarakat Cina dan Melayu telah lama mengamalkan makan ikan haruan dalam rawatan tradisional sepanjang tempoh berpantang. Haruan dipercayai mempunyai khasiat membantu menyembuhkan luka dalaman serta luaran ibu selepas bersalin. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak ikan haruan oleh wanita selepas pembedahan caesarean dapat menambah baik dan meningkatkan kepuasan ibu terhadap penampilan luka. Namun pengambilan yang berlebihan dikatakan mampu menyebabkan masalah keloid (parut yang besar daripada luka asal) kepada luka.

2.Mempercepat penyembuhan luka

Kajian menunjukkan pengambilan ekstrak ikan haruan dapat mempercepat proses penyembuhan luka. Keberkesanan ikan haruan dalam menggalakkan penyembuhan luka adalah disebabkan kandungan asid amino seperti glycine dan asid lemak seperti asid arakidonik yang tinggi dalam ikan haruan. Komoponen-komponen ini mempunyai peranan dalam pembentukan kolagen, pengecutan luka dan mempercepatkan proses penggantian sel-sel lama kepada sel-sel baru.

3. Mengurangkan sakit

Antinosiseptif merupakan tindakan atau proses yang menghalang neuron deria daripada mengesan rangsangan yang menyakitkan atau merbahaya. Ikan haruan mempunyai ciri-ciri antinosiseptif yang membantu mengurangkan rasa sakit. Kajian ke atas tikus makmal menunjukkan bahawa ekstrak ikan haruan mempunyai kesan tahan sakit yang setara dengan morfin (ubat tahan sakit) tanpa kesan sampingan seperti ketagihan.

4. Anti radang

Ikan haruan mempunyai ciri-ciri antiradang yang boleh mengurangkan kesakitan otot dan sendi. Terdapat kajian ke atas tikus yang menunjukkan ekstrak ikan haruan ini dapat mengurangkan kesakitan radang otot dan sendi pada tikus. Satu kajian lain juga menunjukkan kesan yang sama dengan membuktikan terdapat pengurangan pembengkakan dan keradangan pada tisu sinovial (lapisan sendi) tikus yang mempunyai penyakit osteoarthritis (radang sendi).

Artikel Berkaitan: Punca Sakit Sendi dan Rawatan



5. Antioksida

Ikan merupakan salah satu sumber antioksida yang baik. Dalam kalangan ikan air tawar, ikan haruan mempunyai kandungan antioksida yang sederhana. Walaubagaimanapun, kandungan antioksida ikan haruan bersifat lipophilic yang bermaksud ianya mampu larut di dalam lemak. Oleh itu ikan haruan boleh menghalang pengoksidaan asid lemak terutamanya di lapisan terluar sel (cell membrane) dan membantu melambatkan proses penuaan.

6. Anti kulat

Kajian telah membuktikan ekstrak ikan haruan mampu mencegah beberapa jenis kulat seperti Neurospora crassa, Aleurisma keratinophilum dan Cordyceps militaris. Ia juga menunjukkan kesan antikulat jangka pendek pada kulat jenis Botrytis pyramidal dan Paecilomyces fumosoroseus. Ini menujukkan bahawa ikan haruan boleh melawan jangkitan kulat terutamanya jangkitan daripada 5 spesies kulat ini. Selain itu, ciri-ciri anti kulat pada ikan haruan juga boleh membantu dalam masalah kulit seperti ekzema.

7. Anti bakteria

Ikan haruan juga mempunyai ciri-ciri antibakteria yang baik. Satu kajian telah membandingkan aktiviti antibakteria di antara lendir daripada 5 spesies ikan termasuk ikan haruan terhadap 5 jenis bakteria. 5 jenis bakteria yang digunakan di dalam kajian ini adalah Aeromonas hydrophila, Pseudomonas aeruginosa, Escherichia coli, Vibrio fischeri dan V. anguillarum. Hasil daripada kajian tersebut, ikan haruan menunjukkan spektrum aktiviti antibakteria yang paling luas dalam mencegah pembiakan kelima lima jenis bakteria itu berbanding 4 spesies ikan yang lain.

8. Sumber protein yang baik

Protein adalah makronutrien penting yang diperlukan untuk memastikan kesihatan tubuh badan. Selain menjadi sumber tenaga, protein diperlukan dalam pembinaan tisu badan dan juga untuk mengekalkan struktur dan fungsi sel sel badan. Ikan haruan mempunyai kandungan protein yang tinggi yang kaya dengan asid amino essential dan juga non-essential. Profil asid amino yang membentuk protein dalam ikan haruan menunjukkan bahawa ikan haruan adalah sumber protein yang berkualiti. Selain itu, ikan haruan juga mengandungi albumin yang bermanfaat untuk tumbesaran kanak-kanak yang optimum.



9. Memelihara kesihatan otak

Serotonin yang juga dikenali sebagai hormon bahagia adalah sejenis hormon yang berperanan untuk meningkatkan emosi, keyakinan diri, perilaku dan juga mengawal rasa lapar. Kajian telah menunjukkan ekstrak kulit ikan haruan boleh mempengaruhi sistem serotonin iaitu sistem neurotransmitter yang terbanyak dalam otak. Keseimbangan sistem ini juga sangat penting untuk memastikan fungsi badan yang baik. Oleh itu kajian telah mencadangkan potensi ikan haruan sebagai rawatan untuk mencegah kemurungan.

10. Meningkatkan kesihatan kulit

Ikan haruan mengandungi decosahexanaenoic acid atau DHA yang merupakan asid lemak essential. Ia bermanfaat untuk membantu masalah keradangan kulit, mengurangkan sensitiviti kulit terhadap cahaya UV dan mencegah penuaan kulit. Selain itu, ikan haruan mengandungi vitamin A yang berfungsi untuk memastikan kulit yang sihat. Vitamin A mampu untuk mempercepat proses penyembuhan luka, mencegah jerawat, menguatkan sistem imun kulit dan juga menjaga kelembapan kulit. 

Kesimpulan

Akhir sekali, daripada perbincangan di atas jelaslah bahawa ikan haruan membawa pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh badan terutamanya dalam penyembuhan luka. Namun harus kita ketahui bahawa pengambilan protein yang mencukupi adalah kunci utama dalam mempercepat proses penyembuhan luka. Makanlah semua jenis protein seperti ikan, ayam, telur, daging dan juga kekacang dan jangan hanya menghadkan kepada pengambilan satu jenis protein sahaja.

Selain itu, jika anda sudah mengalami sebarang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit lain, ikan haruan bukanlah menjadi alternatif kepada ubat anda. Anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Diharapkan artikel khasiat ikan haruan ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan



  1. Ab Wahab, S. Z., Abdul Kadir, A., Nik Hussain, N. H., Omar, J., Yunus, R., Baie, S., Mohd Noor, N., Hassan, I. I., Wan Mahmood, W. H., Abd Razak, A., & Wan Yusoff, W. Z. (2015). The Effect of Channa striatus (Haruan) Extract on Pain and Wound Healing of Post-Lower Segment Caesarean Section Women. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine : ECAM, 2015.
  2. Dahlan-Daud, C. K., Jais, A. M. M., Ahmad, Z., Akim, A., & Adam, A. (n.d.). Amino and fatty acid compositions in Haruan traditional extract (HTE). Boletín Latinoamericano y Del Caribe de Plantas Medicinales y Aromáticas, 17.
  3. Gam, L., Leow, Y., & Saringat, H. (2005). Amino Acid Composition Of Snakehead Fish (Channa Striatus) Of Various Sizes Obtained At Different Times Of The Year. Malaysian Journal of Pharmaceutical Sciences.
  4. Jais, A. M. M., McCulloch, R., & Croft, K. (1994). Fatty acid and amino acid composition in haruan as a potential role in wound healing. General Pharmacology: The Vascular System, 25(5), 947–950.
  5. Ma, M. S., & Mj, A. M. (n.d.). Therapeutic Potential of the Haruan (Channa striatus): From Food to Medicinal Uses. 12.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × three =