Sayur kangkung menjadi sayur pilihan ramai kerana ia mudah didapati dan dijual pada harga yang murah di pasaran. Namun begitu ia dipenuhi dengan pelbagai nutrisi dan memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Artikel ini akan membincangkan 10 khasiat kangkung kepada tubuh badan.
Pengenalan
Ipomoea spp. atau lebih dikenali sebagai kangkung adalah sayur berdaun hijau yang mudah ditanam dan boleh dijumpai di hampir merata tempat terutamanya kawasan berair. Ia merupakan tanaman popular di beberapa negara di Asia Tenggara seperti Taiwan, Singapura, Indonesia dan Malaysia. Terdapat dua jenis kangkung yang ditanam di Malaysia iaitu kangkung darat (Ipomoea reptans) dan kangkung air (Ipomoea aquatica). Kangkung darat yang berdaun kecil panjang ditanam di atas tanah darat dan tumbuh secara menegak. Kangkung air pula berdaun lebar dan tumbuh di dalam parit atau paya. Semua bahagian sayur kangkung yang muda termasuk daun dan batang boleh dimakan.
Kandungan Nutrisi
Semua sayuran yang berdaun hijau mengandungi pelbagai nutrisi termasuklah sayur kangkung. Kangkung kaya dengan vitamin dan mineral dan juga merupakan sumber serat yang baik. Selain itu, ia juga rendah dengan kalori dan lemak.
Berdasarkan data daripada United States Department of Agriculture, 100g kangkung mengandungi:
Nutrisi | Jumlah | RDA |
Tenaga | 19 kcal | 1 % |
Karbohidrat | 3.14 g | 2% |
Protein | 2.6 g | 4.50% |
Lemak | 0.20 g | 1% |
Serat | 2.1 g | 5.50% |
Folat | 57 ug | 14% |
Vitamin A | 63100 IU | 210% |
Vitamin C | 55 mg | 92% |
Zat besi | 1.67 | 21% |
Kalsium | 77 mg | 8% |
Magnesium | 71 mg | 18% |
Kalium | 312 mg | 6.60% |
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Komponen berkhasiat dalam Kangkung
1. Karotenoid
Karotenoid adalah pigmen tumbuhan yang menghasilkan warna kuning, oren dan merah kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Warna karotenoid dalam sayuran hijau seperti kangkung tidak dapat dilihat kerana mengandungi klorofil hijau. Karotenoid bersifat antioksida dan mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan. Antara karotenoid dalam sayur kangkung adalah:
Karotenoid | Fungsi |
Violaxanthin | Melindungi dan mencegah daripada kanser |
Lutein | Memelihara kasihatan mata |
Beta-karotena | Memelihara kesihatan mata |
2. Flavonoid
Flavonoid adalah kumpulan fitonutrien (nutrient yang dihasilkan oleh tumbuhan) terbesar yang terdapat di dalam hampir semua tumbuhan. Antara kandungan flavonoid tertinggi dalam kangkung adalah:
Flavonoid | Fungsi |
Myricetin | Mencegah komplikasi diabetes |
Quercetin | Antiradang, mengawal kadar gula dalam darah, mencegah kanser dan penyakit jantung |
Luteolin | Meningkatkan sistem imun badan dan mencegah kanser |
Apignen | Mengawal tekanan darah dan mencegah kanser |
10 Khasiat Kangkung Kepada Kesihatan
1. Menurunkan Kolesterol
Satu kajian telah membuktikan kesan positif pengambilan sayur kangkung ke atas metabolisme kolesterol di dalam tikus. Tikus yang diberi sayur kangkung menunjukkan bacaan kolesterol dalam darah yang lebih rendah berbanding tikus yang tidak diberi sayur kangkung. Kajian itu mencadangkan bahawa kandungan sterol yang tinggi dalam sayur kangkung mampu menurunkan kolesterol jahat dalam darah secara semula jadi.
Artikel Berkaitan: Punca Masalah Kolesterol Tinggi
2. Melindungi jantung
Selain boleh menurunkan kolesterol di dalam darah, kangkung mengandungi pelbagai nutrien yang baik untuk jantung. Kandungan nutrien berkhasiat seperti vitamin A, vitamin C dan Beta karotena yang tinggi boleh menghalang pengoksidaan kolesterol dengan berfungsi sebagai antioksida. Ini boleh menghalang penyumbatan arteri-arteri dan menurunkan risiko penyakit jantung. Selain itu, folat di dalam kangkung boleh menurunkan kadar homosistein di dalam darah yang mana dalam jumlah yang tinggi boleh menyebabkan serangan jantung atau strok.
Artikel Berkaitan: Tanda Anda Mengalami Sakit Jantung
3. Melindungi daripada penyakit hati dan jaundis
Kajian menunjukkan kangkung boleh melindungi daripada penyakit hati dan menurunkan bacaan ujian fungsi hati. Peranan kangkung dalam memelihara kesihatan hati adalah dengan mengaktifkan sistem enzim hati yang akan membersihkan hati (detoks) dari toksin dan racun. Selain itu, kangkung juga mempunyai sifat antikosida dan antiradang yang boleh mencegah kerosakan hati akibat radikal bebas.
Artikel Berkaitan:
4. Mencegah Anemia
Salah satu khasiat kangkung adalah ia boleh mencegah anemia. Kandungan zat besi yang tinggi di dalam sayur kangkung menyebabkan sayur ini sering disyorkan kepada pesakit anemia. Zat besi penting untuk pembentukan sel darah merah. Disebabkan ini, kangkung juga baik untuk ibu mengandung bagi memenuhi keperluan zat besi yang lebih tinggi.
Artikel Berkaitan: Tanda dan Punca Kurang Darah Merah
5. Membantu sistem penghadaman
Sayuran seperti kangkung yang tinggi dengan serat tidak larut baik untuk sistem penghadaman. Ia dapat membantu melancarkan pergerakan usus dan mengelakkan daripada sembelit.
6. Mencegah penyakit diabetes
Kajian telah menunjukkan pengambilan sayur kangkung dapat menurunkan bacaan gula dalam darah di dalam tikus diabetes dan juga pesakit diabetes. Peranan kangkung dalam mencegah penyakit diabetes adalah dengan melambatkan penyerapan gula ke dalam darah dan membantu mengangkut gula dalam darah ke dalam sel-sel badan. Pemberian ekstrak kangkung kepada tikus makmal menunjukkan keberkesanan penurunan bacaan gula yang sama seperti ubat diabetes. Namun lebih banyak lagi kajian diperlukan untuk menunjukkan kesan yang sama kepada pesakit diabetes.
Artikel Berkaitan: Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Kencing Manis
7. Mencegah Kanser
Pemilihan makanan adalah faktor penting yang perlu diberi perhatian oleh pesakit kanser. Kangkung adalah salah satu pilihan makanan yang digunakan dalam rawatan tradisional untuk mencegah dan merawat kanser. Malahan, kajian in vitro (ke atas sel dalam piring petri) menunjukkan kangkung memberi kesan sitotoksik kepada sel-sel kanser buah pinggang, jantung dan juga larink (peti suara).
Sitotoksik= mengakibatkan kerosakan sel
8. Memelihara kesihatan mata
Kangkung mengandungi karotenoid, lutein, zeaxanthin dan vitamin A yang penting untuk kesihatan mata. Lutein dan zeaxanthin boleh melindungi daripada penyakit mata seperti degenerasi macula yang menyebabkan gangguan penglihatan pusat pada orang tua. Kajian menunjukkan dua komponen ini menapis cahaya biru berbahaya dan memelihara kesihatan macula. Selain itu, kajian menunjukkan pengambilan lutein daripada sayuran berdaun hijau seperti kangkung dikaitkan dengan penurunan penyakit katarak (kekaburan kanta mata).
Artikel Berkaitan: Punca Masalah Katarak
9. Menguatkan sistem imun badan
Kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral, sayur kangkung juga boleh melindungi dan meningkatkan sistem imun badan. Kandungan vitamin A, vitamin C, vitamin E, magnesium dan zink yang tinggi dapat membantu melawan jangkitan dan menghasilkan sel-sel yang diperlukan bagi menyokong sistem ketahanan badan.
10. Menguatkan tulang
Salah satu khasiat kangkung adalah ia boleh menguatkan tulang. Nutrien seperti kalsium dan magnesium sangat penting untuk mengekalkan kesihatan tulang dan gigi. Setiap 100g kangkung memenuhi 8% keperluan kalsium dan 18% keperluan magnesium dalam sehari. Pengambilan kangkung yang kerap boleh menghalang daripada osteoporosis atau kerapuhan tulang.
Kesimpulan
Akhir sekali, daripada perbincangan di atas jelaslah bahawa sayur kangkung membawa pelbagai kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Jika anda sudah mengalami sebarang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit lain, sayur kangkung bukanlah menjadi alternatif kepada ubat anda. Anda perlulah meneruskan penggunaan ubat dan meminta nasihat doktor. Diharapkan artikel khasiat kangkung ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para pembaca.
Khasiat Makanan Yang Lain
Rujukan:
- Alkiyumi, S. S., Abdullah, M. A., Alrashdi, A. S., Salama, S. M., Abdelwahab, S. I., & Hadi, A. H. A. (2012). Ipomoea aquatica Extract Shows Protective Action Against Thioacetamide-Induced Hepatotoxicity. Molecules, 17(5), 6146–6155.
- Chen, M.-L., Chia, D.-F., & Run, J.-Q. (1984). Effect of Dietary Vegetable (Water Convolvulus) on Cholesterol Metabolism in Rats. The Journal of Nutrition, 114(3), 503–510.
- Ipomoea aquatica, An Underutilized Green Leafy Vegetable:A Review. (n.d.). Science Alert.
- Prasad, K., Godavarthi, A., Hariharapura, R., Shivamurthy, G., Vijayan, P., & Aradhya, S. (2005). Research Letter—In vitro cytotoxic properties of Ipomoea aquatica leaf. Indian Journal of Pharmacology (ISSN: 0253-7613) Vol 37 Num 6, 37.