Skip to content

10 Khasiat Bunga Telang pada Kesihatan

Anda biasa menikmati nasi kerabu? Tahukah anda apa khasiat bunga telang selain memberi warna kepada makanan? Artikel ini akan membincangkan khasiat bunga telang untuk kesihatan.

Pengenalan

Bunga telang merupakan bunga yang cantik berwarna ungu kebiruan dan mekar sepanjang tahun. Di Malaysia, bunga telang sangat popular dalam penggunaan mewarnakan makanan dan kuih muih. Penggunaannya lebih meluas di Pantai Timur, terutamanya dalam penyediaan nasi kerabu. Dalam kalangan masyarakat cina, bunga telang turut digunakan dalam penyediaan manisan.

Bunga ini juga dikenali dengan nama lain iaitu blue-pea atau Asian pigeonwings. Manakala nama saintifiknya Clitoria ternatea, merupakan tumbuhan dari keluarga Fabaceae dan biasanya terdapat di seluruh Asia Tenggara. Tanaman ini berasal dari benua Asia yang beriklim tropika khatulistiwa, tetapi telah diperkenalkan ke Afrika, Australia dan Amerika.



Bunga telang boleh membiak dengan cara keratan batang atau biji. Sifatnya yang menjalar menjadikannya sesuai untuk tanaman pagar ataupun sebagai tanaman untuk pasu gantung.

Selain digunakan untuk makanan dan tanaman hiasan, bunga telang ni juga banyak khasiatnya yang mungkin jarang diketahui ramai.

Kandungan Nutrisi

Jabatan Teknologi Makanan Universiti Sains Malaysia telah menjalankan ujian proximate analysis dan Inductively Coupled Plasma Optical Emission Spectrophotometer (ICP-OES) untuk mengetahui kandungan nutrisi yang terdapat dalam bunga telang. Rajah di bawah menunjukkan pembahagian komposisi nutrient bunga telang:-

Makronutrien

  • Karbohidrat: 2.23%
  • Protein: 0.32%
  • Lemak: 2.5%

Mikronutrien

  • Kalsium: 3.09g
  • Kalium” 1.23mg
  • Natrium: 0.14mg
  • Magnesium: 2.23mg
  • Zink: 0.59mg
  • Zat Besi: 0.144kg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Berkhasiat dalam Bunga Telang



Warna biru bunga telang bukan sahaja mencantikkan tetapi juga terdapat pelbagai manfaat untuk kesihatan. Kandungan bahan aktif yang tinggi dalam bunga telang ini meningkatkan potensi farmokalogi yang luas. Antosianin merupakan suatu senyawa yang membentuk zat warna semulajadi pada tumbuhan ini, memberikan warna biru keunguan. Senyawa ini mempunyai sifat antioksidan yang amat bermanfaat untuk kesihatan tubuh.

Antosianin merupakan salah satu jenis flavonoid, bahan aktif yang biasa terdapat dalam pelbagai ubat- ubatan tradisional. Ianya berfungsi sebagai bantuan untuk meningkatkan kesan vitamin C dan antioksidan yang sangat baik untuk tubuh. Selain itu, dapat memperbaiki sel yang rosak akibat radikal bebas.

Tanaman ini diketahui sangat kaya dengan kandungan fitokimia lain, seperti saponin, tanin, triterpenoid, plobatanin, fenol, steroid, alkaloid, antrakuinon dan flavonol glikosida. Semua kandungan fitokimia di dalam tumbuhan herba ini juga bersifat antioksidan, anti- radang,  anti- kanser, anti- mikrobial dan anti- diabetik.

10 Khasiat Bunga Telang Kepada Kesihatan

1. Baik untuk pesakit Diabetes

Bunga telang mengandungi antioksidan tinggi yang mana boleh mencegah terjadinya rintangan insulin yang memicu diabetes. 

Selain itu, kajian pada tahun 1990 telah mengaitkan kesan bunga telang terhadap paras gula haiwan. Mereka mendapati bunga telang mempunyai kesan antidiabetik. Ekstrak etanol dari bunga tumbuhan ini menghalang aktiviti dua jenis gula iaitu β-galactosidase dan α-glucosidase.

Adalah sangat penting untuk penghidap diabetes mengawal paras gula dalam darah. Dengan mengamalkan bunga telang dalam pemakanan mampu menjaga gula dalam darah agar lebih stabil.

Satu jurnal mencatatkan bahawa ekstrak air daun dan bunga dari bunga telang secara signifikan mengurangi paras glukosa dalam darah dan meningkatkan penghasilan insulin [1].



2. Mencegah kanser

Kandungan bahan aktif dalam bunga telang dapat menembusi membran sel kanser dan menghalang pertumbuhannya. Rantaian peptida, cyclotida dalam bunga ini juga sangat bermanfaat untuk melawan kanser. Banyak penyelidikan telah dilakukan untuk mengaitkan kebaikan bunga telang sebagai antikanser. Kebanyakkannya masih di peringkat awal.

Satu kajian pada 2019 menyatakan bahawa bunga ini mengandungi sebatian taraxerol yang bersifat antikanser [2]. Di samping itu, Taraxerol juga termasuk dalam kategori sebatian triterpenes, merupakan bahan yang sering digunakan untuk menghasilkan ubat antiradang.

3. Menyihatkan rambut

Warna biru keunguan bunga telang adalah disebabkan kandungan antosianin yang dimilikinya. Bukan sekadar memberi warna, bahan antosianin ini amat bermanfaat untuk kesihatan rambut. Antosianin berfungsi untuk membantu rambut tumbuh dengan sihat.

Bunga telang juga kerap kali dijadikan ramuan dalam produk syampu dan pelembap rambut. Hal ini kerana, ia mempunyai sifat yang menyuburkan folikel rambut, menggalakkan pertumbuhan rambut dan mengurangkan keguguran rambut.

Artikel Berkaitan: Punca Rambut Gugur

4. Menjaga fungsi penglihatan



Khasiat bunga telang berikutnya adalah untuk kesihatan mata. Jika ada diantara para pembaca yang mengalami masalah seperti mata kering atau penglihatan sedikit kabur, bolehlah cuba mengamalkan teh bunga telang. Hal ini kerana daun bunga telang diyakini mempunyai beragam manfaat untuk kesihatan mata.

Daun tumbuhan ini mempunyai kandungan seperti saponin, flavonoid, alkaloid dan oksalat yang terbukti berkhasiat untuk pancaindera penglihatan. Khasiatnya bukan sahaja pada daun, malah akarnya juga biasa digunakan untuk merawat penyakit mata. Sebuah kajian yang dijalankan terhadap ekstrak bunga telang mendapati bahawa bunga telang membantu mengubati jangkitan pada mata seterusnya mencegah penyakit konjunktivitis [3].

5. Sebagai agen anti- penuaan

Bunga telang telah lama digunakan sebagai salah satu petua semula jadi untuk kekal awet muda. Bunga cantik ini mengandungi jumlah antioksidan yang tinggi serta pelbagai vitamin A, C dan E yang baik untuk kulit.

Oleh itu, khasiat bunga ini boleh bertindak sebagai pelindung kulit dari irritasi, bakteria dan alergik. Jadi, tanpa produk mahal pun, kita boleh mengamalkan bunga telang untuk kecantikan di samping mendapat efek anti- penuaan.

6. Bersifat anti- bakteria

Banyak kajian mencadangkan penggunaan bunga telang untuk mengatasi masalah yang melibatkan saluran pencernaan. Hal ini demikian kerana sifat anti- bakteria yang dimilikinya.

Ekstrak bunga telang diakui mengurangkan pembiakan bakteria seperti E.coli dan Klebsiella, yang biasa menjadi penyebab keracunan makanan.



Kajian lain ada yang menyokong penggunaan ekstrak bunga telang untuk menghilangkan bakteria berbahaya pada ikan.

6. Membantu meningkatkan kesihatan sistem pencernaan

Seperti yang dibicarakan, sifat anti- bakteria bunga telang boleh membantu mengatasi masalah pencernaan termasuk keracunan makanan. Teh bunga telang juga kerap diamalkan sebagai minuman untuk membantu proses detoksifikasi badan.

Sekiranya boleh dipraktikkan bersama pengambilan buah dan sayuran yang tinggi serat, sudah pasti sistem pencernaan lebih optimal.

8. Untuk Penjagaan Dalaman Wanita

Tumbuhan ini kerap kali dikaitkan mempunyai pengaruh terhadap kewanitaan. Bunga telang sudah digunakan secara tradisional untuk mengatasi masalah ketidaksuburan dan memperbaiki kitaran haid agar lebih baik.

Penelitian dari Journal of Traditional and Complimentary Medicine, bunga telang mampu membantu mengatasi masalah reproduksi dalam kalangan wanita dan masalah kitaran haid yang tidak teratur. Selain itu, bunga telang juga bagus untuk mengurangkan masalah keputihan [4].

9. Merangsang memori dan baik untuk Otak



Tahap perhubungan sel- sel di bahagian otak seseorang individu menentukan tahap kesihatannya. Penghasilan asetilkolin sejenis neurotransmitter, berperanan untuk merangsang sel- sel untuk berhubung. Ianya penting untuk sel saraf dan membnantu dalam pembentukan memori dan daya ingatan yang baik.

Sudah terdapat beberapa kajian terhadap haiwan, yang menunjukkan bahawa bunga telang boleh meninggikan kadar penghasilan asetilkolin pada otak. Manakala kurang penghasilan asetilkolin seiring dengan usia akan menyebabkan masalah nyanyuk.

Oleh itu, pengambilan bunga ini boleh merangsang keupayaan dan kesihatan otak. Tinjauan terhadap beberapa kajian juga menyokong khasiat bunga telang untuk menguatkan daya ingatan seseorang [5].

10. Mengatasi masalah sukar tidur (insomnia)

Bunga telang yang kering dan diolah menjadi teh sangat baik untuk mereka sering menghadapi insomnia. Ianya adalah sejenis gangguan tidur yang meyebabkan seseorang sukar untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Hal ini menyebabkan individu ini kurang produktif dalam melakukan aktiviti keesokannya.

Bunga telang mampu merangsang produksi dopamine, yang dipercayai boleh mengurangkan rasa tertekan seterusnya menjadikan tidur lebih nyenyak. Rutin meminum teh bunga telang sebelum waktu tidur boleh dipraktikkan untuk memperoleh manfaat ini. Jangan risau, teh ini tidak mempunyai kafein yang boleh mengganggu pola tidur.

Akhir sekali, itulah beberapa manfaat yang kita boleh dapati daripada bunga telang. Walaubagaimanapun, untuk memaksimalkan apa jua manfaat ianya perlulah diamalkan secara berterusan. Jadi, cubalah masukkan bunga telang sebagai amalan pemakanan seharian kita.

Artikel Berkaitan: Susah Tidur Malam



Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat LatokKhasiat Rumpai Laut
Khasiat SaffronKhasiat Manjakani
Khasiat HalbaKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat TemulawakKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Teh HijauKhasiat Bunga Telang
Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Beras Perang
Khasiat TempeKhasiat Jintan Manis
Khasiat Lada HitamKhasiat Kopi
Khasiat Cuka EpalKhasiat Minyak Ikan
Khasiat Kacang KudaKhasiat Buah Pelaga

Rujukan:

  1. Rajathi. M. & Daisy, P. (2009). Hypoglycemic Effects of Clitoria ternatea Linn. (Fabaceae) in Alloxan-induced Diabetes in Rats. Tropical Journal of Pharmaceutical Research 8(5) 
  2. Oguis, G. K., Gilding, E. K., Jackson, M. A., & Craik, D. J. (2019). Butterfly Pea (Clitoria ternatea), a Cyclotide-Bearing Plant With Applications in Agriculture and Medicine. Frontiers in plant science10, 645.
  3. Anthika, B., Samuel, P. & Sutanto, H. (2015). Ultrasonic Approach in Clitoria ternatea (Butterfly Pea) Extraction in Water and Extract Sterilization by Ultrafiltration for Eye Drop Active Ingredient. Procedia Chemistry. 16 (237-244)
  4. Balamurugan, S., Vijayakumar, S., Prabhu, S., & Morvin Yabesh, J. E. (2017). Traditional plants used for the treatment of gynaecological disorders in Vedaranyam taluk, South India – An ethnomedicinal survey. Journal of traditional and complementary medicine8(2), 308–323.
  5. Kosai, P., Sirisidthi, K., Jiraungkoorskul, K. & Jiraungkoorskul, W. (2015). Review on Ethnomedicinal uses of Memory Boosting Herb, Butterfly Pea, Clitoria ternatea. Journal of Natural Remedies 15(2):71
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 + 15 =