Skip to content

10 Khasiat Durian Yang Anda Perlu Tahu

Digelar sebagai raja buah dan menjadi kesukaan ramai, buah durian kaya dengan pelbagai nutrisi dan mengandungi banyak khasiat dan kebaikan. Artikel ini akan mengupas dengan terperinci 10 khasiat durian kepada kesihatan.

Pengenalan

Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus ialah buah tropika yang tumbuh secara bermusim. Terdapat lebih 27 spesies buah durian yang diiktiraf di dunia dan hanya 9 spesies yang selamat dimakan. Durian berasal dari Asia Tenggara dan tumbuh di negara-negara seperti Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia dan Thailand.

Di Malaysia, terdapat 13 varieti Durio zibethinus yang popular seperti D24, D99 (Kop kecil), D175 (Udang merah) dan juga D197 (Musang king). Raja buah ini unik kerana mempunyai kulit yang keras dan berduri serta isi berwarna kekuningan yang mengeluarkan bau yang tersendiri. Selain dimakan begitu sahaja, durian juga digunakan dalam pelbagai masakan dan manisan. Antara hidangan popular yang diperbuat dengan buah durian adalah tempoyak, pulut durian, ais krim durian, krep durian dan juga bubur durian.

Kandungan Nutrisi



Durian merupakan salah satu buah dengan kandungan nutrisi tertinggi. Ia kaya dengan pelbagai nutrisi seperti serat, kalium, fosforus, kalsium, zat besi dan vitamin C. Berdasarkan data dari Komposisi Zat dalam Makanan Malaysia, setiap 100g buah durian mengandungi:

NutrisiJumlah
Tenaga153 kcal
Karbohidrat27.9 g
Protein2.7 g
Lemak3.4 g
Serat0.9 g
Kalium70 mg
Fosforus44 mg
Kalsium40 mg
Sodium40 mg
Zat besi1.9 mg
Vitamin C23.3

Sebiji durian dengan berat 1 kg mempunyai kalori hampir 1400 kcal menyumbang kepada 70% keperluan diet 2000 kcal bagi seorang dewasa. Oleh itu, durian dikategorikan sebagai makanan berkalori tinggi. Pengambilan buah durian secara berlebihan boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan meningkatkan kadar gula dalam darah.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen berkhasiat dalam durian

1. Flavonoid

Flavonoid adalah kumpulan fitonutrien (nutrient yang dihasilkan oleh tumbuhan) terbesar yang terdapat di dalam hampir semua tumbuhan. Antara kandungan flavonoid tertinggi dalam durian adalah:

FlavonoidFungsi
HesperitinMemastikan kesihatan pembuluh darah
QuercetinAntiradang, mengawal kadar gula dalam darah, mencegah kanser dan penyakit  jantung
KaempferolMengurangkan risiko penyakit kronik termasuk kanser
LuteolinMeningkatkan sistem imun badan dan mencegah kanser
ApignenMengawal tekanan darah dan mencegah kanser

2. Asid Fenol



Asid fenol juga adalah salah satu kumpulan fitonutrien yang terdapat dalam tumbuhan. Durian mengandungi kandungan asid fenol yang tinggi. Kajian menunjukkan asid fenol berfungsi sebagai antiradang, anti kanser dan anti virus yang menguatkan sistem imun badan.

3. Karatenoid

Karotenoid adalah pigmen tumbuhan yang menghasilkan warna kuning, oren dan merah kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Pigmen inilah yang membentuk warna durian menjadi kuning atau oren. Karotenoid bersifat antioksida dan mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan. Antara karotenoid dalam buah durian adalah:

KarotenoidFungsi
LycopeneMelindungi dari penyakit jantung dan kanser
LuteinMemelihara kasihatan mata
Beta-karotenaMemelihara kesihatan mata
Alfa-karotenaMencegah kanser, melindungi dari penyakit jantung dan memelihara kesihatan tulang dan mata
ZeaxanthinMemelihara kasihatan mata

10 Khasiat Durian Pada Kesihatan

1. Mencegah kanser

Makanan yang tinggi dengan antioksida dikenali dengan ciri-ciri anti kanser. Buah durian tinggi dengan vitamin, polifenol dan flavonoid yang berfungsi sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas yang mampu merosakkan sel sihat dan menukarkannya menjadi sel kanser.

Satu kajian in vitro (ke atas sel dalam piring petri) menunjukkan durian mempunyai sifat anti-kanser yang boleh menghalang pembiakan sel kanser payudara sebanyak 40%. Namun lebih banyak lagi kajian diperlukan untuk menunjukkan keberkesanan durian dalam mencegah kanser.

Artikel Berkaitan: Punca masalah Kanser Payudara

2. Melindungi jantung



Bertentangan dengan kepercayaan popular, pengambilan durian sebenarnya tidak akan menyebabkan kenaikan kolesterol. Malahan, kajian ke atas haiwan menunjukkan pengambilan durian menurunkan kadar kolesterol total dan kolesterol LDL secara signifikan. Ini kerana buah durian mengandungi lemak mono tidak tepu yang sihat untuk jantung.

Selain itu, kandungan antioksida yang tinggi dalam durian boleh menghalang pengoksidaan kolesterol yang mampu menyebabkan penyumbatan arteri.

Artikel Berkaitan:

3. Mencegah penyakit diabetes

Satu kajian yang membandingkan indeks glisemik buah-buahan tempatan menunjukkan durian mempunyai indeks glisemik yang terendah iaitu 49. Indeks glisemik (IG) berfungsi mengukur berapa cepat sesuatu makanan meningkatkan paras gula dalam darah selepas ia dimakan. Berdasarkan kajian tersebut, buah nenas mempunyai IG yang tertinggi (IG = 90), diikuti dengan buah betik (IG = 58) dan tembikai (IG = 55). Nilai IG durian yang rendah mungkin disebabkan oleh kandungan serat dan lemak buah durian yang melambatkan penyerapan gula ke dalam darah.

Selain itu, kajian mendapati kadar kalium yang rendah dalam darah mampu meningkatkan risiko penyakit diabetes. Oleh itu, pengambilan buah yang kaya dengan kalium seperti durian boleh membantu mengurangkan risiko penyakit diabetes. Namun, oleh kerana durian termasuk dalam buah yang mengandungi kalori dan karbohidrat yang tinggi, pesakit diabetes haruslah berhati-hati dengan kadar pengambilan buah ini.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis

4. Mengawal tekanan darah



Buah durian yang kaya dengan kalium juga boleh mengawal tekanan darah tinggi. Kalium merupakan salah satu mineral penting yang bukan sahaja boleh mengawal tekanan darah tetapi juga menstabilkan debaran jantung. Namun kajian menunjukkan pengambilan durian secara berlebihan ke atas tikus yang berpenyakit darah tinggi menyebabkan peningkatan tekanan darah secara signifikan. Adapun hasil pengambilan durian secara sederhana adalah selamat untuk tikus tersebut, malah ada yang menunjukkan penurunan tekanan darah.

Artikel Berkaitan: Punca kepada masalah Darah Tinggi

5. Mencegah anemia

Salah satu khasiat durian adalah ia boleh mencegah anemia. Folat dan zat besi penting dalam pembentukan sel darah merah. Anemia atau kekurangan sel darah merah boleh menyebabkan keletihan, pening kepala, insomnia dan juga kecatatan janin kepada ibu yang mengandung. Kandungan folat dan zat besi yang tinggi di dalam durian menjadikan ia makanan yang baik untuk mencegah anemia dan memastikan kandungan yang sihat.

Artikel Berkaitan: Apa yang anda perlu tahu tentang anemia?

6. Membantu sistem penghadaman

Durian merupakan sumber serat tidak larut yang baik. Serat penting untuk menjaga sistem penghadaman yang sihat. Pengambilan durian boleh membantu melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan daripada sembelit.

7. Mengatasi Insomnia



Buah durian mengandungi asid amino tryptophan yang boleh membantu mendorong tidur secara semula jadi. Tryptophan penting untuk mengeluarkan hormon melatonin yang berfungsi mengawal kitaran tidur. Mengambil seulas durian hampir dengan waktu tidur boleh menghasilkan rasa mengantuk dan tidur yang lebih baik.

Artikel Berkaitan: Apa punca anda mengalami masalah susah tidur malam?

8. Menghindari kemurungan

Asid amino tryptophan dalam durian juga berfungsi untuk mengeluarkan hormon serotonin. Serotonin adalah sejenis hormon yang berperanan untuk meningkatkan emosi seseorang. Ia penting untuk menghilangkan tekanan, kegelisahan, kemurungan, mengawal selera makan dan juga untuk meningkatkan keyakinan diri.

Artikel Berkaitan: Tanda anda mengalami kemurungan

9. Menguatkan tulang

Durian mengandungi beberapa mineral yang penting dalam memelihara kesihatan tulang dan gigi seperti kalsium dan kalium. Walaupun kandungan kalsium dalam durian tidak setinggi makanan lain, kalium di dalam durian memenuhi 9% keperluan kalium sehari. Kalium berfungsi untuk meningkatkan penyerapan kalsium pada tulang dan memastikan kepadatan tulang. Oleh itu, pengambilan kalium yang mencukupi boleh menghalang daripada osteoporosis atau kerapuhan tulang.

Artikel Berkaitan: Apa yang anda perlu tahu tentang osteoporosis?



10. Anti penuaan

Disampingan itu, durian juga mempunyai khasiat untuk menjadi agen anti penuaan. Kandungan antioksida yang tinggi dalam durian boleh menghalang pembentukan radikal bebas yang sering dikaitkan sebagai faktor penuaan pramatang. Oleh itu, pemakanan yang kaya dengan antioksida boleh mengurangkan kedutan pramatang, tompokan penuaan, keguguran rambut dan juga kehilangan gigi. Tambahan itu, durian juga mengandungi kandungan air yang tinggi. Pengambilan air yang mencukupi akan memastikan kulit sentiasa terhidrat dan mengurangkan penampilan garis-garis halus.

Kesimpulan

Akhir sekali, jelaslah bahawa durian adalah buah yang tinggi nutrisi dan memberi banyak kebaikan. Namun kepada penggemar buah ini, sebaiknya makanlah secara sederhana dan tidak berlebihan. Satu hidangan buah durian bersamaan dengan 2 hingga 3 ulas durian. Berdasarkan pyramid makanan Malaysia yang menyarankan 2 hidangan buah sehari, maka seseorang itu boleh mengambil empat hingga enam ulas durian sehari.

Jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, penyakit buah pinggang dan sebagainya, anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Diharapkan artikel khasiat durian ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca.

Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan

  1. A Aziz, N. A., & Mhd Jalil, A. M. (2019). Bioactive Compounds, Nutritional Value, and Potential Health Benefits of Indigenous Durian (Durio Zibethinus Murr.): A Review. Foods, 8(3), 96.
  2. Jasamai, M., Samsudin, N. H., Azmi, N., & Kumolosasi, E. (2018). Effects of Durian Fruit on Blood Pressure of Spontaneously Hypertensive Rats. Sains Malaysiana, 47(6), 1221–1226.
  3. Leontowicz, H., Leontowicz, M., Jesion, I., Bielecki, W., Poovarodom, S., Vearasilp, S., González-Aguilar, G., Robles-Sánchez, M., Trakhtenberg, S., & Gorinstein, S. (2011). Positive effects of durian fruit at different stages of ripening on the hearts and livers of rats fed diets high in cholesterol. European Journal of Integrative Medicine, 3(3), e169–e181.
  4. Soegeng-Reksodihardjo, W. (1962). The Species of Durio with Edible Fruits. Economic Botany, 16(4), 270–282.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + seven =