Apakah cara untuk hilangkan ulser pada lidah? Disini kami ingin menerangkan beberapa cara untuk anda hilangkan ulser di lidah anda.
Pengenalan
“ Mata ikan ” adalah nama lain bagi ulser yang boleh terjadi pada mana-mana bahagian mulut termasuk bibir, lidah,lelangit mulut dan gusi. Ia bukanlah sejenis penyakit melainkan merupakan satu petanda atau gejala bagi penyakit-penyakit lain seperti barah, kesan sampingan ubat, jangkitan kuman dan sebagainya di mana kita akan membincangkan secara terperinci sebentar lagi.
Ulser lidah menyebabkan seseorang mengalami kesakitan dan ketidakselesaan hingga menjadikan aktiviti harian seperti makan, minum dan percakapan terganggu. Alhamdulillah, berita baiknya ialah kebanyakkan dari kes ulser lidah adalah bukan disebabkan penyakit-penyakit yang serius.
Selain itu, ia bukannya penyakit berjangkit yang boleh merebak ke individu yang lain.
Tanda – Tanda Ulser Lidah Yang Anda Boleh Kenali
1. Sakit Lidah
Tanda utama yang anda boleh kenal pasti tentang ulser lidah adalah kesakitan pada kawasan yang terjadi. Tahap kesakitan tersebut meningkatkat naik terutamanya apabila ia bersentuhan dengan objek lain seperti makanan yang keras, pedas dan panas. Makanan dan minuman berasid yang mempunyai rasa masam juga boleh meningkatkan kesakitannya.
2. Bentuk
Ulser tersebut sering muncul dalam bentuk tompokan putih beserta lingkungan merah di sekelilingnya terutamanya apabila berlaku iritasi. Mungkin asbab ini menyebabkannya dikenali sebagai “ mata ikan ” dalam kalangan masyarakat kita.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Bagaimana Ulser Terjadi
Ulser lidah boleh terbentuk apabila sebahagian daripada lapisan dalamnya tercedera atau terhakis akibat kejadian seperti trauma, jangkitan kuman dan sebagainya.
Punca – Punca Ulser Lidah
Penyebab ulser lidah itu banyak dan antaranya adalah :
Punca Utama
1. Kecederaan Trauma
- Tergigit lidah dengan kuat
- Meminum air terlampau panas
- Tabiat mengetap gigi
- Tampalan gigi yang tajam
- Pemakaian gigi dan pendakap gigi yang tidak sempurna
Kelakuan – kelakuan seperti dinyatakan atas boleh menyebabkan terjadinya ulser pada bahagian lidah dan ia merupakan antara punca utama.
2. Alahan Makanan
Oral Allergy Syndrome – Ia adalah sindrom penyebab ulser akibat alahan kepada makanan tertentu seperti buahan-buahan dan sayur-sayuran mentah begitu dengan sebahagian jenis kekacang. Individu yang terkesan boleh mengalami kesakitan lidah yang disertai dengan gejala lain seperti :
- Gatal mulut
- Sakit tekak
- Bengkak pada bibir, mulut dan lidah
3. Kandidiasis Mulut
Oral thrush, nama gelaran lain bagi penyakit kandidiasis mulut adalah jangkitan kulat yang terjadi pada rongga mulut. Organisma yang memainkan peranan dalam penyakit ini adalah sejenis kulat berasal dari spesis Candida.
Anda akan merasai juga tompokan putih terbentuk di dalam rongga mulut beserta dengan rasa yang tidak enak.
Ia sering terjadi pada bayi dan golongan warga emas disebabkan faktor sistem imuniti badan yang rendah. Ia juga boleh terjadi bagi individu yang sering menggunakan penyedut ubat asma yang mengandungi Steroid.
Steroid bertindak merendahkan kadar reaksi dan refleksi sistem pertahanan badan supaya dapat mengelakkan serangan asma.
Kondisi ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada pertumbuhan kulat tersebut untuk berkembang dengan lebih agresif.
Jangkitan lain yang turut menyebabkan gejala ini terjadi termasuk :
- Hand, foot, and mouth disease ( HFMD ) – Penyakit Tangan Kaki dan Mulut
- Human papillomavirus dan Syphilis
Kedua – dua penyakit ini merupakan jenis penyakit kelamin.
4. Tabiat Merokok
Selain penyebab kepada ulser lidah, merokok juga meningkatkan risiko para perokok untuk menghidapi kanser mulut dan tekak.
Punca yang jarang berlaku pula antaranya ialah :
5. Kekurangan Vitamin Dan Anemia ( Kurang darah merah )
Pengambilan diet makanan yang kurang kandungan Vitamin B-12 dan zat besi selain menjadi faktor ulser lidah juga boleh mendatangkan simptom-simptom lain seperti :
- Keletihan
- Pening
- Degupan jantung tidak selari
Pemakanan diet seimbang dan suplemen vitamin mampu meredakannya.
6. Lichen planus
Penyakit radang kulit yang boleh melibatkan kesakitan pada bahagian lidah sekali. Gejala lain yang turut serta termasuk :
- Tompokan merah atau putih di dalam mulut
- Rasa membakar dan panas apabila makan dan minum
- Sakit gusi
7. Kanser Oral ( Kanser Mulut )
Jarang sekali berlaku tetapi tidak mustahil. Individu yang mengalaminya boleh merasai :
- Kesakitan apabila mengunyah
- Rasa sakit apabila menelan
- Ulser yang berkekalan dan tidak pulih untuk satu tempoh yang lama
Para pengkaji menyatakan kebanyakan ulser akan hilang dalam tempoh 4-14 hari tanpa sebarang rawatan.
Walaupun begitu penting untuk kita ketahui cara untuk mengatasinya supaya kita dapat kekal produktif serta mengelakkan aktiviti harian daripada terganggu dek kerana keakitan yang tidak tertahan.
“ Ulser atau pecahan pada rongga mulut tidak sembuh lebih dua minggu perlu dirawat bagi mengesan jika keadaan itu adalah simptom awal kanser mulut ”
Dr Sivakama Sunthari
Ketua Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Kuala Lumpur (HKL)
10 Tips Hilangkan Ulser Lidah
1. Ubat Tahan Sakit
Anda boleh cuba mengambil ubat penahan sakit seperti Paracetamol atau Ibuprofen secara berkala sementara menunggu ulser tersebut pulih dengan sepenuhnya. Anda juga boleh ambil ubat sapuan yang mengandungi ‘triamcinolone’ untuk mengurangkan sakit pada ulser tersebut atau yang berbentuk spray seperti jenama aloclair
2. Berus Gigi Lembut
Penggunaan berus gigi yang keras boleh membuatkan ulser menjadi bertambah teruk. Berus gigi yang lembut pula akan mengelakkan trauma pada bahagian dalam mulut dan juga lidah dan membenarkan ulser tersebut sembuh dengan sepenuhnya.
3. Elakkan Makanan Yang Pedas, Panas, Masam atau Keras
Makanan yang mempunyai ciri-ciri seperti ini memberikan iritasi terhadap ulser dan menyebabkan sakit pada ulser tersebut bertambah. Malah ia akan menyebabkan ulser tersebut lambat baik
4. Jangan Merokok
Merokok selain memudaratkan lagi kondisi ulser, ia juga melambatkan proses pemulihan.
5. Pengambilan Vitamin dan Suplemen
Suplemen seperti Vitamin B-12 dan zat besi boleh didapati dengan mudah di klinik-klinik yang berdekatan atau farmasi.
6. Kumuhan Air Garam
Kumuhan air garam membantu dalam membersihkan mulut dari jangkitan kuman. Apabila jangkitan kuman tiada, maka ulser tersebut akan lebih mudah sembuh
7. Mengemam Ais
Suhu sejuk secara asasnya mengurangkan kesakitan dengan mengebaskan kawasan yang bersentuhan dengannya.
8. Kumuhan Ubat Difflam
Sejenis ubat yang mengandungi bahan aktif benzydamine hydrochloride bertindak dalam mengurangkan proses keradangan dan iritasi.
9. Elakkan Ubat Gigi Yang Mengandungi Bahan Sodium Lauryl Sulphate
Terdapat kajian yang menunjukkan bahan Sodium Lauryl Sulphat ini boleh meningkatkan kekerapan ulser untuk berulang. Oleh itu, anda perlu sentiasa melihat kandungan ubat gigi yang anda beli. Elakkan daripada menggunakan ubat gigi yang mengandungi bahan ini
10. Sentiasa Menjaga Kebersihan Mulut
Nampak mudah tetapi nescaya tidak ramai mampu melakukannya dengan konsisten.
Pesanan akhir, jika anda dapati ulser yang anda alami tidak hilang jua dalam tempoh lebih 2 minggu. Anda disarankan untuk mendapatkan temujanji segera dengan doktor gigi untuk pemeriksaan lanjut. Diharapkan artikel cara hilangkan ulser lidah ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca.
Bacaan Tips yang lain:
Rujukan :
- Sore or White Tongue – NHS UK
- Mouth Ulcers – Better Health
- Tongue Ulcer – Medical News Today
- Sore Tongue – Healthline