Skip to content

10 Khasiat Ikan Keli yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat ikan keli pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat ikan keli yang perlu diketahui oleh anda.

Pengenalan

Ikan keli atau nama saintifiknya Claria gariepinus merupakan ikan air tawar yang banyak terdapat di negara-negara ASEAN, khususnya di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ikan keli menjadi pilihan dalam bidang penternakan kerana industri penternakan ikan keli memberikan keuntungan sekiranya dijalankan secara komersial dan bersistem. Tambahan pula, ikan keli adalah spesis ikan yang mudah dijaga serta hanya memerlukan modal yang sedikit.

Ikan keli juga dikenali sebagai ‘catfish’ kerana mempunyai misai seperti kucing pada bahagian hidung. Ikan keli mempunyai bentuk badan yang silinder, berlendir dan tidak bersisik. Ciri keunikan ikan keli adalah fungsi sesungutnya sebagai deria yang membantu semasa berenang dan sebagai sensor untuk mendapatkan makanan. Selain itu, ikan keli merupakan ikan yang mempunyai nyawa yang panjang kerana mampu bergerak diatas tanah menggunakan sirip untuk bergerak dari satu lubuh ke lubuk yang lain. Ikan keli juga akan menyusup atau masuk ke dalam lumpur untuk satu tempoh apabila datang musim kemarau atau musim kering.



Berdasarkan kajian, terdapat sembilan jenis ikan keli yang wujud di Malaysia iaitu Ikan Keli Kayu (Clasrias batrachus), Ikan Keli Bunga (Clarias macrosephalus), Ikan Keli Eksotika (Clarias gariepinus), Ikan Keli Limbat (Clarias neuhorfii), Ikan Keli Mata Kati (Clarias spp.), Ikan Keli Rusia (Clarias spp.), Ikan Keli Afrika (Clarias spp.), Ikan Keli Jeram (Clarias foratum) dan Ikan Keli Hutan (Clarius spp.).

Namun demikian, hanya dua jenis spesis ikan keli yang banyak diternak untuk tujuan komersial iaitu Ikan Keli Eksotika dan Ikan Keli Afrika.

Ikan keli menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana sering dijadikan sebagai juadah. Hidangan ikan keli goreng bersambal, ikan keli goreng berempah dan ikan keli masak pecel merupakan resepi paling popular di Malaysia. Namun demikian, tahukah anda ikan keli mempunyai khasiat kepada kesihatan? Dalam artikel ini, para pembaca akan mengetahui bahawa ikan keli memberikan khasiat kepada badan kita.

Komponen Penting Dalam Ikan Keli

Berdasarkan kajian, ikan keli merupakan sumber Omega 3 sama seperti ikan tuna, ikan sardin dan ikan tenggiri. Asid dokosaheksanoat (docosahexnoic acid, DHA) dan asid eikosapentanoat (eicosapentaenoic acid, EPA) merupakan sumber Omega 3 terkandung dalam ikan keli. Omega 3 penting untuk kesihatan tubuh badan termasuklah pembentukan membran sel, memberikan kesan anti keradangan dan kelikatan sel membran. EPA dan DHA adalah penting untuk pembentukan janin yang sempurna dan penuaan yang sihat. DHA adalah kunci kepada kompenan sel membran dalam ditemui dalam bahagian otak dan retina. EPA dan DHA adalah komponen penting untuk penghasilan beberapa metabolit yang berpotensi sebagai pengantara lemak. EPA dan DHA diperlukan untuk menghalang atau merawat pelbagai penyakit.

Omega 6, yang selalunya dijumpai dalam minyak sayuran, juga terkandung dalam ikan keli. Omega 6 membantu untuk menurunkan kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan meningkatkan kolesterol baik (kolesterol HDL). Omega 6 membantu dalam mengawal paras gula dan darah dengan meningkatkan sensitiviti terhadap inslin. Omge 6 membantu untuk menukarkan asid linoleik kepada asid arakidonik. Asid arakidonik merupakan blok untuk pembentukan molekul yang menyebabkan keradangan, pembekuan darah dan pengecutan saluran darah. Omega 6 juga dikatakan dapat membantu untuk menukarkan asid arakidonik kepada molekul yang menghalang keradangan dan melawan pembekuan darah. Peranan Omega 6 tetap menjadi perdebatan kerana Omega 6 boleh memberikan manfaat dan juga kesan sampingan bergantung kepada kuantiti Omega 6 yang diambil.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Nutrisi Dalam Ikan Keli



Ikan keli mengandungi nutrisi penting seperti protein dan lemak serta nutrisi tambahan seperti vitamin dan mineral. Rajah 1 menunjukkan kandungan nutrisi penting dan nutrisi tambahan dalam 100g ikan keli.

KomponenJumlah Untuk 100g Ikan Keli
Kalorikcal105 kcal
Proteing18 g
Lemakg2.9 g
Asid Lemak Omega-3mg237 mg
Asid Lemak Omega-6mg337 mg
Kolesterolmg72 mg
Vitamin B1 (Tiamin)mg0.18 mg
Vitamin B12 (Kobalamin)mg2904 mg
Natriummg50 mg
Kaliummg665 mg
Fosforusmg300 mg

Rajah 1: Kandungan Nutrisi Penting dan Nutrisi Tambahan Dalam Ikan Keli

10 Khasiat Ikan Keli Pada Kesihatan

1. Mengawal Penyakit Kencing Manis

Tahukah anda bahawa ikan keli mampu mengawal penyakit kencing manis? Asid lemak Omega-3 dalam ikan keli mengurangkan risiko kerintangan insulin dengan menghalang proses keradangan. Ikan keli merupakan sumber penting untuk nutrisi yang lain seperti vitamin D dan selenium yang mampu mengurangkan risiko penyakit kencing manis.

Ini kerana bukti berdasarkan kajian pemerhatian menunjukkan bahawa paras vitamin D yang rendah meningkatkan risiko penyakit kencing manis. Ini sama seperti kajian pemerhatian yang dijalankan terhadap selenium. Pengambilan selenium berdasarkan keperluan mengurangkan risiko kencing manis. Selain itu, pengambilan protein ikan keli meberikan kesan yang baik terhadap penerimaan glukos dan kepekaan insulin.

Artikel Berkaitan: Punca kencing manis dan Rawatan

2. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Selain itu, ikan keli yang mengandungi EPA dan DHA akan mengurangkan risiko sakit jantung. Keradangan yang kronik merupakan salah satu punca berlakunya penyakit kronik termasuklah sakit jantung. EPA dan DHA mempunyai kesan anti keradangan dan menghalang tekanan oksida. EPA dan DHA juga dapat meningkatkan fungsi sel melalui perubahan dalam ekspresi gen. Satu kajian menunjukkan bahawa EPA + DHA berjaya mengubah ekspresi 1040 gen dan mengurangkan ekspresi gen yang menyebabkan keradangan dan penyakit aterogenesis. Penyakit aterogenesis adalah penyakit dimana lemak yang berkumpul menjadi plak pada dinding saluran darah dan menyebabkan saluran darah tersumbat.



Artikel Berkaitan: Tanda Sakit Jantung dan Rawatan

3. Mengurangkan Kesakitan Disebabkan Oleh Penyakit Kanser

Kebanyakkan pesakit kanser mengalami kesakitan yang berbeza disebabkan oleh penyakit kanser yang dihadapi mereka. Kesakitan itu mungkin disebabkan oleh tumur, rawatan kemoterapi dan pembedahan. Rawatan kemoterapi dan radioterapi menyebabkan keradangan dan simptom yang menyakitkan. Ini akan mengurangkan ketahanan para pesakit terhadap rawatan yang diterima.

Setakat ini, terdapat bukti daripada ujian pra-klinikal menunjukkan bahawa pengambilan Omega-3 sebagai makanan tambahan mengurangkan simptom seperti keletihan dan sakit dalam kalangan pesakit yang menjalani kemoterapi dan radioterapi. Ini disebabkan oleh pengurangan keradangan.

4. Membantu Dalam Tumbesaran Janin

Ibu yang mengandung perlu memastikan pengambilan kalori dan protein mencukupi berdasarkan keperluan mereka. Namun demikian, pengambilan asid lemak juga dititikberatkan. Ini kerana pengambilan EPA dan DHA dalam makanan tambahan semasa mengandung diperlukan untuk memastikan tumbesaran janin terjamin. Semasa mengandung, plasenta akan mensalurkan nutrisi termasuklah DHA daripada ibu kepada janin. Kandungan asid lemak yang disalurkan bergantung kepada kuantiti yang diambil oleh ibu.

Berdasarkan kajian, ibu mengandung memerlukan empat hingga enam hidangan makanan laut untuk membekalkan lebih kurang 300 hingga 900 mg EPA + DHA setiap hari. Kajian turut menunjukkan bahawa pengambilan EPA dan DHA akan melindungi daripada berlakunya kelahiran pramatang. Oleh itu, pengambilan ikan keli dalam diet seharian dapat meningkatkan pengambilan asid lemak untuk ibu mengandung.

5. Menghalang Daripada Penyakit Asma



Satu kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan keli yang mengandungi Omega-3 mengurangkan episod serangan asma. Ini dibuktikan oleh kajian yang dilakukan di Greenland. Kajian tersebut menunjukkan bahawa kandungan DHA kumpulan pesakit asma lebih rendah daripada kumpulan yang normal.

Kandungan DHA ini dikatakan sebagai pelindung kepada berlakunya serangan asma. Beberapa kajian lain menyatakan bahawa pengambilan asid lemak Omega 3 mengurangkan kejadian serangan asma, mengurangkan simptom penyakit asma dan paras nitrik oksida serta meningkatkan keupayaan jantung dalam kalangan orang dewasa.

Artikel Berkaitan: Penyakit Asma dan Rawatan

6. Menghalang Penyakit Alzheimer

Penyakit Alzheimer merupakan penyakit yang mempunyai pilihan rawatan yang terhad dan tidak dapat disembuhkan. Salah satu petunjuk untuk penyakit Alzheimer adalah pesakit tersebut akan mudah lupa dan hilang ingatan. Ini akan menyebabkan pesakit tersebut memerlukan seseorang untuk menjaga mereka. Ikan keli mengandungi asid lemak Omega 3 dan pelbagai kajian telah membuktikan bahawa asid lemak Omega 3 membantu dalam menghalang penyakit Alzheimer daripada menjadi semakin serius.

Omega 3 mengandungi DHA yang diperlukan oleh sel membran sistem saraf untuk fungsi sistem saraf yang baik dan menghalang penyakit Alzheimer. Satu kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan yang mengandungi DHA seperti kekacang, buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan seperti ikan keli akan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Penyakit Alzheimer dan Rawatan

7. Mengurangkan Risiko Gangguan Kemurungan



Gangguan kemurungan adalah penyakit berkaitan dengan kecelaruan mental. Gangguan kemurungan terjadi kerana sitokin (protein yang terhasil daripada sistem imunisasi) mengurangkan kuantiti neuron dalam sistem saraf di bahagian otak. Neuron pada bahagian otak tidak dapat menerima dan menghantar maklumat kepada organ lain. Terdapat kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan keli dapat mengurangkan risiko gangguan kemurungan dalam kalangan pesakit kanser paru-paru di Jepun.

Pengambilan Omega 3 dan Omega 6 mengurangkan risiko berlakunya kemurungan. Kajian lain menerangkan bahawa paras Omega 3 dalam pemakanan pesakit yang menghidap penyakit seperti skizofrenia dan kemurungan rendah. Kekurangan dalam pengambilan Omega 3 dan Omega 6 akan mencetuskan gangguan kemurungan dan kegelisahan.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda Kemurungan dan Rawatan

8. Mengurangkan Simptom Penyakit ADHD

Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif adalah kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Terdapat tiga jenis keadaan iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan menurut kata hati. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan keli dapat meningkatkan paras asid lemak Omega 3 dalam darah. Ini kerana pesakit ADHD mengandungi paras asid lemak Omega 3 yang rendah berbanding kank-kanak yang sihat.

Makanan tambahan Omega 3 akan mengurangkan simptom ADHD. Omega 3 meningkatkan daya tumpuan dalam menyiapkan sesuatu tugasan. Omega 3 juga mengurangkan hiperaktif, impulsif, agresif dan keletihan. Kajian terbaru menunjukkan bahawa makanan tembahan minyak ikan adalah salah satu rawatan terbaik untuk pesakit ADHD.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda ADHD dan Rawatan

9. Menguatkan Tulang Dan Sendi



Ikan keli juga dikatakan membantu dalam menguatkan tulang dan sendi. Osteoporosis dan artritis adalah dua penyakit yang berkaitan dengan sistem rangka. Ini kerana kandungan Omega 3 yang meningkatkan kekuatan tulang dengan meningkatkan paras kalsium dalam tulang. Ini akan mengelakkan daripada berlakunya osteoporosis. Omega 3 juga mampu untuk merawat artritis. Pesakit artritis yang mengambil makanan tambahan Omega 3 menunjukkan bahawa mereka tidak lagi mengalami kesakitan pada bahagian sendi dan meningkatkan kekuatan sendi untuk bergerak dengan lebih mudah.

Artikel Berkaitan: Punca Osteoporosis dan Rawatan

10. Melawan Penyakit Autoimun

Penyakit autoimun (AI) adalah penyakit dimana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri. Ini berlaku kerana sistem imun badan gagal mebezakan sel atau tisu badan dan menganggap sel tersebut adalah sel asing.

Disebabkan kegagalan tersebut, maka ia boleh menyerang pelbagai organ dan tisu. Kencing Manis Jenis 1 adalah salah satu contoh dimana sistem imunisasi telah menyerang sel yang menghasilkan insulin pada pankreas. Pengambilan ikan keli dapat menghalang penyakit ini kerana mengandungi Omega 3.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan keli dapat meningkatkan paras Omega 3. Ini akan mengurangkan risiko penyakit penyakit autoimun seperti sklerosis, penyakit Kron dan psoriasis.

Artikel Berkaitan: Punca Penyakit Autoimun dan Rawatan

Kesimpulan

Kesedaran terhadap kelebihan pengambilan ikan keli dalam diet seharian perlu diperbanyakkan lagi. Penternak ikan keli harus lebih agresif dalam strategi pemasaran untuk meningkatkan kesedaran mengenai khasiat ikan keli terhadap kesihatan tubuh badan. Pihak kerajaan digalakkan untuk menyediakan bantuan untuk penternak ikan keli dan menggalakan lagi promosi kepentingan ikan keli terhadap kesihatan. Mungkin, para pembaca boleh memulakan langkah dan mengatur strategi untuk memulakan perniagaan sebagai penternak ikan keli.



Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat Timun JepunKhasiat Buah Ciku
Khasiat KeladiKhasiat Air Halia
Khasiat Bunga CengkihKhasiat Ketumbar
Khasiat Air LemonKhasiat Belut
Khasiat Limau PurutKhasiat Air Kelapa
Khasiat PetaiKhasiat Air Barli
Khasiat Ikan BilisKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Minyak Kelapa DaraKhasiat Jering
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Serai
Khasiat Ikan KeliKhasiat Minyak Argan

Rujukan:

  1. Ajayi, O.A. (2012). Bacteriological Study Of Catfish, Claria Gariepinus, From Fish Pond Sources In Akungba-Akoko Community, Nigeria. British Micrbiology   Research Journal, 2(1), 1-9.
  2. Harvard Medical School. (2019). No Need To Avoid Health Omega-6 Fats. Harvard Health Publishing.
  3. Hjalmarsdottir, F. (2018). 17 Science-Based Benefits of Omega-3 Fatty Acids. Healthline.
  4. Miyata, J., & Arita, M. (2015). Role of Omega-3 Fatty Acids and Their Metabolites In Asthma and Allergic Diseases. Allergology International, 64, 27-34.
  5. Oyewole, O.E., & Amosu, A.M. (2012). Nutritional Considerations and Benefits   Associate with Consumption of Catfish in South-West Nigeria. Annals of Biological Research, 3(8), 4094-4098
  6. Swanson, D., Block, R., & Mousa, S.A. (2012). Omega-3 Fatty Acids EPA and DHA: Health Benefits Throughout Life. Advanced Nutrition, 3, 1-7. 
  7. Synder, C. (2020). Is Catfish Healthy? Nutrients, Benefits, and More. Healthline. 
  8. Wallin, A., Di Giuseppe, D., Orsini, N., Akesson, A., Forouhi, N.G., & Wolk, A.   (2017). Fish Consumption and Frying of Fish in Relation to Type 2 Diabetes Incidence: A Prospective Cohory Study of Swedish Men. Europe Journal Nutrition, 56, 843-852.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve − 10 =