Skip to content

10 Khasiat Kacang Kuda Pada Kesihatan Badan

Apakah khasiat kacang kuda pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat kacang kuda, kandungan nutrisi dan juga kompaun sihat di dalamnya

Pengenalan

‘Pengambilan makanan yang berkhasiat akan membekalkan tenaga dan nutrisi kepada tubuh badan. Setiap sel dalam tubuh badan kita akan berterima kasih kepada kita kerana membekalkan makanan yang terbaik’, kata-kata dari seorang penulis buku bernama Karen Salmansohn.

Pengambilan nutrisi yang mencukupi dalam makanan adalah penting dalam kehidupan manusia. Tahukah anda bahawa makanan yang berasaskan tumbuhan membekalkan nutrisi yang meningkatkan tahap kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit.



Kacang kuda atau nama saintifiknya Cicer arientinum L. merupakan makanan asasi bagi negara-negara seperti Mexico, India, Myanmar, Turkey, Ethiopia dan Pakistan. Kacang kuda juga menjadi pilihan golongan vegetarian atau dikenali sebagai golongan yang hanya mengambil sayur-sayuran dan bijirin dalam diet seharian. Kacang kuda adalah sumber tenaga, protein, vitamin, mineral dan serat yang turut mengandungi bahan fitokimia.

Terdapat dua jenis kacang kuda iaitu desi dan kabuli. Kacang kuda jenis desi mempunyai biji yang kecil, berwarna gelap dan paling banyak ditanam di India sebagai makanan utama. Manakala kacang kuda jenis kabuli pula mempunyai biji yang besar dan berwarna cerah. Oleh itu, dalam artikel ini akan menerangkan kandungan nutrisi dan khasiat kacang kuda terhadap kesihatan tubuh badan manusia.

Kandungan Nutrisi

Kacang kuda mengandungi kalori sebanyak 334-437 kCal untuk setiap 100g jenis desi dan 357-446 kCal untuk setiap 100g jenis kabuli. Kacang kuda jenis kabuli mengandungi kalori yang lebih tinggi daripada desi. Pertubuhan Kesihatan Dunia mencadangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan polisakkarida larut seperti kacang kuda, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kebanyakan kekacang mengandungi kandungan nitrogen yang tinggi. Kandungan nitrogen yang tinggi bermaksud kandungan protein yang tinggi. Kacang kuda mengandungi protein kira-kira 16.7% hingga 30.6% untuk kacang jenis desi dan 12.6% hingga 29.0% untuk kacang kuda jenis kabuli. Protein adalah penting untuk membekalkan asid amino. Asid amino diperlukan untuk membaiki tisu dan menghasilkan enzim, antibodi dan hormon. Komposisi asid amino dalam kacang kuda adalah sekata dan merupakan pilihan sebagai makanan asasi.

Selain itu, kacang kuda mengandungi lipid atau lemak yang lebih tinggi berbanding produk kekacang yang lain. Kacang kuda jenis desi mengandungi 2.9 hingga 7.4% lipid manakala kacang kuda jenis kabuli mengandungi 3.4% hingga 8.8% lipid. Kandungan lemak dalam kacang kuda berasal dari lemak tepu jenis poli (62% hingga 67%), lemak tidak tepu jenis mono (19% hingga 26%) dan lemak tepu (12% hingga 14%) asid lemak. Kandungan lemak yang lebih sihat iaitu lemak tidak tepu jenis mono dan lemak tidak tepu jenis poli) berbanding lemak tepu menjadikan kacang kuda sebagai pilihan dalam mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung.



Kajian telah dijalankan untuk mengetahui kandungan nutrisi dalam dua jenis kacang kuda iaitu kacang kuda jenis desi dan kacang kuda jenis kabuli. Rajah dibawah menunjukkan kandungan nutrisi dalam kacang kuda untuk setiap 100g.

KomponenKacang Kuda Jenis DesiKacang Kuda Jenis Kabuli
Karbohidrat12.2 %8.78 %
Protein30.57 %29 %
Lemak7.4 %8.8 %
Serat56.3 %57.2 %
Vitamin A40 g49 g
Vitamin B1 (Thiamin)0.48 mg0.58 mg
Vitamin B2 (Riboflavin)0.21 mg0.106 mg
Vitamin B3 (Niasin)1.54 mg1.5 mg
Vitamin C4.0 mg
Vitamin E0.82 mg0.82 mg
Vitamin K9.0 g9.1 g

Rajah 1: Kandungan Nutrisi dalam 100g Kacang Kuda Jenis Desi dan Jenis Kabuli

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Kacang Kuda

Menarik tentang kacang kuda adalah kandungan sebatian bioaktif seperti peptida dan sebatian polifenolik yang berpotensi sebagai antioksidan. Terdapat dua jenis peptida iaitu iaitu P8 dan P3 yang menghasilkan kesan antioksidan yang tinggi. Peptida P8 berasal dari bakteria baik iaitu probiotik yang berupaya dalam melawan kanser. Manakala P3 pula dikenali kerana mempunyai kesan positif dalam melembutkan kulit, menanggalkan kulit kering, kasar dan kusam. P3 berupaya dalam mempercepatkan penghasilan sel baru dan mengurangkan garisan dan kedutan dimuka.

Selain itu, kacang kuda mempunyai sebatian fenolik yang dikenali sebagai salah satu pemangkin kesihatan kerana kesan antioksidan. Kacang kuda mengandungi sebatian fenolik dan antosianin seperti isoflavon, lavonol, glikosida flavon dan oligomerik.

Kandungan isoflavon merupakan sebatian utama dalam kacang kuda yang berperanan sebagai antioksidan, estrogenik, kesan anti kulat dan anti bakteria. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengetahui kandungan antioksidan dalam kacang kuda. Kajian menunjukkan bahawa kandungan sebatian fenolik dalam kacang kuda lebih tinggi daripada sumber kekacang yang lain. Satu lagi kajian dan berada pada tahap yang sama seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Seterusnya, kacang kuda mengandungi faktor bukan-makanan yang memberikan kesan positif terhadap kesihatan. Faktor bukan-makanan memberikan kesan terhadap proses pencernaan dan menyebabkan kacang kuda ini tidak sedap untuk dimakan secara mentah oleh haiwan spesis monogastrik. Haiwan sepsis monogastrik bermaksud haiwan yang mempunyai satu bahagian perut.

Sebagai contoh, kuda, arnab, tikus, anjing dan khinzir. Manusia juga dikategorikan sebagai monogastrik. Faktor bukan-makanan boleh dibahagikan kepada protein dan bukan-protein. Faktor bukan-makanan jenis bukan-protein termasuklah alkaloid, tannin, asid fitik, saponin dan fenolik. Manakalah faktor bukan-makanan jenis protein adalah penghalang tripsin, penghalang kimotripsin, lektin dan peptida anti kulat.

Faktor bukan-makanan ini mempunyai rintangan terhadap enzim pencernaan pepsin dan asid dalam perut. Ini akan menyebabkan makanan tidak dicernakan dan kekal dalam bentuk pukal. Makanan tersebut tidak akan diserap masuk ke dalam usus kecil dan tidak digunakan oleh usus kecil. Kandungan saponin dalam kacang kuda menghasilkan rasa pahit dan menjadikan kacang kuda kurang digemari oleh manusia dan haiwan.



10 Khasiat Kacang Kuda Pada Kesihatan

1. Mengawal Penyakit Kencing Manis

Bagi pesakit kencing manis, ujian bagi mereka adalah untuk mengawal paras gula dalam darah mereka. Makanan rendah Indeks Glisemik menjadi pilihan pesakit kencing manis kerana Indeks Glisemik berupaya untuk meningkatkan paras gula dalam darah.

Lebih tinggi Indeks Glisemik sesuatu makanan bererti paras gula dalam darah akan mencanak naik sejurus selepas makan. Oleh itu, kacang kuda merupakan salah satu pilihan makanan bagi pesakit kencing manis kerana berpotensi sebagai sumber tenaga yang sesuai.

Ini kerana kanji dalam kacang kuda mempunyai rintangan terhadap proses pencernaan dalam usus kerana sifat polimerisasi yang menyebabkan paras glukosa dalam usus menjadi rendah. Lantaran itu, gula yang diserap masuk perlahan-lahan ke dalam saluran darah dan mengurangkan penghasilan insulin.

Ini dibuktikan dengan satu kajian terhadap haiwan yang menghidap kencing manis. Haiwan tersebut disuntik dengan ekstrak kacang kuda dengan dos 400mg/kg menunjukkan kesan penurunan paras gula dalam darah dan paras trigliserida.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

2. Menghalang Obesiti

Obesiti adalah musuh utama dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Makanan yang tinggi dengan serat merupakan salah satu perlindungan daripada berlakunya obesiti. Ini kerana serat akan menyebabkan perut rasa kenyang lebih cepat dan tahan lebih lama dan melambatkan penyerapan nutrisi.



Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan dua diet yang rendah kalori iaitu diet yang mengandungi pengambilan kekacang dan diet yang tiada pengambilan kekacang. Berdasarkan kajian, diet yang mengandungi pengambilan kekacang menunjukkan perubahan pada metabolisme dan keradangan serta menggalakkan penurunan berat badan.

Kajian yang lain turut menunjukkan bahawa haiwan yang diberikan makanan yang tinggi lemak tidak menunjukkan kenaikan berat badan apabila diberikan kacang kuda sebagai makanan tambahan.

3. Mencegah Penyakit Kanser

Kacang kuda mengandungi sebatian bioaktif yang berupaya dalam mencegah penyakit kanser berdasarkan mekanisme yang berbeza. Protein C-25 yang dikenali sebagai protein yang mempunyai kesan anti kulat membuktikan bahawa protein ini berpotensi sebagai anti bakteria dan juga agen penghalang pertumbuhan sel kanser.

Selain itu, kandungan fitokimia dalam kacang kuda turut mengurangkan risiko penyakit kanser sebanyak 20%. Satu kajian menunjukkan bahawa populasi yang dimana pengambilan kekacang yang tinggi dalam diet seharian menunjukkan rendah kes kanser usus besar.

Ini kerana sterol utama iaitu -sitosterol  mengurangkan bahan kimia yang merangsang pertumbuhan sel kanser. Tambahan pula, kajian lain menunjukkan bahawa pengambilan sterol kacang tanah yang tinggi mengurangkan risiko paru-paru.

4. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Sama seperti obesiti, penyakit jantung merupakan salah satu asbab berlakunya kes kematian dalam negara yang sedang membangun dan juga negara yang telah membangun. Pengambilan kekacang berpotensi dalam mengurangkan risiko hiperkolesterolemia yang merupakan salah satu faktor penyakit jantung.



Hiperkolesterolemia adalah penyakit dimana paras kolesterol dalam badan tinggi. Lantaran itu, pengambilan kekacang seperti kacang kuda dalam diet seharian membantu dalam mengurangkan paras kolesterol. Ini kerana kacang kuda diperkaya dengan serat.

Satu kajian terhadap haiwan yang disuntik dengan hiperkolesterilmia menunjukkan bahawa paras lipid yang sentiasa meningkat menjadi semakin berkurangan apabila haiwan tersebut diberikan ekstrak kacang kuda selama 14 hari.

Artikel Berkaitan: Tanda Sakit Jantung dan Rawatan

5. Menghalang Penyakit Hiperkolesterolemia

Kacang kuda mengandungi saponin iaitu glikosida yang memberikan rasa pahit serta mampu mengurangkan paras lemak dalam badan, melindungi badan dari risiko kanser usus dan menurunkan paras gula dalam darah. Kandungan saponin berubah berdasarkan cara pemprosesan makanan dan masakan.

Satu kajian terhadap haiwan dijalankan untuk mengkaji kesan kacang kuda terhadap paras lemak yang tidak normal. Kajian tersebut menunjukkan bahawa kacang kuda Berjaya mengurangkan semula paras lemak yang tinggi kerana kandungan lemak baik (HDL-kolesterol) dalam darah dan hati.

Oleh itu, kacang kuda dilabelkan sebagai makanan yang berpotensi dalam mengurangkan paras kolesterol dan meminimumkan risisko penyakit jantung. 

Artikel Berkaitan: Punca dan Rawatan Kolesterol Tinggi



6. Mengawal Penyakit Tekanan Darah Tinggi

Asid linolik, iaitu asid lemak poli-tidak-tepu sangat penting dalam penghasilan prostaglandin. Prostaglandin dikategorikan sebagai lemak yang terhasil apabila berlakunya kerosakan tisu atau jangkitan yang menyebabkan kecederaan dan penyakit. Prostaglandin berperanan dalam mengurangkan tekanan darah tinggi dan pengecutan otot.

Balik kepada asid linolik, asid ini diperlukan untuk tumbesaran dan menjalankan pelbagai fungsi fisiologi sama seperti asid linolenik. Kedua-dua jenis asid ini boleh dijumpai dalam kacang kuda. Selain itu, kacang kuda mengandungi -sitosterol yang merupakan asid lemak poli-tidak-tepu yang utama serta fitosterol yang turut membantu dalam mengurangkan tekanan darah tinggi.

Kajian terhadap haiwan dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan kacang kuda dalam diet tikus yang diberikan makanan tinggi lemak. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa pengambilan kacang kuda mengurangkan pengumpulan lemak yang menyelaputi organ dan lemak ekotopik.

Kajian lain menunjukkan bahawa paras insulin semasa berpuasa berkurangan sebanyak 5.2 pmol/l dan paras kolesterol turut menurun sebanyak 7.7 mg/dl apabila sekumpulan individu yang sihat mengambil minimum 104g kacang kuda sehari untuk 12 minggu berturut-turut.

Artikel Berkaitan: Punca Tekanan Darah Tinggi

7. Menjaga Kesihatan Sistem Pencernaan

Serat dijumpai pada makanan yang berasaskan tumbuhan yang mengandungi polisakkarida, lignin dan bahan yang lain. Serat dibahagikan kepada serat larut dan serat tidak larut. Serat larut adalah serat yang dicernakan dalam usus secara perlahan manakalah serat tidak larut tidak boleh dicernakan dan menggalakan pergerakan usus. Kacang kuda yang merupakan sumber kekacang mengandungi serat yang membantu dalam kesihatan sistem pencernaan. Kacang kuda menggalakan proses penyahtinjaan dengan meningkatkan kadar kekerapan, memudahkan proses penyahtinjaan dan melembutkan najis untuk mengelakkan sembelit. 



8. Menghasilkan Kesan Estrogenik

Fitoestrogen adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh pelbagai isoflavon estrogenik tumbuhan seperti formononetin, biokanin A, genistein dan daidzein yang menjadi agen alternatif dalam merawat penyakit yang kronik. Estrogenik adalah kesan estrogen iaitu hormon seksual yang penting untuk pertumbuhan dan pengawalan sistem pembiakan wanita.

Sebagai contoh, genistein dan daidzein berupaya dalam mengawal penyakit kencing manis dan mengurangkan risiko penyakit jantung dengan mengurangkan paras lemak jahat (LDL-kolesterol) dan trigliserida. Genistein adalah sebatian yang berupaya dalam merawat kanser dengan memberikan kesan terhadap reseptor androgen.

9. Membantu Pesakit Anemia

Penyakit anemia adalah kekurangan sel darah merah atau hemoglobin. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, hampir 75% ibu hamil di seluruh dunia akan menghidap penyakit anemia. Ibu yang mengandung cenderung untuk menghidap penyakit anemia kerana janin akan menyerap zat besi dari ibu untuk tumbesaran.

Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan kacang kuda terhadap paras hemoglobin ibu yang mengandung. Berdasarkan kajian tersebut, secara purata kadar hemoglobin ibu yang mengandung pada awal kajian ialah 10.02 g/dl.

Setelah dua bulan kumpulan ini diberikan kacang kuda sebagai snek, terdapat peningkatan paras hemoglobin kepada 10.66 g/dl. Walaupun peningkatan paras hemoglobin agak sedikit namun, peningkatan ini sangat penting bagi ibu hamil.

Artikel Berkaitan: Simptom Anemia dan Rawatan



10. Menjaga Kesihatan Kulit

Kacang kuda digunakan sebagai rawatan kulit. Kacang kuda diperkaya dengan magnesium yang membantu untuk mengurangkan garisan dan kedutan di muka. Ini kerana kacang kuda membantu dalam menstabilkan paras asid lemak dalam badan. Ini akan meningkatkan keanjalan muka, menghilangkan kedutan dan garisan dan meningkatkan keanjalan wajah. Kandungan zink dalam kacang kuda membantu dalam menghilangkan jerawat dan menghalangkan bekas-bekas jerawat.

Kesimpulan

Kini, memang terbukti bahawa kacang kuda mengandungi kandungi nutrisi dan berkhasiat pada kesihatan. Kacang kuda berupaya dalam membantu mengurangkan risiko penyakit disebabkan oleh kandungan nutrisi dan komponen istimewa yang dijumpai dalam makanan tersebut.

Oleh itu, tidak peliklah apabila pelbagai produk makanan berasaskan kacang kuda telah dihasilkan dan dipasarkan. Kacang kuda yang dulu hanya dimakan sebagai snek kerana jarang ditemui telah mendapat tempat dihati pengguna. Semoga artikel ini dapat membuka mata dengan mengubah perspektif para pembaca terhadap kacang kuda.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat LatokKhasiat Rumpai Laut
Khasiat SaffronKhasiat Manjakani
Khasiat HalbaKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat TemulawakKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Teh HijauKhasiat Bunga Telang
Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Beras Perang
Khasiat TempeKhasiat Jintan Manis
Khasiat Lada HitamKhasiat Kopi
Khasiat Cuka EpalKhasiat Minyak Ikan
Khasiat Kacang KudaKhasiat Buah Pelaga

Rujukan:

  1. Bruce J., & Grattan, Jr. (2013). Plant Sterols as Anticancer Nutrients: Evidence for Their Role in Breast Cancer. Nutrients, 5, 359-387.
  2. Gupta, R.K., Gupta, K., Sharma, A., Das, M., Ahmad Ansari, I., & Dwivedi, P.D. (2016). Look Insight: health Risks and Benefits of Chickpea (Cicer arientinum) Consumption. Journal of Agricultural and Food Chemistry. 1-70. 
  3. Jukanti, A.K. Gaur, P.M., Gowda, C.L.L., & Chibbar, R.N. (2012). Nutritional Quality and Health Benefits of Chickpea (Cicer arientinum L): A Review.    British  Journal of Nutrition, 108, 11-26.
  4. Seprina, Z., & Syahastim F.M. (2019). Pengaruh Susu Kacang Kuda dan Jahe Untuk Anemia Pada Ibu Hamil. Jurnal Endurance: Kajian Ilmiah Problema  Kesehatan, 4(3), 1-7.
  5. Shyam S., & Yadav, W. (2007). Chickpea Breeding and Management. Technology and Engineering. CAB International. Disunting dari
  6. Suhaimi, Y. (2017). Kacang Kuda.
  7. Wallace, T.C., Murray, R., & M. Zelman, K. (2016). The Nutritional Value and Health Benefits of Chickpeas and Hummus. Nutrients, 8, 766-776. 
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =