Permakanan

10 Khasiat Serai Pada Kesihatan Badan

khasiat serai

Apakah khasiat serai pada kesihatan anda? Artikel ini akan membincangkan khasiat serai, kandungan nutrisi dan kompoun di dalam tumbuhan ini.

Pengenalan

Serai merupakan tumbuhan yang berasal dari kawasan Asia dan kemudian ditanam di Amerika Selatan dan Amerika Tengah, Afrika dan di beberapa negara tropika yang lain. Serai memiliki rasa kemasaman dan digunakan dalam pelbagai bentuk samada secara segar, dibuat serbuk mahupun dikeringkan. Selain daripada daunnya yang sering digunakan dalam masakan, serai juga sering dijadikan sebagai minyak untuk tujuan sapuan serta tujuan bauan bagi bertindak sebagai terapi aroma. Di samping penggunaannya dalam industri makanan, serai juga giat digunakan dalam pembuatan sabun dan kosmetik yang berfungsi sebagai pewangi. Meskipun penggunaan serai dilihat meluas dan merangkumi pelbagai sektor, artikel ini akan mengkhususkan kegunaan dan khasiat serai daripada sudut kesihatan.

Kandungan Nutrisi

Serai mempunyai kepelbagaian nutrisi yang baik untuk kesihatan tubuh badan. Satu cawan serai menyumbang sebanyak 66 kalori dengan karbohidrat sebanyak 17 gram, protein 1.2 gram serta lemak 0.3 gram. Selain daripada komponen asas makronutrisi tersebut, serai juga mengandungi vitamin dan mineral seperti vitamin A dan C, folat, serta magnesium, fosforus, kalsium dan potassium daripada kelompok mineral yang penting untuk kesihatan tubuh badan.

Kandungan Berkhasiat dalam Serai

Serai kaya dengan kandungan yang berkhasiat terutama daripada kumpulan antioksida yang berfungsi untuk melawan radikal bebas bagi memelihara kesihatan sel-sel dalam tubuh badan. Serai juga mengandungi kompoun flavonoid dan phenolic seperti quarcetin, luteolin, kaempferol dan apiginin. Kandungan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada khasiat serai kepada kesihatan seperti anti-bakteria, anti-keradangan dan pelbagai lagi. Artikel ini seterusnya akan menerangkan lebih lanjut potensi dan khasiat serai kepada kesihatan.

10 Khasiat Serai pada Kesihatan

1. Berpotensi mengurangkan kegelisahan

Kegelisahan atau dikenali juga sebagai anxiety, merupakan suatu keadaan mental yang normal untuk dialami setiap individu. Namun, jika ia berlanjutan serta berlaku dengan kerap, kegelisahan boleh dikategorikan dalam kelompok masalah kesihatan. Jika dibiarkan, kegelisahan ini akan menjejaskan kualiti hidup seseorang individu. Menurut Memorial Sloan Kettering Cancer Center, menghidu serai boleh membantu mereka yang menghadapi kegelisahan. Namun, kajian lebih mendalam perlu dijalankan untuk mengenalpasti keberkesanan serta kesan sampingannya terhadap kesihatan

2. Mengandungi antioksida

Antioksida berperanan melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel dalam badan serta meningkatkan risiko seseorang individu untuk menghidapi penyakit. Serai kaya dengan flavonoid dan polyphenol, antioksida yang berperanan memelihara sel-sel dalam badan daripada kerosakan secara tidak langsung membantu memelihara kesihatan tubuh.

3. Menurunkan kadar kolesterol

Kolesterol merupakan antara komponen yang penting dan diperlukan untuk kesihatan badan. Kolesterol diperlukan oleh badan untuk menghasilkan sel-sel yang sihat dalam tubuh. Namun begitu, paras kolesterol yang berlebihan dalam badan akan meningkatkan risiko seseorang individu untuk menghidapi penyakit seperti sakit jantung. Menurut satu kajian yang dijalankan ke atas haiwan, pengambilan ekstrak serai mampu menurunkan kadar kolesterol. Kajian tersebut juga mendapati semakin tinggi dos ekstrak serai yang diambil, semakin rendah paras kolesterol yang mampu diturunkan. Namun begitu, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti kesan sampingan serta keberkesanannya kepada kesihatan individu.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi dan Rawatan

4. Mengelakkan daripada jangkitan

Jangkitan berlaku apabila badan kita diserang oleh mikroorganisme seperti bakteria, virus dan juga parasit. Justeru, pertahanan badan yang baik adalah penting bagi melawan mikroorganisme tersebut serta memelihara badan daripada mendapat jangkitan. Menurut kajian, serai dilihat memiliki kemampuan untuk menghalang daripada jangkitan serta baik bagi individu yang mempunyai imun badan yang lemah. Walaubagaimanapun, dos yang sesuai untuk diambil serta kesan sampingannya terhadap kesihatan perlu dikaji secara saintifik dengan lebih terperinci.

5. Baik untuk kesihatan mulut

Terdapat kajian yang dijalankan mendapati serai mampu memberikan kesan baik untuk kesihatan mulut. Kajian makmal tersebut menjelaskan serai menghalang pertumbuhan bakteria yang sering didapati di dalam mulut. Kajian serta penyelidikan yang lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan serta kesan sampingannya kepada kesihatan individu.

6. Berpotensi mengurangkan kesakitan

Satu kajian yang dijalankan mendapati pengambilan teh serai dilihat berpotensi bertindak sebagai penghalang kesakitan. Namun, disebabkan oleh kajian yang terbatas berkaitan serai pada masa kini memerlukan kajian leih lanjut berkaitan keberkesanannya serta kesan sampingan yang mungkin dihadapi oleh tubuh badan.

7. Meningkatkan sel darah merah dalam badan

Sel darah merah memainkan peranan penting untuk membawa dan menghantar oksigen serta komponen-komponen lain ke seluruh tubuh badan. Justeru, sel darah merah yang sihat adalah penting supaya badan mendapat komponen-komponen penting tersebut bagi berfungsi dengan sebaiknya. Menurut kajian, pengambilan teh serai mampu meningkatkan penghasilan sel darah merah dalam badan, dipercayai kerana kandungan antioksida yang dimilikinya.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda kurang darah merah dan Rawatan

8. Melegakan kembung perut

Kembung perut boleh terjadi kerana pelbagai faktor antaranya pengekalan air (water retention) dalam badan. Menurut kajian yang dijalankan, pengambilan teh serai dapat meningkatkan pengeluaran urin kerana sifat diuretiknya yang tinggi secara tidak langsung melegakan kembung perut seseorang individu. Namun begitu, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti kesan sampingannya kepada kesihatan.

Artikel Berkaitan: Rawatan Kembung Perut

9. Berpotensi mengelakkan daripada kanser

Kanser merupakan penyakit yang berpunca daripada pelbagai faktor serta semakin meningkat saban hari. Quarcetin, yang terdapat didalam serai dilihat memiliki sifat antioksida dan anti-keradangan yang secara tidak langsung berpotensi memelihara seseorang individu daripada pertumbuhan sel-sel kanser.

10. Berpotensi baik untuk kesihatan kulit

Kulit merupakan pertahanan serta benteng pertama yang melindungi badan daripada bakteria, virus, bahan kimia dan sebagainya. Kesihatan kulit yang baik adalah penting bagi memastikan pertahanan badan dapat berfungsi sebaiknya.  Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati penggunaan minyak serai mampu mengurangkan keradangan kulit. Meskipun begitu, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan serta kesan sampingannya kepada kesihatan individu.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kita dapat lihat bahawasanya serai memiliki pelbagai khasiat dan berpotensi memainkan peranan yang penting untuk kesihatan tubuh badan. Namun begitu, serai juga mempunyai risiko alergi, justeru pastikan anda dapatkan nasihat daripada doktor sekiranya anda mengalami sebarang simptom-simptom iritasi. Amalkan juga pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat bagi membantu memelihara kesihatan badan anda serta mengelakkan diri daripada menghidapi apa jua penyakit.

Rujukan

  1. Brennan D. (2020). Lemongrass: Are There Health Benefits? Retrieved from WebMD
  2. Brown D. (2020). What to know about anxiety. MedicalNewsToday
  3. Lemon Grass (2019). Retrieved from RXlist
  4. Nutrition Data – Lemon Grass
  5. Shah, G., Shri, R., Panchal, V., Sharma, N., Singh, B., & Mann, A. S. (2011). Scientific basis for the btherapeutic use of Cymbopogon citratus, stapf (Lemon grass). Journal of advanced pharmaceutical technology & research2(1), 3–8.
  6. WebMD (2020). Lemon Grass. Retrieved from WebMD
  7. Wilson D. R. (2018). What are the health benefits of lemongrass tea? Retrieved from MedicalNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *