Skip to content

10 Khasiat Halba Kepada Kesihatan

Halba biasa digunakan sebagai bahan rempah di dapur. Namun banyak lagi manfaat dan khasiat halba dari sudut kesihatan mahupun kecantikan. Dalam artikel kali ini, kita akan bincangkan 10 khasiat halba untuk kesihatan kita.

Pengenalan

Biji halba merupakan tanaman herba yang termasuk dalam keluarga Fabaceae. Juga dikenali sebagai Fenugreek (nama inggeris), manakala nama saintifiknya adalah Trigonella foenum-graecum. Tanaman ini berasal dari kawasan Timur Tengah dan Mediterranean. Halba berbentuk butiran kecil berwarna coklat, dan hampir semua bahagian halba ini boleh dimanfaatkan tetapi penggunaan daun dan biji halba lebih meluas sebagai herba tradisional dan rempah masakan. Kebiasaannya, biji halba dimanfaatkan untuk menambah citarasa masakan seperti kari.

Halba merupakan sejenis herba bersaiz kecil yang sangat banyak manfaatnya. Bukan sahaja murah, malah mudah didapati di pasaran. Di pantai timur, penggunaan halba boleh didapati dalam hidangan seperti nasi dagang. Ianya telah lama dipraktikkan di dalam perubatan tradisional dan terdapat pelbagai khasiat halba untuk kesihatan lelaki dan wanita. Jadi, sangat rugi sekiranya kita tidak mengamalkan halba sebagai makanan tambahan seharian kita.

Kandungan Nutrisi



Halba mengandungi kolesterol, lemak tidak sihat dan natrium yang rendah. Ia turut mengandungi serat, protein, karbohidrat, zat besi, mangan dan magnesium. Satu sudu kecil biji halba (3.7 g) mengandungi sekitar 12 kalori. Rajah berikut, menunjukkan komposisi nutrien satu sudu makan biji halba.

Makronutrien

  • Karbohidrat: 2.2g
  • Protein: 0.85g
  • Lemak: 0.24g
  • Serat: 0.9g

Mikronutrien

  • Mangan: 0.05mg
  • Sodium: 2mg
  • Potassium: 28mg
  • Kalsium: 7mg
  • Magnesium: 7mg
  • Zat besi: 124mg
  • Vitamin B1 (Thiamine): 0.012mg
  • Vitamin B3: 0.061mg
  • Vitamin C: 0.1mg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Halba

Flavonoid

Flavonoid biasa ditemukan dalam biji- bijian termasuk biji halba. Ianya adalah salah satu jenis antioksidan yang banyak terkandung dalam halba. Antioksidan bekerja menangkal radikal bebas dalam tubuh. Radikal bebas dikaitkan sebagai penyebab berbagai penyakit kronik.



Saponin

Halba sudah banyak dikaji untuk manfaatnya dalam meningkatkan paras hormon testosteron. Keunikan ini adalah kerana kehadiran komponen bahan aktif saponin yang dipercayai boleh meningkatkan prestasi hormon testosteron pada tahap yang optimal.

Serat tidak larut

Pelbagai bahan herba boleh membantu mengawal kadar gula dalam darah. Halba juga tidak ketinggalan menawarkan manfaat ini. Rempah ini memiliki komposisi serat tidak larut yang mencukupi keperluan harian. Kandungan serat yang baik bukan sahaja boleh menurunkan paras gula dalam darah, tetapi juga paras kolesterol terutamanya LDL (kolesterol jahat).

Khasiat Halba untuk Kesihatan

1. Mengurangkan paras kolesterol dalam darah

Paras kolesterol yang tinggi menyumbang kepada masalah penyakit jantung dalam kalangan rakyat di Malaysia. Penyakit yang dikenali sebagai aterosklerosis boleh berlaku apabila terdapat pembentukan plak, hasil daripada pengumpulan lemak dan kolesterol pada pembuluh darah. Keadaan ini menyukarkan darah untuk mengalir ke jantung.

Terdapat beberapa kajian kecil yang menggunakan subjek dengan tahap kolesterol yang tinggi telah dijalankan. Kajian- kajian ini mendedahkan bahawa pengambilan serbuk atau biji halba dalam diet harian mampu menurunkan tahap kolesterol dalam jangka masa sekitar 20 hari [1,2,3]. Dalam sebahagian kajian ini, mereka mendapati bahawa tahap kolesterol dalam darah berkurangan sehingga 16%. Malah, mencatatkan peningkatan untuk bacaan kolesterol baik, HDL. Ini adalah berita baik untuk kita, khususnya untuk individu yang mengalami masalah paras kolesterol tinggi.

Di samping itu, penyelidikan yang diterbitkan dalam The British Journal of Nutrition menunjukkan bahawa penggunaan ekstrak halba mempunyai keberkesanan dalam membantu mengurangkan tahap kolesterol [4].



Ia membantu mengurangkan tahap kolesterol LDL (jahat) dengan ketara, yang boleh menghalang pelbagai keadaan seperti aterosklerosis, serangan jantung, dan strok.

2. Meningkatkan penghasilan susu ibu

Pakar perubatan Ayurveda tradisional India sering mengaitkan kebaikan halba kepada ibu-ibu yang menyusu. Adakalanya bekalan susu badan boleh berkurangan akibat tekanan, keletihan dan pelbagai lagi faktor lain. Bagi wanita yang melahirkan anak, antara cabaran yang mereka hadapi ialah apabila susu badan kering atau tidak mencukupi untuk diberikan kepada bayi. Antara cara atau petua untuk meningkatkan penghasilan susu badan ialah dengan menggunakan halba. Bahan rempah ini, boleh menjadi inisiatif yang baik untuk meningkatkan penghasilan susu ibu.

Penyelidikan dalam Journal of Alternative and Complementary Medicine, New York, berjaya menyimpulkan bahawa dengan pengambilan teh halba dalam diet seharian boleh membantu golongan ibu dalam meningkatkan pengeluaran susu [5].

Biji halba juga mengandungi magnesium serta vitamin penting yang membantu meningkatkan kualiti susu sekaligus menjaga kesihatan bayi.

3. Menstabilkan gula dalam darah

Halba juga didapati berkhasiat untuk pesakit diabetes dan ia amat sesuai diamalkan oleh mereka yang sihat dengan tujuan untuk menjaga kesihatan badan.

Kandungan serat semula jadi di dalam halba pula telah terbukti memperlahankan penyerapan gula ke dalam aliran darah. Kajian pada tahun 2009, menunjukkan bahawa penambahan 10 g biji halba yang direndam dalam air panas boleh membantu mengawal kadar gula dalam darah dalam kalangan pesakit diabetes [6].



Selain itu, kajian lain juga mendapati adanya pengurangan kadar gula dengan pengambilan halba dalam bentuk supplement. Hal ini kerana, asid amino 4-hydroxy isoleucine didapati dalam rempah ini, mampu mengawal pembebasan insulin [7].

4. Mengurangkan sakit kepala atau migraine

Sakit kepala yang serius boleh menjejaskan aktiviti seharian. Hal ini kerana, ia juga boleh menyebabkan keletihan dan rasa mual. Majoriti individu akan beralih kepada ubat- ubatan apabila diserang sakit kepala atau migrain. Namun ada alternatif lain yang boleh kita amalkan untuk mengurangi simptom sakit kepala. Halba sebenarnya boleh membantu meredakan sakit kepala dan migraine.

Kompaun seperti vitamin B2 (Riboflavin) dalam halba membantu pembaikan sel-sel badan. Membolehkan simptom – simptom sakit kepala dikurangkan.

5. Membantu mengurangkan berat badan

Individu dengan metabolisma yang tinggi sering dikaitkan dengan penurunan berat badan. Apabila kadar metabolisma rendah, agak susah untuk turunkan berat badan. Pengambilan air halba atau produk berasaskan halba boleh membantu meningkatkan metabolisma badan. Bagi anda yang bercadang untuk menurunkan berat badan, halba merupakan salah satu cara yang ideal untuk anda mengawal selera makan. Apabila selera makan dapat dikawal, berat badan dapat dikurangkan kerana kurang makan.

Jurnal Farmakologi Klinikal Eropah menerbitkan satu kajian yang mengkaji kesan ekstrak biji halba pada 40 orang lelaki yang berlebihan berat badan. Subjek dibahagi kepada 2 kumpulan iaitu yang mengambil biji halba dan tidak mengambil biji halba dalam tempoh 6 minggu. Hasilnya, subjek yang mengambil biji halba lebih cenderung makan makanan yang kurang lemak berbanding mereka yang tidak mengambil halba [8].

6. Baik untuk jantung



Kandungan antioksidan dalam halba mampu membantu menggalakkan kesihatan jantung kerana sifat kardioprotektifnya. Terdapat beberapa sebatian dalam halba yang boleh mengurangkan kolesterol, menurunkan tekanan darah, mencegah serangan jantung dan merawat arteri tersumbat.

7. Bersifat anti bakteria

Terdapat beberapa kajian yang mennunjukkan bahawa halba mempunyai sifat anti-kulat dan anti-bakteria. Pada tahun 2011, ujian makmal yang dijalankan terhadap bakteria E.coli di mana halba telah membuktikan sifat anti-bakteria yang kuat terhadap bakteria tersebut [9].

Kajian lain turut menunjukkan bahawa daun, benih, batang dan akar pokok halba turut mempunyai sifat anti-kulat terhadap kulat jenis Botrytis cinerea dan beberapa jenis kulat yang lain [10].

8. Mencegah kanser kolon

Kebaikan halba yang seterusnya adalah mempunyai ciri-ciri anti- karsinogenik (anti- kanser), terutamanya berkaitan dengan kanser payudara dan pencegahan kanser kolon.

Komponen diosgenin, sejenis steroid yang terkandung dalam halba juga berperanan dalam mencegah pertumbuhan kanser kolon [11].

Tambahan pula, kehadiran polisakarida seperti saponin, hemiselulosa, tanin, dan pektin berfungsi merendahkan tahap kolesterol dan menghalang penyerapan garam hempedu oleh kolon. Hal ini melindungi bahagian luar sel usus lalu mengurangkan risiko menghidapi kanser kolon.



9. Baik untuk kulit wajah

Selain manfaatnya terhadap kesihatan, biji halba ternyata sangat bagus untuk kecantikan. Hal yang demikian kerana, kandungan yang ada di dalam fenugreek ini dipercayai mampu mencegah penuaan, menjaga kelembaban kulit, dan mencegahnya dari kekeringan. Ia juga sangat berkesan untuk merawat jerawat. Halba juga mengandungi Vitamin C yang bagus untuk kecantikan kulit. Tambahan pula, scrub halba juga bagus untuk mencantikkan struktur kulit dari dalam serta memelihara keanjalan kulit.

10. Meningkatkan kesihatan lelaki

Terdapat pelbagai kajian yang mengakui biji halba boleh dimanfaatkan oleh kaum lelaki untuk meningkatkan kadar hormon testosterone. Hal ini kerana mekanisma halba memberikan tindak balas dengan mengurangkan enzim yang menukarkan hormon testosterone kepada estrogen. Halba boleh dianggap sebagai makanan tambahan bagi meningkatkan hormon testosteron yang merangsang keinginan seksual, mengelakkan ejakulasi awal dan melegakan kesakitan di bahagian prostat [12].

Di samping itu, satu kajian telah diterbitkan oleh kajian Phytotheraphy mendedahkan tentang keberkesanan pengambilan 600 mg ekstrak halba sehari oleh lelaki berusia 25 hingga 65 tahun selama 6 minggu. Mereka sendiri melaporkan peningkatan ejakulasi yang signifikan dan keinginan seksual. Sukarelawan juga melaporkan peningkatan dalam tahap tenaga, kekuatan dan ketenangan.

Secara konklusinya, halba telah dibuktikan mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan. Ia sesuai dijadikan makanan tambahan harian untuk kekalkan tahap kesihatan kita. Disebabkan halba mudah dijumpai dan harganya juga agak murah, maka adalah satu peluang untuk kita amalkan halba dalam diet seharian.

Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat LatokKhasiat Rumpai Laut
Khasiat SaffronKhasiat Manjakani
Khasiat HalbaKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat TemulawakKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Teh HijauKhasiat Bunga Telang
Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Beras Perang
Khasiat TempeKhasiat Jintan Manis
Khasiat Lada HitamKhasiat Kopi
Khasiat Cuka EpalKhasiat Minyak Ikan
Khasiat Kacang KudaKhasiat Buah Pelaga

Rujukan



  1. Prasanna M. Hypolipidemic effect of fenugreek: A clinical study. Indian Journal Pharmacology 2000; 32: 34- 36.
  2. Sharma RD and Raghuram TC. Hypolipidemic effect of fenugreek seeds: a clinical study. Phytotherapy Res 1991: 5: 145-147.
  3. Vijayakumar MV, Pandey V, Mishra GC, Bhat MK. Hypolipidemic effect of fenugreek seeds is mediated through inhibition of fat accumulation and upregulation of LDL receptor. Obesity 2010; 18: 667- 674.
  4. Stark, A., & Madar, Z. (1993). The effect of an ethanol extract derived from fenugreek (Trigonella foenum-graecum) on bile acid absorption and cholesterol levels in rats. The British journal of nutrition69(1), 277–287.
  5. Turkyılmaz, C., Onal, E., Hirfanoglu, I. M., Turan, O., Koç, E., Ergenekon, E., & Atalay, Y. (2011). The effect of galactagogue herbal tea on breast milk production and short-term catch-up of birth weight in the first week of life. Journal of alternative and complementary medicine (New York, N.Y.)17(2), 139–142.
  6. Kassaian, N., Azadbakht, L., Forghani, B., & Amini, M. (2009). Effect of fenugreek seeds on blood glucose and lipid profiles in type 2 diabetic patients. International journal for vitamin and nutrition research. Internationale Zeitschrift fur Vitamin- und Ernahrungsforschung. Journal international de vitaminologie et de nutrition79(1), 34–39.
  7. Losso, J. N., Holliday, D. L., Finley, J. W., Martin, R. J., Rood, J. C., Yu, Y., & Greenway, F. L. (2009). Fenugreek bread: a treatment for diabetes mellitus. Journal of medicinal food12(5), 1046–1049.
  8. Chevassus, H., Molinier, N., Costa, F., Galtier, F., Renard, E., & Petit, P. (2009). A fenugreek seed extract selectively reduces spontaneous fat consumption in healthy volunteers. European journal of clinical pharmacology65(12), 1175–1178.
  9. Chandra, R., Dwivedi, V.K., Shivam, K., & Jha, A.K. (2011). Detection of Antimicrobial Activity of Oscimum sanctum (Tulsi) & Trigonella foenum graecum (Methi) against some selected bacterial & fungal strains.
  10. R. Haouala, S. Hawala, A. El-Ayeb, R. Khanfir, N. Boughanmi. Aqueous and organic extracts of Trigonella foenum-graecum L. inhibit the mycelia growth of fungi, Journal of Environmental Sciences, Volume 20, Issue 12, 2008, Pages 1453-1457
  11. Raju, J., Patlolla, J. M., Swamy, M. V., & Rao, C. V. (2004). Diosgenin, a steroid saponin of Trigonella foenum graecum (Fenugreek), inhibits azoxymethane-induced aberrant crypt foci formation in F344 rats and induces apoptosis in HT-29 human colon cancer cellsCancer epidemiology, biomarkers & prevention : a publication of the American Association for Cancer Research, cosponsored by the American Society of Preventive Oncology13(8), 1392–1398.
  12. Steels, E., Rao, A. & Vitetta, L. (2011). Physiological Aspects of Male Libido Enhanced by Standardized Trigonella foenum-graecum Extract and Mineral Formulation. Phytotheraphy Research.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven − one =