Apakah punca dan rawatan kepada masalah perut kembung?
Artikel ini akan menerangakan dengan lengkap berkenaan perkara ini berserta rawatan cara untuk mencegah masalah kembung perut.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Adakah anda selalu mengalami kembung perut dan menyebabkan kesakitan pada seketika waktu? Anda merasakan perut anda sedikit membesar dan menyebabkan anda mula rasa tidak selesa untuk meneruskan aktiviti harian? Sering bersendawa dan mengeluarkan angin yang menyebabkan anda mula rasa malu untuk berurusan dengan orang sekitar?
Di dalam artikel ini akan menjelaskan secara terperinci mengenai masalah kembung perut yang sering dialami oleh setiap orang. Kembung perut mungkin boleh dikatakan normal dan tidak berbahaya buat sesetengah orang, tetapi ia akan menjadi tidak normal dan mendatangkan bahaya pada seseorang itu jika ia mula untuk mengambil remeh dalam soal penjagaan kesihatan.
Apakah Maksud Perut Kembung?
Secara mudah, perut kembung atau bloated abdomen ialah suatu keadaan apabila ruangan dalam bahagian perut berada dalam kuantiti yang penuh. Umum mengetahui, perut manusia mempunyai ruangan untuk penyimpanan makanan dan juga menjalankan fungsi pencernaan makanan. Apabila ruangan perut mula penuh dengan apa-apa komposisi, ia akan mula untuk kembung dan menyebabkan saiz perut mula untuk membesar dan menyebabkan saiz perut itu mengalami ketegangan apabila dilihat secara luaran.
Proses pencernaan makanan bukan hanya melibatkan organ perut sahaja, malah juga melibatkan organ yang lain seperti usus kecil dan usus besar untuk meneruskan fungsi pencernaan selain organ perut.
Tetapi, ruangan perut ini bukan sekadar dipenuhi dengan makanan sahaja, juga dipenuhi dengan cecair dan gas yang turut memainkan peranan dalam proses pencernaan makanan. Secara kebiasaan yang berlaku, simptom ini akan mula surut melalui sendawa, pembuangan angin atau melalui pembuangan najis.
Perut kembung ini juga berlaku apabila salur pencernaan makanan dipenuhi dengan gas atau udara. Masalah ini mula akan rasa tidak selesa apabila kembung itu mendatangkan kesakitan. Walau bagaimanapun, masalah ini kebiasaannya tidak mendatangkan kesan yang besar kepada seseorang dan masalah boleh dirawat dengan sendiri (self treated) pada bila-bila masa sahaja.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca Perut Kembung
Seperti mana yang dijelaskan sebelumnya, perut kembung ini selalunya tidaklah mendatangkan kes yang serius kerana masalah ini boleh dikatakan sering berlaku dalam kehidupan seharian dan boleh hilang dalam beberapa ketika waktu.
Terdapat pelbagai faktor atau punca yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku, antaranya ialah:
- Makan dalam kuantiti yang banyak.
- Terlebih udara.
- Stres (tekanan)
- Pencernaan makanan tidak sempurna.
Berdasarkan faktor di atas, perut kembung ini tidaklah memberi kesan yang lama, dan ia akan hilang tidak lebih dari dua jam.
Namun, suka untuk dikongsikan beberapa faktor utama yang berkait dengan amalan kehidupan seharian kita dan terdapat beberapa faktor yang mungkin perlu diberi perhatian jika terdapat keadaan yang menyebabkan masalah ini menjadi lebih teruk.
1. Udara dan Gas
Pengumpulan gas adalah punca utama yang menyebabkan perut kembung, terutama selepas makan. Gas ini akan terkumpul di saluran pencernaan makanan apabila makanan itu tidak dicerna dengan sempurna atau juga berlaku apabila udara di luar itu ditelan masuk ketika kita sedang mengunyah makanan.
Apakah yang menyebabkan udara itu boleh disedut dalam kuantiti yang banyak?
Dengan beberapa keadaan, antaranya ialah:
- Minum atau makan terlampau cepat.
- Mengunyah gula-gula getah.
- Merokok.
- Memakai gigi palsu yang longgar.
Pengumpulan gas dalam sistem pencernaan ini juga berlaku disebabkan oleh faktor makanan, jangkitan di bahagian perut, penyakit kronik dan pencernaan makanan yang tidak sempurna.
2. Faktor Kesihatan
Faktor lain yang boleh menyebabkan kembung perut ini juga ialah faktor perubatan atau faktor masalah kesihatan yang lain. Masalah kesihatan yang mendorong kepada perut kembung ini yang perlu diberi perhatian serius kepada kita, kerana dibimbangi ia akan membawa kepada kesan buruk yang lebih besar. Antaranya ialah:
- Penyakit radang usus
- Pedih ulu hati (Heartburn)
- Intoleransi makanan atau alahan makanan.
- Gangguan makanan seperti tiada selera makan.
- Masalah kesihatan mental seperti stres, depresi.
- Pengambilan ubat-ubatan
3. Senak Perut (Dyspepsia)
Dyspepsia atau senak perut ini selalu berlaku apabila makan dalam kuantiti yang banyak, pengambilan alkohol, pengambilan ubat yang memberi kesan sampingan perut dan jangkitan kuman.
Tetapi apabila senak perut ini berlaku dengan kerap tanpa punca yang sangat jelas seperti makanan, ia mungkin boleh menjadi tanda yang lebih serius seperti ulcer perut, kanser ataupun kegagalan hati.
4. Jangkitan Kuman
Jangkitan kuman di bahagian perut boleh menyebabkan penghasilan gas, di mana gas ini yang menyebabkan perut kita mula mengalami tidak selesa dan menyebabkan kembung. Antara tanda perut mengalami jangkitan adalah:
- Cirit birit
- Muntah-muntah.
- Rasa loya.
- Sakit perut.
Jika keadaan ini semakin teruk, ia boleh menyebabkan anda mengalami dehidrasi kerana kehilangan air dan mineral yang sangat banyak.
5. Pengumpulan Cecair
Makanan yang bermasin, perubahan hormon yang tidak terkawal boleh menyebabkan cecair berkumpul dalam badan lebih daripada kadar biasa. Jika cecair dalam badan tidak dapat dikeluarkan melalui salur air kencing dengan baik, pengumpulan cecair ini akan mendatangkan simpton seperti ini..
Adapun perut kembung disebabkan pengumpulan cecair dalam tempoh yang lama, keadaan serius mungkin akan menjejaskan kesihatan seperti diabetis dan kegagalan buah pinggang.
6. Inteloransi Makanan
Alahan kepada makanan atau intoleransi makanan juga boleh menyebabkan perut kembung. Alahan kepada laktosa atau intoleransi laktosa antara contoh alahan makanan yang boleh menyebabkan perut kembung.
7. Sembelit
Sembelit juga boleh menyebabkan perut kembung. Antara punca yang boleh menyebabkan sembelit adalah:
- Dehidrasi
- Kekurangan serat
- Alahan makanan
- Mengandung
- Kekurang nutrisi
- Kesan pengambilan ubat
Ujian Pemeriksaan
Mengenal pasti punca kepada perut kembung sangat penting untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk berlaku. Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, simptom ini dalam tempoh yang lama dan mendatangkan kesakitan mungkin perlukan penyiasatan yang lebih terperinci daripada doktor
1. Sampel Darah
Sampel darah atau juga dikenali sebagai “Complete Blood Count (CBC)” bertujuan untuk mengenal pasti berapakah jumlah sel darah untuk mengesan jika ada sebarang jangkitan kuman yang berlaku.
2. Ujian Air Kencing
Ujian air kencing untuk mengenal pasti jangkitan pada saluran air kencing. Ujian ini juga digunakan untuk pengesahan ujian ibu mengandung.
3. Ujian Pengimejan
X-ray dan CT-Scan antara ujian pengimejan yang sering digunakan untuk mengesan punca perut kembung.
Bila Saya Perlu Berjumpa Doktor?
Dalam sesetengah kes, perut kembung yang mendatangkan kesakitan boleh berlaku kerana menghadapi masalah yang serius. Jika menghadapi masalah seperti berikut, sebaiknya anda bersegera pergi untuk berjumpa dengan doktor:
- Muntah yang terlampau banyak dan tidak terkawal.
- Muntah berdarah.
- Najis berdarah.
- Tidak sedarkan diri.
- Tidak mengalami proses pembuangan najis selama lebih dari tiga hari.
- Cirit birit yang tidak terkawal.
Penyakit lain ayng Berkaitan
Perut kembung ini boleh mendatangkan keadaan yang lebih buruk jika anda mengambil mudah dalam soal penjagaan kesihatan. Antara keadaan yang membimbangkan adalah ascites.
Apakah itu ascites?
Ascites ini adalah pengumpulan cecair dalam badan dibahagian ruangan peritoneal (ruangan yang melapisi bahagian abdomen badan). Tanda-tanda ascites ini seakan-akan seperti perut kembung, tetapi ia lebih jelas kembungnya dan mempunyai tanda-tanda yang lain apabila dilakukan penyiasatan.
Antara diagnosa yang berbeza dengan masalah ini dan ascites ini adalah:
- Cecair dibahagian cyst (ovarian cyst)
- Kantung air atau pundi kencing dalam kuantiti yang penuh.
- Obesiti
- Mengandung, kerana ada fetus dalam kandungan.
- Ketumbuhan
Diagnosa yang berbeza ini penting kepada doktor untuk mengenal pasti, supaya doktor dapat memberi rawatan yang sewajarnya kepada pesakit.
Rawatan dan Pencegahan
Bagaimanakah rawatan dan kaedah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan perut kembung?
Kaedah yang paling utama adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup yang sihat sangat penting untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
- Kurangkan pengambilan pemanis tiruan.
- Pengambilan air yang secukupnya.
- Pengambilan makanan mengikut gizi yang seimbang terutama makanan yang mengandungi serat yang tinggi.
- Senaman secara berkala.
- Kurangkan pengambilan gula-gula getah yang boleh menyebabkan penyedutan udara yang terlampau banyak.
- Kurangkan pengambilan air berkarbonat.
- Makan secara perlahan.
Bagi rawatan dengan menggunakan ubat-ubatan, selalunya ubat-ubatan yang diberikan terdiri daripada antibiotik, antispasmodic dan antidepressant, tetapi ia bergantung kepada keadaan diri anda.
Semestinya anda perlu berjumpa dengan doktor jika simptom ini masih lagi belum reda walaupun sudah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Jika doktor mendapati punca kepada masalah ini, doktor mungkin akan menyarankan untuk mengambil ubat-ubatan yang sesuai untuk melegakan sakit perut anda.
Pembacaan bagi masalah yang lain
Rujukan:
- Internal medicine (Part 2), Ascites – Prof. Dr. Magdy Ishak, Cairo University.
- Mayoclinic, Bloated Abdomen
- Healthline, Abdominal Bloating
- Medical News Today, Bloated abdomen