Skip to content

Sesak Nafas: Punca, Cara Rawatan dan Penyiasatan

Apakah punca kepada masalah sesak nafas berserta rawatannya? Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan punca-punca kepada masalah ini berserta rawatan sesak nafas.

Pengenalan

Mereka yang mengalami sesak nafas selalunya akan mempunyai pengalaman yang berbeza. Akan ada yang mengatakan susah untuk tarik nafas, ada pula yang mengatakan dadanya ditekan kuat hingga menyusahkan ia untuk menarik nafas dan ada juga yang mengatakan dadanya sakit.

Sesak nafas mempunyai pelbagai punca. Tetapi ia juga boleh disebabkan masalah kebimbangan (anxiety disorder) dan juga stress



Ianya penting untuk tahu bahawa keadaan sesak nafas yang kerap mungkin menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang serius. Anda perlu berjumpa dengan doktor jika selalu menghadapi perkara ini.


Punca Sesak Nafas

Terdapat pelbagai punca kepada masalah sesak nafas dan ia bergantung kepada organ yang menyebabkan perkara tersebut berlaku. Disini adalah penerangan ringkas kepada masalah yang boleh menyebabkan susah nafas berlaku.

Masalah Paru-paru

Terdapat beberapa masalah paru-paru yang menyebabkan masalah sesak nafas berlaku.

1. Asma

Asma adalah masalah yang melibatkan keradangan saluran pernafasan yang menyebabkan saluran menjadi kecil.

Pesakit akan mengalami simptom susah bernafas, pernafasan yang berbunyi, dada menjadi ketat dan juga batuk.

2. Jangkitan paru paru (pneumonia)

Dalam jangkitan paru-paru, kuman akan menyebabkan keradangan dalam kawasan alveolar. Keradangan ini akan menyebabkan cecair terkumpul di dalam kawasan tersebut. Alveolar merupakan kawasan pertukaran gas. Apabila ia dipenuhi air, gas oksigen akan lebih susah untuk diserap masuk ke dalam salur darah.

Perkara ini akan menyebabkan kandungan oksigen dalam badan berkurangan dan pesakit akan bernafas dengan lebih laju.

3. Pulmonary Embolism

Emboli adalah istilah yang bermaksud darah beku yang telah menyebabkan saluran darah tersumbat. Pulmonary embolism pula bermaksud saluran darah bahagian pulmonary(iaitu bahagian paru paru) telah tersumbat dengan darah beku.

Ini menyebabkan kurangnya pertukaran gas oksigen di dalam paru paru. Perkara inilah yang menyebabkan kandungan oksigen dalam badan berkurangan dan pesakit akan mengalami sesak nafas.

Ia selalunya berlaku kepada orang yang baru sahaja menjalani pembedahan besar (major operation), mereka yang asyik terbaring sahaja, pesakit kanser, pengambilan pil perancang dan beberapa golongan yang lain.

4. Chronic obstructive airway disease (COAD)

Penyakit ini selalunya dihadapi oleh mereka yang merokok. Rokok yang selalu dihisap merosakkan alveolar berserta saluran di dalamnya yang menyebabkan pertukaran oksigen tidak berlaku dengan berkesan.

Masalah Jantung

Terdapat beberapa masalah jantung yang menyebabkan seseorang itu sesak nafas.

1. Masalah pembuluh darah koronari

Masalah pembuluh darah selalunya berlaku apabila saluran darah tersebut menjadi sempit disebabkan kolesterol yang terkumpul pada dinding saluran darah tersebut.

Perkara ini mungkin akan menyebabkan serangan sakit jantung. Apabila jantung telah rosak, ia tidak boleh mengepam darah dengan efisien dan perkara ini menyebabkan sesetengah kawasan dalam badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi.

2. Masalah jantung sejak lahir (congenital heart disease)

Dalam masalah ini, struktur di dalam jantung tidak normal menyebabkan darah tidak dapat dipam dengan berkesan ke seluruh badan.

3. Lemah Jantung

Apabila jantung tidak dapat berfungsi secara efisien disebabkan serangan sakit jantung dan sebagainya, jantung tidak dapat berfungsi mengepam darah dengan betul. Ini menyebabkan cecair terkumpul di dalam paru-paru dan pertukaran oksigen tidak berlaku dengan baik

Masalah Perut

Dalam keadaan masalah perut, ia tidak melibatkan kekurangan oksigen.

1. Penyakit gastrik

Penyakit gastrik iaitu penyakit yang melibatkan penghasilan jus gastrik yang bersifat asid lebih daripada biasa akan menyebabkan keradangan dibahagian perut.

Ini juga akan menjadi salah satu penyebab pesakit merasa sakit dada dan juga sesak nafas kerana saraf yang bersambung kepada kawasan dada dan perut ini adalah berasal daripada saraf yang sama

2. Penyakit Gastroesophageal Reflux disease

Dalam penyakit ini, asid dalam perut boleh ditolak balik naik ke saluran esofagus. Perkara ini akan menyebabkan sakit di bahagian dada dan jugak sesak nafas terutamanya apabila pesakit berada dalam keadaan baring.

Punca Sesak Nafas Secara Ringkas adalah:

Masalah Paru-ParuAsma, Jangkitan Paru-paru, Pulmonary Embolism, COAD
Masalah JantungSakit Jantung, Lemah jantung, Masalah jantung sejak lahir
Masalah PerutGastrik, GERD

Simptom Berkaitan Sesak Nafas

Selalunya pesakit yang mengalami sesak nafas mungkin akan menunjukkan simptom

  • Bernafas laju
  • Pernafasan yang berbunyi (wheezing)
  • Kuku dan bibir menjadi biru
  • Muka menjadi pucat
  • Berpeluh dengan banyak

Sesetengah simptom yang berlaku bersama-sama sesak nafas mungkin menunjukkan keadaan yang serius. Beberapa simptom tersebut adalah:

  • Demam: Ia mungkin disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru
  • Sakit dada: Boleh disebabkan serangans sakit jantung
  • Dada rasa ketat: Selalunya disebabkan serangan asma
  • Sesak nafas yang berlaku ketika anda baring: Selalunya disebabkan jantung lemah

Periksa Simptom anda Di Sini

Ujian Pengesanan Punca

Perawat kesihatan selalunya akan memeriksa pesakit terlebih dahulu untuk mengetahui punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku



Bergantung kepada keputusan pemeriksaan, perawat kesihatan mungkin akan mencadangkan salah satu ataupun lebih prosedur untuk menentukan punca kepada masalah tersebut. Ia adalah

  • Pengambilan darah: Untuk mengetahui bilangan sel darah, kandungan oksigen dalam darah berserta bacaan protein yang terhasil ketika serangan sakit jantung berlaku
  • X-ray dada: X-ray ini boleh melihat keadaan paru-paru dan juga jantung
  • Elektrokardiogram: Mesin ini dapat mengesan gelombang jantung yang tidak normal
  • Echocardiogram: Ia digunakan untuk melihat keadaan jantung

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Rawatan

Selalunya pesakit akan dirawat seperti biasa bagi mereka yang sesak nafas. Iaitu pesakit akan diberikan gas oksigen melalui tiub.

Jika keadaan terlampau teruk berserta bacaan oksigen yang rendah, pesakit akan ditidurkan dan tiub akan dimasukkan ke dalam saluran pernafasan untuk membantu pesakit. Rawatan spesifik sesak nafas bergantung kepada punca masalah tersebut. Sebagai contoh:

  • Jangkitan paru-paru: Pesakit selalunya akan diberikan antibiotik
  • Pulmonary embolism: Pesakit akan diberikan ubat cair darah untuk mencairkan darah yang menyumbati saluran paru-paru
  • Asma: Selalunya pesakit akan diberikan ubat pam untuk membuka saluran pernafasan yang sempit.
  • Serangan sakit jantung: Pesakit akan diberikan ubat cair darah untuk mencairkan darah beku yang menyumbati salur darah
  • Lemah jantung: Pesakit yang mengalami lemah jantung sering kali akan mempunyai air yang berlebihan di dalam badan. Pesakit akan diberikan ubat untuk melawaskan air kencing supaya kurangnya air dalam badan. Oleh itu, ia tidak akan terkumpul di dalam paru-paru
  • Penyakit Gastrik: Selalunya pesakit akan diberi ubat alkali untuk meneutralkan asid dalam perut

Pembacaan bagi masalah yang lain

Benjolan KetiakPening kepala
Kaki BengkakSakit Leher
Kentut VaginaKerap Kentut
Mata KaburSesak Nafas
Kaki KejangKaki Kebas
Badan LemahKaki Tangan Sejuk
Sakit RusukSakit Otot
Mata BengkakPerut Berangin
Benjolan di LeherLeher Hitam
Kulit Gatal

Rujukan:

  1. Lechtzin N. (n.d.). Shortness of breath. – merckmanuals.com
  2. Mayo Clinic Staff. (2018). Shortness of breath.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 + 10 =