Skip to content

10 Khasiat Latok untuk Kesihatan

Apakah khasiat latok pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat latok, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Pengenalan

Latok atau nama saintifiknya Caulerpa Lentillifera juga dikenali sebagai rumpai laut anggur kerana bentuk fizikalnya yang menyerupai anggur. Di Malaysia, Latok amat popular dalam kalangan masyarakat di Sabah kerana merupakan salah satu makanan laut tradisi bagi masyarakat Bajau Laut dan Sulu. Latok menjadi makanan laut pilihan bukan hanya bagi masyarakat di Sabah, Malaysia tetapi juga menjadi pilihan di banyak negara lain dengan pelbagai nama seperti lato atau arosep (Filipina), bulung (Indonesia), rong nho (Vietnam), dan umi-budo (Jepun).

Latok ialah sejenis rumpai laut berwarna hijau yang lembut dan berjus (sukulen) dari keluarga alga natif yang tumbuh di kawasan perairan Indo-Pasifik. Ianya tumbuh menjalar dan mengeluarkan pucuk dan akar pada bahagian hujung dan boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 10 cm. Disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran, kini latok banyak diternak di pesisir pantai kepulauan Filipina dan Borneo di Asia Tenggara serta sekitar Kepulauan Okinawa, Jepun. Biasanya, latok akan dimakan segar dan mentah begitu sahaja sebaik ianya dituai.



Pengambilan latok juga mungkin menjadi salah satu sebab mengapa orang Okinawa di Jepun yang terkenal dengan masyarakat yang mempunyai jangka hayat paling tinggi di dunia hidup begitu lama. Hal ini kerana menurut Seaweed Industry Association (2014) penternakan latok telah bermula di Okinawa sejak tahun 1986.

Kandungan Nutrisi

Selain memiliki tekstur dan rasa yang enak untuk dimakan, latok juga kaya dengan kandungan nutrisi yang baik untuk kesihatan manusia secara menyeluruh. Latok merupakan sumber vitamin A, B, C, K dan beta-karoten yang baik. Selain itu, latok juga boleh menjadi sumber kalsium, zink dan zat besi yang baik. Berikut menunjukkan komposisi nutrien bagi 100g latok.

Makronutrien

  • Kalori: 4kcal
  • Karbohidrat: 1.3g
  • Protien: 0.5g
  • Lemak: 0.1g

Mikronutrien

  • Vitamin A: 10μg
  • Vitamin B2: 0.01mg
  • Vitamin E: 0.2mg
  • Asid Folik: 4μg
  • Sodium: 330mg
  • Kalsium: 34mg
  • Kalium: 39mg
  • Magnesium: 51mg
  • Zat Besi: 0.8mg
  • Mangan:0.08mg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Latok

Sering diwar-warkan sebagai sumber kolagen yang utama, latok sebenarnya mengandungi kadar protein yang tinggi. Di mana protein ini yang akan menghasilkan sebanyak 25% kolagen secara semula jadi apabila diaktifkan di kulit.



Ekstrak latok, fucoidan pula merupakan polisakarida sulfat yang digunakan untuk memelihara kesihatan kerana sifat antioksidannya. Zat ini biasanya ditemukan pada kebanyakan spesies rumpai laut. Ia juga bermanfaat dari segi nutrisi yang mana dapat memenuhi keperluan nutrisi seharian, selain mengurangkan radang dan meningkatkan imunisasi badan.

Seterusnya, lignans dan beta- karoten yang terdapat dalam latok adalah salah satu ciri-ciri yang dapat menghapuskan sel-sel kanser. Menjadi salah satu manfaat kepada kesihatan, latok ini dikatakan dapat mengelakkan sel kanser daripada terbentuk.

10 Khasiat Latuk untuk Kesihatan

1. Meningkatkan sistem imunisasi badan

Latok berpotensi dalam membantu meningkatkan fungsi sistem imun badan daripada serangan penyakit dan melawan jangkitan.

Hal ini dibuktikan oleh kajian yang dijalankan pada tahun 2018 yang menunjukkan bahawa kompaun polisakarida yang terdapat dalam latok berupaya menggalakkan penghasilan sel- sel darah putih dan nitrik oksida yang akan meningkatkan keupayaan badan untuk melawan penyakit.

Selain itu, khasiat latok sebagai sumber prebiotik juga secara tidak langsung akan merangsang peningkatan kekebalan tubuh badan. 

2. Menguatkan tulang dan sendi

Sifat anti-keradangan yang dimiliki oleh latok memainkan peranan dalam menguatkan tulang dan sendi. Hal ini kerana latok kaya dengan protein, kalsium dan asid lemak tidak tepu yang terkandung di dalam kumpulan omega 3 (DHA, EPA, ALA). Tambahan pula, latok juga berkesan dalam meredakan keradangan dan mengurangkan gejala kerapuhan tulang.



Artikel Berkaitan: Osteoporosis (Panduan Lengkap)

3. Mengawal paras gula dalam darah

Penyakit diabetes atau kencing manis adalah berpunca daripada kenaikan gula dalam darah. Jika kandungan gula yang tinggi dalam badan dibiarkan dalam satu jangka masa yang lama, komplikasi yang lebih serius boleh berlaku. Sebagai contoh, penghasilan insulin boleh terganggu lalu mengakibatkan paras gula melebihi paras normal.

Latok berpotensi untuk membantu seseorang mengawal gula dalam darah sekaligus mencegah penyakit diabetes. Hal ini kerana, kajian yang telah dijalankan menggunakan estrak latok telah membuktikan bahawa latok dapat meningkatkan penghasilan insulin dan pengambilan gula dari dalam darah oleh sel lemak. Hal ini secara tidak langsung akan membantu menurunkan paras gula dalam darah.

Artikel Berkaitan: Kencing Manis(Panduan Lengkap)

4. Mencegah Kanser

Fucoidan sejenis kompaun yang terdapat di sel dinding rumpai laut, bersifat anti kanser selain membantu menguatkan sistem imunisasi badan. Kajian yang telah dijalankan juga menunjukkan bahawa oligosakarida yang terhasil daripada latok melalui rawatan asid mampu mengurangkan jumlah sel kanser payudara.

Hal ini kerana komponen yang terdapat di dalamnya boleh menyebabkan apoptosis (kematian sel) terhadap sel kanser.



5. Baik untuk kesihatan kulit

Lemak sihat yang terdapat di dalam latok ini juga dapat memberi kesihatan yang baik kepada kulit. Hal ini kerana lemak sihat ini dapat melindungi sel membran daripada kerosakan akibat radikal bebas yang membuatkan kulit lebih anjal dan cantik. Selain itu, latok mampu memproses kolagen dan bahan antioksidan dengan cekap yang menjadikannya bahan kosmetik semula jadi. Hal ini kerana ianya dapat membantu memperbaiki kulit, rambut dan melambatkan proses penuaan.

Di samping itu, latok juga mempunyai kebolehan higroskopik yang membantu menghidrat dan meningkatkan pengekalan air dengan hanya menggunakan lembapan yang diserap dari udara. Hal ini membantu kulit untuk kekal lembap. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kepekatan tinggi kaviar latok mempunyai kesan penghidratan yang mampu bertahan sehingga 24 jam selepas digunakan.

6. Mengawal berat badan

Latok dikatakan sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi gula yang lebih rendah tetapi mengandungi protein sayuran yang tinggi, vitamin C, kalsium, zink, zat besi dan asid lemak tak tepu. Hal ini menyebabkan ianya sesuai diambil untuk individu yang ingin mengurangkan berat badan.

7. Meningkatkan fungsi penglihatan

Latok mengandungi asid lemak tak tepu AA, LA, DHA, EPA dan ALA yang membantu meningkatkan fungsi penglihatan seseorang individu.

8. Menyumbang kepada kesihatan jantung



Latok juga berupaya menyumbang kepada kesihatan jantung kerana latok mengandungi asik lemak tidak tepu yang mampu mengurangkan kadar kolesterol, meningkatkan keanjalan salur darah, memelihara struktur kolagen arteri, lantas mencegah penyakit kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

9. Membaik pulih fungsi tiroid

Goiter atau pembesaran kelenjar tiroid yang tidak normal boleh dicegah dengan mengambil 150g latok yang membekalkan kira-kira 2 mg Iodin. Hal ini kerana latok yang membekalkan iodin dapat membantu menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi dalam badan dan menghapuskan goiter dengan cekap.

10. Bersifat antibakteria

Latok juga mempunyai potensi antibakteria yang sangat baik. Kajian yang dijalankan di Malaysia menunjukkan kesan positif latok sebagai antibakteria terhadap bakteria jenis staphlycoccus aureus dan Escherichia Coli (E.Coli) yang berpotensi menyebabkan jangkitan kulit atau keracunan makanan. Hal ini jelas membuktikan bahawa latok amat baik untuk mencegah kesan jangkitan bakteria.

Kesimpulannya, latok boleh dijadikan snek kerana kandungan iodin, zink, omega-3, kalsium, potasium dan vitamin yang tinggi amat ideal untuk kesihatan. Sesekali kita boleh alih selera dengan cuba mengambil latok dalam diet seharian.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat LatokKhasiat Rumpai Laut
Khasiat SaffronKhasiat Manjakani
Khasiat HalbaKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat TemulawakKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Teh HijauKhasiat Bunga Telang
Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Beras Perang
Khasiat TempeKhasiat Jintan Manis
Khasiat Lada HitamKhasiat Kopi
Khasiat Cuka EpalKhasiat Minyak Ikan
Khasiat Kacang KudaKhasiat Buah Pelaga

Rujukan



  1. Seaweed Industry Association. (2014). Caulerpa lentillifera.
  2. Manual on Seaweed Culture. Food and Agriculture Organization of the United Nations. ASEAN/UNDP/FAO Regional Small-Scale Coastal Fisheries Development Project.
  3. Kaur, M., Agarwal, C., & Agarwal, R. (2009). Anticancer and cancer chemopreventive potential of grape seed extract and other grape-based products. The Journal of nutrition, 139(9), 1806S–12S.
  4. Sun, Y., Gong, G., Guo, Y., Wang, Z., Song, S., Zhu, B., Zhao, L., & Jiang, J. (2018). Purification, structural features and immunostimulatory activity of novel polysaccharides from Caulerpa lentillifera. International journal of biological macromolecules, 108, 314–323.
  5. Sun, Y., , Liu, Y., , Ai, C., , Song, S., , & Chen, X., (2019). Caulerpa lentillifera polysaccharides enhance the immunostimulatory activity in immunosuppressed mice in correlation with modulating gut microbiota. Food & function, 10(7), 4315–4329.
  6. Sharma, B. R., & Rhyu, D. Y. (2014). Anti-diabetic effects of Caulerpa lentillifera: stimulation of insulin secretion in pancreatic β-cells and enhancement of glucose uptake in adipocytes. Asian Pacific journal of tropical biomedicine, 4(7), 575–580.
  7. Yap, W. F., Tay, V., Tan, S. H., Yow, Y. Y., & Chew, J. (2019). Decoding Antioxidant and Antibacterial Potentials of Malaysian Green Seaweeds: Caulerpa racemosa and Caulerpa lentillifera. Antibiotics (Basel, Switzerland), 8(3), 152.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + sixteen =