Skip to content

10 Khasiat Kacang Tanah Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat kacang tanah pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat kacang tanah, kandungan nutrisi dan juga komponen sihat di dalamnya

Pengenalan

Kacang tanah atau nama saintifiknya Arachis hypogaea L. merupakan sejenis tanaman kekacang dari keluarga Fabaceae dan dikelaskan sebagai tumbuhan jenis kekacang. Tanaman ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan iaitu di sekitar kawasan Bolivia, Brazil dan Peru. Sejarah mencatatkan bahawa penanaman kacang tanah ini dimulakan oleh orang India di Amerika Selatan.

Di Malaysia, penanaman kacang tanah semakin berkurangan kerana penanaman ini kurang menarik perhatian para petabi. Hanya beberapa kawasan yang masih menanam kacang tanah seperti di Perak (Lembah Kinta dan Sungkai), Terengganu (Kawasan Ulu Terengganu), Johor (Tangkak dan Mersing) serta beberapa kawasan di Pahang. Hanya petani tradisional yang menanam kacang tanah dengan menggunakan jenis tempatan sahaja.



Tanaman kacang tanah mempunyai daun berbentuk ‘opposite pinnate’ dengan empat helai daun untuk setiap satu tangkai.  Bunganya yang berwarna kuning tumbuh dari pangkal rumpun dan ruas pada batang pokok. Selepas berlaku proses pendebungaan, bunga ini akan masuk ke dalam tanah untuk membentuk buah kacang yang mempunyai 3 hingga 4 biji kacang didalamnya.

Kacang tanah merupakan sejenis tanaman yang melakukan pendebungaan sendiri (self pollination). Proses pendebungaan yang berjaya akan menghasilkan buah kacang tanah yang banyak. Akar kacang tanah terdiri daripada jenis akar serabut yang panjangnya antara 10cm hingga 15cm.

Kacang tanah merupakan keperluan asas untuk memasak. Sebagai contoh, masakan kuah sate, kuah rojak dan kuah pecel dan tidak dilupakan juga, kacang tanah goreng yang melengkapkan lagi nasi lemak. Rempenyek yang merupakan kuih raya yang popular turut menggunakan kacang tanah sebagai komponen utama. Namun demikian, tahukah para pembaca bahawa kacang tanah ini juga mempunyai khasiat terhadap kesihatan?

Komponen Penting Dalam Kacang Tanah

1. Asid Fenolik

Kacang tanah serta bahagian kulitnya merupakan sebatian yang mengandungi asid fenolik. Pengambilan asid fenolik yang tinggi dapat melindungi daripada penyakit jantung dan kanser. Kajian menunjukkan bahawa kacang tanah dan produk bersumberkan kacang tanah mengandungi asid fenolik yang lebih tinggi daripada teh hijau, teh hitam dan kacang soya.          



2. Asid Amino

Arginin atau L-arginin merupakan asid amino yang diperlukan untuk memastikan organ seperti hati dan kulit, otot serta sendi dalam keadaan yang sihat. Organ hati yang berperanan untuk menyingkirkan bahan toksik dari badan memerlukan arginin untuk meneutralkan kesan ammonia dan bahan toksik yang lain.

Selain itu, arginin membantu untuk menguatkan sistem imunisasi badan, mengatur hormon dan paras gula serta meningkatkan tahap kesuburan lelaki. Satu kajian menunjukkan bahawa arginin digunakan untuk merawat penyakit AIDS, kanser serta penyakit lain yang berkaitan dengan sistem imunisasi yang terganggu.

Tambahan pula, terdapat kajian membuktikan bahawa asid amino menambah baik sistem peredaran darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Arginin yang merupakan asid amino membantu untuk memastikan saluran arteri dalam keadaan yang mengendur, meningkatkan pengaliran darah dan membantu dalam membaiki tisu dalam badan. Terdapat juga kajian menunjukkan bahawa arginin adalah salah satu nutrisi yang dikehendaki untuk melindungi sistem pencernaan.

3. Resveratrol

Di samping itu, resveratrol yang merupakan sebatian polifenol, merupakan sebatian yang larut lemak dan terhasil disebabkan oleh stress, jangkitan kulat ataupun sinaran UV. Resveratrol terkandung dalam bahagian akar dan kulit pokok kacang tanah serta tempurung kacang tanah.

Resveratrol yang merupakan antioksidan, melindungi diri daripada beberapa penyakit seperti kanser, sakit jantung, penyakit berkaitan dengan sistem saraf, penyakit Alzhemir, ketumbuhan tumur dan keradangan. Antioksidan ini melindungi daripada penyakit jantung seperti arteriosklerosis, bertindak sebagai agen dalam melawan kanser dengan menghalang penghasilan dan pertumbuhan sel kanser.

4. Fitosterol



Seterusnya, kacang tanah mengandungi fitosterol yang merupakan sebatian semulajadi yang terdapat pada bahagian membran sel tumbuhan. Fitosterol mempunyai struktur yang sama seperti kolesterol yang terhasil oleh badan. Fitosterol akan bersaing dengan kolesterol untuk diserap ke dalam tubuh badan melalui sistem pencernaan.

Ini dapat menghalang penyerapan kolesterol dan mengurangkan paras kolesterol dalam badan. Berdasarkan cadangan pemakanan yang sihat, pengambilan fitosterol dalam kuantiti yang disarankan mampu untuk menurunkan kolesterol sehingga 10% dan kolesterol jahat (LDL-kolesterol) sehingga 14%. Cadangan ini disokong oleh beberapa kajian yang menunjukkan pengambilan fitosterol dapat mencantikkan paras kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Nutrisi Dalam Kacang Tanah

Kacang tanah mempunyai protein, lemak dan serat sebagai komponen utama. Ketiga-tiga komponen ini memberikan impak yang positif kepada kesihatan kerana proteinnya merupakan dari sumber tumbuhan, lemaknya pula dikategorikan sebagai pilihan lemak yang sihat (lemak tidak tepu) dan serat yang merupakan karbohidrat kompleks. Rajah 1 menunjukkan kandungan nutrisi penting dalam kacang tanah.

 Nilai NutrisiPeratus daripada Pengambilan Harian Rujukan (RDA)
Tenaga567 kCal29
Karbohidrat16.13 g12
Protein25.80 g46
Lemak49.24 g165
Kolesterol0 mg0
Serat8.5 g22

Rajah 1: Kandungan Nutrisi Penting Dalam Kacang Tanah

Kacang tanah yang dikelaskan sebagai kekacang mengandungi protein yang lebih tinggi daripada kacang yang lain. Kacang tanah mempunyai 20 jenis asid amino dan arginin adalah protein utama terkandung dalam tanaman ini. Menurut Protein Digestibility Corrected Amino Acid Score (PDCAAS), yang merupakan salah satu cara untuk menilai kualiti protein berdasarkan keperluan asid amino terhadap manusia dan keupayaan untuk mencerna, menunjukkan bahawa protein kacang tanah mempunyai nutrisi sama seperti daging dan telur untuk pertumbuhan manusia dan kesihatan. Kandungan protein yang berasaskan tumbuhan ini memberikan komponen tambahan yang memberikan kebaikan kepada kesihatan seperti serat dan komponen bioaktif.       

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh para pengkaji di Amerika Syarikat, kacang tanah mempunyai 50% lemak tidak tepu, 33% ‘paraformaldehyde’ (PFAs) dan 14% lemak tepu. Kombinasi antara tiga jenis lemak ini memberikan perlindungan kepada jantung. Produk berasaskan kacang tanah memberikan lebih manfaat kepada kesihatan jantung berbandingan makanan yang rendah lemak. Kandungan lemak tidak tepu mengurangkan 11% kadar kolesterol dan 14% kolesterol jahat (LDL-kolesterol) manakala kolesterol baik (HDL-kolesterol) berperanan dalam mengurangkan kadar trigliserida. Selain itu, terdapat bukti yang kukuh menunjukkan bahawa lemak tidak tepu dalam kacang tanah mengurangkan risiko serangan sakit jantung. Terdapat juga kajian menunjukkan bahawa lemak dalam kacang tanah memberikan tenaga yang penting kepada kanak-kanak yang kurang berat badan.  

Kacang tanah mengandungi karbohidrat and semua makanan yang mengandungi karbohdirat akan meningkatkan paras gula dalam darah. Sebagai contoh, gula ringkas akan menyebabkan paras gula dalam darah meningkat secara mendadak, Namun demukian, kacang tanah dikelaskan sebagai makanan berkhasiat untuk penyakit kencing manis. Kacang tanah mempunyai indeks glisemik yang rendah kerana komponen utama adalah kanji dan sukrosa manakala komponen sampingan adalah gula penurun. Jadi, tidak hairanlah kacang tanah dilabelkan sebagai sumber serat yang bagus menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan.

Selain daripada nutrisi penting, kacang tanah juga mempunyai vitamin, elektrolit dan mineral yang turut menyumbang kepada kesejahteraan tubuh badan. Rajah 2 menunjukkan kandungan vitamin, elektrolit dan mineral dalam kacang tanah.



 Nilai NutrisiPeratus daripada Pengambilan Harian Rujukan (RDA)
Vitamin B1 (Tiamin)0.640 mg60
Vitamin B2 (Riboflavin)0.135 mg10
Vitamin B3 (Niasin)12.066 mg75
Vitamin B5 (Pantotenik Asid)1.767 mg35
Vitamin B6 (Piridoksin)0.348 mg27
Vitamin B9 (Folat)240 g60
Natrium18 mg1
Kalium705 mg15
Kalsium92 mg9
Zat Besi4.58 mg57
Magnesium168 mg42
Fosforus76 mg54
Zink3.27 mg30

Rajah 2: Kandungan Vitamin, Elektrolit dan Mineral dalam Kacang Tanah

Berdasarkan Rajah 2 diatas, kacang tanah merupakan sumber terbaik untuk Vitamin B3 iaitu niasin, yang penting untuk sistem penghadaman, bahagian kulit, sistem saraf, membantu dalam proses menukarkan makanan kepada tenaga serta melindungi daripada penyakit degeneratif seperti penyakit Alzheimer. Seterusnya, kacang tanah mengandungi Vitamin B9 iaitu folat yang diperlukan untuk wanita yang mengandung dan janin dalam kandungan dalam penghasilan sel-sel badan. Kacang tanah juga dilabelkan sebagai sumber vitamin E yang bagus dan mampu untuk mengurangkan risiko penyakit sakit jantung.

Selain daripada vitamin, kandungan mineral dalam kacang tanah seperti kalsium, zat besi, magnesium, fosforus dan zink membantu dalam mengurangkan keradangan, mengurangkan risiko kencing manis dan juga penyakit berkaitan dengan sindrom metabolik.

10 Khasiat Kacang Tanah Kepada Kesihatan

1. Anti Keradangan

Keradangan merupakan mekanisme dimana sel darah putih akan melindungi badan daripada jangkitan seperti bakteria dan virus. Namun demikian, keradangan boleh menyebabkan penyakit seperti sakit jantung, kanser dan penyakit kronik yang lain. Apabila berlakunya keradangan, sejenis protein iaitu C-reactive protein akan hadir di dalam darah. CRP merupakan sejenis protein pada fasa akut yang paling sensitif kepada keradangan.

Kacang tanah mengandungi asid linoleik, magnesium dan indeks glisemik yang rendah. Asid linoleik berupaya untuk mengurangkan keradangan dan dilabel sebagai anti keradangan manakala magnesium akan menguatkan sistem imunisasi tubuh badan. Indeks glisemik yang rendah akan menghalang pankreas dari merembeskan insulin dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana insulin yang berlebihan akan menyebabkan berlakunya keradangan. Oleh itu, salah satu khasiat kacang tanah adalah ia bersifat anti-keradangan

2. Mengawal Penyakit Kencing Manis

Untuk pesakit kencing manis, satu kajian yang melibatkan golongan ini perlu mengambil kira indeks glisemik dalam makanan. Indeks glisemik menunjukkan betapa cepatnya badan kita menukarkan karbohidrat kepada glukos ataupun gula ringkas.



Indeks glisemik menggunakan skala 100 untuk menilai dan mengklasifikasikan makanan tersebut sama ada tinggi, sederhana ataupun rendah. Makanan yang menunjukkan skala yang lebih tinggi bermaksud indeks glisemik tinggi. Kacang tanah dikategorikan sebagai makanan rendah indeks glisemik.

Kacang tanah membantu untuk menghalang penghasilan insulin yang berlebihan kerana makanan itu perlahan-lahan akan ditukarkan kepada gula ringkas. Selain itu, kacang tanah mengandungi magnesium yang tinggi dan ini penting untuk metabolisme glukosa dan kepekaan insulin. Kekurangan magnesium menyebabkan rintangan insulin, iaitu ketidakupayaan badan untuk merembeskan insulin.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Kecing Manis dan Rawatan

3. Melindungi Daripada Penyakit Sakit Jantung

Kajian dilakukan terhadap 151 peserta menunjukkan bahawa pengambilan kacang tanah setiap hati (42g sehari) mengurangkan tekanan darah, kolesterol dalam darah dan trigliserida. Para peserta ini merupakan pesakit yang terdedah kepada risiko sakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Daripada kajian ini, keputusan menunjukkan terdapat pengurangan dari aspek tekanan darah diastolik, kolesterol dan trigliserida. Kajian lain membuktikan bahawa pengambilan kacang tanah mengurangkan risiko penyakit sakit jantung sebanyak 13% hingga19% dan kegagalan organ hati untuk berfungsi sebanyak 15% hingga 23%.

Artikel Berkaitan:

4. Menghalang Penyakit Neurodegeneratif



Kacang tanah mengandungi Vitamin B3(niasin) dan Vitamin E yang tinggi. Kedua-dua vitamin ini berupaya untuk menghalang daripada penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer, Parkinson dan Huntington serta penyakit yang disebabkan oleh penyusutan kognitif yang berkaitan dengan usia.

Kacang tanah menjadi antara lima makanan pilihan terbaik kerana berjaya mengurangkan risiko penyakit Alzheimer sehingga 70%. Terdapat kajian yang melibatkan 4000 ribu sukarelawan yang berusia 65 tahun dan keatas, menunjukkan bahasa Vitamin B3(niasin) berjaya mengurangkan penyusutan kognitif.

Resveratrol juga mampu menghalang penyakit Alzheimer dan penyakit yang berkaitan dengan neurodegeneratif yang lain. Resveratrol menghalang pembentukan radikal bebas oksigen dengan menghalang gene pro-oksidatif serta mengurangkan aktiviti enzim yang terlibat dalam penghasilan tekanan oksidatif.

5. Menghalang Penyakit Kanser

Kacang tanah berupaya dalam menghalang penyakit kanser kerana kandungan lemak tidak tepu, vitamin dan mineral serta komponen bioaktif yang terdapat dalam bahagian isinya. Kajian menunjukkan bahawa fitosterol yang terkandung dalam kacang tanah berjaya membantutkan pertumbuhan sel kanser prostat sebanyak 40% dan menghalang sel kanser tersebut daripada merebak ke organ-organ yang lain sebanyak 50%. Selain daripada fitosterol, resveratrol juga mampu untuk menghentikan bekalan darah kepada sel kanser dan menghalang pertumbuhan sel kanser

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Kanser Prostat dan Rawatan

6. Mengurangkan Risiko Penyakit Batu Hempedu

Penyakit batu empedu merupakan antara penyakit yang biasa dihadapi oleh golongan lelaki. Satu kajian yang mengkaji hubungan antara pengambilan kacang tanah dalam mengurangkan risiko penyakit batu empedu dalam golongan lelaki telah dijalankan.



Berdasarkan kajian tersebut, kumpulan lelaki yang mengambil kacang tanah lima kali atau lebih dalam seminggu mempunyai risiko 30% lebih rendah. Ini kerana kacang tanah mengandungi lemak tidak tepu yang mengawal kolesterol dalam darah dan menghalang terbentuknya batu hempedu.

Paras kolesterol yang tinggi akan menyebabkan saluran darah tersumbat dan menghasilkan batu pada pundi hempedu. Batu empedu menghalang rembesan cecair hempedu iaitu cecair yang berwarna kuning atau hijau yang dihasilkan oleh organ hati dan penting untuk proses pencernaan. Ini akan menyebabkan sakit pada bahagian hempedu.

Artikel Berkaitan:

7. Menghilangkan Disfungsi Ereksi

Kacang tanah mengandungi arginin, iaitu sejenis asid amino yang diperlukan bagi lelaki. Arginin berfungsi untuk menjaga dan memulihkan potensi, serta memastikan bekalan darah ke alat kelamin mencukupi. Arginin sering menjadi sebahagian daripada ubat-ubatan dan makanan tambahan yang digunakan untuk merawat disfungsi ereksi.

Terdapat kajian yang melibatkan 119 lelaki berusia 18 dan 35 tahun, yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan makan 60 gram kacang tanah setiap hari sebagai makanan tambahan manakala kumpulan kedua tidak mengambilnya.

Selepas 14 minggu, kumpulan kacang mencatat perkembangan ketara dalam jumlah sperma, daya hidup, pergerakan dan bentuk. Selain itu, subjek dalam kelompok mengambil kacang tanah juga menunjukkan pengurangan ketara paras perpecahan DNA sperma, parameter yang dikaitkan dengan ketidaksuburan lelaki.

Artikel Berkaitan:



8. Menghalang Daripada Kekurangan Zat Makanan

Susu kacang tanah bukanlah satu produk yang popular namun acap kali digunakan untuk kes-kes kecemasan dan kekurangan zat makanan. Plimpy-nut, iaitu produk yang berasaskan kacang tanah telah diformulasi untuk memperbaiki masalah kekurangan zat makanan di negara Afrika.

Ianya adalah makanan teraputik yang sedia untuk diminum yang mengandungi kacang tanah yang dibakar dengan penambahan minyak sayuran, susu tepung, vitamin, mineral dan gula. Kacang tanah menjadi asas kepada formulasi tersebut kerana mengandungi kandungan lemak yang seimbang, asid amino penting, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk pertumbuhan kanak-kanak.

9. Memberikan Rasa Kenyang Lebih Lama

Untuk para pembaca ingin mengawal cara pemakanan, tahukah anda bahawa kacang tanah dan mentega kacang memberikan rasa kenyang yang lebih lama dan berasa puas selepas makan berbanding snek karbohidrat yang lain untuk saiz hidangan yang sama. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan kacang tanah mengurangkan selera makan kerana kesan rasa kenyang yang lebih lama. Terdapat bukti menerangkan bahawa lemak tidak tepu yang diklasifikasikan sebagai lemak yang sihat merangsang hormon yang membantu untuk berapa puas apabila makan.

10. Mengawal Berat Badan

Menariknya kacang tanah ini adalah ia tidak akan menyebabkan kenaikkan berat badan. Kajian yang berkait dengan penurunan berat badan menunjukkan bahawa pemakanan yang terdiri daripada kacang tanah, mentega kacang dan minyak kacang tanah menerima penerimaan yang baik daripada semua golongan umur dan melindungi daripada kenaikan berat badan pada tempoh masa yang panjang.

Selain itu, kajian lain memberikan keputusan bahawa kanak-kanak yang mengamalkan pengambilan kacang tanah dalam diet seharian berjaya menurunkan berat badan berbanding kumpulan yang dimalarkan. Satu lagi kajian membuktikan bahawa kacang tanah mampu menurunkan berat badan kerana berupaya untuk mengurangkan paras kolesterol  keseluruhan dan juga kolesterol jahat (LDL-kolesterol).

Kesimpulan

Berdasarkan hujah dan kajian, terbuktilah bahawa kacang tanah merupakan sumber nutrisi yang terbaik dan mempunyai pelbagai khasiat. Diharapkan semoga lebih banyak penghasilan produk berasaskan kacang tanah di pasaran agar khasiat yang terkandung dalam kacang tanah dapat dimanfaatkan.

Namun demikian, sekiranya para pembaca menghidap sebarang penyakit terutamanya penyakit kronik, pengambilan kacang tanah sahaja dalam pemakanan dan memberhentikan pengambilan ubat-ubatan sangat tidak digalakkan. Para pembaca perlu mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sekiranya ingin mengambil sebarang produk atau makanan tambahan berasaskan kacang tanah.

Diharapkan artikel khasiat kacang tanah ini dapat memberikan maklumat yang berguna kepada para pembaca.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan:

  1. Arya, S.S., Salve, A.R., & Chauhan, S. (2016). Peanuts as functional food: a review. Journal Food Science Technology, 53(1), 31-41.
  2. Tsai, C.J., Leitzmann, M., Hu, F.B., Willett, W.C., & Giovannucci, E.L. (2004). A prospective cohortsStudy of nut consumption and the risk of gallstone disease in men. American Journal of Epidemiology, 160(10).
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − twelve =