Permakanan

10 Khasiat Buah Kiwi Yang Anda Perlu Tahu

khasiat buah kiwi

Apakah khasiat buah kiwi kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan apakah khasiat buah kiwi, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalamnya.

Pengenalan

Mesti ramai yang pernah menikmati buah yang berwarna coklat ni kan? Kiwi merupakan buah yang sangat sinonim untuk dikaitkan dengan negara New Zealand, namun tahukah anda, buah kiwi sebenarnya berasal dari China? Buah kiwi, atau pernah juga dikenali sebagai Chinese gooseberry, mula ditanam di New Zealand pada tahun 1904, dan dinamakan sebagai Kiwi pada tahun 1959, dinisbahkan kepada burung negara New Zealand iaitu Kiwi, kerana warna dan ciri-ciri kulitnya.


Walaupun kulit buah kiwi kelihatan berbulu, namun, keseluruhan buah kiwi sebenarnya boleh dimakan, sama ada dihidangkan sebagai pencuci mulut, dijadikan jem, mahupun dinikmati begitu sahaja. Buah kiwi popular kerana memiliki khasiat yang sangat baik untuk kesihatan tubuh badan.

Kandungan Nutrisi

Satu biji buah kiwi bersaiz sederhana mempunyai berat sebanyak 69 gram. Buah kiwi menyumbangkan sebanyak 42 kalori dengan karbohidrat 10.1 gram, 6.2 gram daripadanya adalah gula ringkas. Selain itu, sebiji kiwi juga mengandungi kira-kira 2.1 gram serat serta kaya dengan vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan seperti vitamin C, E, potassium, kalsium dan magnesium.

Kandungan Berkhasiat dalam Kiwi

Buah kiwi mengandungi pelbagai komponen yang memberikan kesan baik serta bermanfaat untuk kesihatan. Selain daripada vitamin C dan E yang bertindak sebagai antioksida, buah kiwi juga mengandungi enzim aktinidin yang baik untuk penghadaman protein.

Selain itu, lutein dan zeaxanthin juga terdapat di dalam kiwi yang baik untuk kesihatan mata. Buah kiwi juga mengandungi kiwellin dan kissper, sejenis protein yang baik sebagai anti-keradangan serta beberapa komponen lain seperti tocopherol, dan serotonin yang memiliki khasiat-khasiat tersendiri. Artikel ini seterusnya akan membincangkan khasiat-khasiat yang boleh didapati daripada kiwi untuk kesihatan.

10 Khasiat Kiwi Kepada Kesihatan

1. Baik untuk Asma

Asma merupakan suatu keadaan yang disebabkan oleh penyempitan saluran pernafasan oleh seseorang individu. Walaupun ada sesetengah keadaan asma adalah tidak membahayakan, namun asma yang teruk boleh menyebabkan kematian. Kajian mendapati pengambilan buah kiwi yang mengandungi vitamin C dan antioksida yang lain mampu mengubati individu yang menghidapi asma dengan memperbaiki fungsi paru-paru serta mengurangkan nafas berbunyi (wheezing) pada kanak-kanak.

Artikel Berkaitan: Punca dan rawatan Asma

2. Membantu pencernaan

Sistem pencernaan yang baik adalah penting bagi memastikan badan mendapat khasiat daripada pemakanan. Jika makanan yang diambil tidak dicernakan dengan baik, badan akan kekurangan zat serta berisiko untuk mendapat penyakit. Buah kiwi mengandungi kompoun aktinidin, sejenis enjim proteolitik yang berfungsi untuk membantu penghadaman protein dalam badan. Justeru, pengambilan buah kiwi dilihat sangat baik bagi seseorang individu untuk mendapatkan sistem pencernaan dan penghadaman yang sihat.

3. Meningkatkan sistem imun badan

Tubuh badan kita mempunyai sistem pertahanan yang tersendiri, berfungsi memelihara diri daripada penyakit. Sistem ini dikenali sebagai sistem imun badan. Tanpa sistem imun yang baik, seseorang individu akan mudah dijangkiti penyakit dan kesihatannya akan merosot.

Buah kiwi adalah kaya dengan nutrien dan memiliki kandungan vitamin C yang tinggi, berfungsi untuk meningkatkan sistem imun badan serta mengurangkan risiko seseorang individu daripada dijangkiti penyakit. Justeru, pengambilan buah kiwi dalam diet seharian dilihat mampu memberikan manfaat kepada sistem imun badan seseorang individu.

4. Membantu mengawal tekanan darah

Tekanan darah yang tinggi oleh seseorang individu akan menyebabkan risiko kepada beberapa masalah kesihatan lain seperti strok dan juga serangan jantung. Tekanan darah yang tinggi ini terjadi disebabkan beberapa faktor, antaranya pemakanan yang tidak sihat yang mengandungi garam (sodium) yang tinggi serta keradangan pada salur darah. Menurut kajian, buah kiwi memiliki komponen bioaktif yang mampu menurunkan tekanan darah seterusnya menurunkan risiko seseorang individu mendapat strok, serangan jantung dan sebagainya.

5. Mengurangkan pembekuan darah

Darah bertindak sebagai sistem pengangkutan dalam tubuh badan. Oksigen, gula dan beberapa lagi komponen lain disalurkan kepada organ-organ dalam badan melalui salur darah. Namun, andai terdapat penyumbatan pada salur darah, masalah kesihatan lain seperti strok dan serangan jantung akan berlaku.

Menurut kajian, buah kiwi mampu bertindak mengurangkan pembekuan darah seterusnya memastikan pengaliran darah yang baik. Buah kiwi juga didapati mempunyai kesan seakan-akan aspirin, iaitu sejenis ubat pencair darah, yang mampu meningkatkan kesihatan jantung.

6. Memelihara daripada kebutaan

Salah satu penyakit yang berkaitan dengan mata, dikenali sebagai degenerasi makula yang berkaitan dengan peningkatan umur (age-related macular degeneration), berpunca daripada kerosakan pada kawasan pusat di retina mata. Penyakit ini seterusnya boleh menyebabkan kebutaan bagi individu yang mengalaminya. Lutein dan zeaxanthin yang terdapat dalam buah kiwi didapati mampu mengurangkan degenerasi pada makula mata secara tidak langsung memelihara mata daripada kebutaan.

Artikel berkaitan: Apakah punca kepada masalah Buta Mata?

7. Baik untuk kesihatan jantung

Jantung merupakan salah satu organ utama yang memainkan peranan penting dalam tubuh badan. Justeru, kesihatan jantung adalah sangat perlu dititikberatkan untuk kehidupan yang berkualiti. Buah kiwi memberi kesan baik untuk kesihatan jantung, kerana memiliki sumber serat yang baik serta mampu mengurangkan “kolesterol jahat” (LDL cholesterol) di dalam salur darah. Hal ini kerana paras kolesterol jahat yang tinggi akan menyebabkan arteri, iaitu salur darah dalam badan menjadi keras, seterusnya menyebabkan artherosclerosis.

Artikel Bekaitan: Tanda tanda anda mengalami sakit jantung

8. Baik untuk kesihatan kulit

Kulit merupakan organ perlindungan pertama untuk tubuh badan, kerana kulit bertindak sebagai benteng pertahanan yang memelihara tubuh badan daripada bakteria, kuman, bahan kimia dan sebagainya. Justeru kesihatan kulit amat penting bagi memastikan perlindungan badan kita berada pada tahap yang baik.

Buah kiwi mengandungi vitamin C, yang membantu dalam penghasilan kolagen, suatu komponen utama yang diperlukan untuk kesihatan sel dan organ dalam tubuh badan termasuklah kulit. Vitamin C yang terdapat dalam buah kiwi juga mampu membantu mempercepatkan penyembuhan luka. Selain itu, buah kiwi juga mengandungi tocopherol, salah satu antioksida yang memelihara kulit daripada kerosakan yang berpunca daripada matahari serta menghalang daripada pelbagai masalah kulit yang lain.

9. Tidur yang berkualiti

Setiap individu memerlukan tidur yang mencukupi dan berkualiti. Hal ini bagi memastikan proses biologi dalam badan dapat berfungsi dengan baik. Kajian mendapati, buah kiwi mampu meningkatkan kualiti tidur seseorang individu, dipercayai kerana kandungan antioksida dan serotonin yang terdapat di dalamnya.

Artikel Berkaitan: Punca kepada masalah Susah Tidur

10. Berfungsi sebagai anti-keradangan

Keradangan merupakan salah satu proses semulajadi yang berlaku didalam tubuh badan. Ia merupakan suatu mekanisme pertahanan badan yang memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan. Namun begitu, keradangan untuk tempoh masa yang lama, atau dikenali juga sebagai keradangan kronik, akan menyebabkan penyakit-penyakit lain seperti artritis, sakit jantung dan banyak lagi.

Kajian makmal mendapati kiwellin dan kissper, salah satu komponen yang terdapat di dalam buah kiwi berfungsi sebagai anti-keradangan. Namun, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi mengenalpasti kesan sampingan serta dos yang sesuai untuk diambil bagi kesihatan tubuh badan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, buah kiwi dilihat memiliki khasiat yang sangat banyak dan baik untuk kesihatan tubuh badan. Namun, untuk pengetahuan anda, buah kiwi juga mampu memberi kesan alergi kepada sesetengah orang yang memakannya. Perhatikan kesan-kesan seperti kegatalan di kawasan lidah, bibir dan juga mulut, ataupun terdapat ruam-ruam di kulit selepas memakan buah kiwi. Dapatkan nasihat daripada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom tersebut. Amalkan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat bagi memelihara kesihatan tubuh badan dan menghindarkan diri daripada apa jua jenis penyakit.

Rujukan:

  1. Gotter A. (2018). 7 Health benefits of Kiwi. Retrieved from Healthline
  2. Higuera V. (2021). Macular Degeneration. Retrieved from Healthline
  3. MayoClinic (2020). Asthma. Retrived from Mayoclinic
  4. Ware M. (2019). What are the health benefits of kiwifruit? Retrieved from Medical News Today
  5. WebMD (2020). Health Benefits of Kiwi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *