Skip to content

10 Khasiat Rumpai Laut Pada Kesihatan Badan

Terdapat banyak khasiat tersembunyi rumpai laut yang mungkin kita sering abaikan. Jadi, melalui artikel kali ini, kita akan bincangkan 10 khasiat rumpai laut untuk kesihatan dan kecantikan.

Pengenalan

Rumpai laut atau dikenali sebagai makroalgae mengandungi sumber serat dan protein yang tinggi, justeru sesuai untuk manfaat kesihatan umum. Ianya juga dianggap sebagai ‘ibu kolagen’ lalu mendapat tempat untuk pasaran kecantikan. Sebenarnya, terdapat lebih 10 ribu jenis rumpai laut, namun telah diklasifikasikan mengikut warna alga tersebut. Adanya alga merah (Rhodophyta), alga coklat (Phaeophyta), alga hijau (chlorophyte) dan alga biru-kehijauan (Cyanophyta).

Kebiasaannya, kita boleh menemui rumpai laut di kawasan pesisiran pantai, atau terapung di atas air. Di dasar laut, ada juga sebahagian alga yang hidup subur di kawasan terumbu karang.



Khazanah laut yang bervariasi ini boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan. Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino, beta-karotene dan protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit. Secara amnya, rumpai laut atau Seaweed adalah makanan beralkali yang kaya dengan khasiat.

Kandungan Nutrisi

Rumpai laut mengandungi nilai nutrien yang tinggi. Terdapat banyak khasiat rumpai laut yang telah dilaporkan kerana kandungan nutriennya yang seimbang seperti protein, mineral, vitamin, serat dan asid lemak. Namun begitu, nutrien alga ini bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis, habitat, pencahayaan dan sebagainya.

Komposisi nutrien rumpai laut telah direkodkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat. Dengan menggunakan 2 sudu makan rumpai laut wakame, iaitu sejenis alga hijau, rajah di bawah menunjukkan kandungan nutrisinya:-

Makronutrien

  • Kalori: 4.5kcal
  • Karbohidrat: 0.9g
  • Protein: 0.3g
  • Lemak: 0g

Mikronutrien

  • Sodium: 87.2mg
  • Magnesium: 10.7mg
  • Kalsium: 15mg
  • Zat Besi: 0.2mg

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Kandungan Berkhasiat Dalam Rumpai Laut



Di samping memiliki kandungan kalori yang rendah, rumpai laut memiliki kompaun nutrien atau bahan aktif penting yang amat bermanfaat untuk kesihatan individu. Berbeza dengan kebiasaan tumbuh- tumbuhan, rumpai laut kaya dengan mineral iodin dan tyrosine yang membantu meningkatkan fungsi tiroid. Sebagai mana yang kita ketahui, kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang berperanan untuk tumbesaran, penghasilan tenaga dan proses baik pulih sel- sel di dalam badan.

Selain itu, kandungan fucoidan dalam rumpai laut, merupakan rantaian polisakarida yang baik untuk kesihatan usus. Mengikut kajian, rumpai laut mempunyai khasiat serat yang lebih tinggi berbanding kebanyakan buah dan sayur- sayuran. Di samping itu, sebatian fucoxanthin boleh bertindak sebagai antioksidan yang kuat, lalu mencegah dari pelbagai penyakit berbahaya akibat radikal bebas.

Rumpai laut juga bertindak sebagai sumber lignan yang biasa dijumpai pada brokoli, kale dan beberapa buah- buahan. Komponen lignan bertindak mencegah sel- sel kanser atau tumor dari merebak. Secara umumnya, lignan sering dikaitkan dengan keupayaan menurunkan risiko sakit jantung, osteoporosis dan kanser.

Khasiat Rumpai Laut untuk Kesihatan

1. Baik untuk kesihatan jantung

Kajian terhadap haiwan banyak melaporkan manfaat rumpai laut untuk kesihatan kardiovaskular. Antaranya, Jurnal Nutrisi melaporkan bahawa rumpai laut Wakame didapati mampu mengurangkan risiko tekanan darah tinggi pada haiwan. Selain itu, kajian dari Universiti Kyoto mendapati serat dari rumpai laut coklat merendahkan tekanan darah dan mengurangkan risiko strok pada haiwan yang mempunyai masalah kardiovaskular.

Kajian terhadap manusia pula berfokus kepada penduduk Okinawa, Jepun. Kajian selama 25 tahun ini mendapati bahawa penduduk Okinawa, mempunyai arteri yang sihat, kolesterol rendah dan paras homocysteine yang rendah. Salah satu faktornya adalah pemakanan mereka yang merangkumi 70% dari buah- buahan dan sayur- sayuran, termasuklah rumpai laut.

Artikel Berkaitan: Punca dan Rawatan Sakit Jantung

2. Merawat Kolesterol Tinggi dalam Darah



Rumpai laut sangat terkenal dengan sifat antioksida serta anti-mutagen yang membantu merendahkan paras kolesterol dalam darah. Sebuah kajian 8 minggu telah dijalankan terhadap tikus dengan diet tinggi kolesterol. Hasil kajian mendapati bahawa tikus yang dibekalkan dengan rumpai laut kering mempunyai penurunan sebanyak 40% untuk kadar keseluruhan kolesterol dan 36% untuk kolesterol LDL.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi

3. Mencantikkan Kulit

Rumpai laut kaya dengan mineral sihat serta kemampuan membaik pulih kesihatan kulit. Rumpai laut tinggi dengan kandungan kolagen. Ia bertindak sebagai komponen yang baik untuk menghilangkan jerawat serta bekas jerawat pada muka, selain melahirkan kulit yang cantik berseri.

Pakar kesihatan yang bertauliah telah menegaskan bahawa makanan atau minuman daripada rumpai laut tidak membahayakan kerana ia mengandungi kandungan mineral, asid amino, beta-karotene dan protein tinggi yang membantu mengekalkan kolagen di dalam kulit.

Namun perlulah diingatkan penggunaannya haruslah secara terkawal dan merujuk pada pihak pakar. Hal ini kerana tahap kolagen yang tinggi dalam badan juga boleh mendatangkan kemudaratan.

4. Baik untuk Penghadaman

Rumpai laut membekalkan serat dan polisakarida yang dapat menjaga kesihatan usus. Penghadaman atau kesihatan usus yang baik menjanjikan kesihatan yang optimal. Rumpai laut sangat baik untuk penghadaman kerana kandungan seratnya yang tinggi.



Mengikut kajian, rumpai laut mempunyai khasiat serat yang lebih tinggi berbanding kebanyakan buah dan sayuran. Hasil kajian para Saintis di Newcastle Universiti mendapati kandungan alginat yang terdapat di dalam rumpai laut coklat dapat memperkuatkan bendalir usus yang berfungsi untuk melindungi dinding usus. Ia membantu sistem pencernaan untuk lebih lancar.

Makanan tinggi serat sekaligus berfungsi sebagai prebiotik yang bagus untuk bakteria baik dalam usus. Satu kajian ke atas flora najis wanita- wanita Jepun mendapati pengambilan rumpai laut yang tinggi menambah bakteria baik di dalam usus. Ia menyempurnakan pencernaan dan seterusnya mengurangkan angin dalam badan.

5. Melawan kanser

Rumpai laut tinggi dengan kandungan Lignan iaitu bahan yang membentuk phytoestrogen dalam badan. Seperti yang telah dibincangkan, lignan membantu menghalang kimia estrogen yang membentuk kanser payudara. Penyelidik dari Universiti Harvard mengakui pengambilan rumpai laut Kelp sebagai faktor yang menyebabkan tahap kanser payudara lebih rendah dalam kalangan wanita Jepun.

6. Mengurangkan risiko diabetes jenis 2

Diabetes atau kencing manis merupakan masalah kesihatan utama di dunia. Kandungan gula yang tinggi secara terus menerus di dalam badan akan menjejaskan lagi kesihatan penghidap diabetes. Menariknya, pelbagai kajian baru telah memberi fokus kepada kesan rumpai laut terhadap gula dalam darah.

Kajian selama 8 minggu terhadap 60 orang wanita jepun, menunjukkan kandungann fucoxanthin dalam rumpai laut boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Tambahan pula, sebatian alginat dalam rumpai laut juga dipercayai menghalang kenaikan gula secara drastik dalam sebuah kajian terhadap haiwan.

Ekstrak rumpai laut telah digunakan dalam pelbagai penyelidikan terhadap haiwan. Hasilnya, dilaporkan tahap gula dalam darah bertambah baik dengan amalan ekstrak rumpai laut.



7. Bertindak sebagai Agen Detox

Detox merupakan proses fisiologi badan menyingkirkan toksin atau bahan yang tidak diperlukan dari badan. Di dalam tubuh manusia, fungsi ini dijalankan oleh organ hati. Dari segi makanan, terdapat sumber – sumber tumbuhan yang juga mempunyai kriteria membantu proses detox agar lebih baik.

Salah satunya adalah rumpai laut. Ia boleh mengikat kompaun logam berat seperti kadmium dan plumbum. Logam- logam ini bersumber  dari persekitaran yang tercemar seperti aktiviti industri. Bahan- bahan ini akan disingkirkan melaui sistem perkumuhan.

Untuk kebanyakan individu, detox dengan amalan rumpai laut dalam diet seharian boleh membantu proses penurunan berat badan.

8. Membantu penurunan berat badan

Anda dalam proses menurunkan berat badan? Selain sayuran hijau seperti sawi dan bayam, rumpai laut juga boleh dijadikan pilihan. Hal ini kerana manfaat tinggi serat dari rumpai laut boleh dimafaatkan untuk memberi rasa kenyang dengan jumlah kalori yang sedikit.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Marine Drugs, diet seharian yang tinggi dengan serat boleh menangguhkan pengosongan perut, memberi rasa kenyang seterusnya membantu individu untuk terhindar dari makan secara berlebihan.

9. Membantu fungsi tiroid



Fungsi kelenjar tiroid yang utama adalah untuk penghasilan tenaga, membantu dalam pertumbuhan dan pembaikan sel. Penghasilan iodin yang baik akan membantu tiroid untuk berfungsi dengan baik juga. Kekurangan iodin akan memberi kesan pada tiroid, yang mana menjadikan organ tersebut kurang aktif. Antara simptom hipotiroidism (kurang iodin), boleh menggalakkan perkembangan goitre. Pengambilan iodin yang mencukupi melalui diet yang baik boleh mencegah simptom- simptom ini.

Manakala, hipertiroidisme pula berlaku akibat penghasilan hormon tiroid yang aktif. Diet dengan iodin yang berlebihan juga boleh memburukkan simptom sedia ada. Bagi mereka dengan gejala hipotiroidisme, rumpai laut merupakan makanan yang digalakkan dalam diet seharian, memandangkan ianya kaya dengan mineral iodin.

Menurut kajian dalam Journal of Food and Drug Analysis, rumpai laut jenis kombu adalah sumber yang paling kaya dengan kandungan iodin, diikuti oleh jenis wakame dan nori.

10. Membantu penghasilan Kolagen dalam Badan

Kolagen merupakan struktur protein yang mewakili lebih kurang satu pertiga dari keseluruhan protein dalam badan manusia. Ia berfungsi melindungi, menyokong tisu lembut dan struktur tulang badan.

Kajian saintifik menyatakan keberkesanan rumpai laut dalam menggalakkan penghasilan kolagen dalam tubuh manusia. Khasiat lendir kolagen yang terdapat dalam rumpai laut setanding dengan khasiat kolagen yang dibekalkan oleh sarang burung. Tambahan pula,kandungan kalsiumnya juga cukup tinggi untuk merawat pelbagai masalah kesihatan berkaitan.

Sebahagian pusat kecantikan menggunakan rumpai laut sebagai salah satu bahan mandian di spa. Hal ini kerana fungsi kolagen rumpai laut, dapat melambatkan proses penuaan dan mencegah selulit.

Kesimpulannya, pemakanan yang sihat bersama rumpai laut dapat disimpulkan sebagai salah satu kombinasi yang berpotensi meningkatkan tahap kesihatan diri seseorang. Namun begitu, pengambilan rumpai laut ini perlulah mengikut kadar pengambilan harian kerana setiap spesies rumpai laut mengandungi kadar nutrien yang berbeza-beza.



Khasiat Makanan yang Lain

Khasiat LatokKhasiat Rumpai Laut
Khasiat SaffronKhasiat Manjakani
Khasiat HalbaKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat TemulawakKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Teh HijauKhasiat Bunga Telang
Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Beras Perang
Khasiat TempeKhasiat Jintan Manis
Khasiat Lada HitamKhasiat Kopi
Khasiat Cuka EpalKhasiat Minyak Ikan
Khasiat Kacang KudaKhasiat Buah Pelaga

Rujukan

  1. Holscher, H. D. (2017). Dietary fiber and prebiotics and the gastrointestinal microbiota. Gut microbes, 8(2), 172-184.
  2. O’Sullivan, L., Murphy, B., McLoughlin, P., Duggan, P., Lawlor, P. G., Hughes, H., & Gardiner, G. E. (2010). Prebiotics from marine macroalgae for human and animal health applications. Marine drugs, 8(7), 2038-2064.
  3. Mikami, N., Hosokawa, M., Miyashita, K., Sohma, H., Ito, Y. M., & Kokai, Y. (2017). Reduction of HbA1c levels by fucoxanthin-enriched akamoku oil possibly involves the thrifty allele of uncoupling protein 1 (UCP1): a randomised controlled trial in normal-weight and obese Japanese adults. Journal of nutritional science6, e5.
  4. Seaweed, wakame, raw. FoodData Central. U.S. Department of Agriculture. Published April 1, 2019.
  5. de Jesus Raposo, M. F., de Morais, A. M., & de Morais, R. M. (2016). Emergent Sources of Prebiotics: Seaweeds and Microalgae. Marine drugs, 14(2), 27.
  6. O’Sullivan, L., Murphy, B., McLoughlin, P., Duggan, P., Lawlor, P. G., Hughes, H., & Gardiner, G. E. (2010). Prebiotics from marine macroalgae for human and animal health applications. Marine drugs, 8(7), 2038-2064.
  7. Taboada, C., Millán, R., & Míguez, I. (2010). Composition, nutritional aspects and effect on serum parameters of marine algae Ulva rigida. Journal of the science of food and agriculture, 90(3), 445–449.
  8. Vaugelade, P., Hoebler, C., Bernard, F., Guillon, F., Lahaye, M., Duee, P. H., & Darcy-Vrillon, B. (2000). Non-starch polysaccharides extracted from seaweed can modulate intestinal absorption of glucose and insulin response in the pig. Reproduction, nutrition, development40(1), 33–47.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 − six =