Apakah punca kepada masalah payudara bengkak dan rawatannya? Artikel ini akan menerangkan dengan lengkap berkenaan dengan punca, rawatan dan tips untuk mengurangkan bengkak tersebut.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Payudara terdiri daripada 4 tisu utama iaitu tisu lemak, kelenjar dan saluran susu dan connective tissue.
Tisu lemak terdedah kepada perubahan kandungan air dalam badan. Ini akan menyebabkan payudara membengkak, dan menyebabkan sakit dan rasa tidak selesa. Perubahan pada tisu yang lain juga boleh menyebabkan payudara membengkak.
Punca payudara bengkak
Terdapat pelbagai keadaan yang boleh menyebabkan payudara membengkak, ia boleh terdiri daripada keadaan yang tidak serius sehingga yang membahayakan.
1. Premenstrual Syndrome(PMS)
Premenstrual syndrome adalah satu kumpulan simptom yang dialami oleh wanita sebelum kitaran haid bermula. Pada waktu ini, hormon estrogen meningkat dan menyebabkan kelenjar dan saluran susu membesar. Ini seterusnya menyebabkan pengumpulan air di dalam struktur tersebut menyebabkan payudara membengkak. Simptom akan reda setelah haid bermula.
2. Kanser Payudara
Kanser payudara juga boleh menjadi salah satu simptom payudara membengkak. Terdapat beberapa jenis kanser payudara seperti inflammatory ataupun jenis keradangan yang menyebabkan saluran limfa tersumbat dan menyebabkan payudara membengkak. Ketumbuhan di dalam tisu payudara juga boleh menyebabkan benjolan yang keras dan sakit.
3. Ubat-ubatan
Ubatan seperti pil perancang yang mengandungi jumlah estrogen yang banyak. Seperti di atas, estrogen ini akan merangsang dan meningkatkan kalenjar susu supaya ia membesar. Perkara ini juga boleh menyebabkan payudara membengkak
4. Perubahan sewaktu kehamilan
Ketika hamil, badan akan cuba menggalakkan pembesaran payudara untuk bersedia bagi kelahiran dan penyusuan bayi. Hormon estrogen dan prolactin kedua-duanya akan membantu dalam menyediakan kalenjar susu yang matang untuk penghasilan susu.
5. Perubahan setelah proses kelahiran
Ketika kelahiran hormon prolactin akan meningkat dengan banyaknya ketika proses penyusuan. Ini akan merangsang kalenjar susu untuk menghasilkan lebih banyak susu.
Oleh kerana itu, jika ibu tidak memberikan susu pada anaknya dengan kerap, maka prolactin akan semakin berkurangan dan penghasilan susu juga akan berkurangan hinggalah ia berhenti.
6. Jangkitan kalenjar susu
Jangkitan kalenjar susu juga dikenali sebagai Mastitis dan ia sering dialami oleh ibu menyusu. Perkara ini juga akan menyebabkan payudara membengkak. Selain itu, pesakit juga akan mengalami sakit pada payudara, demam, rasa letih dan sebagianya.
7. Penyakit fibrocystic
Penyakit fibrocystic iaitu dimana terjadinya ketulan atau benjolan cyst yang keras dalam tisu payudara. Ia merupakan ketumbuhan tidak berbahaya dan ia bukan kanser. Tetapi pemeriksaan perlulah dilakukan oleh doktor untuk mengesahkan bahawa ketulan tersebut bukanlah kanser.
8. Kafein dan garam
Pengambilan makanan atau minuman yang tinggi kafein dan garam kerana ia menyebabkan pengumpulan air dalam badan seperti kopi, teh dan makanan segera. Masalah ini jarang berlaku disebabkan makanan kecuali pesakit sudah mempunyai masalah seperti masalah buah pinggang ataupun hati.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom yang berkaitan
Payudara yang membengkak akan menyebakan beberapa perubahan fizikal seperti payudara tampak lebih besar. Saluran darah di bawah kulit juga menjadi semakin jelas.
Simptom lain termasuk:
- Rasa berat pada payudara
- Rasa sakit dan tidak selesa di sekitar kawasan payudara sehingga ke kawasan ketiak
- Perubahan pada kulit dan struktur payudara seperti kemerahan, kulit kering, benjolan
- Rasa hangat pada payudara
- Ketulan atau benjolan yang keras
Ujian Pengesanan Punca
Bagi mengenal pastu punca disebalik payudara membengkak, doktor akan memerlukan maklumat yang terperinci mengenai simptom anda seperti kitaran haid anda dan sejarah kanser dalam keluarga.
1. Pemeriksaan Fizikal
Doktor akan memeriksa payudara dan ketiak untuk sebarang benjolan atau ketulan. Benjolan dibahagian payudara dan ketika boleh menjadi tanda kepada masalah kanser. Oleh itu, pemeriksaan lain juga perlu dilakukan
2. Pengimejan
Ujian Pengimejan akan dilakukan pada bahagian payudara untuk mengenalpasti ketulan dalam payudara. Ia juga penting untuk memberi gambaran sama ada ketulan tersebut mungkin disebabkan kanser ataupun tidak
Bila Perlu Berjumpa doktor?
Payudara membengkak sekitar waktu kitaran haid adalah normal dan tidak akan mengganggu hidup anda. Namun begitu, jika bengkak menjadi semakin sakit ketika kitaran haid, anda perlu berjumpa doktor.
Anda juga perlu berjumpa doktor apabila terdapat perubahan berikut pada payudara:
- Luka pada puting
- Perubahan warna pada puting dan kulit sekitar
- Payudara membengkak sehingga menyukarkan proses penyusuan
- Ketulan atau benjolan yang mengeras dan tidak berkaitan dengan kitaran haid
- Luka pada kawasan payudara yang tidak sembuh
- Keluar lelehan dari puting
Rawatan payudara bengkak
Rawatan yang doktor beri akan bergantung kepada punca payudara membengkak.
1. Ubat Antibiotik
Jika pesakit sedang mengalami jangkitan pada bahagian payudara hingga menyebabkan ia bengkak, maka pesakit perlulah mengambil ubat antibiotik untuk mengawal dan membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan tersebut.
2. Ubat Tahan sakit
Ubat tahan sakit ini bukanlah penyelesaian penuh untuk mengawal masalah ini. Jika payudara mengalami masalah sakit dan bengkak, maka ubat ini dapat mengawal keradangan dan sakit yang sedang berlaku.
3. Ubat Hormon
Jika payudara membengkak disebabkan kitaran haid dan pre-menstrual syndrome, doktor akan memberikan anda pil hormon bagi melegakan bengkak dan simptom PMS yang lain
4. Pembedahan
Jika doktor mengesyaki kanser payudara, anda akan diberikan rawatan bergantung kepada tahap dan lokasi kanser. Ini termasuk rawatan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
Cara untuk mengurangkan simptom payudara bengkak
Berikut merupakan tips yang boleh diamalkan di rumah bagi melegakan payudara membengkak:
- Memakai bra yang sesuai dan mempunyai fungsi sokongan
- Meletakkan tuala hangat ataupun pek ais di kawasan payudara selama 10 minit
- Mengambil ubat tahan sakit ibuprofen dari farmasi
- Mengurangkan pengambilan kafein dan garam yang banyak dalam makanan dan minuman
- Mengamalkan diet yang sihat
Ujian saringan kanser payudara
Memandangkan payudara yang membengkak boleh terjadi disebabkan kanser payudara, ujian mammogram secara berkala digalakkan kepada wanita berusia 45 tahun ke atas bagi mengesan tanda tanda awal kanser.
Ujian ini boleh didapati di klinik klinik kesihatan kerajaan dan swasta.
Pembacaan bagi masalah yang lain
Rujukan
- Breast Swelling – Healthline