Khasiat Buah Anggur (Vitis vinifera): Resveratrol, Polifenol & Kesihatan
Panduan perubatan komprehensif mengenai khasiat buah anggur (Vitis vinifera), sebatian Resveratrol anti-diabetic, flavonoid Proanthocyanidins pelindung jantung, ekstrak minyak biji anggur hidrasi kulit, serta penyokong kognitif otak.
Pada abad yang ke-14 negara-negara yang beriklim empat musim telah dipopularkan dengan sejenis buah berjus yang mempunyai kulit yang lembut dari warna hijau, merah sehingga ungu. Buah tersebut lazimnya dimakan secara segar ataupun kering, bahkan melalui proses penapaian untuk menghasilkan “wine”.
Vitis Vinifera ataupun lebih dikenali sebagai buah anggur adalah merupakan tumbuhan yang menjalar yang tumbuh di kawasan yang mempunyai iklim subtropika, Mediterranean dan juga di benua-benua yang mengalami iklim yang ekstrim. Disebabkan anggur adalah buah-buahan yang hidup di pelbagai jenis tempat, maka kajian telah menemukan 20 jenis spesis buah anggur dari serata dunia.
Ringkasan Pantas
- ✓ Nutrisi Tinggi: Setiap 100g anggur membekalkan 16.3g karbohidrat (setara sekeping roti / sesenduk nasi), 118mg Kalium, & 21mg Kalsium.
- ✓ Polifenol & Resveratrol: Anggur hitam/merah kaya polifenol penumpas radikal bebas kerosakan DNA sel.
- ✓ 10 Manfaat Perubatan: Kesan anti-diabetic (setanding *tolbutamide*), cegah aterosklerosis Sakit Jantung & Strok.
- ✓ Syor Hidangan: 8 biji anggur (90-100g) membekalkan 1 hidangan buah berasaskan Garis Panduan Pemakanan Malaysia.
1. Pengenalan
Pada abad yang ke-14 negara-negara yang beriklim empat musim telah dipopularkan dengan sejenis buah berjus yang mempunyai kulit yang lembut dari warna hijau, merah sehingga ungu. Buah tersebut lazimnya dimakan secara segar ataupun kering, bahkan melalui proses penapaian untuk menghasilkan “wine”.
Vitis Vinifera ataupun lebih dikenali sebagai buah anggur adalah merupakan tumbuhan yang menjalar yang tumbuh di kawasan yang mempunyai iklim subtropika, Mediterranean dan juga di benua-benua yang mengalami iklim yang ekstrim. Disebabkan anggur adalah buah-buahan yang hidup di pelbagai jenis tempat, maka kajian telah menemukan 20 jenis spesis buah anggur dari serata dunia.
2. Kandungan Nutrisi Buah Anggur
Tidak dapat dinafikan lagi buah-buahan sememangnya akan memberikan kombinasi rasa manis, masam ataupun pahit kepada si pemakannya. Menariknya, rasa manis yang terdapat pada buah-buahan datangnya daripada sumber karbohidrat. Oleh yang demikian, pengambilan buah-buahan dalam pemakanan harian turut menyumbang kepada sumber tenaga yang penting. Jadual dibawah menunjukkan kandungan sumber karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan juga mineral bagi 100g buah anggur:
| Nutriens Utama | Kandungan Kuantiti (Setiap 100g) | Peranan Fisiologi & Manfaat |
|---|---|---|
| Karbohidrat | 16.3 gram | Setara sesenduk nasi / sekeping roti. Pembekal tenaga sel. |
| Protein & Lemak | 0.8 gram & 0.0 gram | Bebas lemak tepu & rendah natrium semula jadi. |
| Kalium & Natrium | 118.0 mg & 9.0 mg | Mengawal keterujaan otot & imbangan tekanan darah. |
| Kalsium & Zat Besi | 21.0 mg & 0.5 mg | Pembentukan matriks tulang & pembentukan hemoglobin. |
| Vitamin C & Beta-Karotin | 7.6 mg & 28.0 µg | Antioksidan penumpas radikal bebas kerosakan DNA. |
| Vitamin B (B1, B2, B3) | 0.05mg, 0.06mg, 0.3mg | Kofaktor metabolisme karbohidrat & sistem saraf. |
Kita dapat lihat bahawa untuk setiap 100g buah anggur akan membekalkan sebanyak 16.3g karbohidrat di mana ianya bersamaan dengan sesenduk nasi ataupun sekeping roti. Berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Malaysia, 2010, setiap individu disarankan untuk mengambil sekurang-kurangnya dua hidangan buah sehari sama ada bersama hidangan utama ataupun sebagai snek.
Anggaran satu hidangan bagi buah anggur adalah sebanyak 90-100g ataupun bersamaan dengan 8 biji. Walaubagaimanapun, bagi pesakit diabetes (kencing manis), anda dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor ataupun pegawai dietetik untuk mengelakkan sebarang komplikasi atau masalah kesihatan.
3. Komponen Berkhasiat di Dalam Buah Anggur
Tinggi Kandungan Fenolik
Kompaun fenolik lazimnya akan ditemui di dalam kebanyakan sayur-sayuran ataupun buah-buahan. Ianya terdiri daripada asid fenolik, flavonoid, lignin, lignan, tannin, coumarin dan juga xanthose [4] [5]. Sebuah kajian telah mendapati bahawa kebanyakkan anggur hitam mempunyai kandungan kompaun fenolik yang lebih tinggi berbanding dengan anggur berkulit merah atau hijau [6].
Bahkan juga, pulpa buah anggur (bahagian yang berjus) mempunyai kadar aktiviti anti-oksidan yang lebih kuat berbanding dengan kulitnya. Kompoun bio-aktif ini akan bertindak sebagai scavenger terhadap radikal bebas yang boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan seperti kanser, penyakit kardiovaskular, penuaan dan penyakit neurodegenerative [7].
| Sebatian Bioaktif | Bahagian / Sumber | Fungsi BioPerubatan Utama |
|---|---|---|
| Resveratrol (Stilbenoid) | Kulit anggur merah & hitam | Anti-diabetic (setanding tolbutamide), anti-tumor, & pemulihan luka. |
| Proanthocyanidins & Procyanidins | Biji & isi pulpa anggur | Pelindung vaskular jantung, cegah aterosklerosis, & pelindung mata. |
| Minyak Biji Anggur (Grapeseed) | Ekstrak biji & Vitamin E | Nano-emulsi hidrasi kulit & anti-keradangan dermatologi. |
| Polifenol Hampas Anggur | Kulit & hampas perindustrian | Anti-mikrob merencatkan pertumbuhan bakteria patogen. |
4. 10 Khasiat Buah Anggur kepada Kesihatan
Berikut adalah 10 khasiat buah anggur kepada kesihatan mengikut kajian saintifik:
1. Ekstrak Minyak Biji Anggur (Grapeseed Oil)
Setiap bahagian daripada buah anggur seperti kulit, isi, pulpa sehingga biji anggur mengandungi kandungan fenolik yang berbeza. Pada sekitar abad ke-14, ekstrak minyak biji anggur turut diberi jolokan “Minyak Diraja” di Mesir apabila ia digunakan untuk merawat masalah kulit. Disamping kandungan fenolik, ekstrak minyak biji anggur juga mengandungi vitamin E yang turut sama bertindak sebagai anti-oksidan [8].
Sebuah kajian mendapati bahawa nano-emulsi minyak biji anggur telah memberi kesan peningkatan yang sangat signifikan terhadap kelembapan kulit dalam tempoh empat minggu. Memandangkan minyak biji anggur mendapat perhatian dalam bidang dermatologi, kajian yang lebih mendalam terhadap kesannya kepada kulit manusia masih boleh dijalankan lagi [8].
2. Memberi Perlindungan kepada Jantung
Proanthocyanidins merupakan salah satu daripada kelas flavonoid di dalam buah anggur yang memainkan peranan penting terhadap perlindungan jantung (kardiovaskular). Proanthocyanidins mampu untuk menurunkan risiko pembentukan plak lemak di dalam salur darah (atherosclerosis) dengan menggalakkan penyingkiran kolesterol ke dalam jus hempedu [9].
Ini akan membantu mengurangkan risiko serangan jantung (myocardial infarction) ataupun strok. Sungguhpun begitu, keperluan untuk menjaga pemakanan dan juga aktif melakukan aktiviti fizikal adalah menjadi keutamaan.
3. Kesan Anti Karsinogenik
Ekstrak daripada biji buah anggur (Grape Seed Extract, GSE) yang mengandungi procyanidins juga berpotensi sebagai anti karsinogenik terhadap beberapa jenis kanser iaitu kanser kulit, kolorektal, prostat dan juga payudara [10]. Disamping itu juga, kandungan resveratrol di dalam kulit buah anggur juga berpotensi sebagai agen anti-tumor dengan bertindak sebagai chemopreventive agent dan juga chemotherapeutic agent [11].
Berdasarkan Medical Nutrition Therapy for Cancer 2000, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kaya dengan kandungan anti-oksidan dan juga phytochemical amat digalakkan bagi pesakit kanser, disamping mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan.
4. Baik Terhadap Penyembuhan Luka
Kajian mendapati bahawa kandungan resveratrol di dalam buah anggur mampu meningkatkan aktiviti penyembuhan luka terhadap haiwan. Resveratrol didapati mampu mengecutkan luka, menggalakkan sintesis vascular endothelial growth factor dan juga meningkatkan pembentukan tisu penghubung [11].
5. Bertindak Sebagai Anti-Mikrob
Hampas buah anggur yang terhasil daripada proses perindustrian masih juga kaya dengan kandungan polifenol. Kajian mendapati bahawa hampas buah anggur mempunyai keupayaan merencat pertumbuhan bakteria [12].
6. Menyokong Fungsi Kognitif
Kajian terhadap warga emas yang sihat telah mendapati bahawa pengambilan ekstrak polifenol daripada buah anggur dapat membantu menambahbaik fungsi kognitif. Kandungan polifenol mampu mengembalikan fungsi saraf yang berkait dengan pembelajaran dan juga memori [13].
7. Anti Keradangan
Selain daripada fenolik, komponen hidrofilik dan juga lipolipid yang terdapat di dalam minyak biji anggur turut sama memainkan peranan penting di dalam merencatkan aktiviti keradangan. Minyak biji anggur juga mengandungi asid linoleik, di mana, ianya turut mengandungi komponen lipolipid yang tinggi [8].
8. Kesan Anti-Diabetic
Resveratrol telah ditemukan mempunyai fungsi anti-hiperglisemik yang setanding dengan ubat untuk menurunkan gula dalam darah, tolbutamide. Disamping itu, ianya juga turut mengurangkan risiko komplikasi diabetes seperti yang melibatkan buah pinggang (nephropathy) dan juga penglihatan (retinopathy) [14].
9. Mengurangkan Risiko Sindrom Metabolik
Kandungan polifenol yang tinggi di dalam buah anggur mampu mengurangkan risiko sindrom metabolik seperti hyperlipidemia, hyperglycemia dan juga tekanan darah tinggi. Hal ini kerana, kandungan polifenol yang bertindak sebagai anti-oksidan berfungsi untuk mengurangkan aktiviti lipid peroxidation [15].
10. Melindungi Mata
Proanthocyanidins adalah kompoun anti-oksidan yang berpotensi untuk melindungi tisu mata daripada tekanan oksidatif. Selain itu juga, ianya juga berpotensi untuk bertindak sebagai agen semula jadi yang menghalang daripada berlakunya kecacatan penglihatan yang berpunca daripada kandungan gula yang tinggi di dalam darah [4].
5. Kesimpulan
Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kelebihan buah anggur, bagi sesiapa yang sudah mempunyai masalah penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, perlulah mendapat nasihat daripada doktor mahupun pakar pemakanan agar pengambilan buah ini tidak berlebihan hingga mengganggu rawatan penyakit sedia ada.
Diharapkan artikel khasiat buah anggur ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca sekalian.
6. Soalan Lazim (FAQ)
Q Adakah anggur hitam, merah, dan hijau mengandungi tahap antioksidan yang berbeza?
Ya, anggur berkulit hitam dan merah mengandungi kepekatan sebatian polifenol, antosianin, dan Resveratrol yang jauh lebih tinggi berbanding anggur hijau. Polifenol dan antosianin memberikan warna gelap pada kulit anggur dan membekalkan perlindungan antioksidan yang lebih padat.
Q Bagaimanakah sebatian Resveratrol di dalam anggur membantu pesakit Diabetes Mellitus?
Resveratrol mempamerkan fungsi anti-hiperglisemik semula jadi yang setanding dengan ubat penurun gula darah tolbutamide. Ia meningkatkan sensitiviti insulin dan merendahkan risiko komplikasi diabetes seperti kerosakan buah pinggang (nephropathy) dan kerosakan retina mata (retinopathy).
Q Apakah manfaat ekstrak minyak biji anggur (Grapeseed Oil) untuk kesihatan kulit?
Minyak biji anggur kaya dengan Vitamin E dan asid linoleik (asid lemak tidak tepu). Ujian klinikal menunjukkan nano-emulsi minyak biji anggur meningkatkan kelembapan kulit secara signifikan dalam tempoh 4 minggu, meredakan keradangan kulit, dan melambatkan penuaan.
Q Bolehkah pesakit penyakit jantung memakan buah anggur secara tetap?
Sangat digalakkan. Sebatian Proanthocyanidins di dalam anggur merangsang penyingkiran kolesterol LDL menerusi jus hempedu, sekali gus mengelakkan pembentukan plak lemak aterosklerosis di dalam arteri dan merendahkan risiko serangan jantung serta strok.
Q Berapakah saiz hidangan buah anggur yang disyorkan bagi seorang pesakit Diabetes?
Pesakit diabetes disyorkan memakan sekitar 8 biji buah anggur (kira-kira 90-100g) dalam satu hidangan. Jumlah ini membekalkan 16.3g karbohidrat semula jadi dan disyorkan dimakan bersama serat atau protein tanpa sebarang gula tambahan.
Rujukan
- Shigyo M. (2006). Allium. Genet Resour Chromosom Eng Crop Improv. 3:245-269.
- Terral JF, et al. (2010). Evolution and history of grapevine (Vitis vinifera). Ann Bot. 105(3):443-455.
- Fortes AM, & Pais MS. (2016). Grape (Vitis species). Nutritional Composition of Fruit Cultivars. 257-286.
- Sindhu SRS. (2015). Versatile Health Benefits of Active Components of Grapes. Food Sci. 5:289-291.
- Cosme F, et al. (2018). Phenolic Compounds and Antioxidant Activity in Grape Juices. Beverages. 4(1):22.
- Martin ME, et al. (2020). Grape (Vitis vinifera L.) seed oil: A functional food from winemaking. Foods. 9(10).
- Salehi B, et al. (2018). Resveratrol: A double-edged sword in health benefits. Biomedicines. 6(3).
- Calapai G, et al. (2017). Effects of a Vitis vinifera extract on cognitive function in healthy older adults. Front Pharmacol. 8.


