Skip to content

10 Khasiat Kurma yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat kurma pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan khasiat kurma, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam kurma

Pengenalan

Pokok kurma atau secara saintifiknya dikenali sebagai Phoenix Dactylifera tergolong dalam keluarga Arecaceae.  Kebanyakan pokok kurma ditanam di kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara. Buah kurma kemudiannya dituai dan dieksport ke serata dunia. Di negara Arab, kurma telah dianggap sebagai makanan ruji, manakala di Negara Muslim dan terutamanya Malaysia, buah ini terkenal pada bulan Ramadan sebagai juadah pelengkap berbuka puasa.

Kurma matang dan boleh dituai dalam 4 peringkat iaitu buah muda berwarna hijau (Kimri), buah separa masak berwarna kekuningan (Khalal), buah yang masak berwarna coklat (Rutab) dan buah yang telah melepasi waktu matang, menjadi kering dan seperti kismis (Tamar). Kebanyakan kurma yang kita lihat adalah dalam bentuk tamar, kering, berbentuk bujur dan isinya yang kenyal. 

Kandungan Nutrisi



Berikut merupakan kandungan nutrisi dalam sebiji kurma. Ia kaya dengan pelbagai makronutrien dan mikronutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan.

Nutrien1 biji (24 gram)%DV
Air (g)5.1 
Tenaga (kcal)66.53%
Protein (g)0.41%
Lemak (g)0.30%
Karbohidrat (g)
– Serat (g)
– Jumlah gula (g)
– Sukrosa (mg)
– Glukosa (mg)
– Fruktosa (mg)
– Maltosa (mg)
18.0
1.6
16.0
127
8084
7669
72
6%
6%




Kalsium(mg)15.42%
Zat besi (mg)0.21%
Magnesium (mg)13.03%
Fosforus (mg)14.91%
Kalium (mg)1675%
Natrium (mg)0.20%
Kuprum (mg)0.14%
Manganese (mg)0.14%
Vitamin A (IU)35.81%
Vitamin C (mg)0.00%
Vitamin K (mcg)0.61%
Niacin (mg)0.42%
Vitamin B6 (mg)0.13%
Folat (mcg)3.61%
Asid pentatonic (mg)0.22%
Choline (mg)2.4 
Betaine (mg)0.1 

DV ialah daily value (nilai harian) yang bermaksud jumlah nutrien dalam satu hidangan yang menyumbang kepada tenaga keperluan harian untuk 2000 kcal. Berdasarkan jadual di atas, sebiji kurma mengandungi 66.5 kcal yang bersamaan 3% daripada 2000 kcal keperluan harian.

64.7 kcal adalah daripada sumber karbohidrat, manakala protein dan lemak masing-masing menyumbang kepada 1.5 kcal dan 0.3 kcal. Dapat juga dilihat, hampir kesemua jumlah karbohidrat terdiri daripada gula, yang menghasilkan hingga 88% gula daripada total karbohidrat. Namun begitu, itu tidak menjadikan kurma buah yang tidak boleh dimakan. Jika ia diambil secara berpada dan mengikut keperluan, kurma jelas mengandungi pelbagai nutrien berkhasiat yang penting untuk kesihatan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat dalam Kurma

1. Serat

Kurma merupakan sumber serat yang baik. Bergantung pada jenis dan tahap matang, kurma mengandungi antara 6.4% hingga 11.5% kandungan serat yang terdiri daripada 14 jenis pokok yang berbeza. Kurma mengandungi kedua-dua serat larut dan tidak larut sementara serat tidak larut merupakan komponen utama serat padanya. Pengambilan serat yang cukup menunjukkan pelbagai manfaat kesihatan seperti mengawal penyakit diabetes, darah tinggi dan tinggi kolesterol dan mengurangkan risiko kanser usus dan divertikulosis.



2. Vitamin dan Mineral

Kurma dianggap sebagai sumber vitamin dan mineral yang bagus berbanding buah kering yang lain kerana kepelbagaian mikronutriennya yang penting untuk tubuh badan. Kurma mengandungi kandungan kalium yang tinggi. Ia merupakan elektrolit yang diperlukan oleh tubuh untuk kesihatan jantung yang baik dan membantu membina otot dan protein di dalam badan. Menurut kajian, kurma boleh digunakan sebagai makanan tambahan semula jadi untuk merawat kekurangan zat besi tanpa sebarang kesan sampingan seperti loya, sakit kepala, dan tiada selera makan yang mungkin berlaku dengan suplemen tablet. Selain itu, kurma juga mengandungi mineral lain seperti kalsium, magnesium, fosforus, kuprum dan mangan.

Selain daripada nutrien di atas, kurma juga mengandungi vitamin penting seperti thiamin, riboflavin, niasin, vitamin B6, folat, vitamin A, dan vitamin K. Buah kurma yang masak mengandungi kandungan karotenoid (yang akan diubah menjadi vitamin A) yang lebih tinggi, membantu dalam penjagaaan mata dan sistem imun badan.

Fitonutrien (phytonutrient)

Fitonutrien atau dikenali juga sebagai fitokimia (phytochemical) merupakan komponen semula jadi yang terdapat pada tumbuhan, bertanggungjawab terhadap warna, rasa dan aroma makanan.

  • Polifenol: sebatian antioksidan yang dapat melindungi tubuh dari keradangan. Kurma mengandungi lebih banyak polifenol daripada kebanyakan buah dan sayur- sayuran yang lain. Antara jenis-jenis polifenol yang boleh dijumpai dalam sebiji kurma ialah asid fenolik, antosianin, quercetin, catechin dan tannin.
  • Karotenoid: menyumbang kepada pelbagai tahap aktiviti antioksidan dan antikanser. Antara komponen karotenoid utama yang terdapat pada kurma ialah lutein, β-karoten, zeaxanthin, dan neoxanthin.

10 Khasiat Kurma kepada Kesihatan

1. Sumber Tenaga yang Baik

Kurma mengandung gula semula jadi seperti glukosa, fruktosa, sukrosa dan maltosa. Sumber tenaga yang tinggi dalam kurma boleh dikaitkan dengan kandungan gulanya yang tinggi. Satu kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Food Sciences and Nutrition menunjukkan bahawa kurma yang kaya dengan nutrien penting dapat membantu mengembalikan semula tenaga dengan cepat.

Kurma boleh menjadi pilihan yang baik untuk mengisi semula tenaga selepas bersenam atau ketika badan terasa letih dan lesu setelah seharian bekerja. Selain itu, bagi orang yang berpuasa, kurma selalunya menjadi pilihan utama untuk mereka berbuka puasa. Selain membantu memberi tenaga segera, kurma juga mampu mengelakkan mereka untuk makan secara berlebihan.



2. Meningkatkan Kesihatan Otak

Menurut kajian, kurma ialah sumber serat yang baik dan kaya dengan antioksidan semula jadi seperti fenolik, antosianin, asid ferulic dan asid caffeic. Kehadiran sebatian polifenol tersebut berpotensi membantu mengurangkan keradangan dan seterusnya memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer dan demensia. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa kurma berfungsi untuk menurunkan penanda keradangan, seperti interleukin 6 (IL-6) pada otak. Tahap IL-6 yang tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit neurodegeneratif yang lebih tinggi seperti Alzheimer.

3. Menyokong Sistem Pencernaan yang Sihat

Kurma mengandungi kedua-dua sumber serat iaitu serat larut dan tidak larut, dan asid amino yang dapat merangsang pencernaan makanan dan memastikan pergerakan usus yang lancer. Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Nutrition Reviews, serat juga boleh digunakan sebagai kaedah rawatan dalam keadaan seperti penyakit refluks gastroesophageal (GERD), divertikulitis, dan buasir.

Satu kajian dijalankan untuk mengkaji secara khusus mengenai kesan pengambilan kurma terhadap usus dan sistem pencernaan. Kajian mellibatkan sekumpulan lelaki yang ditugaskan secara rawak untuk makan 7 biji kurma sehari atau campuran karbohidrat dan gula selama 21 hari. Hasil kajian menunjukkan dalam tempoh tujuh hari pengambilan kurma, terdapat peningkatan dalam kekerapan pergerakan usus dan penurunan tahap bahan kimia dalam najis yang boleh merosakkan sel dan mencetuskan mutasi yang boleh membawa kepada kanser.

4. Membantu Proses Kelahiran Secara Semula Jadi

Kajian menunjukkan kurma berpotensi membantu ibu mengandung ketika peringkat akhir kehamilan mereka. Memakan kurma sepanjang beberapa minggu terakhir kehamilan mendorong pembukaan serviks dan mengurangkan kemungkinan induksi kehamilan (induce labour) dan masa bersalin.

Dalam satu kajian, 69 wanita yang memakan 6 biji kurma selama 4 minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin memiliki 20% kecenderungan untuk bersalin secara normal berbanding mereka yang tidak makan kurma. Kajian lain yang dijalankan terhadap 91 wanita hamil yang memakan 70-76gram kurma sehari bermula minggu ke 37 waktu kehamilan menunjukkan kemungkinan yang lebih kecil untuk menjalani prosedur induksi kehamilan.



Mereka juga mempunyai waktu bersalin 4 jam lebih singkat daripada mereka yang tidak makan kurma. Peranan kurma dalam kehamilan mungkin disebabkan oleh sebatian yang mengikat reseptor oksitosin dan meniru fungsi oksitosin di dalam badan. Oksitosin ialah hormon yang menyebabkan kontraksi semasa melahirkan bayi. Selain itu, kurma juga mengandungi tanin, sebatian yang terbukti membantu ketika proses pengecutan rahim. Kurma juga merupakan sumber tenaga dan gula semula jadi yang baik, yang diperlukan untuk mengekalkan tahap tenaga semasa bersalin.

5. Mengurangkan Risiko Sakit Jantung

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry menyimpulkan bahawa salah satu khasiat kurma adalah ia berkesan untuk mengurangkan kadar trigliseride dan mengurangkan tekanan oksidatif. Kedua-duanya merupakan faktor risiko penyakit jantung dan aterogenesis, yang merupakan penyumbatan plak lemak di arteri menyebabkan aliran darah terganggu dan tidak boleh mengalir ke jantung.

Selain itu, satu kajian yang lain telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan kurma ke atas orang dewasa yang sihat dalam jangka masa empat minggu. Subjek dikehendaki untuk makan kira-kira tiga setengah ons sehari daripada dua jenis kurma. Di akhir kajian, para penyelidik mendapati bahawa pengambilan kurma tidak mempengaruhi indeks jisim badan (BMI), kolesterol total, kolesterol buruk (LDL), atau tahap kolesterol baik (HDL) subjek kajian. Kajian turut membuktikan tahap gula darah puasa dan trigliseride tidak meningkat setelah memakan kurma.

6. Mengurangkan Kesan Keradangan

Keradangan (inflammation) adalah tindak balas semula jadi tubuh manusia yang membantu melawan beberapa penyakit, trauma, dan jangkitan. Kawalan agen anti-radang memainkan peranan penting untuk memastikan tindak balas berlaku dalam keadaan terkawal. Kesan radang yang berlebihan boleh membahayakan badan di mana sistem ketahanan badan akan menyerang sel-sel normal di dalam badan secara sendiri.

Kurma yang diperkaya dengan pelbagai jenis antioksidan seperti asid fenolik dan flavonoid berupaya mengurangkan keradangan yang berlaku di dalam badan. Antioksidan yang bertindak sebagai ajen anti-radang berperanan dalam menentukan tindak balas imun badan terhadap pelbagai penyakit dan keadaan, dan mencegah tubuh daripada melakukan aktiviti keradangan yang tidak diingini.

Satu kajian yang dilakukan ke atas ekstrak kurma menunjukkan bahan di dalamnya berupaya mengatur ekspresi cytokines yang mengawal sebarang tingkah laku tidak normal dalam badan. Selain itu, ekstrak metanol dari buah kurma juga menunjukkan kemampuannya dalam mengurangkan bengkak yang berlaku akibat tindak balas keradangan dan juga dalam kawalan fibrinogen plasma, mekansime pembekuaan darah.



7. Mengekalkan Tulang yang Sihat

Kurma mengandungi satu bahan dikenali sebagai boron yang membantu mengekalkan tulang yang sihat. Selain itu, kurma juga mengandungi sejumlah besar mineral seperti fosforus, kalium, kalsium, magnesium menjadikannya makanan tambahan yang bagus untuk menguatkan tulang dan melawan penyakit tulang seperti osteoporosis. Mineral lain seperti selenium, mangan dan kuprum yang terkandung dalam sebiji kurma memberi manfaat kepada memberi manfaat kepada warga tua untuk kesihatan tulang mereka.

8. Mengurangkan Risiko Kanser

Kajian yang mendalam menunjukkan bahawa kehadiran beta D-glucan dalam kurma mempunyai khasiat dalam menggalakkan aktiviti anti-tumor di dalam tubuh. Mutasi genetik yang berlaku kepada sel mengakibatkan pertumbuhan sel tidak normal yang tidak terkawal yang seterusnya membentuk tumor.

Menurut kajian, kurma mempunyai ciri anti-tumor semula jadi kerana mekanisma bahan pada kurma yang dapat mengurangkan aktiviti aromatase CPY-450 dan menapis radikal alkil. Aktiviti ini boleh menghalang sebarang tindak balas yang boleh mengakibatkan perubahan struktur DNA dan mutasi genetik. Selain itu, kandungan antioksidan yang tinggi dalam kurma juga dapat melindungi sel daripada tekanan oksidatif dan mengurangkan kejadian tumor sama ada bukan barah (benign) ataupun barah (malignant).

9. Memperbaiki Kulit Wajah

Terdapat pelbagai nutrien yang bermanfaat untuk kulit. Kebanyakan orang pada hari ini bergantung kepada produk kosmetik untuk menyembuhkan pelbagai masalah kulit yang dapat memberikan kelegaan cepat tetapi sebaliknya, menjadikan warna kulit tidak konsisten dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan bahan kimia berbahaya pada wajah juga boleh menyebabkan ruam dan penyakit kulit lain.

Oleh itu, kurma mempunyai khasiat alternatif yang sangat baik untuk bahan kimia yang boleh membahayakan kulit wajah. Kandungan vitamin C dan D yang tinggi dalam kurma memastikan kulit menjadi sihat, bersih dan bersinar. Vitamin C dan D juga berfungsi untuk meningkatkan keanjalan kulit yang sangat sukar dijaga seiring pertambahan usia. Nutrien yang terdapat dalam kurma juga membantu mencegah penuaan yang lebih cepat dan membantu anda kelihatan muda untuk jangka masa yang lebih lama.



10 .Mengurangkan Risiko Rabun Malam

Penyebab utama rabun malam ialah kekurangan vitamin A dalam jangka waktu yang panjang. Pengambilan kurma yang tinggi vitamin A secara berkala dapat mengelakkan terjadinya rabun malam. Pengambilan vitamin A atau retinol yang tidak mencukupi boleh menghalang pengeluaran rhodopsin, iaitu pigmen mata yang membolehkan penglihatan dalam keadaan cahaya malap dan pelarasan kepada perubahan dalam pencahayaan.

Penggunaan kurma sebagai salah satu rawatan rabun malam telah tercatat dalam sejarah negara-negara timur tengah sejak bertahun dahulu lagi. Kurma telah dianggaap sebagai ubat semula jadi tertua yang disyorkan untuk menyembuhkan masalah yang berlaku kerana kekurangan vitamin A dan juga untuk mengekalkan kesihatan mata yang baik.

Diharapkan artikel khasiat kurma ini memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca berkenaan khasiat dan kebaikan kurma pada kesihatan

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan:

  1. Ali, A., Waly, M., Essa, M., & Devarajan, S. (2012, January 1). Nutritional and Medicinal. Dates: Production, Processing, Food, and Medicinal Values, 50(26), 361-375. Retrieved from Researchgate
  2. Dates, medjool Nutrition Facts & Calories. (n.d.). Retrieved February 5, 2021, from Nutrition Data
  3. Elliott, B. (2018, May 18). 8 Proven Health Benefits of Dates. Retrieved February 4, 2021, from Healthline
  4. Kumar, P. (2019, February 12). 20 Health Benefits of Dates: Recipes and Types. Retrieved February 4, 2021, from Medlife
  5. Nagdeve, M. (2020, October 7). 12 Proven Health Benefits Of Dates. Retrieved February 4, 2021, from Organic Facts
  6. Sass, C. (2020, September 9). 7 Health Benefits of Dates, According to a Nutritionist. Retrieved February 4, 2021, from Health
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen − one =